Rambut asyik gugur? Jom ketahui vitamin apa yang perlu diambil untuk mengatasi masalah rambut gugur. Tips vitamin untuk rambut gugur.

Pengenalan

Kulit kepala manusia secara purata mengandungi lebih kurang 100 ribu folikel rambut. Daripada jumlah tersebut, 90% berada dalam fasa anagen iaitu fasa pertumbuhan rambut yang aktif.

Fenomena kehilangan rambut atau rambut gugur dikenali sebagai alopecia. Secara umumnya, keadaan alopecia ini berlaku apabila unsur unsur penting seperti protein, mineral dan vitamin tidak mencukupi untuk menghasilkan rambut yang sihat.

Masalah rambut gugur sememangnya memberi kesan yang besar ke atas kualiti hidup seseorang. Rambut ibarat mahkota individu yang perlu dipelihara dengan baik. Keadaan rambut gugur atau masalah kehilangan rambut boleh menurunkan tahap keyakinan seseorang dan menjadikan mereka anti sosial.

Imej via Bidadari

Oleh itu, dalam artikel ini, peranan vitamin untuk rambut gugur akan dibincangkan sebagaimana yang pernah diulas dalam kajian sekumpulan penyelidik bersama dari Arab Saudi dan Amerika Syarikat pada tahun 2018 yang diterbitkan dalam jurnal Dermatology and Therapy.

Vitamin untuk Rambut Gugur

1. Vitamin A

Kumpulan vitamin ini mewakili kumpulan retinoid larut lemak yang memberi banyak khasiat kesihatan kepada tubuh seperti penglihatan yang baik, fungsi pertahanan badan dan pertumbuhan selular.

Secara alami, vitamin A datang dalam bentuk kompleks tidak lengkap (sumber haiwan) dan provitamin (sumber tumbuhan) yang perlu diuraikan menjadi vitamin A lengkap oleh tubuh badan pada peringkat sel.

Berikut ialah antara cadangan makanan yang mengandungi sumber vitamin A:

  • minyak ikan
  • telur
  • susu skim
  • sayuran dan buah-buahan berwarna oren atau merah (tembikai, betik, lobak, mangga)
  • sayuran berdaun dan berwarna hijau

Cadangan pengambilan vitamin A bagi seorang dewasa berusia lebih 19 tahun ialah 1300 mcg/hari. Dilaporkan, pengambilan diet makanan atau suplemen yang terlalu tinggi kandungan vitamin A akan menyebabkan rambut gugur.

2. Vitamin B

Vitamin B kompleks termasuklah 8 jenis bahan vitamin larut air yang berperanan membantu metabolisme sel, iaitu:

  • thiamine (B1)
  • riboflavin (B2)
  • asid pantothenic (B5)
  • vitamin B6
  • biotin (B7)
  • asid folik
  • vitamin B12

Kesemua vitamin tersebut boleh didapati secara suplemen kecuali biotin kerana biotin dihasilkan sendiri oleh tubuh. Kehadiran vitamin B akan membantu kualiti rambut yang lebih baik.

Oleh itu, sumber vitamin B ini boleh diperolehi dengan mudah melalui diet pemakanan seperti berikut:

  • susu
  • keju
  • telur
  • daging ayam/lembu
  • ikan
  • kerang
  • sayuran hijau (kale, bayam, sawi)

Imej via Bidadari

Malah, kekurangan biotin dilaporkan menyebabkan masalah kehilangan rambut, ruam gatal dan kuku yang rapuh. Laporan lepas mengaitkan pengambilan 3-5 mg biotin dalam sehari untuk tempoh 3-4 bulan mampu meningkatkan kesihatan rambut mereka yang mengalami sindrom “rambut tidak boleh disikat.”

Sementara itu, asid folik dan vitamin B12 mempunyai peranan yang penting dalam penghasilan asid nukleik; untuk membentuk RNA, DNA dan protein. Hal ini sedikit sebanyak mempengaruhi faktor melebatkan folikel rambut yang memerlukan sintesis selular yang lengkap.

3. Vitamin C

Dikenali juga sebagai asid askorbik terbit daripada metabolisme gula glukosa, vitamin ini sangat terkenal dengan tugasnya mencegah pengoksidaan dan melawan serangan radikal bebas.

Antara makanan yang tinggi kandungan vitamin C ialah:

  • jambu batu
  • tomato
  • kentang
  • buah-buahan sitrus
  • lada hijau
  • kobis

Selain itu, vitamin C bagus untuk rambut gugur kerana peranannya yang bertindak sebagai agen penting dalam sintesis serat kolagen dan penyerapan mineral ferum bagi kesihatan rambut.

Walaupun kekurangan vitamin C sering dikatakan menyebabkan ketidaknormalan pembentukan rambut dan bulu badan, belum ada data yang menyeluruh secara saintifik yang mengesahkan perkara ini.

4. Vitamin D

Vitamin D ialah vitamin larut lemak yang dihasilkan dalam lapisan kulit epidermal keratinocytes. Namun, vitamin D yang diperolehi melalui diet makanan atau sintesis dalam kulit adalah dalam keadaan tidak aktif dan perlu diaktifkan secara enzim.

Sumber utama vitamin D ialah cahaya matahari yang menukarkan molekul dalam tubuh menjadi vitamin D lengkap. Namun, terdapat beberapa senarai makanan yang boleh menjadi sumber vitamin D yang baik, antaranya:

  • salmon
  • sardin/selayang
  • minyak ikan
  • tuna
  • kuning telur
  • cendawan
  • jus buah-buahan
  • susu

Untuk rambut gugur, vitamin D membantu aktiviti selular pembentukan folikel rambut. Banyak kajian lepas yang mengaitkan kekurangan vitamin D sebagai punca rambut gugur.

Dengan sifat anti radang dan penjagaan imunisasi tubuh oleh vitamin D, hal ini dapat mencegah berlakunya masalah rambut yang lebih teruk sekiranya terdapat keradangan atau gangguan aktiviti selular pada folikel rambut.

5. Vitamin E

Vitamin E membantu menyeimbangkan tahap oksidan/antioksidan dan melindungi sistem tubuh daripada kerosakan sel yang disebabkan oleh radikal.

Contoh makanan yang kaya dengan vitamin E ialah:

  • kuaci
  • kacang badam
  • avokado
  • bayam
  • labu
  • buah kiwi
  • brokoli
  • ikan trout
  • minyak zaitun
  • udang

Imej via Bidadari

Menurut kajian lepas, didapati kandungan vitamin E dalam kalangan mereka yang mengalami masalah rambut gugur adalah lebih rendah berbanding kumpulan kawalan.

Kesimpulan

Rambut gugur atau kehilangan rambut merupakan masalah biasa dalam komuniti dermatologi yang memperlihatkan impak psikologi dan emosi oleh mereka yang mengalaminya.

Pengambilan vitamin untuk rambut gugur yang secukupnya adalah sangat wajar bagi membantu perkembangan dan pertumbuhan folikel rambut yang normal dan fungsi sel pertahanan yang lebih baik. Jemput juga baca artikel rawatan rambut beruban dan cara elakkan keguguran rambut selepas bersalin

Rujukan

  1. Almohanna, H. M., Ahmed, A. A., Tsatalis, J. P., & Tosti, A. (2019). The role of vitamins and minerals in hair loss: a review. Dermatology and therapy9(1), 51-70. (link)
  2. Nayak, K., Garg, A., Mithra, P., & Manjrekar, P. (2016). Serum vitamin D3 levels and diffuse hair fall among the student population in South India: a case–control study. International Journal of Trichology8(4), 160. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.