Negara kita sering kali digemparkan oleh berita mengejutkan di mana ibu yang baru melahirkan, sedang berpantang, atau mempunyai anak kecil membunuh anaknya sendiri atau membunuh diri. Apabila berita sebegini sampai ke telinga kita perkara pertama yang akan terlintas di fikiran ialah ibu meroyan.

Tahukah anda bahawa meroyan bukanlah satu mitos yang dicipta oleh orang tua untuk menakutkan kita. Meroyan adalah perkara yang benar-benar berlaku dan ianya boleh meragut nyawa.

Apakah yang dimaksudkan dengan meroyan?

Dari sudut perubatan tradisional dan perbidanan melayu, meroyan adalah keadaan di mana seorang ibu berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil akibat gangguan angin meroyan. Angin meroyan berlaku kerana ibu tersebut tidak berpantang dengan betul dan telah melanggar pantang-larang semasa berpantang.

Sebagai contoh, kemungkinan ibu tadi tidak memakai stoking seperti yang sepatutnya lalu menyebabkan diserang angin meroyan. Angin meroyan bukan sahaja boleh berlaku semasa berpantang malah boleh menyerang ibu beranak kecil yang kekurangan rehat dan tidur akibat kepenatan menjaga anak kecil.

Sementara dari sudut perubatan moden, meroyan adalah postpartum depression di mana seorang ibu mengalami tekanan perasaan selepas melahirkan bayinya. Ia adalah satu keadaaan yang dianggap sebagai masalah kesihatan dan memerlukan rawatan dengan kadar yang segera kerana jika dibiarkan, ia akan menjadi semakin teruk dan boleh menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Kesimpulannya, ia adalah masalah kesihatan emosi yang dialami oleh seorang ibu yang baru melahirkan. Walau pun istilah yang digunakan dalam dunia perubatan moden dan tradisional adalah berbeza namun kedua-duanya bersetuju dengan kewujudan penyakit meroyan atau postpartum depression.

Apakah punca meroyan?

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menjadi penyumbang kenapa seorang ibu boleh mengalami meroyan. Di antara punca yang telah dikenal-pasti ialah:

  1. Tidak berpantang dengan sempurna. Bersalin merupakan proses yang sangat menyakitkan dan terlalu memenatkan. Sepatutnya tempoh berpantang adalah masa di mana ibu tadi berehat dan memulihkan diri agar kembali segar dan sihat semula. Sebab itulah orang lama bertungku, berparam, berpilis, berbengkung, berurut dan bertangas sepanjang tempoh berpantang. Tujuannya ialah untuk membelai ibu yang baru bersalin dengan layanan istimewa bak permaisuri. Bila lagi kita nak rasa layanan istimewa sebegini. Semua rawatan yang disebut tadi adalah untuk memulihkan semula ibu dari segi  fizikal dan mental. Jika ada yang tidak berpantang dengan elok, ia akan menyebabkan fizikal atau mentalnya gagal pulih da akibatnya mula mengalami tekanan yang akhirnya berlarutan menjadi meroyan.
  2. Kurang rehat semasa berpantang juga boleh menjadi punca meroyan. Dengan keadaan tubuh badan yang masih lemah dan kesakitan, sepatutnya ibu yang sedang berpantang perlu banyak berehat dan tidur. Inilah sebabnya sangat penting untuk ada orang lain yang menemaninya, menjagakan bayi, menyediakan makan minum untuk siibu dan membantu menguruskan kerja rumah. Tanpa bantuan orang lain, ibu yang baru melahirkan akan mengalami tekanan kerana terpaksa melakukan segalanya sendiri.
  3. Perubahan hormone juga boleh menjadi punca meroyan. Proses kehamilan dan proses bersalin akan menyebabkan tubuh badan mengalami perubahan hormone yang mendadak. Perubahan hormone boleh mempengaruhi emosi. Kecelaruan hormone akan menyebabkan berlakunya kecalaruan emosi. Tanpa sokongan orang sekeliling, gangguan emosi tadi akan menjadi semakin serius lalu akhirnya menyebabkan ibu tadi mengalami meroyan.
meroyan

Sumber: lightmindcounseling

Apakah tanda atau simptom?

Kebiasaannya terdapat beberapa tanda atau simptom yang akan ditunjukkan oleh seseorang yang meroyan. Di antara simptom yang perlu diperhatikan oleh mereka yang menjaga ibu baru bersalin ialah:

  1. Pelupa atau kehilangan memori. Selepas bersalin biasanya seorang ibu akan mengalami masalah memori, ianya adalah normal. Namun jika ia menjadi semakin serius, ia adalah petanda bahawa ada yang tak kena dengan dirinya.
  2. Rasa kosong. Ibu yang meroyan akan berasa kosong seolah-olah hidupnya tidak lagi bermakna. Dia akan berasa seolah-olah tiada tujuan hidup. Malah bayi yang baru dilahirkan pun seolah-olah tidak berharga. Ianya adalah satu perasaan yang tidak normal.
  3. Cepat marah. Jika ibu baru bersalin menjadi seorang yang cepat marah atau panas baran sedangkan itu bukanlah sikapnya yang sebenar, ia adalah satu petanda yang perlu diperhatikan.
  4. Suka memikirkan perkara negative. Ibu yang meroyan akan memikirkan perkara yang negative seperti suami tidak sayang padanya dan ada perempuan lain, terfikir untuk membunuh diri atau membunuh bayinya, malah mungkin juga mempunyai niat untuk membunuh semua anak-anak. Sekiranya keadaan tidak dikawal, tak mustahil perkara yang difikirkan akan menjadi kenyataan.
  5. Insomnia. Ibu yang meroyan akan mengalami kesukaran untuk tidur sedangkan dia terlalu penat dan tidak mendapat tidur secukupnya. Ini adalah tanda maroyan yang paling jelas dan nyata.

Apakah rawatan untuk meroyan?

Sekiranya anda merasakan diri sendiri atau orang  yang tersayang menunjukkan potensi untuk mengalami meroyan, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah dapatkan bantuan dan rawatan dengan kadar yang segera. Pergi ke klinik dan ceritakan kepada doktor akan perihal yang sebenar.

Nanti doktor akan merujuk anda kepada doktor yang berkenaan. Anda akan diperiksa dan diberikan rawatan yang sepatutnya.

Kesimpulan

Itu lah dia info tentang meroyan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Meroyan adalah sesuatu yang sangat serius malah boleh meragut nyawa. Oleh itu dapatkan rawatan denga n segera sekiranya simptom berkenaan mula menunjukkan diri.

Jika anda menyukai artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang tanda tekanan perasaan, jenis kemurungan selepas bersalin, rawatan untuk kemurungan selepas bersalin.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.