Dalam Islam, amalan berdoa merupakan sesuatu amalan yang memberi impak yang besar kepada umatnya. Antara kelebihan dan kepentingan doa adalah:

1) Sebagai pelindung dan senjata orang mukmin agar dijauhkan Allah daripada godaan syaitan dan segala musibah.

2) Untuk meningkatkan lagi ketaqwaan dan keimanan kepada Allah swt. Dengan berdoa, kita dapat mendekatkan diri dengan Allah swt dan bergantung harap hanya kepada Allah swt.

3) Allah sangat suka kepada hambaNya yang berdoa dan meminta-minta kepada Nya. Jadi, berdoalah dan mintalah serta mengadulah apa sahaja kepada Allah swt. Hanya Allah yang mampu perkenankan doa permintaan kita.

Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah mempunyai sifat malu, dan memberi kepada orang yang tidak meminta dengan pemberian yang banyak. Apabila seseorang mengangkat tangannya dihadapan Allah, memohon sesuatu, maka Allah amat malu untuk memulangkan kedua tangan tersebut dengan tangan kosong.” (HR at-Tirmizi)

Doa Ibu

Imej via bangka

4) Doa merupakan tali penghubung antara anak dengan ibu bapa yang telah meninggal dunia. Sabda Nabi saw, “Apabila anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah segala amalan kecuali 3 perkara iaitu, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang sentiasa mendoakannya.” (HR Bukhari dan Muslim)

5) Doa dapat mententeramkan jiwa, menjadi penenang dan penawar kepada hati yang lara. Firman Allah, “Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah ar-Ra’d ayat 28)

6) Doa membuka pintu rahmat Allah swt. Seperti mana sabda Nabi saw, “Doa itu adalah anak kunci kepada pintu rahmat.” (HR ad-Dailami)

 

Sebenarnya banyak lagi kelebihan berdoa. Itulah sebabnya Nabi saw menyebut, “Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi.”

Daripada hadis-hadis ini kita dapat melihat betapa pentingnya amalan berdoa bagi seorang hamba Allah. Oleh sebab itu, sangat penting setiap ibu bapa mendoakan anak-anak mereka.

Doa ibu bapa itu tiada hijabnya, seperti mana sabda Nabi saw, “Tiga doa yang sangat mustajab yang tidak ada syak lagi (diterima oleh Allah swt) iaitu doa orang teraniaya, doa orang yang musafir dan doa ibu bapa terhadap anaknya.” (HR at-Tirmizi)

 

Antara doa yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk anak-anak adalah:

keluarga bahagia

Imej via porsiwp

1) Doa Agar Anak Rajin Solat

رَبِّ ٱجعَلنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّل دُعَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”. (Surah Ibrahim ayat 40)

Doa ini adalah doa Nabi Ibrahim as untuk anak-anaknya. Sungguh besar harapan ibu bapa, agar zuriat keturunannya adalah dari golongan yang menjaga solat. Sebagai ibu bapa, kita tidak mampu nak perhatikan anak-anak kita setiap masa, mudah-mudahan, dengan doa ini, anak-anak serta zuriat keturunan kita sentiasa terpelihara dan memelihara solat mereka.

 

2) Doa Agar Anak Menjadi Penyejuk Mata

رَبَّنَا هَبۡ لَـنَا مِنۡ اَزۡوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعۡيُنٍ وَّاجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِيۡنَ اِمَامًا‏

Maksudnya: “…Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan ayat 74)

Doa ini sangat elok diamalkan oleh setiap pasangan yang mendambakan keluarga yang bahagia. Ini kerana, doa ini bukan sahaja memohon agar beroleh pasangan serta anak-anak yang menjadi penyejuk mata dan penenang hati, malah, doa ini juga memohon agar kita sebagaiibu bapa dapat menjadi role model (qudwah hasanah) buat anak-anak.

