Seremban. Dengar macam takde apa yang menarik. Tahukah anda, sebenarnya ada banyak tempat menarik yang boleh anda kunjungi di sana. Jom kami kongsikan 11 tempat menarik di Seremban yang wajib anda lawati sekali seumur hidup.

tempat menarik di seremban

Sumber Gambar: Mole.my

1. Muzium Negeri

Tak tahu nak mulakan perjalanan anda ke mana kalau dah sampai ke Negeri Sembilan? Apa kata kalau ambil tahu tentang latar belakang negeri ini dulu? Baru sempurna rasanya bila dah tahu perkara penting tentang negeri yang dilawati, jadi jom ke Kompleks Muzium Negeri!

Kompleks Muzium ini memiliki reka bentuk tradisional Minangkabau yang pasti akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui kawasan ini. Kompleks ini terdiri daripada 3 bahagian berbeza dan salah satunya adalah bahagian Istana Ampang Tinggi yang telah berusia lebih daripada sedekad.

Bahagian lain yang terletak di Kompleks Muzium Negeri ini adalah Teratak Perpatih yang mempamerkan banyak artifak dan info sejarah. Bahagian yang terakhir adalah Rumah Negeri Sembilan yang memiliki informasi berkaitan senibina bangunan serta budaya masyarakat Negeri Sembilan pada masa silam. Satu lawatan yang sangat informatif untuk anda sekeluarga.

Waktu Operasi: Selasa, Rabu, Sabtu & Ahad (10.00am – 6.00pm) | Khamis (8.15am – 1.00pm) | Jumaat (10.00am – 12.15pm & 2.45pm – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Muzium Negeri, Jln Sungai Ujong, Seremban

tempat menarik di seremban

Sumber Gambar: Travelmalaysia

2. Teratak Za’ba

Sebuah bangunan dengan reka bentuk klasik yang dibina dengan menggunakan kayu Cengal. Walaupun dibina pada zaman moden dan dirasmikan pada tahun 2001, tapi memang betul-betul nampak klasik, tambahan lagi dengan hasil-hasil pertukangan Melayu yang dinampakkan pada sekitar bangunan ini.

Bercakap tentang Teratak Za’ba ni pula, kalau anda nak tahu, Za’ba juga digelar sebagai Pendeta Za’ba, seorang yang dihormati dalam bidang kesusasteraan. Begitu banyak yang telah disumbangkan oleh tokoh ini membuatkan beliau seorang yang penting untuk dikenali oleh generasi muda. Kalau anda melawat Teratak Za’ba ini, anda dapat melihat pameran Bibliografi, Peribadi dan Pakaian beliau.

Selain itu, terdapat juga Sudut Umum yang menempatkan barangan klasik yang wujud waktu kehidupan Za’ba. Jangan buang masa lagi, jom ambil tahu tentang cendekiawan negara! Penuh inspirasi yang diperlukan untuk menjadi seorang yang berilmu seperti beliau.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am -5.30pm)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Teratak Za’ba, Kg. Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol

tempat menarik di seremban

Sumber Gambar: Wahidayatulaswa

3. Pengkalan Kempas

Terletak dekat sekali dengan sempadan negeri Melaka, sebelum ke Melaka tu jangan lupa singgah ke Pengkalan Kempas. Masuk-masuk sahaja ke Pengkalan Kempas ini anda akan dapat melihat deretan rumah kedai yang dikatakan telah berusia lebih daripada 100 tahun!

Bukan itu sahaja yang menarik di sini, di pekan kecil ini juga menempatkan beberapa tarikan yang mesti disaksikan sendiri seperti makam Sheikh Ahmed Majnun (nak tahu kisah tentang sheikh ini, anda boleh google, banyak sangat versinya), sebuah batu putih yang boleh mengesan penipuan dan batu megalith hidup yang dikatakan semakin membesar dari masa ke masa. Selain itu, bagi anda yang suka memancing, jangan lupa untuk ke Jeti Pengkalan Kempas, dapat udang galah beberapa ekor boleh kenyang perut!

