Cuti sekolah akan tiba tak lama lagi. Tengah merancang untuk bawa anak-anak berjalan? Apa kata kami cadangkan Kuala Selangor sebagai destinasi percutian anda? Ramai yang tak tahu sebenarnya ada pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi di Kuala Selangor. Istimewa untuk anda, kali ni  kami akan kongsikan 11 tempat menarik di Kuala Selangor.

tempat menarik di kuala selangor

Sumber Gambar: Wikipedia

1. Kelip-kelip Kampung Kuantan

Anak anda pasti teruja untuk melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan. Pengalaman menyusuri Sungai Selangor sambil dikelilingi cahaya kelip-kelip pasti tidak akan dapat dilupakan sehingga akhir hayat. Aktiviti ini hanya boleh dilakukan pada waktu malam tapi jangan risau, ianya selamat. Cubalah aktiviti yang lain dari lain ini.

tempat menarik di kuala selangor

Sumber Gambar: Tripcarte

2. Taman Alam Kuala Selangor

Selain melihat kelip-kelip, anda juga boleh  menghayati keindahan alam semulajadi di Taman Alam Kuala Selangor yang merupakan sebuah paya bakau. Taman ini menyediakan laluan sepanjang 3.6 km untuk anda selusuri sambil menikmati udara segar.

Bagi peminat aktiviti memerhatikan burung, taman ini turut menyediakan menara tinjau untuk memudahkan anda melakukan aktiviti tersebut sambil melihat keindahan kawasan paya nipah yang berbentuk seperti hati ini.

Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah mengutip siput, melihat monyet, kera dan lotong serta memerhatikan burung-burung yang diancam kepupusan di dalam sangkar besi bersaiz gergasi yang terdapat di sini.

tempat menarik di kuala selangor

Sumber Gambar: Gadisgempal

3. Bukit Melawati

Pada suatu ketika dahulu, bukit ini pernah dijadikan sebagai pusat pentadbiran kerajaan dan benteng terawal Sultan Selangor daripada serangan musuh.

Selain melihat pelbagai peninggalan sejarah, dari bukit ini juga anda sekeluarga dapat menikmati pemandangan hampir keseluruhan Kuala Selangor. Nak lihat pemandangan lebih mengujakan? Datanglah ke sini pada waktu matahari terbenam.

Di sini juga terdapat banyak pokok yang berusia lebih daripada seribu tahun. Berdasarkan cerita yang pernah disampaikan, keturunan Sultan Selangor pada zaman dahulu kala ada menyembunyikan harta di bawah pohon-pohon ini.

Di antara  kemudahan yang disediakan di sini pula adalah tempat meletak kereta, ruang untuk bersantai, tandas awam dan perkhidmatan trem pada hujung minggu dan cuti umum.

tempat menarik di kuala selangor

Sumber Gambar: Flicker

4. Taman Ikan Air Tawar Kuala Selangor

Taman yang berkeluasan 5 ekar ini terletak hanya 5 minit dari Bukit Melawati dengan menaiki  trem yang disediakan. Terdapat  1500 ekor ikan daripada 60 spesies ada di sini. Di antara jenis ikan yang dapat ditemui di sini adalah ikan keli, ikan belida, ikan kelah, ikan toman, ikan lampan, ikan kelisa dan banyak lagi. Di samping melihat ikan, anda sekeluarga juga dapat mengetahui pelbagai info menarik yang lain berkaitan ikan air tawar dan sejarahnya.

Turut dipamerkan di sini adalah pelbagai peralatan menangkap ikan yang digunakan para nelayan seperti raga batang, bubu daun, bubu saadah, raga tok dan lain-lain lagi.

tempat menarik di kuala selangor

Sumber Gambar: Thriftytraveller

5. Batu Hampar

Salah satu tarikan yang ada di Bukit Melawati ialah Batu Hampar yang terletak di pintu masuk Kota Melawati. Menurut sejarah, pada suatu ketika dahulu, Sultan Selangor telah menggunakan batu ini sebagai tempat untuk menjatuhkan hukuman pancung kepada pesalah.

Namun ada yang mengatakan bahawa cerita ini tidak benar dan batu ini  hanyalah digunakan sekali untuk tujuan pancung  iaitu ketika menjatuhkan hukuman kepada seorang gadis istana yang dikatakan telah melakukan perbuatan yang tidak elok.

tempat menarik di kuala selangor

Sumber Gambar: Thestar

6. Bukit Belanda

Ia dikenali sebagai Kota Utrecht pada zaman penjajahan Belanda. Bukit Belanda diberikan nama sedemikian pada ketika itu sempena nama bahtera Belanda yang digunakan oleh Van Brac, ketua Syarikat Hindia Timur Belanda yang telah berjaya menjatuhkan Raja Hadi di Teluk Ketapang.

Bukit yang berketinggian 420 meter ini telah dijadikan sebagai kubu pertahanan yang pertama sewaktu penjajahan mereka. Di bukit ini juga terdapat sebatang pokok yang besar yang telah digunakan oleh pihak Belanda sebagai menara tinjau untuk mengesan sebarang pergerakan musuh.

tempat menarik di kuala selangor

Sumber Gambar: Kualaselangor

7. Meriam Penggawa

Meriam Penggawa merupakan sebuah meriam yang berkepanjangan 5 1/2 kaki dengan garis muncung 7 inci.  Meriam ini dikatakan cukup istimewa daripada yang lain dan diperbuat daripada besi kuning. Nama asal meriam ini adalah Petoi Boga yang bermaksud Puteri Putih.

Berbeza dengan meriam lain, meriam ini terletak di dalam sebuah tempat khas yang kelihatan seperti mimbar masjid dan dilindungi oleh kain berwarna kuning. Al-kisahnya, meriam ini telah ditemui di pinggiran Sungai Buluh pada 23 September 1966 dan kini ditempatkan di dalam kawasan persemadian 3 orang Sultan Selangor.

tempat menarik di kuala selangor

Sumber Gambar: Smarti

8. Muzium Daerah Kuala Selangor

Terletak hanya 53 km dari bandaraya Shah Alam, Muzium Daerah Kuala Selangor adalah sebuah lagi lokasi yang menarik di Kuala Selangor. Bangunan muzium ini pada asalnya merupakan kediaman rasmi Pegawai Daerah Kuala Selangor.

Muzium ini memiliki ruang pameran yang terbahagi kepada 7 seksyen yang berbeza yang menyampaikan info mengikut kronologi sejarah Kuala Selangori aitu:

Seksyen 1: Penerangan mengenai daerah-daerah serta kepelbagaian etnik yang ada di Selangor.

Seksyen 2: Asal-usul negeri Selangor dan info mengenai penduduk awal negeri ini.

Seksyen 3: Perkembangan Selangor.

Seksyen 4: Sejarah pengasasan Kesultanan Selangor dan salasilah keturunan Sultan.

Seksyen 5: Pameran koleksi peralatan pembesar istana serta info mengenai dua daerah tertua di Kuala Selangor.

Seksyen 6: Sejarah Kuala Selangor sebagai kota pertahanan.

Seksyen 7: Peninggalan sejarah yang terdapat di Bukit Melawati.

tempat menarik di kuala selangor

Sumber Gambar: Al-pakri

9. Sky Mirror

Sky Mirror yang turut digelar sebagai Salar De Uyuni Malaysia ini merupakan sebuah fenomena unik yang hanya berlaku pada waktu air surut dan ketika air tenang dari pukulan ombak, di mana pada waktu ini anda boleh berjalan di ‘atas’ air yang menghasilkan refleksi seolah-olah cermin.

Namun begitu, fenomena ini hanya berlaku 6 hari pada setiap bulan berdasarkan kalendar lunar Cina iaitu pada hari pertama, ke-2, ke-14, ke-15, ke-16 dan juga ke-30. Dan ia juga kebiasaannya berlaku hanyalah sekejap dalam sekitar pukul 10.30 ke 11.00 pagi ketika mana air laut surut. Untuk menuju ke sini, anda perlu menaiki bot dari Jeti Sasaran yang hanya mengambil masa dalam 30 minit.

tempat menarik di kuala selangor

Sumber Gambar: Wonderlustdj

10. Eagle Feeding

Anda juga boleh melakukan aktiviti  Eagle Feeding di Pasir Penambang. Di sini anda boleh membeli tiket yang dijual di jeti untuk menaiki bot menuju ke kawasan yang menjadi tempat burung helang berterbangan di tengah sungai.

Anda dapat melihat burung-burung ini menyentap makan yang terdapat di dalam sungai. Yang pastinya, pengalaman ini sukar untuk dilupakan, bila lagi nak tengok burung helang secara dekat, kan?

tempat menarik di kuala selangor

Sumber Gambar: Myfave

11. Rumah Api Kuala Selangor

Rumah Api Kuala Selangor merupakan sebuah menara yang berketinggian 83 meter yang terletak pada puncak bukit yang berketinggian 27 meter dari paras laut. Rumah Api Kuala Selangor ini telah dibina oleh pihak penjajah British pada tahun 1907 dan mula berfungsi pada tahun 1910.

Untuk pengetahuan anda, rumah api ini pada awalnya diberikan nama sebagai Rumah Api Altingsburg iaitu sempena nama gabenor Belanda yang  menguruskan hal ehwal sekitar kawasan ini. Rumah api ini pada ketika itu berfungsi untuk memberi isyarat kepada kapal yang melalui muara sungai agar mengawasi pergerakan mereka daripada kapal lain yang keluar.

tempat menarik di kuala selangor

Sumber Gambar: Jnlvacation

Itulah dia 11 tempat menarik di Kuala Selangor yang boleh anda sekeluarga lawati. Menarik kan? Apa lagi, jom kita cuti-cuti Kuala Selangor!

Artikel Tempat Menarik Lain

Anda sukakan artikel tempat menarik ini. Apa yang masih kurang dan patut kami ceritakan? Kuala Selangor sememnagnya sebuah tempat menarik yang patut berada dalam list. Jemput juga baca artikle tempat meanrik lain ya.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.