Tanjung Malim ialah sebuah bandar di selatan negeri Perak di dalam daerah Mualim. Bandar ini juga dikenali dengan gelaran ‘Bandar Pendidikan’ kerana sejarah pembukaannya bermula dengan penubuhan Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 1922. Jom kami kongsikan 9 tempat menarik di Tanjung Malik yang wajib anda lawati.

1. Muzium Pendidikan Nasional

Di muzium ini, para pengunjung akan berkesempatan  untuk mengetahui  sejarah bidang pendidikan di negara Malaysia. Lokasinya terletak di dalam Universiti Pendidikan Sultan Idris yang sememangnya tersohor dalam bidang pendidikan Malaysia.

Di sini ada dipamerkan peralatan-peralatan lama yang digunakan dalam bidang pendidikan di Malaysia seperti pembaris lama, kalkulator ‘abacus’, patung anatomi manusia dan sebagainya. Ada juga informasi mengenai tokoh-tokoh pendidikan yang telah membawa kemodenan kepada sistem pendidikan negara.

Pameran berkala turut dianjurkan, jadi kenalah mengikuti mereka di laman sosial. Tempat ini sesuai dilawati oleh peminat-peminat sejarah.

Tempat menarik di tanjung malim

Sumber Gambar: Wikipedia

2.Taman Tasik Embayu

Taman Tasik Embayu ialah sebuah tasik buatan yang luas dengan pelbagai kemudahan rekreasi untuk penduduk tempatan di Tanjung Malim. Taman ini merupakan sebahagian daripada bandar terancang Proton City. Taman ini dikelilingi dengan rumah-rumah banglo mewah menyerlahkan kecantikannya.

Lanskap di sini dijaga dengan teliti dan rapi. Pelantar titi yang dihubungkan ke kolam amat cantik dan sesuai untuk diambil gambar. Aktiviti-aktiviti seperti bersenam, berkelah dan bermain di taman permainan ada disediakan.

Pemandangan luas persekitaran dengan latarbelakang bukit-bukau menambahkan lagi keindahan tempat ini. Penganjur tempatan ada mengadakan aktiviti-aktiviti kekeluargaan dan beriadah untuk penduduk tempatan pada hujung minggu.

Tempat menarik di tanjung malim

Sumber Gambar: Kamiadvertising

3. Taman Perkelahan Kampung Sungai Bil

Tarikan alam semulajadi Tanjung Malim yang popular ialah taman perkelahan Sungai Bil. Suasana sungai yang tenang dengan air yang jernih amat sesuai untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga atau teman-teman tercinta. Permukaan sungai berbatu-batu dan di sekelilingnya ada ditumbuhi pokok-poko menghijau amat menenangkan jiwa dan raga.

Ada pelbagai kemudahan seperti tandas, ruang rehat, kemudahan barbeku, kedai makanan dan sebagainya disediakan untuk para pengunjung. Jika ada keinginan untuk mandi di sungai di Tanjung Malim, bolehlah ke sini untuk merasainya sendiri. Kemudahan penginapan turut disediakan.

Tempat menarik di tanjung malim

Sumber Gambar: Tempatmenarik

4. Go Kart Tanjung Malim

Untuk peminat-peminat sukan lasak pula, ada juga aktiviti ‘go kart’ di Tanjung Malim ini. Tidak perlu lagi pergi ke bandar-bandar besar untuk menikmati permainan ini kerana di Tanjung Malim pun ada. Litar terbuka go kart ini sesuai untuk seisi keluarga.

Keselamatan dititikberatkan oleh pemiliknya, dengan penggunaan helmet wajib untuk setiap peserta. Manakala, penghadang tayar terpakai digunakan untuk melembutkan impak kemalangan.

Rekabentuk litar ini menarik dengan liku-liku tajam dan separuh daripadanya dibina di bawah sebuah lebuhraya utama. Ada juga gerai minuman ringan selepas puas bermain go-kart.

Tempat menarik di tanjung malim

Sumber Gambar: Gptdunisel

5. Ladang Halia ENE

Halia merupakan sejenis tumbuhan rizom yang sangat berkhasiat kepada badan. Di ladang ini, para pengunjung akan berkesempatan melihat dengan sendiri penanaman halia secara komersil di Perak. Spesis halia yang ditanam ialah spesis ‘Bentong’ yang bersaiz lebih besar dan lebih pedas rasanya.

Memang menarik melihat bagaimana ianya ditumbuh, diproses dan kemudiannya dibungkus untuk jualan di seluruh Malaysia. Selain itu, ada juga kilang pemprosesannya untuk melihat mesin-mesin gergasi memproses halia segar. Di sini, para pengunjung ada peluang untuk meminum teh halia panas segar daripada ladangnya.

Tempat menarik di tanjung malim

Sumber Gambar: Hasifhamsyari

6. Seni  Jalanan Tanjung Malim

Trend seni jalanan menjadi sesuatu yang semakin popular di bandar-bandar besar Malaysia. Seni jalanan di Pekan Lama Tanjung Malim mewarnai jalan belakang deretan kedai-kedai di sini. Dahulunya, kawasan jalan belakang kosong dan kusam kini menjadi tarikan pelancongan yang popular.

Di antara lukisan-lukisan mural yang ada di sini adalah bertemakan binatang tempatan, sains dan teknologi, semangat patriotik dan sebagainya. Kalau sudah habis mengambil gambar lukisan-lukisan seni jalanan di seluruh Malaysia, bolehlah berkunjung ke sini pula.

Tempat menarik di tanjung malim

Sumber Gambar: Eatdrinkkl

7. Mata Air Panas Ulu Slim

Kebanyakan mata air panas di Malaysia mempunyai suhu yang sesuai untuk berendam dan bermandi-manda tetapi di Ulu Slim, suhunya mencecah sehingga 100 darjah celsius. Jadi tak berapa sesuai untuk mandi.  Apa yang menarik di mata air ini, para pengunjung suka datang untuk mendidih makanan  seperti telur didih, jagung, petai dan sebagainya yang dikatakan memberi lebih khasiat kepada badan.

Pemandangan yang unik dihasilkan oleh wap-wap mata air panas dan spesis lumut hijau mata air panas menambah efek kepada gambar-gambar diambil sini. Kemudahan awam seperti pondok rehat, laluan pejalan kaki dan kawasan merebus juga disediakan.

Tempat menarik di tanjung malim

Sumber Gambar: selesahomestay

8. Kolam Ikan ‘Natural Exotic’

Sebuah kolam ikan luas untuk kegiatan pemancingan rekreasi telah dibina di Tanjung Malim yang popular di kalangan pemancing-pemancing tempatan. Antara ikan-ikan di sini ialah ikan baung, mekong, tilapia dan sebagainya. Konsep memancing di sini ialah tangkap dan lepas.

Ikan-ikan sini besar-besar semuanya dengan berat daripada 7 kilogram sehingga 40 kilogram. Malah, apa yang menarik, tempat ini dibuka selama 24 jam setiap hari. Setiap bulan, mereka turut mengadakan cabutan bertuah untuk para pengunjung.

Tempat menarik di tanjung malim

Sumber Gambar: Fishyology

9. Arung Jeram Sungai Ulu Slim

Sebuah sungai yang mengalir di Tanjung Malim iatu Sungai Ulu Slim sangat sesuai dijadikan tempat pertarungan air dengan sukan arung jeram. Sungai ini mempunyai jeram kelas 1 sehingga 3 dan berjarak 6 kilometer dari hulunya ke muara sungai.

Masa terbaik untuk pergi ialah pada peralihan monsun apabila air menjadi lebih deras. Sebelum masuk ke dalam air, taklimat keselamatan akan disampaikan kepada para peserta. Para peserta tidak perlu ada pengalaman kerana semua teknik-teknik pengendalian akan diajar. Tempahan daripada pengendali bertauliah disyorkan untuk kegiatan ini.

Tempat menarik di tanjung malim

Sumber Gambar: Says.com

Itulah dia 9 tempat menarik  di Tanjung Malim yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat untuk anda. Jom baca artikel tempat menarik di Teluk Intan , tempat menarik di Tawau dan tempat menarik di Lumut.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.