Alamat: Pengkalan Kempas, 71150 Linggi, Negeri Sembilan

tempat menarik di seremban

Sumber Gambar: Unclezuan

4. Pantai Teluk Kemang

Pantai Teluk Kemang merupakan pantai yang paling terkenal di Port Dickson, ia juga merupakan pantai yang terbesar di sini. Banyak aktiviti air yang menarik yang boleh dibuat di sini seperti jetski, banana ride, parasail dan buggy. Pantai ini juga lengkap dengan kemudahan-kemudahan seperti laluan pejalan kaki, tandas, gazebo, kedai cenderamata dan gerai-gerai makanan.

Alamat: Jalan Pantai Teluk Kemang, Taman Orkid, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan

tempat menarik di seremban

Sumber Gambar: Portdickson

5. Pusat Penetasan Penyu

Sekiranya anda ingin membawa keluarga anda merasai pengalaman indah melihat penyu menetas, bawalah mereka ke Pusat Penetasan Penyu Glory Beach Resort Port Dickson. Jenis penyu yang terdapat di sini adalah penyu karah. Bila dapat tengok puas-puas proses penetasan ni?

Kebiasaannya penyu jenis ini akan menetas dengan banyak dari bulan April ke September, telur yang dihasilkan kebiasaannya dalam 130 biji. Pada sekitar pukul 11 malam setiap hari Sabtu dan Ahad anda akan dapat melihat kecomelan anak-anak penyu yang dilepaskan ke dalam laut untuk mula hidup berdikari. Walau bagaimanapun, waktu anak-anak penyu ini dilepaskan sebenarnya bergantung kepada pihak resort juga, apa-apapun, dapatkan info daripada pihak resort terlebih dahulu.

Alamat: Glory Beach Resort, Batu 2, Jalan Seremban Tanjung Gemok 71000 Port Dickson

tempat menarik di seremban

Sumber Gambar: Nasabibnuhazim

6. PD Ostrich Farm

Jom naik burung unta di PD Ostrich Farm! Itupun kalau anda bawah 40kglah. Nampaknya, anak-anak jelah yang boleh naik burung unta ni. Tak apa, jangan sedih, banyak lagi aktiviti lain yang sesuai untuk anda, contohnya menunggang kuda, ataupun naik ATV, hebat juga kan?

Bagi anak-anak kecil yang comel, mereka bukan sahaja boleh mendekati dan memberi makan kepada burung-burung unta yang terdapat di sini, sebab ada banyak lagi binatang lain sebenarnya, seperti arnab, keldai dan kambing. Dah puas berseronok, jangan lupa beli barangan yang dibuat daripada burung unta di kedai cenderahati yang terdapat di sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.30am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM20 | Kanak-kanak Atas 3 Tahun RM15

Alamat: Lot 1419 Jalan Kemang 13 | Batu 9, Jalan Pantai, Port Dickson 73000

tempat menarik di seremban

Sumber Gambar: Portdickson

7.   Kelip-kelip Sungai Timun

Anak-anak anda pasti seronok dapat melihat cahaya-cahaya kecil berterbangan di udara ibarat di dalam dunia magika tapi sebenarnya datang daripada kunang-kunang yang terbang bebas di Sungai Timun. Sungai Timun Fireflies ini dikatakan antara kawasan melihat kunang-kunang yang terbesar di Malaysia.

Bukan itu sahaja yang menjadi tarikan Sungai Timun ni, sebab di sini juga anda boleh memancing udang galah. Kalau malas nak memancing, singgah je kedai-kedai makanan laut yang banyak di sekitar Sungai Timun, banyak makanan laut yang sedap dihidangkan sebagai contoh ikan bakar, lobster dan kupang. Bila waktu dah gelap dan perut dah kenyang barulah anda mula mencari kunang-kunang ni!

Alamat: Sungai Timun Fire Flies, Rembau

tempat menarik di seremban

Sumber Gambar: Blogmalaysia

8. Taman Tema Air Primaland

Taman Tema Air PRIMALAND ini terletak di dalam PRIMALAND Port Dickson Resort & Convention Centre. Taman Tema ini tidaklah segempak di Sunway Lagoon tapi tetap menyeronokkan untuk menghabiskan masa cuti bersama keluarga. Lengkap dengan gelongsor dan tiub spiral, ini pun sebenarnya sudah cukup menggandakan keseronokan anda yang bermandi-manda di sini, turun naik gelongsor terus ke dalam kolam, mana tak bestnya kan? Lagi best kalau tunggu bawah tong air yang besar di sini, sekali air disimbah, memang nikmatlah!

Waktu Operasi: Sesi Pagi (8.00am – 12.00pm) | Sesi Petang (12.30pm – 7.00pm)

Bayaran Masu (Hujung Minggu): Dewasa 1 Sesi: RM30, 2 Sesi: RM50 | Kanak-kanak (3 – 12 Tahun) 1 Sesi: RM20, 2 Sesi: RM30 | Kanak-kanak (2 Tahun Dan Ke Bawah) 1 Sesi: RM10, 2 Sesi: RM15

Alamat: Taman Tema Air PRIMALAND, Batu 12, Port Dickson

tempat menarik di seremban

Sumber Gambar: Asiahomestay

9. Rembau Crystal

Bukan di Nilai 3 sahaja yang ada barangan hiasan rumah, Rembau Crystal yang terletak di Perkampungan Kristal ini menawarkan pelbagai kraftangan yang diperbuat daripada kristal oleh rakyat Malaysia sendiri. Anda nakkan apa? Lampu meja? Kelengkapan dapur? Semuanya ada. Memang sukar nak buat pilihan kalau dah dikelilingi dengan kilauan kristal ni. Bukan setakat tempat membeli-belah, di sini juga anda dan keluarga boleh melihat sendiri bagaimana barangan kristal ini dibuat.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 5.30pm) | Sabtu (9.00am – 5.00pm)

Alamat: Lot 1432, Perkampungan Crystal, Jalan Kampung Mulia, 71300 Rembau, Negeri Sembilan

tempat menarik di seremban

Sumber Gambar: Tempatmenarik

10. Pusat Rekreasi Ulu Bendul

Pusat Rekreasi Ulu Bendul yang terletak di kaki Gunung Angsi ini dapat memberikan anda sekeluarga ketenangan yang tidak akan dapat dilupakan, dengan pepohon rendang yang tumbuh di sekitar pusat rekreasi ini, anda boleh berkelah sambil mendengar bunyi air sungai yang mengalir jernih.

Di samping keindahan yang menenangkan jiwa, anda juga boleh bermandi-manda di kolam besar yang turut dialirkan oleh air sungai, cukup menyegarkan. Sudah puas bersantai di sini, anda boleh mendaki sedikit ke atas bukit dan di sini anda akan menemui Snake Garden yang menempatkan beberapa ekor ular dan unggas. Yang paling best sekali, di sinilah anda dapat lihat di depan mata sendiri seekor ANACONDA! Agak besar juga. Jangan risau, semuanya diletakkan di dalam tempat yang selamat untuk anda lihat bersama keluarga.

Alamat: Pusat Rekreasi Ulu Bendul, Tanjong Ipoh, Kuala Pilah

tempat menarik di seremban

Sumber Gambar: Pureesign

11. Rantau Eco Park

Rantau Eco Park merupakan taman yang menawarkan pemandangan alam semula jadi yang indah untuk anda dan keluarga menjalankan aktiviti rekreasi. Antara tarikan utama yang terdapat di sini adalah kolam air yang agak luas dan seronok untuk bermandi-manda yang tersedia untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, di sini juga terdapat zoo mini yang menempatkan pelbagai jenis binatang seperti rusa, ayam, kuda dan banyak lagi. Anda boleh membeli makanan untuk diberikan kepada haiwan-haiwan di sini. Dah puas melihat haiwan-haiwan comel ni, aktiviti lasak turut disediakan untuk anda lakukan seperti berkayak. Semuanya ada di dalam satu taman.

Alamat: Rantau Eco Park, Kampung Kuala Sawah Pasir, 70300 Rantau, Negeri Sembilan

tempat menarik di seremban

Sumber Gambar: Viruspadu

Itulah dia 11 tempat menarik di Seremban yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda.

 

Tempat Menarik Lain

Anda suka senarai di atas? Jika ada cadangan bolehlah komen di bawah. Jemput juga baca artikel kami tentang tempat menarik yang lain.

Sumber: Maisinggah

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.