Pernah beberapa tahun lepas saya bersembang dengan seorang kenalan, ketika itu saya baru sahaja melahirkan anak sulung. Kami berkahwin pada tahun yang sama namun dia masih belum direzekikan dengan zuriat. Alhamdulillah mereka pasangan yang sangat sabar.

Ibu mertuanya berkali-kali menyuruhnya berubat, berurut, mengambil jamu dan bermacam lagi ikhtiar yang lain sedangkan beliau pada pandangan saya tidak mempunyai masalah kitaran haid atau masalah kesihatan yang lain (secara zahirnya).

kesan merokok

Merokok mampu mempengaruhi kesuburan lelaki. [acneeinstein]


 

Tapi pada masa yang sama saya lihat pula suaminya, badan yang kurus kering, bibir yang hitam legam dan berbatang-batang rokok dihisap satu demi satu sepanjang kami menziarahi mereka.

Terdetik di hati saya ketika itu, apakah mungkin masalahnya pada si suami. Cepat-cepat saya beristighfar semoga Allah s.w.t lindungi kita semua dari bersikap menghakimi.

Saya tidaklah mengatakan puncanya pasti daripada suami. Walau bagaimanapun tidak salah untuk kita berikhtiar. Tapi dalam kes seperti ini bukan sahaja isteri, bahkan suami juga perlu usaha menperbaiki taraf kesihatan diri.

Kesan Merokok Pada Kesuburan

Tahukah anda apa yang boleh berlaku pada sistem reproduksi seorang lelaki perokok tegar?

#1 Jumlah air mani dan bilangan sperma berkurang.
#2 Kelajuan dan keaktifan sperma berkurang – sperma menjadi lembab.
#3 Kecacatan sperma bertambah, termasuk insiden ‘coiled sperm’ (‘ekor’ sperma tersimpul antara satu sama lain) dan bermacam kecacatan lain.
#4 Kerosakan DNA pada sperma sehingga menghalang proses persenyawaan.
#5 Racun termasuk nikotin dalam rokok menyebabkan paras hormon pituitari menjadi tidak seimbang sehingga penghasilan hormon seks terjejas dan pembentukan sperma terganggu.
#6 Bahan kimia dalam rokok mengurangkan nutrien penting dalam air mani termasuk ascorbic acid, zinc, kuprum, superoxide dismutase dan lain-lain.

Jemput baca lain-lain kesan merokok pada sistem reproduksi lelaki/wanita di sini ScienceDirect.

Mungkin ada yang berkata, suami saya kuat merokok, tapi kami sudah ada 8 anak! Jawab saya Alhamdulillah, antara cara kalian bersyukur dan menghargai nikmat kurniaan Allah adalah dengan menjaga kesihatan dan amanah tubuh badan yang Tuhan berikan.

Siapa yang ada suami yang serius mahu berhenti merokok, boleh menghubungi saya. Saya bukanlah pakar, tapi saya boleh berikan cadangan yang mungkin boleh membantu.

Sebenarnya kunci terpenting untuk berhenti merokok adalah iman dan ketaatan kepada Allah (kerana Allah melarang hambaNya memudaratkan diri), serta kemahuan yang kuat.

Sama-sama kita doakan sahabat saya dan semua pasangan yang inginkan cahayamata dikurniakan zuriat yang diidamkan.

Penulis: Dr Hana

Dr Hana

Seorang doktor, isteri & ummi. Bekerja di klinik ibu & anak, sangat meminati dalam bidang kehamilan, penyusuan bayi & kesuburan suami isteri.. Beliau boleh dihubungi di Facebook.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.