Bagi seorang wanita, period atau datang bulan merupakan salah satu daripada perkara yang paling penting dalam hidup. Nak-nak pula wanita yang sudah berumah tangga. Pastinya akan sentiasa melihat kalendar untuk memastikan period datang tepat pada waktunya. Kalau terlewat, hati mula berdebar-debar.

Mengandung ke? Namun tak semua wanita mempunyai kitaran haid yang normal. Ada yang selalu dibelenggu masalah haid lambat dan tidak tetap. Apakah puncanya? Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan sebab period lambat yang ramai wanita alamai tanpa sedar.

sebab period lambat
Sumber: Ccrmivf

1. Perubahan berat badan secara mendadak

Punca period lambat yang pertama ialah perubahan berat badan secara mendadak. Jika baru-baru ini anda mengalami kenaikan atau penurunan berat badan secara mendadak, kemungkinan besar ia adalah penyebab kenapa period anda lambat dan menjadi tidak teratur.

Katakan berat anda menurun secara drastik disebabkan anda sedang mengamalkan rutin diet yang baru, atau berat badan anda naik dengan tiba-tiba selepas berkahwin, secara tidak langsung perubahan pada berat, bentuk, dan saiz badan akan merubah fisiologi badan lalu mengganggu proses ovulasi atau pengeluaran telur setiap bulan. Apabila proses ovulasi terganggu, secara automatik kitaran haid anda juga akan terganggu lalu menjadi punca period lambat.

Oleh itu, jika anda sedang berusaha untuk menurunkan berat badan, pastikan berat badan anda tidak turun secara mendadak. Kalau anda perasan berat badan naik dengan cepat, kawal pemakanan dan amalkan gaya hidup aktif supaya berat anda dapat dikawal.

2. Perubahan pada pola pemakanan

Selain perubahan pada berat badan, perubahan pada pola pemakanan secara tiba-tiba juga boleh menjadi sebab period lambat dan menjadi tidak normal. Sebagai contoh, jika baru-baru ini anda mula mengamalkan diet yang baru seperti ketogenik, atkins, paleo diet, atau intermittent fasting (IF), ini bermakna anda telah mengubah pola pemakanan secara mengejut.

Seperti perubahan berat badan yang mengejut, perubahan pada pola pemakanan secara tiba-tiba juga akan mengganggu proses ovulasi lalu menyebabkan kitaran haid anda terganggu. Oleh itu, jika anda ingin memulakan sebarang jenis diet, pastikan anda berjumpa doktor dan dapatkan nasihat profesional terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya komplikasi termasuk gangguan pada kitaran haid.

3. Kerap keletihan

Punca period lambat yang seterusnya ialah kerap keletihan. Dewasa ini, rutin harian seorang wanita adalah sangat memenatkan. Nak-nak lagi bagi wanita yang bergelar seorang ibu. Pendek kata, dari celik biji mata sehingga tidur semula, tak putus-putus tugas dan tanggung jawab yang perlu diselesaikan. Tahukah anda bahawa kerap keletihan dan sentiasa kepenatan juga boleh menjadi punca kenapa period anda lambat.

Apabila anda kepenatan, ia akan menganggu hormon dalam tubuh badan lalu menyebabkan proses ovulasi terganggu. Oleh itu, jika kitaran haid anda mula terganggu, dan anda selalu kepenatan, apa kata kalau anda cuba untuk perlahan atau slow down. Apa-apa tugas dan tanggung jawab yang boleh ditangguhkan, boleh ditangguhkan dahulu.

4. Pengambilan ubat atau vitamin (supplement)

Ramai yang tak tahu bahawa pengambilan ubat atau vitamin boleh menyebabkan gangguan kepada kitaran haid lalu menyebabkan period anda lambat. Ini berlaku kerana bahan kimia aktif yang terdapat didalam ubat atau vitamin yang diambil akan bertindak-balas dengan tubuh badan lalu menjejaskan hormon yang berkaitan dengan kesuburan.

Apabila hormon kesuburan terganggu, proses ovulasi juga akan terganggu. Oleh itu, jika period anda mula berubah selepas anda mula mengambil sebarang ubat atau vitamin, sila berbincang semula dengan doktor anda.

5. Menyusukan anak

Ibu-ibu yang baru melahirkan dan menyusukan anak biasanya akan mengalami keadaan di mana period menjadi lewat. Ini berlaku kerana hormon dalam badan masih bercelaru dan belum menjadi normal semula. Namun hati-hati! Tidak datang bulan tak bermakna anda tidak subur dan tidak boleh mengandung. Pastikan anda berjaga-jaga kalau tidak merancang untuk mengandung lagi dalam masa terdekat.

6. Masalah kesihatan

Masalah kesihatan juga tekah dikenal-pasti sebagai salah satu sebab period lambat. Katakan kebelakangan ini anda sering demam atau disahkan mempunyai penyakit kritikal, ia boleh menyebabkan period anda terganggu.

7. Perubahan pada rutin seharian

Ramai yang tak tahu bahawa perubahan pada rutin seharian boleh menjadi sebab period lambat. Sebagai contoh, jika anda mendapat kerja baru yang melibatkan shif siang dan shif malam, perubahan pada rutin harian ini boleh menyebabkan gangguan kepada kitaran haid anda.

8. Pra-menapous

Wanita yang berada pada fasa pra-menapous atau putus haid juga akan mula menghadapi keadaan period yang tidak menentu dan lambat. Ini adalah di antara simptom yang dialami oleh kebanyakan wanita dalam fasa tersebut.

9. Perancang kehamilan
 

Jika anda ada mengambil alat perancang kehamilan seperti suntikan depo, implan, pil perancang, IUD dan sebagainya, ia juga boleh menjadi punca period anda lambat. Ini kerana semua kaedah merancang kehamilan tersebut akan mempengaruhi hormon dan tahap kesuburan anda.

sebab period lambat
Sumber: Siraplimau

10. Stress

Sebab period lambat yang terakhir ialah stress atau tekanan perasaan. Stress boleh berlaku disebabkan oleh masalah di tempat kerja, masalah rumah tangga, masalah kewangan, dan sebagainya. Apabila anda stress, hormon GnRH akan berkurangan kerana tubuh badan tidak mengeluarkannya dalam kuantiti yang mencukupi. Kekurangan hormon tersebut boleh menyebabkan period anda lambat.Oleh itu elakkan stress.

Itulah dia sebab period lambat yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Semoga bermanfaat. Jika anda sukakan artikel kami yang ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang cara kira waktu subur dan perbezaan darah haid dan istihadah.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.