Bukan sahaja akan disenangi oleh orang ramai, badan yang wangi dan tidak berbau akan memberi keyakinan kepada diri kita sendiri dan penampilan.

Ayuh ketahui tips badan sentiasa wangi.

Pengenalan

Bau badan merupakan antara komponen penting dalam aspek bersosial. Selain penampilan pakaian, gaya rambut atau tudung, kemahiran komunikasi dan bahasa tubuh, bau badan memberikan bonus tambahan kepada kehidupan sosial anda mahupun di tempat kerja.

Selain kulit muka dengan isu jerawat, kebersihan gigi dan perapian tudung atau rambut, bau badan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi tahap keyakinan seseorang.

Tidak hairanlah, terdapat banyak produk di pasaran dengan berbagai-bagai jenis jenama dibangunkan untuk tujuan menghilangkan bau badan yang tidak menyenangkan, antaranya, deodoran, antiperspiran, minyak wangi, minyak pati dan spray wangian.

Tips Badan Sentiasa Wangi

Bagi memastikan badan sentiasa wangi tanpa bau badan yang kurang menyenangkan, berikut ialah cadangan tips badan sentiasa wangi.

1. Kenal Pasti Punca Bau Badan

Dengan bau badan yang tidak terlalu merengsakan, dapat meminimumkan penggunaan produk wangian. Oleh itu, punca-punca yang boleh menyebabkan bau badan perlulah dikenal pasti.

Antaranya ialah gaya hidup yang perlu diubah supaya tidak menjejaskan bau badan. Contohnya,

  • Kurangkan atau berhenti merokok
  • Tidak mengambil minuman beralkohol
  • Capai BMI normal kerana berat badan berlebihan dan obesiti dilaporkan mempengaruhi bau badan

2. Diet Makanan yang Seimbang

Imej via Bidadari

Selain bertujuan memberikan kesihatan yang baik, amalan diet makanan yang seimbang mampu mengurangkan bau badan dan menjadi salah satu tips badan sentiasa wangi.

Menurut kajian lepas, makanan yang tinggi kandungan sulfur perlulah dielakkan daripada menjadi amalan mereka yang menghadapi masalah bau badan.

Contoh makanan yang menyebabkan bau badan ialah:

  • brokoli
  • kobis
  • kobis bunga
  • bawang
  • rempah ratus
  • telur
  • daging merah
  • kafein

Banyakkan makanan berkhasiat tinggi dan tinggi serat, contohnya:

  • bijirin penuh
  • sayuran hijau berdaun
  • taugeh
  • buah-buahan segar
  • soya dan produk soya
  • kekacang

3. Penggunaan Minyak Wangi atau Wangian Secara Berpanjangan

Selain penggunaan minyak wangi mahal yang mencecah ratusan dan ribuan Ringgit, terdapat beberapa tips yang boleh diamalkan untuk memastikan minyak wangi kita memberi kesan berpanjangan untuk badan sentiasa wangi.

Antara tips badan sentiasa wangi tersebut ialah:

  • Meletakkan atau menyembur wangian pada titik nadi. Molekul dan sebatian wangian tersebut dapat bercampur dengan sistem badan secara lebih baik. Titik nadi yang terlibat ialah belakang tengkuk, hujung siku, pergelangan tangan, bahagian belakang badan dan belakang lutut.
  • Guna wangian jenis roll-on penggolek. Jenis penggolek ini dapat menjimatkan kuantiti minyak wangi anda daripada disembur merata. Harganya juga jauh lebih murah berbanding wangian yang dibotolkan.
  • Semburkan wangian ke atas sikat rambut. Bagi mereka yang memiliki rambut yang panjang atau lebat, boleh lah guna tips ini untuk memberikan bau yang lebih wangi pada rambut anda. Ramai yang terlepas pandang penjagaan rambut dan bau rambut yang boleh menjadi bau tidak menyenangkan jika tidak diuruskan dengan baik.

4. Penggunaan Wangian Losyen

Imej via Bidadari

Jika sebelum ini anda menggunakan losyen biasa, apa kata anda beralih kepada penggunaan wangian losyen yang turut memberikan perlindungan dan penjagaan kulit yang sama, tetapi ditambah dengan elemen wangian bagi memastikan badan sentiasa wangi.

Disarankan, anda menyapu losyen ini sejurus selepas mengeringkan badan selepas mandi.

Malahan, keadaan baru lepas kering yang lembab ini memberikan tempoh wangian yang lebih lama bagi losyen ini berbanding sapuan di tempat yang betul-betul kering.

5. Kerap Mandi dan Sental di Kawasan Sepatutnya

Kebersihan badan memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan intensiti bau badan.

Kekerapan mandi menjadikan badan kurang berbau. Namun, teknik mandi yang betul perlulah dilakukan seperti memfokuskan mandian dan cucian di kawasan yang mengeluarkan bau badan seperti di bahagian pangkal lengan ketiak, alat sulit dan punggung.

Penggunaan sabun antibakteria turut membantu dalam membunuh bakteria penyebab bau badan dan peluh.

6. Penjagaan Kebersihan Oral Mulut

Imej via Bidadari

Antara tips badan sentiasa wangi ialah dengan memastikan kebersihan dan kesihatan oral turut diambil berat. Masalah penjagaan oral akan menyebabkan bau nafas yang tidak enak dan boleh mengganggu percakapan dan perbualan seharian.

Antara tips penjagaan mulut supaya tidak mengeluarkan nafas berbau ialah:

  • Berus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari secara tetap selama 2 minit bagi setiap masa.
  • Floss gigi untuk mencungkil lebihan cebisan makanan yang terperangkap di antara gigi.
  • Berus gigi selepas makan makanan yang mempunyai bau yang kuat seperti bawang, tuna dan ulam seperti petai, jering dan kerdas.
  • Minum air secukupnya untuk mengelakkan mulut kering. Mulut kering akan menyebabkan nafas berbau disebabkan pengumpulan bakteria dalam air liur.
  • Sentiasa membawa gula-gula getah atau penyegar mulut berperisa pudina atau menthos.

Kesimpulan

Untuk mendapatkan tips badan sentiasa wangi, tidak semestinya kita perlu menggunakan minyak wangi berjenama yang menelan belanja beratus dan beribu Ringgit.

Amalan gaya hidup sihat dan penjagaan diri serta diet makanan yang berkhasiat mampu menjadikan badan anda kurang berbau dan sentiasa wangi. Malah, sistem pertahanan tubuh dan organ sistem kita akan semakin bertambah sihat jadinya!

Jika anda risau dengan bau badan anda sama ada bau peluh atau nafas berbau, anda perlulah mendapatkan khidmat pakar perubatan untuk rawatan susulan. Lebih-lebih lagi sekiranya berlaku perubahan bau badan yang ketara yang mungkin menandakan simptom penyakit tertentu.

Jemput juga baca artikel tips kejutkan jerawat dan petua muka berseri

Rujukan

  1. Healthline
  2. Havlicek, J., & Lenochova, P. (2006). The effect of meat consumption on body odor attractiveness. Chemical senses31(8), 747-752. (link)
  3. Inaba, M., & Inaba, Y. (1992). Human body odor. etiology, treatment, and related factors, 1992. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.