 

3) Doa Agar Anak Diberi Rahmat

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي

Maksudnya: “…Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)…” (Surah al-Ahqaf ayat 15)

Doa ini membawa maksud yang sangat mendalam. Sebagai seorang hamba kepada Allah swt, sememangnya kita perlu sentiasa berdoa agar kita tidak lalai dengan nikmat dan rezeki yang Allah telah berikan. Malah, doa ini juga memohon agar kita serta zuriat keturunan kita dapat terus istiqamah beramal soleh kepada Allah swt.

 

4) Doa Agar Anak Lembut Hati

اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ

Maksudnya: “Allah maha lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang telah ditetapkan), dan Dialah yang maha kuat, lagi maha kuasa.” (Surah as-Syura ayat 19)

Doa ini dibacakan kepada anak agar hati anak menjadi lembut, tidak keras dan degil. Al-Latif adalah salah satu nama Allah yang bermaksud Yang Maha Lembut. Mudah-mudahan, dengan berkat kelembutanNya, anak kita juga punyai hati yang lembut.

 

5) Doa Agar Anak Mentaati Perintah Allah

رَبَّنَا وَٱجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيم

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah ayat 128)

Doa ini dibacakan oleh Nabi Ibrahim as ketika membina Kaabah bersama Nabi Ismail as. Mudah-mudahan dengan mengamalkan doa ini, kita serta keturunan kita menjadi hamba Allah yang taat dan beribadah dengan cara yang benar serta tidak sesat. Semoga Allah menerima taubat kita.

 

6) Doa Mendapat Zuriat Yang Baik

قَالَ رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآء

Maksudnya: “…Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Surah Ali Imran ayat 38)

Doa ini dibaca oleh Nabi Zakaria as ketika memohon daripada Allah swt agar dikurniakan zuriat. Nabi Zakaria sudah bertahun-tahun kahwin tetapi diuji dengan tiada zuriat. Nabi Zakaria as tanpa putus asa sentiasa berdoa kepada Allah swt agar dikurniakan zuriat yang soleh sebagai penyambung dakwahnya. Akhirnya Allah swt perkenankan doa Baginda dan mengurniakan seorang anak yang bernama Nabi Yahya as.

Doa ini sangat sesuai diamalkan agar kita dikurniakan zuriat yang baik akhlaknya. Malah bagi pasangan yang belum direzekikan zuriat, anda juga boleh amalkan doa Nabi Zakaria as ini untuk memohon rezeki anak.

 

7) Doa Agar Anak Diberi Kefahaman Agama

اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

Maksudnya: “Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran).”

Doa ni dibaca oleh Rasulullah saw sewaktu baginda mengusap kepala Ibnu Abbas ketika beliau kanak-kanak. Dan kesannya Ibnu Abbas menjadi seorang yang bijak dan tawaduk. Beliau adalah yang paling banyak meriwayatkan hadis Rasulullah saw semasa hayat beliau.

Anda boleh amalkan bacaan doa ini kepada anak-anak sambil mengusap ubun-ubun mereka. Boleh baca doa ini sewaktu anak-anak tidur ataupun sebelum pergi ke sekolah.

 

Kesimpulan

Setiap ibu bapa wajib mendidik anak-anak menjadi soleh dan solehah. Anak-anak adalah amanah Allah swt kepada kita. Sudah pasti kita akan ditanya kelak bagaimana kita mendidik mereka. Justeru itu didiklah anak dan berilah ilmu agama kepada anak-anak dengan sebaik-baiknya. Jangan lepaskan peluang untuk doakan kebaikan anak-anak kerana doa ibu bapa kepada anak-anak adalah sangat mustajab.

“Ketahuilah bahawa harta-benda kamu dan anak-anak kamu adalah ujian (bagi kamu) dan sesungguhnya Allah di sisi-Nya pahala yang besar” (Surah al-Anfal ayat 27-28)

 

Selain artikel doa untuk anak , jemput juga membaca artikel lain tulisan kami seperti amalan ibu mengandung, cara tanam uri dan juga doa mudah bersalin.Oh ya, jangan lupa untuk share dan like artikel ini jika dirasakan bermanfaat.

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.