Pam susu adalah gadget penting bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi, lebih-lebih lagi bagi ibu yang bekerjaya. Disebabkan kesedaran terhadap kepentingan susu ibu semakin tinggi dalam kalangan masyarakat di Malaysia, maka permintaan terhadap pam susu juga semakin tinggi. Jika awal tahun 2000 dulu, pam susu bukanlah suatu gadget yang murah harganya. Malah pilihan juga amat terhad. Namun kini, terdpaat pelbagai jenama yang ibu-ibu boleh pilih. Malah harganya juga sangat berpatutan dan mampu dimiliki oleh kebanyakan ibu, insyaAllah.

aneka breastpump

Imej via PumpOnTheGoJB

Bagi anda yang pertama kali ingin membeli pam susu, di sini, kami kongsikan beberapa tips untuk memilih pam susu yang sesuai dan berbaloi dengan keperluan anda.

 

1) Sumber Kuasa (Manual atau elektrik)

Terdapat 2 jenis pam susu iaitu beroperasi secara manual ataupun menggunakan elektrik. Pam susu yang manual kebiasaannya bersaiz kecil, boleh dibawa kemana sahaja malah boleh digunakan dimana sahaja. Namun begitu, mengepam secara manual agak memenatkan. Bagi pam susu yang beroperasi menggunakan elektrik pula, kebiasaannya anda akan ada 3 pilihan iaitu, menggunakan sepenuhnya tenaga elektrik (perlu sambung dengan plug), menggunakan bateri, ataupun boleh menggunakan kedua-duanya, bateri atau sambung terus ke plug elektrik.

elektrik

Imej via daridapurmiza

Pam susu elektrik lebih memudahkan para ibu yang mengepam susu secara kerap. Selain daripada tidak memenatkan, pam susu elektrik juga dapat menjimatkan masa, kerana tangan anda bebas melakukan kerja lain sambil anda mengepam susu, berbeza dengan pam manual yang mana tangan anda sepenuhnya perlu digunakan untuk mengepam susu.

2) Saiz

saiz

Imej via orami

Terdapat pelbagai saiz pam susu yang ada di pasaran. Ada yang bersaiz kecil comel, sebesar saiz tapak tangan. Ada juga pam yang bersaiz sebesar bateri kereta. Jika anda perlu membawa pam susu anda ke mana-mana seperti ke tempat kerja, kemudian bawa balik semula ke rumah, saiz pam susu yang kecil adalah sesuai untuk anda. Ini kerana, pam susu yang bersaiz kecil kebiasaannya lebih ringan berbanding pam susu yang bersaiz besar. Jadi, pam susu yang bersaiz kecil dan ringan memudahkan anda mengangkut pam susu itu ke mana-mana sahaja.

3) Keselesaan

silicon

Imej via uyulmomnbabystore

Corong pam susu mempengaruhi keselesaan anda semasa mengepam susu. Ada corong yang kecil, ada juga corong yang besar. Malah, jika set pam susu tersebut menyediakan pelapik getah yang lembut pada corong, ia juga turut memberi keselesaan pada anda. Pilihlah pam susu yang menyediakan Silicon Breast Shield. Selain daripada lembut, ia juga membantu corong melekap dengan kemas pada payudara. Hal ini turut mempengaruhi kelancaran proses mengepam susu.

4) Daya Hisapan (Suction)

Setiap pam susu mempunyai daya hisapan yang berbeza-beza. Daya hisapan yang terbaik adalah daya hisapan yang menyerupai daya hisapan bayi. Sekiranya pam susu itu mempunyai daya hisapan seperti daya hisapan bayi, ia akan membantu kelancaran pengeluaran susu dengan banyak. Selain itu, daya hisapan seperti hisapan bayi juga adalah hisapan yang paling selesa dan tidak menyakitkan.

5) Bunyi

Bunyi motor pam susu elektrik juga antara perkara yang perlu anda pertimbangkan. Bagi ibu bekerja yang perlu mengepam di tempat terbuka kerana ketiadaan bilik khas untuk mengepam, anda memerlukan pam susu yang berbunyi perlahan. Ada sesetengah pam susu yang dapat menghasilkan bunyi yang sangat senyap sehinggakan orang di sebelah pun tidak perasan yang anda sedang mengepam susu.

6) Alat Ganti

part

Imej via vatgia

Pilihlah pam susu mempunyai komponen yang mudah ditanggal dan dibersihkan. Malah, jika boleh pilih pam susu yang mempunyai sedikit komponen adalah lebih baik. Ini kerana, bagi ibu-ibu yang bekerja, anda setiap hari perlu membersihkan komponen-komponen ini. Malah, ada sesetengah komponen yang bersaiz sangat kecil. Sekiranya terlalu banyak komponen yang perlu dibersihkan setiap hari, perkara ini agak merenyahkan.

Selain itu, carilah pam susu yang mudah untuk mencari alat ganti. Kadang-kadang, ada juga pam susu yang hanya boleh menggunakan alat ganti jenamanya sahaja, ia tidka bersifat universal. Hal ini agak menyukarkan anda untuk mendapatkan alat ganti sekiranya berlaku kehilangan ataupun terdapat komponen yang rosak.

7) Kapasiti (Single-Pump atau Double-Pump)

double

Imej via nuhababy

Terdapat pam susu yang jenis single-pump dan double-pump. Bagi anda yang memang kerap mengepam susu dan juga perlu mengepam susu di tempat kerja, pam susu double-pump adalah pilihan yang ideal. Double-pump sangat menjimatkan masa kerana anda boleh mengepam susu kedua-dua belah payudara secara serentak.

8) Harga

Terdapat pelbagai jenis pam susu di pasaran. Ada yang harganya hanya puluhan ringgit, ada juga harga yang beribu-ribu. Pam susu yang mahal tidak semestinya ia paling sesuai untuk anda. Ada juga pam susu yang harganya berpatutan tetapi menawarkan kualiti yang bagus dan sesuai dengan tahap penggunaaan anda. Oleh itu, pilihlah pam susu yang memiliki ciri-ciri yang menepati keperluan anda. Sekiranya pam susu tersebut agak mahal, namun jika ia memenuhi keperluan anda, ia adalah satu pelaburan yang bagus. Ini kerana, pam susu itu mungkin boleh digunakan sehingga anak yang seterusnya.

9) Survey

survey

Imej via facebook

Sebelum membuat keputusan untuk membeli mana-mana pam susu, anda boleh melakukan survey ringkas dengan bertanya kepada kenalan yang ada pengalaman menggunakan pam susu. Anda juga boleh membaca review dari ibu-ibu yang seikhlas hati berkongsi pengalaman mereka menggunakan mana-mana jenis pam susu di media sosial.

Kesimpulan

Kemampuan kewangan setiap orang adalah berbeza. Oleh sebab itu, adalah baik sekiranya anda melakukan sedikit survey dan menimbang tara ciri-ciri pam susu yang benar-benar memenuhi keperluan anda. Bak kata pepatah, “Alah membeli, memang memakai”.

 

Artikel Menarik Lain
Bagaimana dengan artikel berkenaan Tips Memilih Pam Susu yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?
Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

Penulis: Aniuna

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.