Wabak Denggi telah dikesan sejak 239 tahun yang lalu namun pada ketika itu wabak denggi tidak begitu merbahaya berbanding pada sekarang .

Wabak denggi menjadi satu ancaman kepada rakyat dunia pada tahun 1990 apabila ia merupakan virus bawaan nyamuk yang paling banyak menyerang manusia berbanding penyakit  demam malaria. Demam denggi dicatatkan telah meragut hampir  20 nyawa di Rio Di Janeiro pada 2002.

Di  Malaysia, kes pertama demam denggi direkodkan pada 1902 manakala kes demam denggi berdarah dilaporkan pada 1962 di Pulau Pinang.  Dari tahun ke tahun, statistk kes demam denggi meningkat dan ini makin membimbangkan semua pihak terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut statistik terkini, jumlah kes yang dilaporkan dari 31 Disember 2017 hingga 13 Ogos 2018 adalah sebanyak  44,984 kes. Negeri yang mencatatkan kes tertinggi adalah Selangor dan diikuti dengan Kuala Lumpur masing-masing dengan 25,636 kes dan 4,034 kes.

Kes demam denggi dikhuatiri akan terus meningkat sekiranya tiada kesedaran dan tindakan dari semua pihak bagi menangani wabak epidemik ini.

Tahukah anda apa itu DEMAM DENGGI??

Cara merawat demam denggi

Imej via Wikilmages

Demam denggi merupakan demam yang disebabkan oleh flavivirus yang dibawa oleh nyamuk  Aedes betina yang telah dijangkiti. Flavivirus dipindah daripada nyamuk aedes betina yang dijangkiti kepada manusia sihat ketika nyamuk sedang menghisap darah .

Nyamuk Aedes berfungsi sebagai vektor atau pembawa penyakit denggi. simptom demam denggi dapat diketahui seawal 18 jam selepas jangkitan. Tahukah anda bahawa terdapat empat jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi.

Dikalangan pakar perubatan, virus ini dikenali sebagai DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4.  Disebabkan demam denggi ini adalah virus bawaan nyamuk, manusia boleh dijangkiti dengan demam denggi lebih dari sekali.  Dan biasanya pada jangkitan kedua ia lebih teruk berbanding jangkitan pertama.

Ini disebabkan badan manusia telah menghasilkan antibodi untuk serangan pertama namun apabila seseorang pesakit itu dijangkiti oleh virus demam denggi untuk kali kedua, jenis virus yang menyerang adalah berbeza dan ini menyebabkan sistem imunisasi keliru seterusnya mengakibatkan proses pembiakan virus berlaku dengan lebih cepat dan keadaan pesakit menjadi lebih teruk.

Tanda-Tanda DEMAM DENGGI?

Tanda demam denggi

Imej via nuzree

Terdapat tiga fasa dalam wabak demam denggi dan ini boleh menjelaskan jenis demam denggi yang dihidapi oleh pesakit.

Fasa yang pertama adalah ; fasa demam atau juga dikenali sebagai “Febrile Phase”. Simptom yang pertama dapat dilihat selepas 18 jam selepas digigit nyamuk aedes adalah suhu badan meningkat sehingga 38⁰C dan pesakti mula hilang selera makan. Akibat suhu yang tinggi, pesakit terdehidrasi dan cirit-birit serta muntah.

Selain itu, pesakit juga merasa sakit kepala dan sakit di bahagian belakang kepala. Virus Flavivirus akan terus menyerang sendi pesakit dan sekaligus menyebabkan pesakit merasa sakit badan.

Pada fasa ini, akan terdapat kesan diruam di sekitar badan mereka. Sekiranya pesakit mendapat rawatan yang sepatutnya dalam masa tiga hari, pesakit berpeluang untuk sembuh sepenuhnya.

Fasa yang kedua dikenali sebagai fasa kritikal atau “Critical Phase”.  Fasa kritikal ini akan menunjukkan suhu pesakit akan menurun kurang daripada 38⁰C.  Di dalam fasa ini, kepekatan darah akan meningkat disebabkan oleh air keluar menembusi saluran darah dengan lebih banyak kerana dinding saluran darah menjadi lebih telap (mudah tembus) .

