Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia. Ia membentuk 37.5 % daripada keseluruhan kawasan Malaysia. Sarawak terdiri daripada 12 bahagian, salah satunya adalah bahagian Kuching sebagai ibu negeri Sarawak. Bahagian Kuching pula terdiri daripada 3 daerah iaitu Kuching, Bau dan Lundu.

Oleh kerana negeri Sarawak ini terlalu luas, anda sememangnya tidak akan dapat melawat keseluruhan bahagian dalam 1 trip percutian sahaja. Ini kerana, di Kuching sahaja terdapat banyak tempat menarik yang anda boleh lawati.

 

20 tempat menarik yang anda boleh lawati di Kuching

#1 Kuching Waterfront

Imej via sarawaktourism

Percutian anda ke Kuching tidak lengkap sekiranya anda tidak melawat Kuching Waterfront. Kuching merupakan tempat mula-mula Raja James Brooke mendarat di Sarawak. Dermaga ini didirikan sepanjang 1km di pinggir Sungai Sarawak. Segala-galanya yang anda perlukan dan anda mahu ditemui terdapat di sini.

Perkara pertama yang anda dapat lihat di sepanjang pantai adalah patung-patung kucing. Sepanjang pantai, terdapat beberapa fakta menarik yang berkaitan dengan bandar Kuching. Terdapat juga beberapa tarikan di sekitar termasuk monumen untuk menghormati Charles Brooke dan kuil Cina tertua di Kuching, Kuil Tua Pek Kong.

Anda boleh dapatkan cenderahati dan buah tangan di kedai-kedai berdekatan Kuching Waterfront. Pada malam hari pula, terdapat pasar malam yang menjual pelbagai jenis barangan dan makanan di sini.

Lokasi: Jalan Main Bazaar, 93000 Kuching, Sarawak

Waktu Operasi: Sepanjang waktu

Bayaran: Percuma

 

#2 Sarawak River Cruise

Imej via intercont

Selain menggunakan kereta, anda juga boleh menaiki bot untuk melihat tempat-tempat menarik di Kuching. Sarawak River Cruise akan membawa anda menyusuri sepanjang Sungai Sarawak sambil menikmati pemandangan menarik di sekitarnya.

Sarawak River Cruise menawarkan pakej perjalanan menyusuri sungai selama 2 jam, pada harga antara RM60 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak. Jamuan minum petang disediakan sepanjang tempoh 2 jam tersebut. Pengunjung juga akan dipersembahkan dengan tarian Suku kaum Etnik Sarawak.

Antara pemandangan yang boleh dilihat dari atas bot adalah Brooke’s Dockyard, bekas masjid negeri, Astana (tempat gabenor Sarawak bertugas), Fort (Kubu) Margherita, Waterfront, gunung Santubong, Kampung Boyan dan lain lain termasuk kediaman salah seorang ahli keluarga terdekat Ketua Menteri, YAB Pehin Sri Haji Taib Mahmud yang tersergam indah seperti istana selain menikmati pemandangan di pinggir sungai serta dalam masa yang sama boleh juga merasai pengalaman melihat matahari tenggelam jauh di horizon.

Lokasi: 1st Floor, Lot 42, Section 33, 124, Jalan Tabuan, 93100 Kuching, Sarawak

Waktu Operasi: Setiap hari (5.30 petang – 7.00 malam)

Bayaran: RM60 Dewasa, RM30 Kanak-kanak

 

#3 Muzium Sarawak

Imej via museum.sarawak

Muzium Sarawak telah diiktiraf sebagai muzium terbaik di dunia. Ia telah dibuka pada tahun 1891 dan merupakan muzium tertua di Borneo.

Anda dapat mengenali keunikan Sarawak melalui muzium ini. Anda akan dapat pelajari budaya etnik Sarawak, tatu mereka dan banyak lagi. Di muzium ini juga mempamerkan artifak, seni kraftangan asli etnik Sarawak, serta bahan sejarah di Pualu Borneo.

Bagi anda yang meminati sejarah, Muzium Sarawak pasti menjadi tempat wajib untuk kunjungi.

Lokasi: Jalan Tun Abang Haji Openg, Taman Budaya, 93400 Kuching, Sarawak

Waktu Operasi: Isnin-Jumaat (9.00 pagi – 4.00 petang)

Sabtu-Ahad (10.00 pagi – 4.00 petang)

Bayaran: Percuma

 

 

#4 Fort Margherita

Imej via museum.sarawak

Kubu Margherita terletak di atas tebing Sungai Sarawak mengadap Pekan Kuching berhampiran kediaman Brooks. Kubu ini dinamakan ‘Fort Margherita’ bersempena nama isteri Charles Brook, Rajah kedua Sarawak iaitu Ranee Margaret.

