Sakit jantung adalah di antara pembunuh senyap utama di Malaysia selepas kanser. Mungkin anda sangkakan bahawa sakit jantung adalah masalah kesihatan yang selalu berlaku kepada kaum lelaki sahaja memandangkan ramai di antara mereka yang merokok.

Namun ketahuilah bahawa yang sebenarnya kaum wanita juga mempunyai risiko untuk mendapat sakit jantung. Jom kami kongsikan tanda sakit jantung pada wanita yang anda perlu sentiasa perhatikan.

Sakit dada

Tanda sakit jantung pada wanita yang paling ketara ialah anda akan berasa sakit dada. Anda akan berasa seolah-olah dada anda ditikam atau dihiris-hiris dari dalam. Anda juga mungkin berasa seolah-olah dada anda diramas-ramas dari dalam. Kesakitan ini akan bermula pada bahagian belah kiri dada anda di mana terletaknya jantung dan akan merebak ke bahagian lain seperti perut, leher, rahang dan kedua-dua belah lengan.

tanda sakit jantung pada wanita
Sumber: Dailyhealthguard

Degupan jantung yang tidak teratur

Wanita yang mengalami masalah sakit jantung biasanya mengalami masalah degupan jantung yang tidak teratur. Ada masanya jantung anda akan berdegup dengan laju walau pun anda tidak berasa takut atau cemas, dan anda juga bukannya sedang bersenam. Ada masanya pula anda berasa seolah-olah jantung anda akan berhenti berdegup.

Degupan jantung yang tidak teratur biasanya tidak akan menjejaskan kesihatan namun jika ia berlaku untuk tempoh yang lama, boleh menyebabkan anda berasa pening atau pitam. Oleh itu jika anda perasan bahawa degupan jantung anda ada kelainan, segera berjumpa dengan doktor.

Pernafasan menjadi pendek

Tanda sakit jantung pada wanita yang pertama ialah pernafasan anda menjad pendek dan anda tidak berasa puas apabila bernafas. Anda juga akan berasa semput. Kebiasaannya tanda ini akan muncul lebih kurang 6 bulan sebelum anda mendapat sakit jantung. Oleh itu, jika anda perasan bahawa pernafasan anda menjadi pendek dan anda mengalami sesak nafas yang berpanjangan, jangan dipandang remeh.

Berpeluh dengan banyak, terutamanya pada waktu malam

Rata-rata pesakit jantung wanita mengadu bahawa mereka akan berpeluh dengan banyak terutamanya pada waktu malam walau pun keadaan persekitaran adalah sejuk. Malah ada yang berpeluh walau pun sedang duduk dalam bilik yang mempunyai penghawa dingin. Ianya bukanlah sesuatu yang normal kerana tubuh badan manusia mempunyai termostat yang akan menyesuaikan suhu badan dengan cuaca persekitaran.

Masalah keguguran rambut yang serius

Tidak dinafikan bahawa setiap manusia akan menggugurkan rambut setiap hari. Namun keguguran rambut yang serius sehingga menyebabkan kepala anda mulai botak bukanlah sesuatu yang normal. Perkara ini berlaku kerana menjelang serangan sakit jantung, hormon kortisol dalam badana anda akan meningkat secara mendadak dan menyebabkan rambut anda gugur dengan banyak.

Keguguran rambut yang teruk adalah salah satu tanda sakit jantung pada wanita yang ramai orang terlepas pandang. Ini kerana masyarakat kita menganggap bahawa keguguran rambut bagi wanita adalah normal lebih-lebih lagi bagi wanita yang baru melahirkan dan sedang menyusukan anak.

tanda sakit jantung pada wanita
Sumber: Urbanclap

Penat yang melampau

Jika anda bakal diserang sakit jantung, salah satu simptom paling awal yang anda akan dapat ialah keletihan yang melampau walau pun anda tidak melakukan apa-apa aktiviti ekstrem yang boleh menyebabkan anda kehabisan tenaga. Ia adalah keletihan yang tidak diketahui apakah puncanya.

Tubuh badan anda akan berasa lesu, lemah, dan tidak bermaya. Aktiviti harian anda mungkin akan terganggu kerana anda tidak mempunyai tenaga untuk berfungsi seperti hari yang normal. Kalau anda jenis jarang tidur pada waktu petang, anda akan mula tidur petang. Kalau anda jenis yang selalu bangun awal, anda akan mula terbangun lambat.

Insomnia

Insomnia atau kesukaran untuk tidur adalah masalah yang mungkin berlaku kepada anda disebabkan oleh pelbagai punca dan sebab seperti stress, tekanan perasaan, kesedihan, ketidak selesaan, atau mungkin juga kerana anda mengambil terlalu banyak kafein sebelum tidur. Namun untuk pengetahuan anda, insomnia juga adalah salah satu tanda sakit jantung pada wanita.

Oleh itu, jika anda secara tiba-tiba mengalami insomnia, sebaiknya anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kerana dikhuatiri ia adalah salah satu tanda yang dikeluarkan oleh tubuh badan anda sebelum mendapat sakit jantung.

Masalah pada bahagian perut, abdomen dan usus

Tanda sakit jantung pada wanita yang setrusnya ialah anda akan mula menghadapi masalah pada bahagian perut, abdomen, dan usus. Anda akan berasa sakit pada bahagian abdomen tanpa mengetahui apakah puncanya. Kesakitan yang anda alami mungkin kuat atau mungkin juga cuma sedikit ketidak selesaan. Perut anda akan berasa tidak selesa dan anda juga mungkin akan mengalami kembung.

Selain itu anda juga mungkin akan berasa loya-loya dan mual. Berdasarkan kajian, wanita yang bakal diserang sakit jantung juga akan sendawa dengan banyak di mana ianya adalah tidak normal pada hari biasa.

Berasa kebas pada tangan kiri

Semakin hampir anda mendapat sakit jantung, anda akan mula berasa kebas pada tangan dan lengan belah kiri. Ini berlaku kerana tangan ini berada dekat dengan jantung anda. Oleh itu kalau anda tiba-tiba mengalami kebas pada tangan kiri, usah tunggu untuk ke klinik dengan segera.

tanda sakit jantung pada wanita
Sumber: Verywellfamily

Itulah dia tanda sakit jantung pada wanita yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang tanda mengandung kembar, tanda apendiks, dan tanda demam denggi

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.