hamil

Kesihatan wanita hamil yang baik berkait rapat dengan kesihatan bayi dalam kandungannya yang baik. Wanita yang menjaga pemakanan, bersenam setiap hari dan menjaga kehamilan dengan baik, didapati menghadapi komplikasi sewaktu hamil yang sangat rendah serta cenderung untuk melahirkan bayi yang sihat.

Oleh itu, mengekalkan tempoh kehamilan yang sihat adalah amat penting dan patut dititikberatkan bagi setiap ibu bapa yang sedang menunggu saat-saat kelahiran permata hati mereka.

Nutrisi

Apa yang anda makan sepanjang tempoh kehamilan memberi peranan yang besar terhadap permulaan perkembangan bayi yang sihat. Diet yang sihat dan lengkap dengan semua nutrisi membolehkan peluang untuk melahirkan bayi yang normal beratnya, meningkatkan perkembangan otak bayi dalam kandungan dan mengurangkan risiko kecacatan bayi yang bakal lahir.

Diet yang seimbang juga mengurangkan risiko komplikasi semasa hamil seperti anemia. Ia juga mengurangkan alahan dan mabuk sewaktu hamil, kekejangan dan beberapa lagi simptom lain sewaktu hamil yang tidak menyelesakan. Nutrisi yang baik juga didapati boleh mengimbangi mood ibu mengandung akibat hamil dan boleh mempermudahkan ibu sewaktu bersalin.

"

Secara kasarnya, diet yang seimbang merangkumi protein, vitamin C, kalsium, buahan dan sayuran, karbohidrat, makanan tinggi zat besi serta makanan yang mengandungi kandungan lemak yang berpatutan bagi memastikan kesihatan ibu dan bayi sepanjang tempoh 9 bulan kehamilan berada pada tahap yang terbaik. Cara yang paling mudah untuk mengimbangi nutrisi anda adalah mempelbagaikan jenis makanan dari semua kumpulan nutrisi setiap hari.

Ramai wanita bimbang akan kenaikan berat badan merea sewaktu hamil. Sekiranya berat badan anda adalah normal sebelum anda hamil, kenaikan berat badan sebanyak 25 hingga 35 pound adalah disyorkan.

Adalah penting bagi si ibu untuk berbincang dengan doktor dan memantau berat badan mereka sera nutrisi yang diperlukan sepanjang tempoh kehamilan. Kenaikan berat badan yang disyorkan oleh ibu mengandung adalah berbeza mengikut saiz badan dan kondisi kehamilan masing-masing.

Oleh itu, adalah terbaik sekiranya mendapatkan pandangan dan nasihat mereka yang lebih pakar.

Menjaga pemakanan

Untuk memelihara ibu dan bayi dalam kandungan dari bakteria atau jangkitan parasit (Listeriosis), pastikan kesemua susu, cheese dan jus dipasteur dengan sebaiknya sebelum diambil.

Jangan makan daging atau hot dog sehingga ia yang dimasak dan dipanaskan sepenuhnya. Selain itu, elakkan memakan makanan laut yang disimpan dalam peti sejuk atau disalai serta daging, ayam, dan makanan laut yang tidak dimasak sepenuhnya.

Sekiranya anda mempunyai masalah alergik, lebih baik sekiranya anda mendapatkan nasihat doktor berkenaan makanan apakah yang harus dielakkan.

Vitamin prenatal

Walaupun kebanyakan dari nutrisi yang diperlukan semasa hamil seharusnya diperolehi dari pemakanan yang sihat, suplemen seperti vitamin prenatal juga memainkan peranan yang penting.

Wanita hamil selalunya terlalu sibuk dengan aktiviti seharian hingga tidak sempat untuk merancang makanan yang cukup dengan semua nutrien yang diperlukan setiap hari. Oleh itu, vitamin boleh membantu menambahkan lagi jumlah nutrisi yang diperlukan oleh bayi dalam kandungan.

Asid folik merupakan vitamin B yang didapati merupakan suplemen yang penting untuk wanita hamil. Asid folik yang diambil beberapa minggu sebelum kehamilan dan 12 minggu awal didapati boleh mengurangkan risiko melahirkan bayi yang mempunyai kecacatan neural tube sebanyak 75 peratus!

Kebanyakan vitamin prenatal mengandungi 1mg asid folik. Walau apa pun, lebih baik sekiranya anda mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil apa-apa vitamin prenatal sepanjang tempoh kehamilan.

hamil

Senaman

Senaman yang sederhana bukan hanya dianggap selamat untuk wanita mengandung, ia amat digalakkan dan diketahui mampu memberi seribu kebaikan pada si ibu, serta bayi dalam kandungan.

Senaman 30 minit sehari terbukti membantu pengaliran darah, menguatkan otot dan mengurangkan tekanan. Namun begitu, adalah penting untuk berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum memulakan apa sahaja bentuk senaman, lebih-lebih lagi sekiranya anda mempunyai komplikasi kehamilan yang lain.

Bagi wanita yang tidak begitu aktif sebelum hamil, lebih baik sekiranya berbincang dahulu dengan doktor berkenaan cara-cara senaman yang sesuai yang boleh anda lakukan sepanjang tempoh kehamilan.

