Anda ada anak perempuan? Pastinya anda berminat untuk tahu bagaimana cara mendidik anak perempuan cara Rasulullah sehingga semuanya menjadi wanita hebat ahli syurga.

Anda teringin melihat anak perempuan menjadi sehebat anak Rasulullah? Jom amalkan cara mendidik anak perempuan cara Rasulullah yang kami senaraikan ini.

cara mendidik anak perempuan
Sumber: Aqiqahsaungdomba

1. Kenalkan anak perempuan anda dengan Allah sejak bayi lagi

Jika anda inginkan anak perempuan yang berjaya di dunia dan akhirat, wajib perkenalkan Allah kepada anak anda seawal bayi lagi. Bagaimana caranya? Apabila ingin menidurkan anak, dodoikan anak perempuan anda dengan zikir, selawat, dan lagu-lagu nasyid yang memuji nama Allah. Apabila selalu didengarkan dengan nama Allah, anak perempuan anda akan mengenali dan mencintai Allah.

2. Pakaikan anak perempuan dengan pakaian yang sopan sejak kecil

Seawal anak perempuan anda bayi lagi, elakkan dari memakaikan baju tak berlengan nampak ketiak dan skirt pendek yang menampakkan kaki serta peha. Ajar anak anda untuk memakai baju berlengan panjang dan seluar atau skirt panjang tanpa mendedahkan sebarang anggota badan. Apabila anak anda semakin besar, ajar anak untuk bertudung.

Kenapa kami tulis jangan pakaikan pakaian yang mendedahkan badan kepada anak perempuan anda yang masih kecil sedangkan anak yang belum akil baligh tidak wajib menutup aurat? Jawapannya, supaya anak terdidik dengan perasaan malu daripada mendedahkan aurat.

Insya Allah, jika dari kecil anda biasakan anak perempuan memakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna, anak anda akan malu untuk memakai pakaian yang tidak paruh syariah.

3. Ajar anak perempuan anda sifat malu

Jika diperhatikan, anak-anak perempuan zaman sekarang kurang sifat malunya. Mereka bergelak-ketawa dan duduk dalam posisi yang kurang sopan, bergaul bebas dengan kawan lelaki, dan tidak menutup aurat dengan sempurna. Ini semua berlaku kerana tiada perasaan malu dalam diri mereka.

Oleh itu, anda sebagai ibu bapa wajib mengajar sifat malu kepada anak perempuan anda supaya tidak melakukan perkara yang sepatutnya.

cara mendidik anak perempuan
Sumber: Kitabnamabayi

4. Ajak anak perempuan solat bersama seawal yang mampu

Solat merupakan tiang agama. Di antara cara untuk mengajar anak perempuan anda bersolat ialah dengan cara mengajak anak anda solat sekali bersama anda. Setiap kali anak nak solat, bentangkan sejadah untuk anak perempuan anda. Tak kisahlah kalau anak anda tidak solat dengan betul pada tahap ini, apa yang penting anda dah perkenalkan solat kepadanya.

5. Ajar anak perempuan cara solat dengan betul seawal umur 7 tahun

Apabila anak perempuan anda mencecah umur 7 tahun, anda boleh mengajarnya cara solat dengan betul. Ajak anak solat bersama, tegur anak perempuan anda sekiranya dia meninggalkan solat dengan sengaja.

6. Rotan anak perempuan yang tidak mahu solat apabila berumur 10 tahun

Cara mendidik anak perempuan cara Rasulullah yang seterusnya ialah merotan anak perempuan anda yang sengaja tidak mahu bersolat apabila umurnya sudah mencecah 10 tahun, walau pun dia masih belum akil baligh.

Bagaimanakah cara merotan yang boleh anda lakukan? Caranya, rotan betis dan tapak kaki anak perempuan anda dengan kekuatan sederhana tanpa menyebabkan sebarang luka atau kecederaan. Ingat! Niat utama anda ialah untuk menyuruh anak perempuan anda solat, bukannya untuk menghukum.

cara mendidik anak perempuan
Sumber: Cikgujawi

7. Jangan pukul anak perempuan anda dari bahagian lutut ke atas

Tips ini boleh diguna pakai untuk kedua-dua anak lelaki dan juga anak perempuan. Elakkan memukul anak anda dari bahagian lutut ke atas, terutamanya bahagian muka. Jika anda ingin memukul dengan niat untuk mengajar, pukul bahagian betisnya atau tapak kaki.

8. Jangan pukul anak perempuan dengan anggota badan seperti tangan atau kaki

Cara mendidik anak perempuan cara Rasulullah yang seterusnya ialah jangan sesekali memukul anak perempuan anda dengan munggunakan anggota badan seperti tangan atau kaki. Sebaliknya gunakan objek lain seperti rotan, pembaris, penyangkut baju, dan sebagainya.

9. Jangan memukul anak perempuan dengan terlalu kuat sehingga berlaku luka dan kecederaan

Dalam ajaran islam, ibu bapa dibenarkan untuk memukul anak dengan niat untuk mendidik. Walau bagaimana pun, kebenaran untuk memukul ada hadnya, terutama sekali bagi anak perempuan yang jauh lebih leamh berbanding anak lelaki yang lebih kuat. Di antara syarat untuk memukul anak perempuan ialah jangan memukul dengan terlalu kuat sehingga menyebabkan luka dan kecederaan kepada anak yang dipukul.

cara mendidik anak perempuan
Sumber: Majalahpama

10. Ajar anak perempuan anda ilmu agama, termasuk fardhu ain

Cara mendidik anak perempuan cara Rasulullah yang terakhir ingin kami kongsikan pada hari ini ialah mengajar anak perempuan anda ilmu agama termasuk fardhu ain. Ini merupakan salah satu daripada kewajiban yang diamanahkan kepada ibu bapa. Adalah menjadi tanggung jawab anda untuk memastikan anak perempuan anda mempunyai ilmu tentang:

  • Cara solat dengan betul dan sempurna
  • Cara berpuasa dengan betul dan sempurna
  • Cara menutup aurat dengan sempurna
  • Cara berhadas kecil dan besar
  • Adab
  • Akhlak
  • Batas pergaulan
  • Dosa-dosa besar
  • Kisah nabi dan rasul

Itulah dia 10 cara mendidik anak perempuan cara Rasulullah yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat untuk anda. Sekiranya anda sukakan perkongsian kami tentang cara mendidik anak perempuan, kami pasti anda juga pasti berminat dengan perkongsian kami tentang cara mendidik anak lelaki tips turunkan demam anak, dan punca anak selalu sakit

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.