Uri di bawah atau uri rendah adalah salah satu daripada komplikasi kehamilan yang sangat ditakuti oleh ibu mengandung. Jika anda sedang mengandung anak pertama, pastinya anda lebih risau memandangkan anda belum pernah mempunyai pengalaman mengandung sebelum ini. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan info tentang uri di bawah sebagai panduan semua ibu mengandung.

Apakah yang dimaksudkan dengan uri di bawah?

Uri di bawah atau uri rendah adalah keadaan di mana uri berada di bahagian bawah iaitu bukan kedukan yang normal. Dari segi perubatan, uri di bawah dipanggil Placenta Previa yang bermaksud placenta first dan ia adalah salah satu komplikasi yang memerlukan perhatian segera daripada doktor lebih-lebih lagi jika tarikh dijangka bersalin sudah begitu hampir.

Untuk pengetahuan anda, bagi kandungan yang normal uri sepatutnya berada di bahagian atas atau pun tengah kantung bayi dan bukannya di bahagian bawah. Apabila ujian ultrasound yang dijalankan mendapati bahawa uri anda berada di bahagian bawah, ia bermakna anda sedang mengalami uri di bawah.

Adakah uri di bawah sesuatu yang membahayakan kandungan?

Jawapannya ialah ya. Uri di bawah boleh menyebabkan anda mengalami beberapa komplikasi kehamilan yang lain dan menjejaskan kandungan anda. Malah ia boleh menghalang anda daripada bersalin secara normal kerana uri di bawah akan menutup laluan untuk bayi anda keluar.

Uri di bawah boleh dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu:

  • Plasenta Previa Tahap 1 atau Low lying di mana uri terletak rendah di bawah rahim. Untuk tahap ini, bayi masih boleh dilahirkan secara normal.
  • Plasenta Previa Tahap 2 atau Marginal iaitu keadaan di mana uri berada di bawah namun bayi masih boleh dilahirkan secara normal memandangkan laluan tidak ditutup.
  • Plasenta Previa Tahap 3  atau Partial di mana uri dan bayi menutup sebahagian besar laluan serviks. Untuk kes ini, bayi perlu dilahirkan melalui kaedah pembedahan Caesarean.
  • Plasenta Previa Tahap 4 atau Complete iaiatu keadaan di mana laluan serviks tertutup sepenuhnya oleh plasenta. Untuk kes ini, bayi perlu dilahirkan melalui pembedahan Caesarean.

Namun jangan risau, masalah uri di bawah boleh diatasi jika ianya dikesan pada peringkat awal dan diberikan rawatan yang sepatutnya. Oleh itu, kalau anda disahkan mengalami masalah uri di bawah, jangan terlalu risau. Jom teruskan membaca.

Apakah punca uri di bawah?

Menurut rekod, wanita yang mengandung untuk kali kedua dan seterusnya mempunyai risiko yang tinggi untuk menghadapi masalah uri di bawah. Ibu yang mengandung buat kali pertama jarang terkena komplikasi ini. Selain mengandungkan anak untuk kali kedua, berikut adalah di antara punca masalah uri di bawah yang telah dikenal-pasti oleh pakar perubatan moden:

  • Anak sebelum ini dilahirkan secara pembedahan Caesarean
  • Pernah menjalani rawatan kesuburan untuk mengandung
  • Sedang mengandungkan bayi kembar
  • Ibu mengandung yang berusia 35 tahun dan ke atas
  • Ibu mengandung pernah mengalami pembedahan pada rahim
  • Ibu telah banyak kali bersalin sebelum kehamilan yang ini

Apakah simptom atau tanda uri di bawah?

Jika anda mengalami masalah uri di bawah, kebiasaannya anda akan mengalami beberapa simtom seperti:

  • Pendarahan secara tiba-tiba semasa berada dalam trimester kedua atau awal trimester ketiga.
  • Pendarahan mungkin diiringi oleh rasa sakit di bahagian perut namun ada juga yang mengalami pendarahan tanpa rasa sakit.
  • Pendarahan akan berhenti dengan sendiri.

Oleh itu, jika anda mengalami sebarang pendarahan semasa mengandung, usah dipandang ringan. Segera pergi ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan rapi oleh doktor.

Apakah masalah atau komplikasi yang boleh berlaku?

Pastinya anda ingin tahu apakah komplikasi atau masalah kepada kandungan yang boleh berlaku sekiranya seorang ibu mengandung mengalami masalah uri di bawah. Dari segi perubatan moden, masalah uri di bawah adalah satu komplikasi yang boleh menjejaskan kandungan. Di antara masalah yang mungkin timbul akibat uri di bawah adalah seperti berikut:

  • Masalah uri di bawah akan menyebabkan bayi berada dalam kedudukan songsang di dalam kandungan. Anda mungkin tidak dapat bersalin secara normal jika kedudukan bayi adalah songsang.
  • Jika uri menutup laluan serviks, anda terpaksa bersalin secara pembedahan memandangkan bayi tidak dapat keluar secara normal.
  • Jika kedudukan uri di bawah menyebabkan anda mengalami pendarahan tanpa henti, anda mungkin akan dipaksa untuk bersalin awal lalu menyebabkan anda melahirkan bayi pra matang atau tak cukup bulan.

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya anda mengalami masalah ini?

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah dapatkan nasihat dari doktor dan lakukan mengikut arahan yang diberikan. Jangan sesekali berurut dengan bidan kampong untuk menaikkan uri kerana tekanan yang diberikan kepada perut dan rahim boleh menjejaskan kandungan anda. Malah ada banyak kes di mana ibu berurut untuk menaikkan rahim namun akhirnya mengalami pendarahan dan kehilangan kandungan.

Jika anda mengalami pendarahan, anda dinasihati untuk banyakkan berehat dan berbaring di atas katil (bedrest). Ini kerana semakin aktif anda bergerak, semakin banyak pendarahan yang akan berlaku. Kebiasaannya uri akan naik sendiri menjelang tarikh anda dijangka bersalin. Namun jika ia tetap berada di bawah, doktor atau bidan terlatih yang ada di hospital akan cuba untuk menaikkan uri dengan melakukan teknik urutan yang terbukti berkesan dan selamat untuk anda dan bayi dalam kandungan.

Itulah dia info tentang uri di bawah yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang sakit bawah perut semasa mengandung,kencing kotor semasa hamil dan kesihatan ibu mengandung.

Rujukan

  • Plasenta Previa Atau Hamil Uri Di Bawah, Apakah Penyebab Dan Risikonya? https://www.doctoroncall.com.my/soalan/plasenta-previa (link)

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.