Bagi kebanyakan kehamilan yang normal, senaman boleh meningkatkan tenaga, memperbaiki kualiti tidur, menguatkan otot dan daya tahan badan, mengurangkan sakit belakang serta melegakan sembelit. Senaman aerobik seperti berjalan, jogging dan berenang boleh meransang jantung, paru-paru, sendi dan otot yang boleh membantu kelancaran oksigen keseluruh badan.

Terdapat pelbagai kelas senaman yang direka khas untuk wanita hamil seperti yoga, boleh membantu menguatkan daya tahan, memperbaiki postur tubuh dan menggalakkan peredaran darah serta pernafasan. Yoga juga didapati boleh mengurangkan tekanan, ketegangan dan kebimbangan serta membantu wanita kekal fokus dan relax.

hamil

Hindarkan tabiat buruk

Pemilihan gaya hidup yang sihat akan mempengaruhi secara terus dengan tahap kesihatan tumbesaran bayi dalam kandungan. Oleh itu, adalah penting bagi ibu mengandung supaya menghindar tabiat buruk seperti merokok dan pengambilan alkohol. Tabiat buruk ini boleh memberi risiko yang tinggi sama ada pada ibu, bayi dalam kandungan atau kedua-duanya sekali.

Diharap pembaca wanita Islam di blog ini tiada yang mengamalkan pengambilan alkohol. Namun begitu, kita juga seharusnya berhati-hati dengan pemilihan makanan sepanjang tempoh kehamilan.

Dikhuatiri, makanan yang kita makan ada yang mengandungi alkohol walau sedikit tanpa kita sedar; contohnya seperti sushi. Oleh itu, kenalpasti dahulu makanan yang anda makan. Seeloknya, makan sahaja dirumah kerana ia bukan sahaja bersih, malah kandungannya diyakini selamat untuk kita dan bayi dalam kandungan.

Untuk makluman, minum alkohol sewaktu mengandung memberi seribu masalah dalam perkembangan bayi dalam kandungan. Mana-mana alkohol yang diambil oleh para ibu, memasuki saluran darah bayi dalam kandungan lebih kurang sama banyaknya dengan alkohol yang memasuki saluran darah ibu.

Pengambilan alkohol yang terlalu banyak semasa hamil boleh menyebabkan fetal alcohol syndrome (FAS) yang menyebabkan bayi kurang berat badan, kekurangan mental, dengan pelbagai kecacatan, dan kadar kematian yang tinggi.

Pengambilan alkohol sewaktu hamil juga boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti:

  • keguguran
  • kelahiran bayi pra-matang
  • berat kelahiran yang rendah
  • bayi meninggal sebelum sempat dilahirkan
  • pertumbuhan bayi yang abnormal
  • masalah perkembangan dan tumbesaran semasa kanak-kanak

Sementara itu, merokok juga memberi risiko yang tinggi pada bayi dalam kandungan. Merokok boleh memberi kesan pada aliran darah dan penghantaran oksigen pada bayi sehingga menjejaskan tumbesarannya. Merokok juga berkait rapat dengan pelbagai komplikasi sewaktu hamil termasuklah:

  • pendarahan rahim
  • kehamilan luar rahim
  • kelahiran bayi pra-matang

Sakit atau tidak sihat semasa tempoh kehamilan

Selain dari simpton-simpton lain yang sering dialami wanita mengandung, mereka juga lebih mudah terdedah dengan jangkitan tertentu, terutamanya virus seperti selsema atau demam. Wanita hamil akan lebih mudah jatuh sakit sekiranya dijangkiti selsema.

Walaupun  ia menyebabkan anda berasa tidak sihat dan tidak selesa, kebanyakannya tidak akan menjejaskan pertumbuhan bayi anda dalam kandungan. Jadi, jangan susah hati ya.

Antara penyakit yang biasanya dihadapi adalah:

  • selsema biasa
  • selsema bermusim
  • rhinitis
  • gastroenteritis

Adalah penting untuk mendapatkan nasihat doktor dalam rawatan penyakit anda terutamanya ketika hamil. Ubatan atau suplemen tambahan yang biasanya digunakan untuk mengurangkan sakit badan seperti panadol atau aspirin serta untuk merawat selsema tidak digalakkan diambil sewamtu hamil.

Tentu ramai pernah dengar pepatah ini; “mencegah lebih baik dari mengubati”. Diet yang seimbang, senaman, rehat yang mencukupi serta penjagaan kebersihan dapat mengekalkan kesihatan tubuh sepanjang hamil.

Terdapat wanita yang pernah menghidap asthma mungkin mendapati simptom tersebut semakin teruk sewaktu hamil. Keadaan ini mungkin disebabkan peningkatan hormon dalam sistem badan.Selain itu, ia juga mungkin disebabkan uterus yang semakin membesar hingga menekan paru-paru dan menghadkan keupayaannya.

Wanita hamil yang menghidap asthma mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menghidap preeclamsia (biasanya berlaku berpunca dari tekanan darah yang tinggi dan bilangan protein yang agak tinggi dalam air kencing) dan ia boleh menyebabkan berlakunya kelahiran bayi pra-matang atau kecacatan sejak lahir pada bayi. Dengan rawatan yang betul, asthma boleh dikawal dengan sebaiknya sepanjang tempoh kehamilan.

Semoga bermanfaat. Wassalam 🙂

Kredit gambar: Joanna Sweeny, Olilia, vandermark.teach

Penulis: Ummu Hatim

Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .