Teluk Intan asalnya dikenali sebagai Teluk Anson.  Ianya merupakan bandar ketiga terbesar dengan populasi sebanyak 120,000 orang. Kegiatan ekonomi utama di sini ialah penanaman kelapa sawit. Jom kami kongsikan 9 tempat menarik di Teluk Intan yang pasti membuatkan anda tak sabar nak ke sana.

1. Menara Condong Teluk Intan

Kalau ingin melihat menara condong, tidak perlulah pergi Pisa di Itali kerana di Teluk Intan pun ada. Apabila menara ini siap dibina pada tahun 1892, fungsi utamanya ialah sebagai tangki air untuk penduduk di sekitar Teluk Intan.

Sikit demi sedikit, menara ini menjadi condong kerana bebanan tangki dan asas tanah yang lembut. Daripada luarnya, kelihatan seperti sebuah bangunan dengan 8 tingkat  tetapi sebenarnya ada 3 tingkat di dalamnya.

Para pengunjung boleh menaiki 110 tangga untuk naik ke atas. Pada waktu malam, lampu berwarna-warni yang dinyalakan sangat cantik untuk diambil gambar.

tempat menarik di teluk intan

Sumber Gambar: Kenalitrip

2. Pusat Rekreasi River Front Teluk Intan

Pembinaan Pusat Rekreasi Riverfront Sungai Perak itu merupakan projek tambahan yang bakal diintergrasi bersama-sama dengan pembinaan Rancangan Tembatan Banjir (RTB) Teluk Intan. Pusat rekreasi ini sangat cantik dengan tangga-tangga batu sepanjang 200 meter di sepanjang tebing sungai.

Pada waktu petang, tempat ini menjadi tumpuan penduduk setempat untuk beriadah sambil mengambil angin petang. Pemandangannya cantik sekali dengan lanskap yang dijaga rapi, terutamanya semasa matahari terbenam. Terdapat juga jeti-jeti di sini kalau anda sukakan fotografi.

tempat menarik di teluk intan

Sumber Gambar: Pinterest

3. Balai Polis Teluk Intan

Ini merupakan di antara bangunan bersejarah yang ada di Teluk Intan. Asalnya bangunan ini merupakan bangunan pentadbiran pihak kastam yang akan mengurus takbir di sekitar Teluk Anson setelah mesyuarat Dewan Negeri Perak telah menukar nama Teluk Mak Intan kepada Teluk Anson dalam tahun 1882.

Kemudian, ia bertukar menjadi balai polis kerana faktor kedudukannya di tengah-tengah bandar dan amat strategik.
Kalau anda sampai ke Teluk Intan, jangan lupa untuk singgah di sini dan ambil sekeping dua gambar sebagai kenangan.

tempat menarik di teluk intan

Sumber Gambar: Kerandamayatsyahmee

4. Sungai Perak

Dah sampai Teluk Intan, anda wajib melawat Sungai Perak. Anda boleh bersantai sambil ambil angin di sepanjang tebing sungai atau pun menaiki bot penambang. Tambangnya sangat sangat murah iaitu cuma RM0.50 sahaja. Ya betul, lima puluh sen untuk satu kepala.

Dengan bayaran sebanyak lima puluh sen untuk seorang, anda akan menaiki bot dengan perjalanan lebih kurang 10 ke 15 minit. Kalau anda menyewa motor semasa berada di Teluk Intan, boleh bawa sekali semasa menaiki bot penambang. Caj untuk motor ialah RM0.60.

Anda akan dibawa ke Jeti Penambang Kg. Cina di mana anda boleh bersiar-siar melihat kehidupan nelayan di sana sebelum pulang semula ke tebing Sungai Perak.

tempat menarik di teluk intan

Sumber Gambar: Flickr

5. Memorial Peringatan Perang Batu Bertenggek

Di persimpangan di sebuah jalan utama bandar Teluk Intan, ada sebuah memorial peringatan yang dipanggil ‘Batu Bertenggek’. Ianya dibina sebagai memperingati askar-askar yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama. Kisahnya, seorang askar Inggeris menempatkan batu ini di atas kekakinya.

