Sebagai ibu ayah, sebelum bayi lahir, kita bukan sahaja perlu membuat persediaan dari segi keperluan fizikal mereka, malah kita juga perlu menggali ilmu tentang perkara yang boleh dilakukan bersama bayi untuk membantu perkembangan mereka.

Tahukah anda bahawa stimulasi kanak-kanak boleh dimulakan sejak hari pertama bayi dilahirkan?

Selain daripada penyusuan susu ibu, ‘tummy time’  juga merupakan perkara yang sangat penting untuk diberikan kepada bayi seawal usia mereka.

Foto Kredit : besttennews.com

8 TIPS MUDAH ‘TUMMY TIME’

Berikut merupakan 8 tips yang ‘simple’  tetapi cukup bermanfaat untuk diamalkan oleh ibu ayah dalam memberikan ‘tummy time’  buat bayi.

1. MULAKAN SEAWAL MUNGKIN

Mungkin, ada yang tertanya-tanya, bilakah waktu yang sesuai untuk mula Tummy Time bersama bayi?

Bagi bayi yang lahir cukup bulan dan sihat, ‘tummy time’  boleh diberikan kepada bayi seawal usia 1 hari.

Foto Kredit : allevents.in

2. MULAKAN LANGKAH PERTAMA

Untuk permulaan, letakkan bayi pada riba kita atau di atas bantal sambil mengusap-usap bahagian belakang badan bayi. Dengan cara ini, ia akan membantu bayi untuk berasa selesa dengan posisi meniarap.

Pastikan posisi bahagian kepala bayi lebih tinggi daripada bahagian punggung pada fasa permulaan ini.

Foto Kredit : mimmis.no

3. KETAHUI TEMPOH ‘TUMMY TIME’

Bagi bayi yang baru lahir, ‘tummy time’  boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat iaitu selama 10 ke 20 saat.

Kemudian, tambahkan masa apabila bayi semakin selesa dan dapat mengangkat kepala ketika posisi meniarap dalam tempoh yang lebih lama.

Foto Kredit : simplemost.com

4. TIARAPKAN BAYI ATAS LANTAI / TILAM

Apabila bayi sudah kelihatan lebih ‘alert’  semasa meniarap di atas riba atau bantal, boleh mula tiarapkan bayi di atas lantai atau tilam yang sedikit keras pula (tidak terlalu terbenam).

Jika mahu letak bayi di atas ‘comforter’, pastikan ‘comforter’  tersebut tidak tebal kerana dikhuatiri boleh menyebabkan bayi lemas jika bayi menyembamkan muka ke bawah.

Foto Kredit : moveforwardpt.com

5. GUNA CERMIN KECIL

Kita boleh meletakkan cermin kecil di hadapan bayi semasa bayi meniarap supaya bayi terstimulasi untuk melihat refleksinya pada cermin.

Aktiviti ini sesuai untuk bayi yang sudah boleh menahan kepala sehingga 5 minit.

Foto Kredit : steemit.com

6. BERBUAL DENGAN BAYI

Kita juga boleh meniarap bersama bayi dan berborak dengannya.

Bayi bawah usia 1 bulan hanya mempunyai jarak penglihatan sejauh lebih kurang 13 hingga 15 cm. Jadi, kita perlu berada rapat untuk meniarap dan berbual dengan bayi agar bayi dapat melihat kita.

Foto Kredit : theconversation.com

7. GUNA PERMAINAN BERBUNYI

Selain itu, gunakan permainan yang berbunyi semasa aktiviti ‘tummy time’  bagi merangsang bayi untuk melihat ke arah bunyi tersebut.

Ianya dapat membantu perkembangan deria pendengaran dan juga deria penglihatan bayi.

Foto Kredit : farmacijamedicina.rs

8. SENTIASA BERSAMA BAYI

Pastikan kita sentiasa ada bersama bayi sepanjang aktiviti ‘tummy time’  ini.

Elakkan daripada membiarkan bayi tidur tanpa pengawasan semasa mereka dalam posisi meniarap.

Foto Kredit : hochyvseznat.ru

BANTU PERKEMBANGAN BAYI

Bayi perlu dirangsang seawal usia mereka. Sebagai ibu ayah, kita bertanggungjawab untuk membantu perkembangan bayi mengikut ‘milestone’  perkembangan mereka.

Mulakan aktiviti ‘tummy time’  seawal usia bayi. Apabila bayi sudah pandai terlentangkan badan mereka daripada posisi meniarap, itu menunjukkan bayi sudah mempunyai kekuatan bahagian atas tubuh yang baik. Ini merupakan satu pencapaian yang sangat bermakna!

Semoga bermanfaat dan selamat mencuba!

Penulis: Siti 'Aisyah Rozalli

Siti 'Aisyah Rozalli

Merupa seorang Occupational Therapist. Bertanggungjawab melakukan penilaian perkembangan bagi mengenal pasti jika anak anda ada kelewatan dalam kefungsian hariannya. Rajin berkongsi tentang perkembangan awal kanak-kanak. Boleh dihubungi Facebooknya.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .