47 Tempat Menarik Di Terengganu 2018 Yang Best (Panduan Epik)

Mencari tempat menarik di Terengganu? Artikel ini ada jawapannya.

Banyak tempat sebenarnya boleh dilawati di Terengganu. Pantai, pulau dan sinonim juga dengan penyu. Pulau Perhentian dan Pulau Redang, misalnya merupakan nama besar di Terengganu.

Begitu juga Tasik Kenyir. Berikut adalah sebahagian tempat menarik yang boleh dilawati serta tempat-tempat yang dinyatakan tadi:

1. Air Terjun Lata Tembakah

Air terjun ini terletak di kawasan Hutan Lipur Lata Tembakah yang luasnya 300 hektar. Ia mempunyai tujuh tingkat air terjun dan kolam-kolam takungan kecil. Kolam-kolam ini sesuai untuk kanak-kanak kerana ia lebih selamat.

Lata Tembakah sudah lama menjadi pilihan penduduk tempatan sama ada untuk berkelah atau berkhemah serta ‘jungle trekking’

Alamat: Lata Tembakah, 22010 Terengganu

2. Desa Craft

Desa Craft merupakan pusat kraftangan bagi mempromosikan negeri Terengganu. Di sini anda akan menemui songket, batik, sutera, ukiran kayu, dan cenderamata sesuai mengingati percutian bersama anak-anak di Terengganu.

Alamat: Desa Craft, Tingkat Bawah, Wisma Maju, Jalan Sultan Ismail, 20200 Kuala Terengganu

3. Pulau Warisan @ I-City Terengganu

Mendengar i-City, ramai yang cuba membandingkannya dengan i-City di Shah Alam. Namun, ia sebenarnya agak berbeza. Pulau Warisan Terengganu merupakan pulau buatan manusia yang terletak di belakang Kampung Cina.

Ia menjadi pelengkap Taman Tamadun Islam yang berada di Pulau Wan Man. Menariknya di Pulau Warisan antaranya adalah terusan yang dibina bagi menyusuri sungai yang bermula dari Taman Tamadun Islam.

Kemudian ada pula jambatan merentasi terusan ini persis di Putrajaya. Pulau ini tidaklah sesak dengan aktiviti sebagaimana i-City Shah Alam, tapi sesuai untuk tujuan bersantai dan merakamkan foto bersama keluarga.

Alamat: belakang Pasar Payang, 20300 Kuala Terengganu

Waktu Operasi: 530pm-10am (Selasa-Ahad)

4. Pusat Sains & Kreativiti Terengganu

Sains dan kreativti adalah bidang yang menarik dan besar sumbangannya kepada dunia. Kerana itu, penubuhan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu ini amat diperlukan. Pameran dibahagikan kepada beberapa bahagian dan maklumat Sains disampaikan dengan kreatif.

Alamat: Jalan Kampung Laut, Taman Chendering Utama, 21080 Kuala Terengganu

Waktu Operasi: 9am-5pm (Sabtu-Khamis)

5. Rantau Abang

Mungkin sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Kampung kecil ini cukup terkenal sebagai lokasi penyu bertelur diantara bulan Mei dan Ogos suatu masa dulu. Tapi, jumlahnya semakin berkurang walaupun penyu masih datang.

Pantainya yang cantik elok menjadi tempat bersiar-siar dan bersantai untuk seisi keluarga. Hendak ke sini hanya perlu menaiki bas dari Kuala Terengganu, jika tidak memandu.

6. Taman Tamadun Islam

Taman Tamadun Islam membawakan masjid-masjid terkemuka di dunia kepada anda. Replika masjid Suleymen dari Turki, Alhambra dari Sepanyol, Masjid Sultan dari Singapura serta 23 yang lain dipamerkan di ruang terbuka. Itu di Zon A.

Zon B pula terletaknya Masjid Kristal, Pusat Konvensyen, Arked Terengganu, Restoran, Rumah Tetamu, dan Warrior Park.

Terdapat juga aktiviti menaiki ‘buggy’, menunggang basikal, menaiki trem, menonton Light & Show Sound, serta TT River Cruise yang menghubungkan ke Taman Warisan.

Harga Tiket: RM21.20 (dewasa), RM15.90 (kanak-kanak)

Alamat: Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu.

Waktu Operasi: 10am-7pm (Isnin, Rabu, Khamis), 9am-7pm (Jumaat-Ahad)

7. Santuari Kelip-Kelip Yak Yah

Santuari Kelip-Kelip Yak Yah
Imej via Cari Destinasi

Banyak tempat di Malaysia yang memberikan anda pengalaman menyaksikan kelip-kelip. Ini ‘wakil’ dari Terengganu. Beribu kelip-kelip menemani pengunjung yang menelusuri Sungai Chukai. Tempat ini merupakan tempat menarik di Terengganu pada waktu malam.

Tanpa bunyi bot dan suara manusia, pandangan hanya tertumpu kepada beribu kelip-kelip yang berterbangan di pohon berembang, putat dan bebaru.

Alamat: Sungai Yak Yah, Kg. Ibok, Mukim Hulu Cukai, Kemaman

Terengganu memang terkenal dengan lokasi pelancongan mereka. Semak juga jadual-jadual pesta dan festival yang diadakan di sana pada bulan-bulan tertentu di laman web Tourism Malaysia.

8. Kenyir Elephant Conservation Village (KECV)

Ia meliputi kawasan hutan seluas 256 hektar, namun hanya 10% sahaja dibangunkan. Bakinya dikekalkan sebagai hutan untuk menjadi tempat tinggal gajah.

Gajah-gajah yang berada di sini adalah gajah tempatan yang kebanyakannya tertinggal daripada kumpulan atau sesat di dalam hutan, selain kematian keluarga akibat perbuatan pemburu haram. Ketika ini, 13 ekor gajah berada dalam jagaan KECV.

Alamat: 21700, Kuala Berang

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 6pm), Ditutup sementara pada pukul 1230pm – 230pm

Harga Tiket: RM40 (dewasa 12tahun ke atas), RM20 (kanak-kanak 7-12thn), RM5 (kanak-kanak 1 – 6thn)

9. Pusat Budaya Kraf Terengganu

Mereka yang menyukai kraftangan tempatan, pasti mahu melawat Pusat Budaya ini. Ia menyatukan semua keperluan berkaitan kraftangan Malaysia.

Di dalamnya ada banyak barangan kraftangan termasuk maklumat mengenai bagaimana menghasilkan semua barangan ini. Antara kraftangan yang dihasilkan ada dalam bentuk tekstil, logam, kayu, dan seramik.

Antara aktiviti lain di sini adalah penyelidikan dan pembangunan kraf Malaysia serta program pembangunan usahawan kraf.

Alamat: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Lot 2195, Kawasan Perindustrian Chendering, Peti Surat 69, 20700 Kuala Terengganu

10. Kelip-Kelip Sungai Yak Yah

Sungai Yak Yah adalah habitat semulajadi kelip-kelip atau kunang-kunang. Kerana itulah ia dijadikan salah satu lokasi pelancongan di Terengganu. Penduduk tempatan menawarkan khidmat membawa pengunjung bagi menyaksikan kecantikan malam di sepanjang sungai yang dihiasi cahaya kunang-kunang. Bermula jam 8 malam, anda akan dibawa menaiki bot bagi merasai pengalaman ini. Pengunjung juga diberikan kemudahan tandas, wakaf dan surau.

Alamat: Kampung Ibok, Kemaman

11. Taman Rekreasi dan Zoo Terengganu (Mini Zoo Kemaman)

Zoo ini merupakan satu-satunya zoo yang terdapat di Zon Pantai Timur. Tapi, zoo ini agak berbeza berbanding zoo yang lain.

Kawasan ini menggabungkan zoo mini dengan taman, buah-buahan, tanaman herba, bunga anggerik, bonsai, taman tema air dan habitat semulajadi dalam kawasan seluas 35 ekar.

Taman Rekreasi dan Zoo Terengganu menempatkan kira-kira 54 jenis haiwan termasuk singa, harimau, gajah dan buaya.

Alamat: Majlis Perbandaran Kemaman, 24000 Kemanan, Terengganu

Harga Tiket: RM10 (dewasa), RM7 (kanak-kanak 5 – 12), RM5 (kumpulan 20 orang)

12. Santuari Ikan Kelah (SIK)

Santuari Ikan Kelah (SIK)

Imej via noor-arfa

Ikan Kelah mengalami masalah kepupusan akibat perbuatan manudia dan kemusnahan alam sekitar. Pembukaan Santuari Kelah adalah bertujuan untuk mengawal ancaman tersebut terhadap ikan kelah.

Santuari Ikan Kelah terletak di Lubuk Kejor di Sungai Petang dalam kawasan Tasik Kenyir. Ia dibuka kepada orang ramai kecuali pada musim tengkujuh yang berlaku antara November sehingga Februari.

Inilah juga masa untuk ikan-ikan ini bertelur. Bagi menjaga persekitarannya dan juga ikan kelah di sini, hanya 100 pengunjung sahaja dibenarkan pada setiap kali kunjungan. Ikan-ikan ini amat manja dengan pengunjung.

Ia akan mengelilingi pengunjung dan anda boleh bermain-main dengannya serta memberikannya makanan.

Alamat: Lubuk Kejor, Sungai Petang, Tasik Kenyir

Waktu Operasi: Mac sehingga Oktober (9am – 12pm)

13. Pulau Redang

Ia antara pulau yang terbesar terdapat di Pantai Timur. Ia juga pulau yang terkenal di Terengganu selain Pulau Perhentian.

Pulau Redang amat dikenali kerana airnya yang biru, pasirnya yang halus dan lokasi kegemaran bagi para penyelam. Ia terbahagi kepada empat bahagian iaitu Teluk Bakau, Teluk Kalong, Pasir Panjang, dan Teluk Dalam.

Pasir Panjang menjadi lokasi tumpuan kerana terdapat banyak hotel dan chalet di sepanjang pantainya.

14. Masjid Kristal

Sebagaimana namanya, Masjid Kristal dibina dengan gabungan besi, kaca dan Kristal. Senibinanya bertambah indah ketika ia memantulkan sungai yang mengelilinginya.

Inilah yang menjadikan masjid ini unik dan amat terkenal di Terengganu dan Malaysia. Masjid Kristal terletak di Taman Warisan Islam. Ia mengambil masa selama dua tahun untuk dibina iaitu 2006 sehingga 2008.

Di sekeliling masjid ini juga ada banyak tarikan seperti replika senibina-senibina hebat di dunia.

Alamat: Pulau Wan Man, 21000 Kuala Terengganu

15. Hutan Lipur Sekayu / Air Terjun Sekayu

Hutan Lipur Sekayu adalah lokasi perkelahan yang memiliki sungai yang cantik. Airnya jernih sejuk serta dikelilingi pohon-pohon yang menyamankan.

Ia terletak di dalam kawasan hutan simpan Hulu Terengganu Tambahan. Kawasan ini sentiasa dijaga dengan baik jadi persekitarannya dikekalkan dalam keadaan bersih.

Selain itu, mereka juga menyediakan penginapan khas buat pengunjung yang mahu lebih daripada sekadar perkelahan.

Alamat: 21700 Kuala Berang

16. Air Terjun Chemerong

Air Terjun Chemerong terletak di Hutan Lipur Chemerong. Ia lokasi tumpuan untuk perkelahan dan mandi-manda yang menarik. Pengunjung juga dibenarkan untuk bermalam, berkhemah dan mendaki Gunung Berembun.

Namun, ketiga-tiga aktiviti ini mestilah mendapat kebenaran daripada Jabatan Perhutanan terlebih dahulu.

Alamat: Unit Hutan Lipur dan Rekreasi, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Tingkat 7, Wisma Negeri, 20200 Kuala Terengganu

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 5pm)

Harga Tiket: RM2 (dewasa), RM1 (kanak-kanak)

17. Kota Lama Duyong

Letakkan tempat ini dalam senarai lawatan anda jika anda menggemari lokasi bersejarah atau pun senibina. Ia dibina oleh Dato’ Biji Sura iaitu seorang pegawai kanan Pentadbiran Negeri Terengganu.

Rumah ini unik kerana ia satu-satunya rumah yang dibina dengan batu-bata di daerah ini. Ia digelar Kota Lama kerana binaannya yang dikelilingi oleh tembok batu.

Binaan ini meliputi dua aras utama yang menempatkan beberapa ruang di rumah dan ruang pameran juga.

Alamat: Pulau Duyung Kecil, 7km dari Kuala Terengganu

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (8am – 6pm), Ditutup pada hari Jumaat

Harga Tiket: PERCUMA

18. Kompleks Kraf Noor Arfa

Kompleks Kraf Noor Arfa

Imej via noor-arfa.

Nama Noor Arfa tidak asing dalam dunia fesyen batik. Kompleks yang menelan belanja sebanyak RM10 juta ini merupakan impian Noor Arfa yang mahu produknya dipasarkan dan dipamerkan di bawah satu bumbung.

Selain membeli produk batik, Noor Arfa juga menyediakan ruang demonstrasi batik di mana pengunjung dapat cuba mencanting dan mewarna batik. Kompleks ini turut membuka ruangnya untuk produk kraf lain seperti tenunan, anyaman, pembuatan blok dan kraf kaca.

Banyak produk hasil seni tempatan yang dapat dibeli oleh mereka yang berkunjung ke Kompleks Kraf Noor Arfa. Restoran Garden Chendering melengkapkan lagi kunjungan anda di sini.

Alamat: Lot 4153, Kawasan Perindustrian Chendering, 21080 Kuala Terengganu

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 6pm)

19. La Hot Spring (Kolam Air Panas)

La Hot Spring berada di kawasan yang cantik iaitu dikelilingi pepohon hijau semulajadi dengan batu-batuan sungai. Suasananya amat mendamaikan. Tambahan pula, ia dijaga dengan rapi bagi mengelakkan pencemaran.

Air panas semulajadi ini mengandungi sulfur yang dikatakan boleh menyembuhkan beberapa jenis penyakit seperti penyakit saraf, strok, tekanan darah tinggi, penyakit kulit dan lumpuh.

Airnya mempunyai suhu kepanasan 50 sehingga 75 darjah celcius. Tandas, gerai makan dan cenderamata serta chalet turut disediakan bagi kemudahan pengunjung.

Alamat: Sungai Peng, 22010 Jerteh

20. Hutan Lipur Lata Tembakah

Lata Tembakah merupakan satu lagi sungai yang sering dikunjungi pelancong. Ramai yang datang ke sini bagi tujuan perkelahan.

Perkhemahan juga dibenarkan, tetapi perlu menghubungi Unit Hutan Lipur dan Rekreasi terlebih dahulu. Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu menyediakan kemudahan chalet, tapak perkhemahan, jambatan gantung, dan lorong pejalan kaki untuk pengunjung yang ke sini.

Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat kawasan ini dengan mengunjungi pondok informasi.

Alamat: Hutan Simpan Pelagat, Jertih, Terengganu. 24km dari Bandar Jertih melalu Jalan ke Kuala Terengganu – Jertih dan 130km dari Kuala Terengganu.

No. telefon Unit Lipur dan Rekreasi Terengganu: 09-6274155

21. Pantai Air Tawar

Pantai ini sering dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara kerana pasirnya yang putih dan airnya yang biru. Kecantikannya tidak diragui kerana dari sini anda dapat melihat Pulau Perhentian iaitu antara pulau tercantik di Malaysia.

Oleh itu, ia menjadi pilihan ramai yang mahu melakukan aktiviti perkelahan dan bermandi-manda. Pengunjung juga selesa berada di sini kerana terdapat gerai-gerai jualan, taman permainan kanak-kanak, wakaf, tandas, dan kerusi bagi kemudahan pengunjung.

Selain itu, terdapat beberapa chalet dan homestay di sekitarnya bagi mereka yang mahu bermalam.

Alamat: 4km dari Kuala Besut dan 3km dari Bukit Keluang

22. Pantai Bukit Keluang

Hujung minggu adalah masa terbaik untuk berada di sini. Ini kerana keindahan pantainya menenangkan hati sesiapa sahaja yang berada di sini.

Gua, batu-batu besar, bukit yang terdapat di sini menambah lagi kecantikan pantai ini. Pantai Bukit Keluang turut dikenali sebagai Pantai Dendong. Pengunjung yang ke sini melakukan banyak aktiviti termasuk luncur air, jet ski, mandi, memancing, meneroka gua dan bermain wau.

Ada jambatan kayu sebagai laluan pengunjung yang cantik untuk dirakamkan dalam foto kenangan anda.

Alamat: Kampung Bukit Keluang, Besut, Terengganu

23. Bukit Keluang

Bukit Keluang terkenal dengan pemandangan indahnya. Selain pantainya yang cantik, pemandangan dari puncak bukitnya juga amat memukau pandangan sesiapa sahaja.

Melihat lautan biru yang terbentang luas dan kehijauan pulau-pulau sekitarnya memberi terapi kepada hati yang memerlukan rehat. Sebab itulah ramai pengunjung yang mengambil peluang merakamkan gambar mereka di sini terutama pada waktu petang.

Adakalanya sukar juga hendak bergambar kerana terpaksa menunggu ‘barisan’ yang panjang. Jika takut terlepas peluang, bermalamlah di resort atau chalet berhampiran.

Alamat: Besut, Terengganu

24. Pasar Besar Kedai Payang

Tidak lengkap kunjungan ke Terengganu jika tidak mendapatkan produk dari Terengganu. Pasar Besar Kedai Payang memang terkenal di kalangan pelancong yang mahu mendapatkannya.

Banyak hasil kraftangan ada dijual disini seperti batik, kain sutera, songket, kain broked, dan logam. Malah, sayur-sayuran turut dijual di sini.

Pasar ini bersaiz besar jadi ia mungkin boleh memakan masa sehingga berjam-jam untuk anda berjalan-jalan di dalamnya. Jangan lupa dapatkan keropok lekor asli dari Terengganu!

Alamat: 20000 Kuala Terengganu

25. Desa Murni Batik

Desa Murni merupakan pengeluar dan penjual batik yang sudah wujud sejak 1974. Ia berkembang dari menghasilkan batik secara tradisional iaitu menggunakan blok sehingga kepada batik lukis tangan yang bermula pada 1990.

Oleh kerana ada peningkatan dalam permintaan, Desa Murni mula membina kilang berteknologi yang baharu. Dengan teknologi moden, mereka menghasilkan pula batik sutera yang sebelum ini dimonopoli pengusaha dari Itali dan Jepun.

Desa Murni sudah mengeluarkan kira-kira 100,000 rekaan sehingga kini. Mereka mempunyai dua cawangan di Terengganu iaitu di Kuala Terengganu dan Kemaman. Jemput membeli-belah di sini untuk mendapatkan antara batik yang terbaik di Malaysia.

Alamat: 1929-A, Pengadang Baru, Kuala Terengganu (Caw. Kuala Terengganu), 7750 Taman Bersekutu, Jalan Kubang Kurus, Cukai, 24000 Kemaman (Caw. Kemaman)

26. Taman Awam Lagun Kuala Ibai

Taman ini amat sesuai untuk perkelahan. Ia juga menjadi lokasi mereka yang suka memancing.

Anda juga akan melihat ada pengunjung mandi-manda di sini walaupun kebanyakannya lebih suka bersenam dan bersantai di bawah pepohon rendang terutamanya pohon rhu.

Muara sungainya cantik dan lokasinya juga menarik iaitu bersebelahan dengan Masjid Tengku Tengah Zaharah. Kerana kesesuaiannya sebagai taman rekreasi, maka beberapa kemudahan disediakan untuk orang awam.

Taman permainan, pondok-pondok untuk pengunjung berehat, dan juga gerai-gerai untuk mendapatkan snek.

Alamat: 20, Jalan Batu Buruk, 20400 Kuala Terengganu

27. Kuala Terengganu Waterfront

Kuala Terengganu Waterfront berkeluasan 2 hektar ini berhadapan Sungai Terengganu dan dibina dengan konsep taman.

Pengunjung datang ke sini untuk makan di medan selera yang dibuka bermula lewat petang sehinggalah ke malam. Namun, itu bukanlah satu-satunya aktiviti yang boleh dilakukan di sini.

Taman ini merupakan taman rekreasi di mana pengunjung melakukan pelbagai aktiviti seperti berjogging dan memancing sambil melihat pemandangan indah di sekelilingnya. Kemudahan lain yang disediakan termasuk tempat meletak kereta, pentas persembahan, tandas, jeti dan taman permainan.

Alamat: Jalan Hiliran, Pulau Kambing, Kuala Terengganu

28. Keropok Lekor Bukit Tok Beng (BTB 2209)

Lekor-BTB-2209-1

Imej via noor-arfa

Keropok lekor adalah makanan yang popular di Terengganu. Malah, isi ikannya dikatakan lebih banyak daripada yang dijual di negeri-negeri lain di Malaysia. BTB 2209 adalah salah satu lokasi untuk mendapatkan keropok lekor terbaik di Terengganu.

BTB 2209 turut dikenali dengan nama Keropok Lekor Nombor kerana nombor giliran digunakan untuk mengelakkan barisan panjang.

BTB amat dikenali kerana isi ikan yang banyak, sos pencicah yang pedas dan pekat pada harga yang berpatutan. Pengunjung diberikan 2 pilihan keropok lekor iaitu bergoreng dan direbus.

Alamat: Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir, 21300 Kuala Terengganu

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 6pm)

29. Keropok Lekor Kampung Losong

Kampung Losong amat terkenal sebagai pengeluar keropok lekor di Terengganu.

Usaha penduduk Kampung Losong dalam mengusahakan makanan tradisional Terengganu ini tidak sia-sia apabila mereka mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Terengganu sebagai Pusat Perniagaan Keropok Lekor di Terengganu.

Ada lebih 20 pengusaha keropok lekor di kampung tersebut. Pilih yang mana-mana sahaja kerana rasanya memang sedap.

Alamat: Kampung Losong Haji Su, 21000 Kuala Terengganu

30. Bukit Keledang

Ramai yang tidak tahu mengenai Bukit Keledang yang sebenarnya menyimpan sejarah penting negeri Terengganu. Kerana nilai sejarahnya, Bukit Keledang telah diwartakan sebagai tapak warisan bersejarah.

Ia merupakan tapak awal sejarah Kesultanan Terengganu. Bukit ini pernah menjadi pangkalan bagi para pedagang memunggah hasil hasil dagangan mereka.

Ia juga pernah menjadi lokasi awal pemerintahan Sultan Terengganu yang pertama iaitu Sultan Zainal Abidin I. Malah, makam baginda juga terletak di bukit ini.

Alamat: Bukit Keledang, berhampiran Hotel Sri Malaysia, Kuala Terengganu

31. Istana Maziah

Istana Maziah dibina pada lewat abad ke-19. Ia menjadi tempat berlangsungnya peristiwa-peristiwa bersejarah. Istana Maziah terletak di pinggir sebuah bukit yang terkenal dengan pemandangan indahnya iaitu Bukit Puteri.

Istana Maziah dibina menghala ke Laut China Selatan. Kebanyakan kayu untuk pembinaannya diambil dari Dungin. 20 orang tukang mahir dari bangsa Melayu dan Cina terlibat dalam pembinaannya.

Istana ini masih dikekalkan bentuknya sehingga kini, termasuklah pintu gerbangnya.

Alamat: Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Panglima, 20000 Kuala Terengganu

32. Muzium Negeri Terengganu

Muzium terbesar di Asia Tenggara ini ditubuhkan pada tahun 1976. Ia dibina di atas tapak seluas 27 hektar dengan senibina melayu tempatan yang amat menariki iaitu Rumah Tele. Ia boleh dikatakan muzium tercantik yang ada di Malaysia.

Muzium Negeri Terengganu dibahagikan kepada empat buah blok iaitu Muzium Utama, Muzium Maritim, Rumah Tradisional dan kawasan landskap. Setiap muzium menyimpan galeri-galeri menarik.

Muzium Utama, contohnya, mempunyai galeri seperti Galeri Sejarah, Galeri Kraf, Galeri Diraja, Galeri Petroleum, dan Galeri Ilmu Kejadian. Muzium Maritim pula ada Galeri Perikanan dan Taman Laut serta Galeri Pelayaran dan Perdagangan.

Alamat: Bukit Losong, 20566 Kuala Terengganu

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (9am – 5pm), Jumaat (9am – 12pm, 3pm – 5pm), Cuti umum (9am – 5pm)

Harga Tiket: RM5 (dewasa), RM2 (kanak-kanak)

33. Pantai Tok Jembal

Terengganu memiliki banyak pantai yang cantik. Pantai Tok Jembal ini salah satu daripadanya. Ia sudah pun terkenal di kalangan pelancong tempatan dan asing. Ramai orang berkongsi gambar pemandangan indah di pantai ini.

Lebih-lebih ketika dengan ‘hiasan’ bot-bot nelayan yang tersadai di tepi pantai. Mereka yang datang ke sini tidak melepaskan peluang mandi di pantainya.

Mendapatkan makanan juga tidak sukar kerana ada banyak gerai menjual makanan ringan seperti keropok, aiskrim dan sate.

Alamat: Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu.

34. Pantai Pandak

Pantai Pandak memang diminati oleh mereka yang menyukai fotografi. Pantainya landau dengan bentuk batu-batan yang dikatakan membuatkan anda berasa berada di luar negara.

Pemandangannya indah sama ada pada waktu pagi, petang atau pun malam. Pantai yang cantik ini selalu menjadi pilihan untuk perkelahan bagi para pengunjung. Walaupun begitu, pengunjung dinasihatkan untuk berhati-hati jika mahu mandi di sini.

Cari tempat yang landai, tidak dalam dan tidak berbatu untuk mengelakkan kemalangan yang sudah pun meragut beberapa nyawa setakat ini.

Alamat: Chendering, Kuala Terengganu (berhampiran dengan Jabatan Perikanan Malaysia dan kira-kira 2km dari Masjid Kuala Ibai)

35. Pantai Teluk Bidara

Teluk Bidara mempunyai keadaan pantai jernih yang sesuai untuk bermandi-manda. Sebagaimana pantai-pantai yang lain di Terengganu, Teluk Bidara juga memiliki pemandangan yang indah. Ia dihiasi batu-batan dan gua.

Ia juga dikatakan antara yang tercantik di Terengganu. Ini terbukti dengan lokasinya yang berdekatan dengan resort terkemuka iaitu Tanjong Jara Beach Resort.

Ada rumah api di puncak bukit berhampiran pantai ini yang mana anda boleh menyaksikan panorama yang indah. Dari puncak ini juga anda dapat melihat Pulau Tenggol. Pulau ini mempunyai banyak kemudahan asas untuk pelanggan termasuk tandas, bilik persalinan dan gerai.

Alamat: Kampung Seberang Pintasan, Dungun

36. Pulau Tenggol

Pulau Tenggol mungkin tidak terkenal sebagaimana pulau yang lain di Terengganu walaupun ia mempunyai pantai berpasir yang jernih airnya.

Ia hanyalah pulau kecil tanpa penempatan di dalamnya kecuali dua buah resort untuk pengunjung yang bermalam di sini. Tarikan utama pulau ini adalah keindahan dasar lautnya yang menarik ramai penyelam.

Pulau Tenggol mempunyai lebih daripada 20 lokasi menyelam! Jika menyelam bukan dalam aktiviti anda, anda masih boleh melihat batu karang dan ikan-ikan yang cantik menerusi aktiviti snorkeling.

Atau, anda boleh bersiar-siar di pantainya dan menikmati pemandangan indah yang mendamaikan.

Alamat: Dungun

Waktu Operasi: Mac sehingga Oktober. Ditutup dari Februari sehingga November kerana musim tengkujuh.

Penginapan: Tenggol Coral Beach Resort dan Tenggol Island Beach Resort

37. Pantai Batu Buruk

Tidak lengkap rasanya jika Pantai Batu Buruk tidak dimasukkan dalam senarai ini. Ini kerana namanya sudah cukup popular sejak lama dahulu. Ia sering mendapat kunjungan pelancong dalam dan luar negara.

Kedudukannya yang tidak jauh dari bandar Kuala Terengganu juga adalah salah satu sebab ia mempunyai pengunjung yang ramai. Pengunjung tidak dibenarkan mandi di sini kerana keadaan lautnya yang berbahaya.

Namun, ini tidak menghentikan kedatangan pengunjung yang datang untuk beristirehat sambil menikmati pemandangan indah. Tambahan pula, banyak aktiviti lain boleh dilakukan di sini termasuk menunggang kuda.

Alamat: Kuala Terengganu

38. Gunung Tebu

Gunung Tebu adalah puncak tertinggi di Terengganu dengan ketinggian 1039 meter. Ramai pendaki yang datang ke sini untuk menjadikan ia salah satu puncak gunung yang perlu ditawan di Malaysia.

Walaupun laluannya dikatakan mudah berbanding gunung-gunung yang lain, ia tetap menjadi tarikan terutaman kerana kekayaan flora dan faunanya. Pendakian memakan masa kira-kira 5 jam.

Di penghujung pendakian, pendaki dihadiahkan dengan pemandangan indah Laut China Selatan. Dari situ juga kelihatan Pulau Perhentian.

Alamat: Besut, Terengganu

Bayaran: RM5

39. Bukit Panorama

Jika anda di Kuala Terengganu, singgahlah di Bukit Panorama untuk menjamu selera di puncaknya. Restoran Puncak Panorama yang menyediakan makanan citarasa tempatan dan antarabangsa.

Suasana malam dari puncaknya amat indah kerana anda dapat melihat cahaya-cahaya lampu dari seluruh bandar Kuala Terengganu.

Pada waktu pagi pula, ramai yang datang ke sini untuk berjogging, berbasikal atau sekadar berjalan mengambil udara nyaman.

Alamat: 20300 Kuala Terengganu

40. Kontena Uptown

Kontena Uptown merupakan satu lagi tarikan yang dikira baharu di Terengganu. Ia sebenarnya lokasi makan-makan yang menggunakan kontena sebagai ruang jualan mereka.

Makan di sini pasti menyeronokkan kerana anda makan di ruang terbuka dengan tiupan angin pantai Laut China Selatan. Kontena Uptown juga dibuka untuk banyak lagi ruang niaga selain makanan di sini. Ini termasuklah kepada mereka yang mempunyai bakat seni tertentu yang mampu menghidupkan dan menghiburkan para pengunjung.

Alamat: Pesisir lagun Kampung Pantai, Tok Jembal, Gong Badak, Kuala Terengganu

Waktu Operasi: Setiap hari (5pm – 2am)

41. Taman Negara Terengganu, Tanjung Mentong

Anda beberapa aktiviti yang boleh dilakukan di Taman Negara. Pertama, merentis hutan di mana anda boleh menyaksikan keindahan flora dan fauna. Kedua, meneroka Gua Bewah dan Gua Taat untuk sedikit kelainan.

Apa yang menarik di gua ini adalah ada artifak purba berusia 4000 tahun yang pastinya bukan perkara biasa. Jika anda suka aktiviti air, gunakan peluang berada di

Taman Negara untuk mandi di air terjun, berkayak, berkenu dan menaiki bot. Aktiviti memancing juga dibenarkan kecuali di Sungai Cacing.

Alamat: Pekan Kuala Berang. Masuk melalui dua jeti pilihan iaitu Pengkalan Gawi atau Jenagor.

Permit Masuk: RM1

Lesen Memancing: RM10

Lesen Kamera: RM5

42. Tasik Kenyir

Keindahan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara ini telah menarik ramai pelancong. Ia berkeluasan 260,000 hektar dengan 340 buah pulau di dalamnya.

Mereka yang ke sini adalah mereka yang mahu menikmati keindahan alam semulajadi di mana terdapat sungai yang kaya dengan pelbagai jenis ikan, hutan yang meriah dengan flora dan fauna, pemandangan bukit dan gunung yang memukau, gua dan air terjun yang mententeramkan jiwa selepas aktiviti tasik yang panjang.

Selain chalet dan resort, tapak perkhemahan, banyak juga rumah bot yang disediakan untuk pengalaman yang lebih menarik.

Alamat: Hulu Terengganu. Masuk dari jeti Pengkalan Gawi atau Jenagor

43. Hutan Lipur Chemerong

Hutan rekreasi dari jenis hutan dipterokarpa bukit ini amat sesuai untuk bersantai bersama-sama keluarga dan rakan-rakan. Sungainya yang jernih menarik bagi tujuan perkelahan. Air terjunnya pula tinggi dan bertingkat.

Mata tidak akan puas memandang kecantikannya. Bagi kemudahan pengunjung, pondok rehat, surau, taman permainan dewan serbaguna dan denai ke Gunung Berembun disediakan untuk mereka.

Malah, pengunjung juga dibenarkan untuk melakukan aktiviti perkhemahan dan pendakian. Tapi mestilah berhubung dengan Unit Hutan Lipur dan Rekreasi yang terletak di Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu terlebih dahulu. Hubungi mereka di 09-6274155.

Alamat: Hutan Simpan Pasir Raja. 30km dari Bandar Al-Muktafibillah Shah melalui Jalan Jabor

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 5pm)

44.Hutan Lipur Lata Belatan

Lata Belatan merupakan satu lagi lokasi yang sesuai untuk tujuan perkhemahan dan berehat sambil dikelilingi kehijauan dan ketenangan alam. Ia dari jenis hutan dipterokarpa bukit dan konifer.

Oleh kerana ia kawasan untuk beriadah, maka tandas, kemudahan elektrik dan gerai disediakan kepada pengunjung. Lata Belatan adalah pintu masuk kepada para pendaki yang hendak mendaki ke Gunung Tebu.

Jika anda berminat untuk berkhemah atau bermalam di sini serta mendaki gunung, sila hubungi Unit Hutan Lipur dan Rekreasi di 09-6274155.

Alamat: Hutan Simpan Gunung Tebu. 24km dari Bandar Jertih melalui Jalan Kuala Terengganu

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 5pm)

45. Pulau Perhentian

Pulau Perhentian adalah pulau pelancongan yang amat terkenal sama ada di kalangan pelancong tempatan atau pun asing.

Ia meliputi beberapa buah pulau dengan pemandangan indah serta isi lautan yang digemari oleh penyelam. Antara bahagian pulau yang terkenal adalah Perhentian Besar dan Perhentian Kecil.

Perhentian Besar menjadi kegemaran mereka yang menyukai aktiviti mendaki dan jungle trekking kerana adanya hutan tropika yang memenuhi pulau. Ia juga menjadi pilihan penyelam dan mereka yang tidak terlepas daripada aktiviti air yang lain seperti snorkelling, belayar, dan berkenu atau sekadar untuk berenang dan memancing.

Perhentian Kecil pula mempunyai pantai yang panjang dengan pasir putih dan air yang jernih.

46. Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu Cherating

Penyu adalah haiwan yang dilindungi. Empat daripada tujuh jenis penyu di dunia singgah di perairan Malaysia. Dibuka kepada umum pada tahun 1998, kawasan perlindungan penyu ini terletak di Pantai Chendor.

Apa yang menarik adalah anda dibenarkan untuk datang ke sini pada waktu malam. Oleh kerana penubuhannya adalah untuk mendidik orang awam mengenai penyu dan memastikan penyu-penyu terus hidup, maka orang awam akan dimaklumkan jika ada penyu yang singgah ke pantai untuk bertelur.

Mereka juga menyediakan ruang pameran yang mempunyai banyak maklumat mengenai penyu bagi tujuan yang sama.

Alamat: Cherating, bersebelahan Club Med

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (930am – 430pm), Ditutup pada hari Isnin dan cuti umum

Harga Tiket: PERCUMA

47. Bukit Puteri

Dari atas bukit ini anda akan menyaksikan keindahan bandar dan muara Sungai Terengganu. Bukit Puteri adalah lokasi bersejarah yang ada di Kuala Terengganu.

Ia dibuka oleh Tuk Raja Menteri, seorang ketua suku yang berasal dari Johor. Tujuannya adalah untuk melantik Sultan Zainal Abidin I sebagai Sultan Terengganu yang pertama ketika itu.

Antara yang menanti pengunjung ialah singgahsana, tempat simpanan bedil dan meriam, kubu, loceng besar yang dikenali sebagai Genta, rumah api, tiang bendera dan Meriam yang datang dari pelbagai negara seperti Sepanyol dan Portugis.

Alamat: Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Panglima, 20200 Kuala Terengganu

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 6pm), Harga Tiket: RM1 (dewasa), 50sen (kanak-kanak)

 

Artikel Menarik Tempat Lain

Bagaimana dengan senarai tempat menarik di Cameron Highland yang dikongsikan? Anda teruja?Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel tempat yang lain untuk dilawati.

Nabilah Ruza

Merupakan salah penyumbang di Bidadari.my. Rajin berkongsi artikel yang berinformasi di sini.

Pendapat Anda?

comments

Add Comment

error: Content is protected !!