Pada mula saiznya kecil sahaja seperti sebuah kotak mancis tetapi membesar sehingga menjadi saiz sebuah kereta kecil yang boleh dilihat pada hari ini. Sebuah plak dengan sebaris ayat daripada puisi Laurence Binyon menghiasi kekaki batu gergasi ini mengingatkan kisah perang.

Ramai orang pergi ke sini untuk menghargai peristiwa pahit perang dan mengambil gambar-gambar cantik dengan batu unik ini.

tempat menarik di teluk intan

Sumber Gambar: Ekstasicinta

6. Pasar Besar Teluk Intan

Kalau berkunjung ke Teluk Intan, bolehlah berkunjung ke Pasar Besar Teluk Intan yang masyur dengan jualan hasil tangkapan laut dan sungai pada harga berpatutan. Ada ikan-ikan, sotong, kerang, siput dan sebagainya ditangkap segar pada hari yang sama.

Selain itu, ada dijual sayur-sayuran produk yang ditanam petani-petani tempatan. Waktu terbaik datang ke sini ialah pada waktu awal pagi buta kerana kebanyakan produk datang dari ladang atau perairan. Jadi, kalau berkesempatan berjalan ke Teluk Intan, singgahlah di sini dahulu sebelum meneruskan lagi perjalanan balik ke rumah.

tempat menarik di teluk intan

Sumber Gambar: Menarikdi

7. Jeti Stesen Telimetri di Kampung Terengganu

Sebuah lagi jeti yang cantik di Teluk Intan. Pemandangannya sangat indah, dengan bot-bot yang ada di sana. Anda pasti berasa tenang sepanjang berada di sini. Sekali lagi, untuk pencinta fotografi, pasti anda akan mendapat banyak gambar menarik di sini.

tempat menarik di teluk intan

Sumber Gambar: Agarakutidaklupa

8. Restoran Udang Galah Teluk Intan

Salah satu tangkapan terkenal dari Teluk Intan ialah udang galah. Ini kerana Sungai Perak mempunyai banyak ceruk-ceruk yang sesuai untuk pembiakannya. Restoran ini menjual juadah udang galah yang paling popular di Teluk Intan.

Bukan sahaja udang galah, malah ada ikan bakar, kerang dan pelbagai jenis sayuran tempatan dengan masakan gaya Melayu tradisional. Masakan udang galah boleh dimasak pelbagai cara seperti masakan kari, goreng, masak merah dan lain-lain.

Tempat ini sangat popular di kalangan para pelancong kerana kualiti masakan yang sedap, sehinggakan terpaksa beratur panjang untuk makan tengahari di sini.

tempat menarik di teluk intan

Sumber Gambar: Mybackpackerz

9. Restoran Mastan Ghani

Satu lagi restoran popular di Teluk Intan ialah Restoran Mastan Ghani. Restoran ini tersohor dengan resepi mi rebus dan rojaknya. Restoran yang diasaskan pada tahun 1961 ini sekarang ini diuruskan oleh cucu pengasas restoran ini. Kuah mi rebus diperbuat daripada bahan-bahan asas seperti cili, rempah ratus dan serbuk cili beserta dengan resepi rahsia memberi rasa yang unik dan diminati orang ramai.

Bermula dengan satu kedai, kini ada beberapa cawangan di sekitar Teluk Intan. Kalau minat dengan mi rebus, pastinya para pelancong harus mencuba versi dari Teluk Intan di restoran ini. Tetapi harus datang awal supaya tidak perlu beratur panjang.

tempat menarik di teluk intan

Sumber Gambar: Malaysiatrulyasia2014

Itulah dia 9 tempat menarik di Teluk Intan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Best kan? Jom cuti-cuti Teluk Intan. Jemput juga baca artikel tempat menarik di Cherating , tempat menarik di Seremban dan tempat menarik di Kuala Selangor.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.