Setiap wanita yang sudah aqil baligh pastinya akan didatangi haid setiap bulan. Darah haid yang normal adalah dalam lingkungan 14 hari. Dalam islam, darah haid yang melebihi 14 hari adalah darah istihadah yang bermaksud darah penyakit. Selain tempoh haid, keadaan darah yang keluar juga perlu diperhatikan. Jika darah haid berketul, adakah ia sesuatu yang normal?

Apakah yang dimaksudkan dengan darah haid?

Bagi seorang wanita, terdapat tiga jenis darah yang akan keluar dari rahimya iaitu darah haid, darah nifas, dan darah istihadah iaitu darah penyakit. Darah haid adalah darah yang keluar dari rahim anda apabila anda cukup matang untuk mengandung. Apabila anda menjadi seorang wanita yang matang, setiap bulan ovum atau telur akan dilepaskan ke dalam ovari anda.

Apabila ovum dilepaskan, lapisan uterus iaitu rahim anda yang mengandungi tisu akan menebal sebagai persediaan untuk proses persenyawaan dan mengandung. Jika ovum yang dilepaskan tadi disenyawakan oleh sperma, tisu uterus tadi akan kekal di tempatnya bagi memudahkan proses kehamilan. Namun jika ovum anda tidak disenyawakan, badan anda akan menggugurkan tisu tersebut melalui faraj. Tisu yang digugurkan tadi akan keluar dari rahim sebagai darah haid.

darah haid berketul
Sumber: Endofound

Apakah yang dimaksudkan dengan darah haid yang banyak?

Anda dikatakan mengeluarkan darah haid yang banyak atau istilah sainsnya menorrhagia seandainya haid anda mempunyai ciri-ciri yang berikut:

  • Pendarahan melebihi 7 hari
  • Tuala wanita anda penuh setiap jam dan perlu diganti sejam sekali
  • Anda perlu memakai lebih daripada satu pad dalam satu masa untuk mengelakkan berlakunya limpahan
  • Perlu menukar tuala wanita pada waktu malam walau pun sudah memakai tuala wanita untuk waktu malam.
  • Keluar ketulan darah beku yang saiznya lebih besar daripada syiling 20 sen lama.

Apakah yang dimaksudkan dengan darah haid berketul?

Darah haid yang normal adalah darah yang keluar dalam bentuk cecair sama ada berwarna merah, coklat, atau hitam. Anda dikatakan mengalami masalah darah haid berketul sekiranya darah haid yang keluar dari rahim anda adalah dalam bentuk:

  • Berketul dengan saiz lebih besar daripada duit syiling 20 sen lama
  • Kelihatan seperti daging
  • Darah kelihatan seperti gumpalan

Apakah kesan sekiranya darah haid anda terlalu banyak dan berketul?

Aliran haid yang terlalu banyak dan berketul boleh menjejaskan kesihatan anda untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Di antara kesan yang telah dikenal-pasti ialah:

  • Kehilangan darah yang banyak. Sekiranya anda mengalami kehilangan darah yang banyak, anda bukan sahaja akan menjadi lemah dan mengganggu urusan seharian, malah jika terlalu banyak darah yang hilang dari badan, anda perlu dikejarkan ke hospital untuk dimasukkan darah yang baru bagi menggantikan darah yang hilang. Kehilangan darah yang terlalu banyak boleh mengancam nyawa.
  • Darah haid yang terlaku banyak dan berketul juga boleh menyebabkan anda mengalami kekurangan zat besi dalam badan.
  • Selain kekurangan zat besi, aliran darah haid yang banyak dan berketul akan menyebabkan anda mengalami masalah anemia atau kekurangan darah yang kekal.
  • Untuk jangka masa panjang, aliran haid yang banyak dan berketul boleh menjejaskan kesihatan jantung anda.

Apakah punca darah haid berketul?

Dalam dunia perubatan, terdapat beberapa punca aliran darah haid menjadi terlalu banyak dan berketul. Keadaan darah haid yang berketul biasanya dikaitkan dengan masalah kesihatan yang berikut:

  • Fibroid iaitu ketumbuhan bukan kanser yang ada di dalam rahim
  • Cyst iaitu ketumbuhan bukan kanser yang ada di dalam rahim
  • Polip iaitu ketumbuhan bukan kanser yang ada di dalam rahim
  • Adenomyosis iaitu satu masalah dalam sistem peranakan wanita di mana lapisan dalaman rahim meresap ke dalam dinding otot rahim
  • Ovulasi yang tidak teratur. Apabila anda mempunyai masalah ovulasi yang tidak teratur, apabila tiba masanya untuk anda datang haid, penebalan lapisan dalaman rahim anda tetap berlaku walau pun tiada ovum yang dilepaskan ke dalam rahim. Dinding yang menebal tadi tidak akan keluar kerana anda tidak didatangi haid pada bulan tersebut. Namun apabil anda datang haid pada bulan seterusnya, anda akan mendapat aliran haid yang banyak.
  • Wanita yang baru akil baligh
  • Wanita yang sedang dalam proses untuk menopos
  • Wanita yang mempunyai sindrom ovarium polikistik atau PCOS
  • Wanita yang mengalami masalah hipotiroid
  • Wanita yang mengambil bat-ubatan penipis darah dan aspirin
  • Wanita yang menggunakan alat kontraseptif intra-rahim. Darah haid akan menjadi banyak dan berketul pada peringkat awal selepas ia dimasukkan
  • Wanita yang mempunyai penyakit yang menyebabkan darah sukar untuk membeku
  • Endometriosis
  • Wanita yang sedang hamil di luar rahim atau kehamilan ektopik
  • Wanita yang keguguran
  • Wanita yang mengalami penyakit radang pelvik atau Pelvic inflammatory disease
  • Kanser organ-organ reproduktif seperti kanser pangkal rahim, kanser ovari, dan sebagainya
darah haid berketul
Sumber: Cosmo

Bagaimana cara untuk mengatasi masalah darah haid berketul?

Sehingga hari ini belum ada cara spesifik yang telah dikenal pasti untuk mengatasi masalah darah haid berketul. Apa yang boleh anda lakukan ialah amalkan diet yang seimbang beserta gaya hidup yang sihat. Jika aliran haid anda terlalu banyak, terlalu lama, dan berketul selama berhari-hari, sila pergi berjumpa doktor dengan segera untuk mendapatkan pemeriksaan kerana dikhuatiri ada masalah lain yang lebih serius.

Itulah dia tadi info tentang darah haid beku yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang perbezaan darah haid dan istihadahdan waktu subur wanita.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.