Kubu ini berbentuk bangunan segi empat dibina dari batu-bata berplaster. Rekabentuk bangunan ini adalah berdasarkan kubu dan istana Inggeris Renaissance. Pembinaan bangunan ini bermula pada tahun 1879.

Semenjak itu, bangunan ini digunakan sebagai penempatan pasukan tentera pertahanan kota, gedung senjata, penjara, menara kawalan dan pusat mengawal di bawah pemerintahan Rajah Kedua. Pada tahun 1971, bangunan ini dijadikan sebagai Muzium Polis dan kini dipulihara sebagai kubu.

Lokasi: Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak

Waktu Operasi: Isnin-Jumaat (9.00 pagi – 4.00 petang)

Sabtu-Ahad (10.00 pagi – 4.00 petang)

Bayaran: Percuma

 

#5 Muzium Islam Sarawak

Imej via bestwaykuchingtour

Bangunan muzium ini dahulunya merupakan James Brooke Malay College dan kemudian diambil-alih dan diubah-suai bersesuaian menjadi sebuah muzium.

Pada tahun 1930 bangunan ini dikenali sebagai Madrasah Melayu Sarawak. Ianya digunakan khas untuk melatih para guru dalam pendidikan Melayu peringkat tinggi. Tujuannya adalah untuk menggalakkan lebih ramai orang Melayu untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam membangunkan masyarakat Melayu itu sendiri (Sarawak Gazette, 2 Mac, 1931).

Muzium ini terbahagi kepada tujuh buah galeri. Setiap galeri mempamerkan bahan yang berkaitan dengan sesuatu disiplin seperti seni reka bentuk, persenjataan, seni hiasan dan sejarah Islam di Sarawak.

Lokasi: Jalan P.Ramlee 93400 Kuching, Sarawak

Waktu Operasi: Isnin-Jumaat (9.00 pagi – 4.00 petang)

Sabtu-Ahad (10.00 pagi – 4.00 petang)

Bayaran: Percuma

 

#6 Pasar Serikin

Imej via gpstravel

Pasar Serikin terletak kira-kira 60 km dari bandar Kuching. Ia bersempadan dengan Indonesia, jadi tidak hairanlah jika peniaganya ada yang warga Indonesia.

Di sini anda boleh tawar-menawar untuk mendapatkan harga lebih rendah untuk sesuatu barang. Pelbagai jenis barangan baru dan terpakai dijual. Selain itu, terdapat barangan basah seperti sayur, ikan dan lain-lain yang menjadi keperluan harian penduduk tempatan.

Lokasi: Serikin, 94000 Bau, Sarawak

Waktu Operasi: 6.00 pagi – 12.00 tgh hari (Sabtu & Ahad)

 

#7 Masjid Bandaraya Kuching

Imej via bestwaykuchingtour

Masjid Bandaraya Kuching adalah masjid pertama dan paling tua di Negeri Sarawak dan menjadi lambang Islam di negeri ini. Masjid ini dibina pada tahun 1847 oleh seorang Ketua Orang Melayu Sarawak yang termasyur dan ternama, iaitu Datu Patinggi Ali dan keluarganya.

Masjid ini telah melalui pelbagai fasa pembaharuan sejak 1847 hingga 1967. Dalam bulan Februari, 1966, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, mencadangkan supaya masjid lama itu diroboh dan digantikan dengan sebuah masjid yang baru. Cadangan ini telah diterima dan usaha-usaha pun diteruskan untuk memungut lebih besar lagi derma, kerana kos membina sebuah masjid baru dijangkakan menelan belanja kira-kira RM1 juta.

Lokasi: 332, Jalan Datuk Ajibah Abol, Kampung No3, 93400 Kuching, Sarawak

 

#8 Medan Niaga Satok

Imej via utusan

Medan Niaga Satok terletak di tebing Sungai Sarawak, kira-kira 6km dari Bandar Kuching. Medan Niaga ini merupakan pasar tani terbesar dalam negara yang diuruskan oleh FAMA, dengan kapasiti 1,444 ruang niaga tetap, dan keutamaan diberikan kepada peniaga sedia ada di Pasar Tamu Satok, termasuk 600 ruang untuk peniaga hasil hutan yang sebelum ini berniaga di Pasar Minggu Satok.

Lokasi: Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak

Waktu Operasi: 7.00 pagi – 10.00 pagi (Sabtu)

7.00 pagi – 12.00 tgh hari (Ahad)

 

#9 Kampung Melayu

Imej via ttnotes

Terdapat banyak kampung Melayu asli (kampung tradisional Melayu) di sepanjang tebing utara Sungai Sarawak, bersebelahan dengan Fort Margherita. Antara tiga buah kampung utama iaitu Kampung Boyan, Kampung Gersik dan Kampung Sourabaya. Anda boleh menaiki teksi melalui jalan darat atau menaiki bot penambang untuk ke sana.

Kek Lapis sememangnya sinonim dengan Sarawak. Tidak lengkap sekiranya anda tidak menikmati Kek Lapis Sarawak sekiranya datang ke sini. Lokasi popular di Kuching untuk kek lapis ialah di perkampungan Melayu ini. Terdapat beberapa kedai menjual kek lapis, tetapi yang paling popular di kalangan pelancong ialah Kek Lapis Dayang Salhah, Mira Cake House dan Kek Lapis Zaharah. Kesemuanya dikatakan sedap belaka.

Anda boleh mencuba dulu sebelum beli. Terdapat lebih daripada 30 jenis kek lapis. Selain daripada kek lapis, terubuk ikan masin juga adalah makanan wajib yang dibeli oleh pelancong dari Semenanjung untuk dibawa pulang.

Lokasi: Kampung Boyan, 93050 Kuching

 

#10 Kampung Budaya Sarawak

Imej via ilovesarawakonline

Kampung Budaya Sarawak terletak di Pantai Damai, Santubong iaitu 32km dari bandar Kuching. Perkampungan ini merupakan tempat terbaik untuk mengenali budaya dan cara hidup masyarakat setempat.

Kampung Budaya ini juga digelari ‘Muzium Hidup’ yang dibangunkan untuk memelihara dan mempamerkan warisan kebudayaan dan kesenian Negeri Sarawak.

Lokasi: Jalan Pantai Damai, Santubong

Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang

Bayaran: RM50 Dewasa, RM25 Kanak-kanak

 

#11 Kampung Annah Rais

Imej via longhouseadventure

Kampung Annah Rais merupakan perkampungan rumah panjang masyarakat Bidayuh. Kampung ini terletak kira-kira 60 km dari bandar Kuching. Pelancong boleh melihat keunikan cara hidup, menghayati kreativiti dalam kesenian kraftangan dan budaya masyarakat Bidayuh.

Terdapat rumah inap desa disediakan bagi mereka yang ingin bermalam. Di sini juga terdapat kolam mandian panas semulajadi bersebelahan air sungai yang sejuk.

Lokasi: Kampung Annah Rais, Padawan

Waktu Operasi: Setiap masa

 

#12 Pusat Hidupan Liar Semenggoh

Imej via yangsayanampak

Pusat perlindungan ini untuk haiwan liar terutamanya orang utan yang terancam kepupusan. Ia terletak kira-kira 24 km dari bandar Kuching.

Pada waktu pagi dan petang, mereka akan diberi makan. Waktu itulah sesuai untuk anda lawati kerana anda juga boleh melihat bagaimana cara mereka diberi makan.

Lokasi: Jalan Puncak Borneo

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 4.45 petang (Isnin – Jumaat)

Bayaran: RM10 Dewasa

 

#13 Kuil Tua Pek Kong

Imej via bestwaykuchingtour

Kuil ini terletak berdekatan Kuching Waterfront. Ia memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Cina di sini.

Nama sebenar kuil ini adalah Siew San Teng Tua Pek Kong, dan dikatakan bahawa ini adalah kuil Cina tertua di Kuching. Kuil ini dipercayai dibina oleh pendatang Cina dari Kalimantan, Indonesia. Pelbagai sumber berbeza dalam menyatakan tarikh sebenar kuil ini dibina. Walau bagaimanapun, semua bersetuju bahawa kuil itu dibina sebelum abad ke-19.

Lokasi: Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuching

 

#14 Astana Kuching Sarawak

Imej via dbku

Astana merupakan sebuah istana yang terletak di utara tebing Sungai Sarawak, berhadapan dengan Kuching Waterfront. Kini, ia merupakan kediaman rasmi bagi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, yang mewakili Sarawak dalam Majlis Raja-raja.

Istana ini telah dibina pada tahun 1870 oleh Raja Putih Sarawak ke-2, Charles Brooke sebagai hadiah buat perkahwinannya dengan isteri baginda Margaret Alice Lili de Windt. Istana ini pada kebiasaannya dibuka untuk lawatan umum kepada pelancong. Dari tepi Kuching Waterfront, pengunjung dapat melihat dengan jelas taman dan Astana Kuching Sarawak dari bot yang dinaiki melintasi Sungai Sarawak.

Lokasi: Jalan Astana Lot, Kampung Istana

Bayaran:  RM2.00

 

#15 Muzium Tekstil

Imej via bestwaykuchingtour

Muzium Tekstil ini diwujudkan di banguna Pavilion. Senibina bangunan adalah campuran Renaissance Inggeris dan Penjajah British.