Kepekatan darah yang tinggi akan menyebabkan saluran darah pecah dan berlaku pendarahan. Fasa inilah yang dikenali sebagai demam denggi berdarah (DHF).  Pesakit akan mengalami simptom seperti kerap muntah, pucat, sesak nafas dan berlaku pendarahan.

Pesakit akan mengalami pendarahan pada gusi dan hidung serta penampakan tompok merah pada kulit pesakit. Sekiranya terdapat tanda-tanda ini pada diri anda, dapatkan rawatan pakar dengan segera bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang lebih teruk. Seperti yang kita semua sedia maklum, demam denggi berdarah boleh membawa maut.

Fasa terakhir di dalam wabak demam denggi adalah fasa pemulihan atau “recovery phase”. Selepas pesakit mendapat rawatan yang sewajarnya, masalah ketelapan dinding salur darah akan kembali normal dan kepekatan darah akan menjadi seperti sediakala. Bacaan platlet juga akan meningkat semula berbanding semasa fasa kritikal.

Tanda Demam Denggi Bagi Kanak-Kanak

Bagi pesakit kanak-kanak, simptom wabak demam denggi yang ditunjukkan adalah bernafas dengan laju, tidak aktif dan kelihatan pucat.

Sekiranya pesakit tidak diberikan rawatan dengan cepat, pesakit berpotensi untuk mendapat masalah pada otat jantung, keradangan hati , jangkitan virus denggi di bahagian otak dan sebagainya.

Cara untuk merawat Demam Denggi?

Ketika ini pegawai perubatan dan pegawai penyelidikan sedang bertungkus lumus untuk mencari anti-viral yang sesuai bagi menangani wabak demam denggi namun usaha itu belum mendatangkan hasil.

Kaedah rawatan yang dijalankan untuk pesakit demam denggi adalah lebih berupa bentuk sokongan moral seperti memastikan pesakit dalam keadaan terurus dan sentiasa minum air yang mencukupi. Selain itu, kita boleh membantu dengan menderma darah kepada pesakit sekiranya pesakit mengalami masalah kekurangan darah akibat pendarahan.

Cara Mencegah Demam Denggi

Kita sering menyebut demam denggi, tapi sedarkah kita apa yang membawa kepada gejala wabak demam denggi di sekeliling kita? Jawapannya ada pada diri kita sendiri, bagaimana kita menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal dan  kebersihan diri.

Terdapat pelbagai langkah pencegahan yang perlu kita lakukan untuk mengatasi wabak demam denggi antaranya adalah; memastikan persekitaran rumah dan tempat kerja dalam keadaan bersih . Seminggu sekali kita boleh membuat pemeriksaan rutin sekirnya terdapat bekas air yang bertakung.

Bekas air bertakung merupakan habitat untuk nyamuk aedes membiakkan larva hingga menjadi jentik-jentil. Proses kitaran hidup dari telur hingga menjadi nyamuk dewasa adalah selama seminggu, jadi sekiranya kita membuat pemeriksaan berkala dapat mengurangkan potensi nyamuk aedes membiak.

Nyamuk aedes aktif pada waktu pagi iaitu sekitar jam 5 hingga 8 pagi dan waktu petang 5 hingga 8 malam. Cuba elakkan untuk berada di luar kawasan rumah pada waktu tersebut dan sekiranya perlu untuk menjalankan aktiviti pada masa-masa tersebut pastikan anda sudah mengambil pencegahan awal sepeti memakai losyen anti-serangga atau pemilihan pemakaian yang sesuai.

Sumber dan Rujukan

Penulis: Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Berkhidmat sebagai seorang guru tuisyen Bahasa Melayu mendatangkan minat dalam bidang penulisan.Suka berkongsi idea dan info dengan rakan-rakan tak kira di alam maya atau realiti . Mengharapkan setiap yang membaca mendapat manfaat yang sebaiknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.