Tidur yang cukup adalah sangat penting untuk setiap manusia. Ini kerana semasa kita tidur, ia bukan sahaja masa untuk tubuh badan dicaj supaya bertenaga semula malah ia merupakan masa di mana sel-sel tubuh badan yang rosak akan diperbaiki.

Itulah sebabnya kenapa masalah kekurangan tidur bukan sahaja akan menyebabkan kita kepenatan malah akan menjejaskan kesihatan.

Orang dewasa memerlukan tidur sekurang-kurangnya 8 jam sehari untuk mendapatkan kesan yang optimum kepada kesihatan. Tidur yang mencukupi akan mengelakkan daripada masalah stres, kenaikan berat badan, dan wajah yang hilang seri. Sebab tu ada istilah “beauty Sleep”.

Istimewa untuk anda yang mementingkan kesihatan dan kecantikan, hari ini kami akan kongsikan cara untuk mendapatkan tidur yang cukup agar anda kekal bertenaga dan awet muda sentiasa.

tidur yang cukup

Imej via BIdadari

1. Tinggalkan handphone di luar bilik tidur

Salah satu punca susah untuk mendapat tidur yang cukup ialah disebabkan oleh gangguan handphone. Berapa ramai di antara kita yang membawa handphone ke atas katil dan masih menggunakan handphone untuk melihat media sosial atau bersembang di chatroom sementara menunggu mata terlelap? Mungkin kita berniat untuk melihat-lihat sekejap sementara mengantuk namun akhirnya menghabiskan masa berjam-jam mengadap handphone. Sudahnya? dah lewat pagi masih belum tidur. Macam mana nak dapatkan tidur yang cukup?

Jika anda nakkan tidur yang cukup, sila tinggalkan handphone di luar bilik tidur semasa tidur. Jika anda risau kalau-kalau ada panggilan kecemasan di waktu malam, anda boleh kuatkan nada dering sehingga anda yang berada dalam bilik tidur boleh mendengar panggilan masuk. Tabiat membawa masuk handphone ke dalam bilik tidur akan mengganggu aura bilik dan menyebabkan anda tidak mendapat tidur berkualiti dan secukupnya.

"

Selain handphone, alatan elektronik lain seperti laptop dan televisyen juga adalah tidak sesuai untuk dibawa masuk ke dalam bilik tidur. Ia akan mengahasilkan tenaga gelombang elektrik yang boleh mengganggu ketenangan penghuni bilik tersebut. Oleh itu, kalau anda susah untuk tidur, elakkan daripada membawa alatan elektrik dan elektronik ke dalam bilik tidur.

2. Mandi air panas sebelum tidur

Cara untuk mendapatkan tidur secukupnya yang seterusnya ialah dengan cara mengamalkan mandi air panas sebelum tidur. Mandian dengan air panas akan menyegarkan tubuh badan dan menyediakan badan untuk memasuki fasa berehat semasa tidur. Selepas mandi air panas, tubuh badan akan menjadi relax, segar, dan segala kepenatan dan lesu sepanjang hari akan hilang. Itulah sebabnya kenapa kami sarankan anda untuk mandi air panas sebelum tidur.

Dah siap mandi air panas, pakai baju tidur yang paling selesa. Pakai bedak dan wangian kegemaran anda, pastinya mood anda akan sangat baik dan tubuh badan berasa selesa dan bersedia untuk tidur.

3. Minum susu panas atau coklat panas sebelum tidur

Dah siap mandi air panas, kami cadangkan anda minum susu panas atau coklat panas, pilih yang mana satu kegemaran anda. Amalan minum susu atau coklat panas sebelum tidur akan menyegarkan dan merelaxkan tubuh badan. Bayangkan, anda dah mandi air panas, selesa dalam pakaian tidur, kemudian minum pula air panas kegemaran, pastinya anda akan berasa sangat selesa untuk masuk tidur.

Namun elakkan daripada minum minuman yang mempunyai kafein seperti kopi atau teh kerana kandungan kafein di dalamnya akan menyebabkan anda susah untuk tidur. Nanti anda berjaga sehingga pagi, susah pula.

4. Pastikan bilik tidur berada dalam suasana yang tenang dan nyaman

Dah mandi air panas, dah minum air panas kegemaran, sekarang tiba masanya untuk anda memastikan bilik tidur anda berada dalam suasana yang nyaman dan selesa. Elakkan tidur dalam bilik tidur yang berselerak dan tidak kemas kerana ia akan menganggu mood dan emosi anda. Pastikan bilik anda berada dalam keadaan kemas dan rapi. Selain memastikan bilik berada dalam keadaan kemas, suasananya juga memainkan peranan yang penting untuk memberikan anda tidur yang cukup.

Pastikan lampu yang dipasang adalah redup dan tidak terlalu terang. Suhu yang selesa iaitu tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas juga adalah sangat penting agar anda mendapat tidur yang cukup. Nakkan tidur yang lebih lena? Kami cadangkan anda pasang lilin aromaterapi dengan bau kegemaran anda. Pastinya anda akan tidur dengan tenang dan lena sehingga pagi.

5. Selesaikan semua urusan sebelum masuk tidur

Tips kelima yang ingin kami kongsikan adalah di antara yang paling penting untuk anda amalkan agar mendapat tidur yang cukup. Sebelum anda masuk tidur, pastikan semua urusan telah diselesaikan supaya anda tidak memikirkan benda yang tidak sepatutnya semasa berehat di atas katil, lebih-lebih lagi bagi para ibu. Jika masih ada pinggang mangkuk di dapur yang belum dibasuh, pastinya anda akan susah hati untuk tidur. Malah kalau anda teringat tentang bunga kesayangan yang belum bersiram, pastinya susah untuk anda melelapkan mata. Betul tak?

Oleh itu, selesaikan semua urusan dan tanggung jawab sebelum anda masuk tidur. Utamakan apa yang perlu dilakukan dengan segera. Mana-mana tanggung jawab yang boleh ditunda sehingga pagi esok, anda boleh lakukan pada keesokan paginya. Jangan paksa diri untuk melakukan semua tugasan sekali gus.

Itulah dia info tentang cara untuk mendapatkan tidur yang cukup yang ingin kami kongsikan kepada anda. Semoga bermanfaat. Jika anda sukakan perkongsian kami pada hari ini, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang posisi tidur terbaik untuk ibu hamil, tips latih bayi tidur malam, dan doa untuk bayi tidur lena.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.