Ia telah dibina dalam tahun 1907 sebagai Pusat Perubatan dan kemudiannya dijadikan sebagai pejabat Jabatan Pendidikan. Muzium Tekstil ini menyimpan dan mempamerkan tekstil dan busana asli tempatan yang ditenun dan dipakai oleh etnik masyarakat Sarawak. Antaranya ialah Pua Kumbu masyarakat Iban dan Kain Songket Melayu Sarawak.

Lokasi: Jalan Tun Abang Haji Openg

Waktu Operasi: Isnin-Jumaat (9.00 pagi – 4.00 petang)

Sabtu-Ahad (10.00 pagi – 4.00 petang)

Bayaran: Percuma

 

#16 Taman Negara Gunung Gading

Imej via bombasticborneo

Taman Negara Gunung Gading adalah kawasan hutan hujan bergunung-ganang yang terletak dua jam dari Kuching. Terletak berdekatan Lundu, bandar kecil di barat daya Sarawak.

Pada mulanya, taman ini merupakan kawasan pemuliharaan tertutup bagi Rafflesia yang menakjubkan, bunga terbesar di dunia yang boleh membesar sehingga satu meter diameter. Walau bagaimanapun, selepas pelbagai kajian kesan alam sekitar, Jabatan Taman Negara memutuskan bahawa Gunung Gading adalah satu khazanah yang patut dikongsi dengan orang ramai.

Ia telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 1994. Walau bagaimanapun, Taman Negara Gunung Gading masih lagi dipantau dengan teliti oleh Jabatan Taman Negara untuk memastikan semua pelawat mendapat peluang untuk melihat bunga Rafflesia tanpa menyebabkan sebarang kerosakan kepada pucuk muda dan flora lain di kawasan berdekatan.

Lokasi: Lundu

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 5 petang setiap hari

Bayaran: RM10 Dewasa, RM5 Kanak-kanak

 

#17 Taman Negara Kubah

Imej via bestwaykuchingtour

Taman Negara Kubah berkeluasan 5500 ekar persegi. Ia terdiri daripada hutan hujan Borneo yang meliputi Banjaran Matang di mana Gunung Serapi merupakan puncaknya yang tertinggi.

Nama Kubah adalah bersempena kepada Gunung Serapi yang berbentuk seperti kubah. Ketika cuaca terang, Gunung Serapi ini dapat dilihat dengan jelas dari Kuching Waterfront. Taman Negara Kubah hanya terletak 30km dari Kuching.

Lokasi: Matang, Kuching

Waktu Operasi: 8.00 pagi – 5 petang setiap hari

Bayaran: RM10

 

#18 Gua Fary

Imej via jomjalan

Terletak berdekatan pekan Bau ialah sebuah gua yang dipanggil Gua Pari-Pari atau Fairy Caves.

Di dalam gua ini, anda akan dapat melihat tumbuhan-tumbuhan hijau yang hidup di dalam gua di samping melihat keindahan dan sejuknya suasana gua. Ia adalah sesuatu yang sukar dibayangkan oleh mereka yang belum pernah masuk ke dalam kawasan sebegini.

Namun begitu, oleh kerana ianya gelap dan licin, anda dinasihati agar datang dengan pemandu untuk mengelak sebarang masalah.

Lokasi: Bau, Kuching

 

#19 Bangunan Steamship Sarawak

Imej via wikimedia

Bangunan Steamship adalah bangunan warisan yang terletak di Kuching Waterfront. Bangunan ini asalnya adalah milik syarikat steamship yang ditubuhkan pada tahun 1875. Iaitu pengenalan kepada kapal pengangkut untuk menggantikan kapal layar bagi membolehkan penghantaran dilakukan sepanjang tahun tanpa bergantung pada angin monsun.

Bangunan ini dibina tahun 1930-an, semasa pemerintahan Charles Vyner Brooke, Raja Putih ketiga dan terakhir di Sarawak. Ia digunakan sebagai syarikat atau gudang, serta pejabat.

Hari ini bangunan Sarawak Steamship Co. telah menjalani pemulihan, dan ia menempatkan kedai makanan & minuman serta kedai serbaneka.

Lokasi: No. 52, P.O. Box 131, Jalan Main Bazaar, Kuching

 

#20 Square Tower

Imej via tripadvisor

Bangunan ini berbentuk segi empat dan dibina pada tahun 1879. Pada mulanya bangunan ini dijadikan sebagai kem tahanan untuk banduan. The Square Tower kemudiannya ditukar menjadi kubu pertahanan. Malah, ia juga pernah juga digunakan sebagai dewan tarian oleh pemerintahan Brooke.

Lokasi: Jalan Main Bazaar, 93000 Kuching, Sarawak

 

Artikel Menarik Tempat Lain

Bagaimana dengan senarai tempat menarik di Kuching yang dikongsikan? Anda teruja?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel tempat lain untuk di lawati.

 

Penulis: Aniuna

Avatar

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.