Ada sesiapa di dalam ahli keluarga anda yang bermasalah dengkur? Si suami? Si isteri? Anak anda? Atau anda sendiri? Kalau sudah kes teruk tu, pasti ramai yang menegur anda mengenainya, termasuklah kawan rapat sendiri. Mana dapat disembunyikan lagi, sangat jelas bunyinya tu. Dan kebiasaannya, lelaki lagi banyak berdengkur dari perempuan.

Hmmm, memandangkan ramai sudah yang menegur, pernah terlintas tidak di fikiran anda untuk menangani masalah dengkuran anda? Bagi anda di luar sana yang ingin cuba, kami sajikan di sini sebuah artikel yang ditulis Dr. Ezairy M.Sallih yang menyentuh perkara ini.

dengkur
Imej via BLACKMORES

Apakah Langkah Yang Boleh Diambil Untuk Mengatasi Masalah Dengkur?

1. Berat badan dan senaman

Berlebihan berat badan akan meningkatkan risiko lemak yang boleh menolak pada tekak dan memburukkan lagi masalah berdengkur. Memulakan program penurunan berat badan dan senaman dapat mengurangkan dengkuran dalam banyak individu.

dengkur
Imej via Naomi Judge

2. Tukar posisi

Tidur di sebelah sisi boleh menghalang lidah daripada jatuh ke belakang dan menyekat tekak semasa tidur. Bantal boleh digunakan untuk mengelakkan anda berguling kembali ke belakang semasa tidur. Boleh cuba di rumah.

3. Hadkan Alkohol

Minum alkohol akan melegakan otot-otot pada saluran pernafasan lebih daripada biasa. Ini menyebabkan saluran pernafasan ‘collapse’ dengan lebih lagi dan memburukkan masalah berdengkur. Hadkan penggunaan alkohol (untuk penurunan berat badan).

4. Berhenti merokok

Merokok menyebabkan kesesakan nafas dan hidung yang membawa kepada masalah berdengkur yang lebih teruk . Berhenti merokok boleh membantu untuk mengurangkan berdengkur dan meningkatkan kesihatan anda secara keseluruhan.

5. Ubat-ubatan

Ubat-ubatan tertentu boleh memberi kesan kepada masalah berdengkur. Bercakap dengan doktor anda sebelum membuat apa-apa perubahan pada ubat anda kerana mereka akan memberikan ubat yang sesuai dengan anda.

6. Mengatasi masalah hidung

Jika anda mengalami masalah hidung seperti resdung, polip dan sebagainya. Dapatkan rawatan yang sewajarnya. Nasihat dan pemeriksaan doktor adalah lebih baik.

7. Kenalpasti alahan

Masalah hidung yang disebabkan oleh alahan adalah punca biasa yang dialami oleh mereka berdengkur. Ujian untuk alahan boleh membantu anda untuk mengenal pasti dan mengurangkan alergen yang berpotensi dalam persekitaran tidur anda (seperti tempat tidur, debu, bulu haiwan peliharaan, dan sebagainya) dan seterusnya mengurangkan dengkuran.

8. Pembedahan dan CPAP machine

Jika tiada kaedah standard yang disebutkan di atas berjaya mengurangkan dengkuran anda, maka rujuklah ke klinik telinga, hidung dan tekak mengenai masalah anda. Kemungkinan pembedahan atau penggunaan CPAP(Continuous Positive Airway Pressure) machine boleh dianggap sebagai jalan terakhir.

.

*Cuba dulu ya, lihat hasilnya! Tidak susah pun jika anda bagi komitmen sepenuhnya. Kalau masih tiada perubahan, boleh ambil langkah ke-8. Share jangan tidak share!

*Artikel ini telah diterbitkan dengan kebenaran penulis. Untuk post asal penulis, boleh rujuk di sini.

Penulis: Dr Ezairy M. Salih

Merupakan Doktor Telinga, Hidung dan Tekak di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Rajin berkongsi tips kesihatan di status Facebooknya. Ikuti beliau untuk dapatkan tips-tips kesihatan yang menarik.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.