Kanak-kanak yang sedang membesar ada kalanya sukar untuk menyebut perkataan-perkataan dengan betul dan jelas. Ibu bapa dan orang dewasa juga ada kalanya sukar untuk memahami pertuturan kanak-kanak.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Weiss (1982), Beliau mencadabgkan bahawa pertuturan kanak-kanak sepatutnya :

  • 26-50% difahami pada usia 2 tahun
  • 51-70% difahami pada usia 2 tahun 6 bulan
  • 71-80% difahami pada usia 3 tahun

Manakala menurut formula yang dikeluarkan oleh Dr Peter Flipsen Jr, yang juga turut digunakan oleh SLP / SLT sebagai panduan untuk mengukur tahap kebolehfahaman (intelligibility) bagi kanak-kanak ketika bercakap dengan orang tidak dikenali (strangers), beliau mencadangkan bahawa:

Umur dalam tahun / 4 x 100 = % difahami oleh orang yang tidak dikenali

  • Umur 1 tahun = 1/4 atau 25% difahami
  • Umur 2 tahun = 2/4 atau 50% difahami
  • Umur 3 tahun = 3/4 atau 75% difahami
  • Umur 4 tahun = 4/4 atau 100% difahami

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Pertuturan Anak Anda Tidak Difahami

anak pelat

bonnieplants.com

Apabila kanak-kanak bercakap atau menyebut perkataan, adalah penting dan kritikal untuk memberikan peneguhan / memuji cubaan yang dilakukan oleh mereka. Terutamanya apabila bercakap dengan kanak-kanak yang mempunyai masalah pelat ini.

Apabila kita sukar untuk memahami pertuturan mereka, apakah yang patut kita lakukan? Ini adalah beberapa tips dan strategi yang boleh digunakan oleh ibu bapa atau guru:

4 tips untuk cuba memahami pertuturan kanak-kanak

#1 Fokus pada perkataan yang tidak difahami dan dapatkan lebih banyak maklumat tentangnya. Sebagai contoh apabila mereka bercerita berkenaan apa yang mereka lakukan di sekolah.

“Wahhh…macam seronok je… adik dengan kawan main apa tadi?”

#2 Minta kanak-kanak untuk mengulang sebutan dengan lembut. Anda boleh menggunakan ayat seperti

“Oh…mama tak dengar adik cakap apa tadi, boleh cerita balik tak?”.

Cuba juga untuk memahami apa yang dicakapkan melalui pergerakan tangan dan badan, tone suara, emosi dan juga pergerakan mata.

#3 Gunakan klu yang ada dipersekitaran jika ada.

Contohnya seperti “cuba adik tunjuk apa yang adik cakap tadi”

#4 Gunakan sokongan visual sebanyak yang boleh semasa bercerita / berbual.

Contohnya, semasa bercerita mengenai percutian keluarga, gunakan gambar yang diambil ketika bercuti. Anda boleh merujuk kepada gambar tersebut untuk mengenalpasti orang, tempat atau situasi yang diceritakannya.

Perlukah Kita Memperbetulkan Kesalahan Sebutan Anak?

Kanak-kanak dengan masalah pelat selalunya merasa self-conscious semasa bercakap dan perbuatan kita melakukan pembetulan kepada sebutan mereka setiap kali akan menyebabkan mereka tidak mahu bercakap lagi.

Di sini disertakan beberapa tips untuk membantu kanak-kanak dengan masalah pelat ini.

Perkara yang utama yang perlu dilakukan adalah mendapatkan nasihat dari Terapis Pertuturan-Bahasa berkenaan bagaimana untuk melatih pertuturan kanak-kanak di rumah.

Ini akan menentukan bila, bagaimana dan sebanyak mana latihan yang perlu dilakukan. Terapis Pertuturan-Bahasa akan memberikan cadangan yang spesifik tentang bagaimana untuk membetulkan kesalahan sebutan anak anda

Untuk permulaan terapi, apa yang biasanya disarankan adalah ibu bapa hanya membetulkan sebutan kanak-kanak dalam satu jangka masa yang telah ditetapkan.

Tetapkan masa yang sesuai setiap hari (dalam 10-20 minit) untuk “masa bersama ibu/bapa” untuk berlatih menyebut bunyi pertuturan. Beri tahu / jelaskan terlebih dahulu kepada anak anda berkenaan masa dan latihan yang telah ditetapkan tersebut.

Semasa latihan, gunakan bahasa dan penerangan yang positif apabila membetulkan kesalahan. Sebagai contoh, daripada kita menggunakan “salah, cuba lagi”, kita boleh menggunakan ayat seperti “bagus..mama nampak lidah adik keluar masa sebut /s/, sekarang kita cuba sebut /s/ dengan lidah kat dalam mulut pula”.

Setelah anak anda boleh menyebut bunyi yang diajarkan dalam masa latihan yang ditetapkan, galakkan mereka untuk menggunkan bunyi tersebut di luar masa latihan dengan mencari beberapa perkataan yang sesuai pada hari tersebut.

Sebagai contoh, jika anda sedang mengajar bunyi /s/ kepada anak anda, perkataan yang boleh digunakan adalah seperti /sudu/ semasa makan. Beri tahu pada anak anda yang anda ingin mendengar dia menyebut bunyi /s/ yang betul pada waktu makan. Minta anak anda untuk menyebutnya dan berilah pujian setiap kali dia menyebutnya dengan betul.

Selalu tekankan dan jelaskan apa yang telah disebut dengan betul. Sebagai contoh, jika anda mendengar anak anda menyebut /s/ dengan betul ketika berbual, berilah pujian seperti “wah, mama dengar adik cakap /s/ dengan jelas”.

Di akhir terapi, anda akan diminta untuk memantau sebutan anak anda diluar masa latihan. Ini adalah penting untuk membantu kanak-kanak untuk membuat generalisasi dan menggunakan bunyi sebutan yang betul dalam perbualan harian mereka.

Dapatkan nasihat dari Terapis Pertuturan-Bahasa anak anda tentang cara yang specifik untuk memantau pertuturan mereka dengan cara yang betul.

Perlu diingat disini adalah, tujuan utama adalah untuk meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak apabila berinteraksi dengan orang lain. Jika anda was-was mengenai perkembangan pertuturan anak anda, dapatkan nasihat dan konsultansi daripada Terapis Pertuturan-Bahasa berdekatan anda.

Penulis: Aishah Kassim

Mahir dalam memberikan khidmat nasihat bagi meningkatkan kemahiran berkomunikaso bagi kanak-kanak dan orang dewasa. Merupakan seorang Terapis Pertuturan Bahasa atau secara ringkasnya disebut SLT (Speech & Language Therapist). Beliau boleh dihubungi di Facebook.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.