Nak tak kalau kami kongsikan tips pilih botol susu terbaik untuk anak tersayang?

Apabila membeli barang untuk bayi, pastinya anda sangat teruja semasa memilih botol susu. Botol susu merupakan barang bayi yang wajib anda beli untuk menyusukan anak dengan susu perahan atau susu formula.tips pilih botol susu

Sumber: Guesehat

1. Bebas BPA

BPA ialah nama singkatan bagi Bisphenol A iaitu sejenis bahan kimia yang biasa ditemui pada kebanyakan botol susu yang dijual di pasaran, terutamanya yang berharga murah. Fungsi BPA ialah untuk menjadikan botol susu keras serta bersifat jernih dan lutsinar. BPA akan keluar dari botol susu dan masuk ke dalam susu anak apabila anda  memanaskan botol berulangkali, membasuh botol susu dengan air panas atau menggunakan botol yang sama untuk tempoh masa yang lama.

Botol susu yang mengandungi BPA sangat membahayakan kesihatan dan di antara risiko yang dihadapi anak yang menggunakan botol susu yang mengandungi BPA ialah:

  • Meningkatkan risiko  kanser payudara
  • Menyebabkan risiko anak mengalami akil baligh pada usia yang terlalu muda
  • Mengganggu proses tumbesaran anak

Oleh itu, apabila membeli botol susu untuk anak, pastikan ianya bebas BPA dengan memeriksa label kitar semula pada  botol susu. Botol susu yang mengandungi BPA biasanya ditanda dengan nombor 7 pada label kitar semula. Elakkan juga daripada membeli botol susu tanpa label “BPA Free”.

2. Mudah dicuci

Semasa memilih botol susu untuk anak, pastikan anda memilih botol susu yang mudah untuk dicuci. Elakkan memilih botol susu yang mempunyai:

  • Mulut yang kecil, tak muat untuk memasukkan berus mencuci botol
  • Bentuk yang berbucu dan sukar untuk dibersihkan dengan berus mencuci botol
tips pilih botol susu

Sumber: Siraplimau

3. Puting susu

Terdapat pelbagai jenis puting susu di pasaran. Nak pilih yang mana satu? Kami cadangkan anda pilih puting susu yang rupa bentuk dan teksturnya hampir menyerupai puting payudara manusia bagi mengelakkan anak menolak untuk minum dari puting botol susu tersebut.

Di antara puting susu silikon dan lateks, yang mana satu lebih sesuai untuk dipilih? Pada kami, puting susu dari silikon adalah lebih baik berbanding lateks kerana:

  • Puting silikon tidak akan berbau seperti puting lateks
  • Puting silikon lebih tahan lama dan tak mudah koyak berbanding puting lateks
  • Anda tidak tahu sekiranya anak anda alah kepada lateks atau tidak, oleh itu elakkan daripada membeli puting susu lateks untuk mengelakkan perkara yang buruk.

Selain itu, anda perlu tahu aliran puting yang paling sesuai untuk anak anda. Terdapat 3 jenis aliran puting yang dijual di pasaran iaitu:

  • Aliran laju. Puting susu aliran laju sesuai untuk bayi yang sudah besar dan pandai minum dari sipping cup.
  • Aliran sederhana laju pula sesuai untuk bayi berumur 6 bulan ke atas.
  • Aliran perlahan. Puting susu dengan aliran perlahan lebih sesuai untuk bayi yang baru lahir atau bayi yang mudah tersedak susu.

4. Material botol

Kebanyakan botol susu yang dijual di pasaran Malaysia diperbuat daripada plastik dan kaca. Yang mana satu lebih baik dan selamat untuk anak anda? Jom kami buatkan perbandingan di antara botol susu kaca dan botol susu plastik:

  • Bau. Botol susu yang dibuat dari kaca tidak berbau.
  • Berat. Botol susu dari plastik lebih ringan berbanding botol susu kaca.
  • Ketahanan. Botol susu kaca mudah pecah atau retak apabila terjatuh. Namun, botol susu kaca tahan lebih lama daripada botol susu plastik.
  • Mudah dicuci. Botol susu kaca lebih mudah dicuci berbanding botol susu plastik.
  • Tahan haba panas. Botol susu kaca lebih tahan haba panas berbanding botol susu plastik.
  • Menarik perhatian anak. Botol susu plastik biasanya datang dalam bentuk dan corak cantik yang lebih menarik minat anak.
  • Harga. Botol susu plastik biasanya lebih murah daripada botol susu kaca.
tips pilih botol susu

Sumber: Youtube

5. Saiz botol

Botol susu dijual dalam pelbagai saiz. Nak beli saiz yang mana satu? Tahukah anda:

  • Untuk bayi yang baru lahir, botol bersaiz 2oz sudah memadai  kerana bayi kecil tidak minum susu dalam kuantiti yang banyak dan anda perlu perlu tukar botol susu setiap 3 bulan ataupun apabila terdapat kesan calar pada botol susu plastik.
  • Untuk bayi yang besar dan mula minum susu dalam kuantiti yang banyak setiap kali menyusu, anda boleh belikan botol susu bersaiz besar.
  • Apa yang paling penting, pilih botol susu yang sesuai dengan mulut bayi anda dan tahap perkembangannya supaya bayi merasa selesa ketika minum dan mengelakkan daripada berlaku kejadian tersedak susu.

6. Harga

Botol susu dan puting susu perlu ditukar dengan kerap. Botol susu perlu ditukar setiap 3 bulan, sementara puting susu perlu ditukar dengan lebih kerap terutamanya apabila anak anda sudah mempunyai gigi dan suka menggigit puting susu sehingga koyak.

Oleh itu, pilih botol susu dengan harga yang sesuai dengan bajet anda. Jangan sampai membebankan diri sendiri. Apa yang paling penting, anda pilih botol susu dan puting susu yang paling sesuai untuk anak anda.

Itulah dia 6 tips memilih botol susu yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Sebagai seorang ibu, anda perlu tahu beberapa aksesori menyusu yang perlu anda beli di samping botol susu. Di antara aksesori yang diperlukan ialah:

  • Pencuci botol susu. Elakkan daripada membasuh botol susu dengan pencuci pinggan mangkuk
  • Berus mencuci botol susu
  • Sterilizer. Membasuh sahaja tidak mencukupi. Anda perlu sterilkan botol susu sekurang-kurangnya seminggu sekali.
tips pilih botol susu

Sumber: Ibuhamil

Semoga perkongsian kami pada hari ini bermanfaat untuk anda. Jika anda sukakan artikel ini, kami pasti anda pasti akan suka perkongsian kami tentang petua bayi kembung, tips tummy time, dan tips penjagaan gigi bayi.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.