Terdapat ramai tokoh islam yang memberikan sumbang yang besar kepada dunia dan masih relevan sehingga ke hari ini walau pun dunia sudah moden dan berbeza dari era semasa mereka hidup. Malah tokoh islam yang tersohor mendapat pengiktirafan oleh dunia barat dan ilmu mereka menjadi asas kepada amalan yang diamalkan pada hari ini.

Jika anda tercari-cari aktiviti untuk dilakukan bersama anak-anak, kami cadangkan anda untuk sama-sama mengenali tokoh islam yang tersohor, anda boleh mengetahui senarai dan sumbangan mereka dan sama-sama mengenali mereka untuk mendidik anak menjadi seperti mereka. Pastinya anak-anak anda akan berasa terinspirasi dan akan berusaha untuk belajar dengan lebih gigih.

Ibnu sina

Ibnu Sina atau Avicenna adalah salah seorang tokoh ilmuwan islam yang paling terkenal malah hasil kajian dan tulisan beliau menjadi rujukan utama bagi masyarakat di barat dan di eropah. Beliau merupakan di antara tokoh ilmuwan islam yang paling ikonik dalam sejarah peradaban dunia. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali Al- Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina. Berliau berbangsa Parsi dan dilahirkan pada 375 Hijrah bersamaan 985 Masihi.

Mungkin anda sudah sedia tahu bahawa Ibnu Sina adalah saintis hebat dalam bidang perubatan namun tahukah anda bahawa selain bidang perubatan, Ibnu Sina juga merupakan ilmuwan hebat dalam bidang yang lain seperti ilmu falsafah. Di antara penemuan beliau yang terhebat adalah seperti berikut:

  • Ibnu Sina menulis buku yang bertajuk Remedies for The Heart di mana di dalamnya terdapat sajak-sajak mengenai perubatan dan 760 jenis penyakit berserta penawar untuk penyakit-penyakit tersebut.
  • Ibnu Sina menjalankan kajian terhadap tubuh manusia yang dikenali sebagai anatomi. Dari kajian yang dilakukan, Ibnu Sina mendapati bahawa jantung manusia mengandungi 3 injap yang akan terbuka dan tertutup dengan sendirinya semasa jantung mengepam darah.
  • Ibnu Sina juga terkenal kerana memperkembangkan ilmu diagnosis melalui kadar denyutan jantung untuk mengenal pasti ketidakseimbangan hormon dalam tubuh badan seseorang pesakit untuk memulihkan pesakit yang menghadapi masalah sakit jiwa.
  • Ibnu Sina juga merupakan tokoh ilmuwan islam yang mula-mula memperkembangkan ilmu psikologi dalam perubatan dan di antara yang terawal menemui ilmu yang kita kenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatik di mana ia menunjukkan hubung kait di antara psikologi dengan kesihatan manusia.
  • Sumbangan Ibn Sina yang seterusnya ialah penemuan tentang kepentingan kestabilan emosi dalam usaha pemulihan seseorang pesakit.
  • Ibnu Sina adalah saintis yang menemui simptom penyakit kencing manis atau diabetes dan komplikasi penyakit tersebut.
  • Apa yang lebih mengagumkan, Ibn Sina adalah saintis pertama di dunia yang menerangkan tentang bahagian-bahagian berbeza pada mata seperti kornea, koroid, iris, retina, lapisan kanta dan sebagainya.
tokoh ilmuan islam

Sumber: Iluminasi

Khwarizmi

Tokoh ilmuwan kedua yang boleh anda perkenalkan kepada anak-anak ialah Khwarizmi yang tidak kurang hebatnya dalam menyumbang kepada ilmu zaman moden. Nama sebenar beliau ialah Muhammad Ibn Musa Al-Khwarizmi. Beliau juga berketurunan Parsi seperti Ibnu Sina dan berasal dari kawasan yang bernama Khwarizm,  dari situlah beliau mendapat nama. Khwarizmi dilahirkan pada sekitar tahun 780 Masihi dan meninggal dunia sekitar 850 Masihi. Di antara sumbangan Khwarizmi kepada dunia ialah:

  • Bidang matematik. Beliau ialah ilmuan matematik di Bait al-Hikmah (House of Wisdom) yang diasaskan oleh Khalifah al-Ma’mun pada zaman pemerintahan Kerajaan Islam Abbasiyyah.
  • Khwarizmi juga merupakan seorang ahli astronomi dan juga ahli geografi di Bait al-Hikmah.
  • Beliau adalah pengasan kepada perkembangan dalam ilmu algebra dan juga trigonometri yang kita gunakan pada hari ini.
  • Khwarizmi menulis sebuah buku yang bertajuk “Al-Kitaab Al-Muhtasar Fi Hisaab Al-Jabr Wa Al-Muqaabalah” yang menerangkan tentang pendekatan secara sistematik dan logik dalam menyelesaikan masalah kuadratik dan linear
  • Khawarizmi juga merupakan saintis yang bertanggung jawab memperkenalkan sistem nombor yang dikenali sebagai Sistem Penomboran Arab dan India.
  • Khawarizmi juga adalah orang pertama di dunia yang menyertakan angka sifar sebagai salah satu digit dalam sistem penomboran dan memberi nilai kepadanya
  • Selain itu, Khwarizmi juga adalah pakar astronomi dan geografi.
tokoh ilmuan islam

Sumber: Haberabd

Al-Farabi

Nama penuh Al- Farabi ialah Abu Nasr Mohammad Ibn Al Farakh al-Farabi. Beliau dilahirkan di sebuah kampung kecil yang dinamakan Wasij berdekatan Farab di Turkistan pada tahun 870. Al-Farabi adalah seorang saintis terkemuka islam. Hasil kerja dan penulisannya sangat terkenal terutamanya dalam bidang falsafah, logik dan sosiologi iaitu:

"
  • Buku bertajuk Ara Ahl Al-Madina Al-Fadila yang merupakan sebuah buku tentang sosiologi yang terkenal dan masih digunakan sehingga ke hari ini.
  • Kitab Al-Musiqa iaitu sebuah buku tentang muzik. Al-Farabi adalah seorang pakar seni dan sains muzik yang telah berjaya mencipta beberapa peralatan muzik dan mencipta nota muzik.
  • Dalam bidang fizik pula, Al-Farabi merupakan oranng pertama yang menjumpai kewujudan konsep kekosongan.
  • Al-Farabi juga merupakan ilmuwan islam yang terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara teratur dalam bahasa Arab.
  • Salah satu pandangan Al-Farabi yang menarik ialah tentang hakikat bahawa jantung adalah lebih penting kepada manusia berbanding otak. Ini kerana jantung memberikan kehangatan kepada tubuh badan manusia sedangkan otak hanya menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh badan. Hebat kan?
tokoh ilmuan islam

Sumber: Verst

Itulah dia perkongsian tentang senarai tokoh islam untuk mendidik anak seperti mereka yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga keluarga kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang peranan ibu bapa dan gaya asuhan ibu bapa.

 

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.