Tungku bayi? Tak pernah dengar pun. Pentingkah? Macam mana tu?

Tungku Bayi adalah amalan zaman berzaman yang diamalkan oleh nenek moyang kita dahulu sehinggalah zaman moden sekarang. Tungku bayi dilakukan dengan menggunakan bahan-bahan tradisional herba bagi mengelakkan bayi dari terkena sakit-sakit badan dan angin badan.

Bukan sahaja ibu berpantang yang perlu bertungku, tetapi bayi yang baru lahir juga harus bertungku dan tuam. Namun, caranya berbeza atas faktor kesesuaian dan kesihatan bayi.

Jom saya jelaskan manfaat tungku bayi terlebih dahulu sebelum anda ketahui cara tuam perut bayi yang betul. Manfaat tungku bayi ini sangat bagus untuk bayi anda selepas lahir.

Manfaat Tungku Bayi / Tuam Bayi

tungku bayi
Imej via [kntmarketing]

Ada manfaatnya tungku bayi harus dilakukan. Paling penting, bayi akan selesa dan mudah tidur pada malam hari. Mereka tidak akan meragam kerana perut tidak masuk angin dengan mudah dan tiada masalah kesihatan sepanjang berada di rumah.

  • Mengelakkan bayi daripada terkena angin pasang
  • Mengatasi masalah angin badan yang berlebihan
  • Mengatasi masalah kembung perut bayi
  • Mengatasi masalah bengkak dan lebam pada tubuh badan bayi akibat terhantuk atau terjatuh
  • Membuatkan bayi lebih selesa dan mudah tidur lena
  • Melegakan batuk atau selsema bayi
  • Melindungi pusat bayi daripada tersembul keluar
  • Mengelakkan bayi daripada kesejukan yang teramat

Patutlah ibu bapa sangat menitikberatkan perihal tungku ini. Sekurang-kurangnya bayi anda dibesarkan secara normal dan mendapat penjagaan yang setimpalnya. Bagaimana pula cara untuk bertungku dan bertuam bayi?

Cara Tuam Perut Bayi Dengan Betul

tungku bayi
Imej via [Imgarchive]

Tuam bayi memerlukan anda menyediakan bahan-bahannya terlebih dahulu, kemudian lebih mudah untuk anda mengikuti langkah-langkah tuaman dengan betul. Jom lihat satu persatu bahan dan cara tuam bayi yang boleh anda lakukan.

1. Sediakan Bahan-Bahan Yang Ingin Digunakan

tungku bayi
Imej via [PantangPlus]

Bahan herba seperti jintan manis, habbatussauda, lada hitam dan sirih harus digunakan untuk kesan terbaik. Sediakan juga kain yang bersaiz kecil sesuai untuk meletakkan herba-herba sebagai tungku bayi. Anda juga boleh membeli barangan di pasaraya, pasar serta di kedai runcit.

2. Layurkan Herba Atas Api

Anda boleh melayurkan herba atau daun-daun di atas api atau sangaikan semua herba seperti menggorengnya tanpa minyak. Kemudian, masukkan herba-herba tersebut ke dalam kain yang disediakan dan ikat kain dengan ikatan yang kuat. Ia akan menjadi bentuk bunjut.

3. Panaskan Bunjut Tungku Bayi

tungku bayi
Imej via [blog.pantangplus]

Sebelum menggunakan tungku bayi yang disediakan, anda boleh memanaskannya terlebih dahulu. Cara yang mudah untuk panaskan tungku bayi ini adalah dengan menyerika bunjut tersebut atau mendidihkannya di atas periuk atau dapur.

Sekiranya tidak ada dapur, gunakanlah seterika bagi memudahkan anda. Ia juga bergantung kepada berapa banyak herba yang anda gunakan. Selalunya ia mencakupi jumlah herba yang ingin anda tuamkan pada bayi.

4. Tuamkan Pada Perut Bayi

tungku bayi
Imej via [Pa&Ma]

Cara yang betul tuam bayi adalah tuamkan tungku bayi pada perut bayi dalam keadaan suam-suam panas. Ia amat elok untuk kesihatan bayi luar dan dalam. Ia juga dapat mengeringkan bekas tali pusat bayi.

Tuam bayi mengikut satu arah sahaja dan jangan tekan dengan kuat. Pastikan bayi anda betul-betul selesa dan tidak memudaratkan bayi. Lebih elok lagi, anda boleh tanya sendiri caranya kepada mereka yang lebih berpengalaman dan berumur.

5. Tuam Pada Bahagian Yang Penting

tungku bayi
Imej via [familisihat]

Terdapat beberapa bahagian bayi yang penting untuk dituam. Antaranya adalah perut, paha, dada, tapak kaki, belakang badan, punggung dan bahagian kemaluan bayi. Bahagian-bahagian tersebut mempunyai urat-urat yang berkaitan seluruh kesihatan tubuh badan.

6. Tuam Pada Tempoh Masa Yang Ditetapkan

Wajib untuk anda tahu, tuaman bayi boleh dilakukan sebanyak 5 hingga 10 kali tuaman. Setiap kali selepas mandi, anda boleh lakukannya selama 2 kali. Dari segi penyimpanan pula, anda boleh simpankan tuam bayi di tempat yang kering dan bersih. Amalkan penjagaan tuaman yang betul iaitu dengan menjemur tungku bayi di bawah cahaya matahari selama 10 hingga 15 minit.

7. Situasi Yang Sesuai Untuk Tuaman

Sebagai ibu bapa yang prihatin, anda harus tahu tidak semestinya tuaman dilakukan untuk membuang angin badan, tetapi ia juga boleh dilakukan untuk mengelakkan daripada bayi anda sejuk.

Ketika cuaca sejuk, elakkan bayi terkena selsema dan batuk dengan tuam bayi seketika. Sekiranya bayi terkena gigitan serangga, gatal-gatal, kecederaan ringan, benjol-benjol di dahi atau lutut, tuam bayi dapat melegakan kesakitan tersebut.

Pantang Larang Ketika Tuam Bayi

tungku bayi
Imej via [Imgrum]
  • Gunakan Cara Tuaman Yang Betul

Ada orang yang tidak tahu cara tuaman yang betul tetapi melakukannya sesuka hati. Perkara yang tidak boleh anda lakukan adalah menekan bahagian bayi yang dituam sesuka hati tanpa cara yang betul.

  • Guna Barang-Barang Yang Betul

Pastikan anda memilih barang-barang yang betul terutamanya bahan-bahan herba yang ingin anda gunakan sebagai tungku bayi. Bahan yang ringkas pun sudah memadai, tak perlu runsing mencari pelbagai barang yang sukar anda untuk peroleh.

Kecederaan Ringan Dan Berat Sesuai Tuaman?

tungku bayi
Imej via [PGMall]

Sekiranya bayi anda mengalami kecederaan berat mahupun ringan, jangan terus tuam bayi. Anda harus dapatkan nasihat daripada doktor dan pakar (jika perlu).

Tuam jika perlu sekiranya tiada kecederaan luaran dan dalaman yang disahkan doktor. Namun, anda tetap berhati-hati dengan tuaman yang dilakukan untuk kesihatan dan kebaikan bayi.

Imej via [Pdfkitapciniz]

Itulah dia manfaat tuaman dan cara tuam bayi yang betul dan tepat boleh anda ikuti. Jemput baca juga ujian personaliti, penjagaan pramatang dan urutan bayi.

Rujukan:

  1. jivebumz
  2. pantangplus
  3. izdiharshoppe

Penulis: zulrina

Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.