Krabi adalah sebuah wilayah yang terletak di pinggir pantai Laut Andaman, selatan Thailand. Bagi anda yang ingin bercuti ke luar negara dengan bajet yang murah, Krabi salah satu destinasi pilihan ideal untuk anda bercuti. Anda boleh ke sini menggunakan pengangkutan darat. Anda boleh memandu kereta sendiri, atau menaiki bas hamupun kereta api untuk ke Krabi. Krabi terkenal dengan makanan yang lazat dan pulau yang cantik. Pasti pengalaman percutian anda di sini menjadi begitu indah, seindah panorama alam semulajadi bakal anda nikmati di Krabi nanti.

 

1) Klong Thom Hot Springs

Imej via diamondbeachnammao

Thailand memang terkenal dengan urutan dan kehebatan perkhidmatan spa. Tapi, sekiranya anda tidak berniat untuk pergi ke spa, anda juga boleh mendapatkan sauna semulajdi di Klong Thom Hot Spring.  Anda boleh berendam di kolam air panas ini, sambil memejamkan mata dan menenangkan minda serta fizikal.

Namun begitu, kawasan kolam ini agak meriah dikunjungi pelancong, oleh itu, anda disarankan untuk datang ke sini sekitar pukul 7.00pagi ke 8.00pagi dan 4.00petang ke 5.00petang untuk menikmati mandian dengan lebih tenang.

Kolam air panas ini juga berdekatan dengan Kolam Zamrud, jadi anda boleh singgah ke dua-dua kawasan ini dalam satu perjalanan.

 

Bayaran: Dewasa 160 Baht | Kanak-kanak (4-12 Tahun) 100 Baht

Lokasi: Ban Bang Khram, Khlong Thom

 

2) Pantai Railay

Imej via krabi-hotels

Pantai Railay antara pantai tercantik di Thailand. Pasirnya putih, pemandangan yang cantik dengan tebung batu kapur yang gah di tepi pantai. Pantai ini hanya boleh dikunjungi dengan menaiki bot. Ini kerana, pantai ini dikelilingi dengan tibing-tebing luas yang memisahkan ia dengan tanah besar.

Di samping pemandangan indah untuk anda sekeluarga menjamu mata, bersantai menenangkan fikiran, Railey Beach juga terkenal dengan aktiviti memanjat bukit kerana tebing bukit kapur yang terdapat di sini.

 

Lokasi: 194/5 Moo 5 | Tambol Saithai, Railay Beach, Krabi Town 81000

 

3) Susan Hoi

Imej via thailand-islands

Susan Hoi dalam Bahasa Inggeris bermaksud shell cemetery. Ia merupakan tapak fosil iaitu fosil-fosil yang terhasil apabila batu kapur yang datang daripada air pantai menyelaputi kerang, siput dan banyak lagi haiwan marin lain.

Untuk makluman anda, hanya 3 sahaja lokasi sebegini di dunia, iaitu di Jepun, Amerika Syarikat dan Susan Hoi di Thailand.

Fosil ini dipercayai berusia 25-40 juta tahun. Ia pastinya satu khazanah purba yang patut anda lihat dengan mata sendiri jika anda ke Krabi.

 

Lokasi:  Susan Hoi, Ban Laem Pho, Krabi

 

4) Koh Panyi

Imej via tripadvisor

Koh Panyi merupakan sebuah perkampungan di atas air. Majoriti penduduknya adalah nelayan dan Muslim. Di sini anda dapat melihat banyak kedai yang menjual cenderamata dan kedai makan.

Makanan di sini juga sedap-sedap. Sudah namapun perkampungan nelayan, pastinya makanan laut di sini segar-segar.

Selain itu, Koh Panyi juga unik dengan kawasan bermain bola sepaknya yang juga terapung di atas air.

 

Lokasi: Ko Panyi Subdistrict, Krabi Town, Thailand

 

5) Pasar Malam Krabi

Imej via policystreet

Pasar malam adalah salah satu tempat yang wajib anda kunjungi bila melancong ke tempat orang. Di pasar malamlah, anda boleh penduduk tempatan, barang-barangan tempatan serta makanan tempatan. Begitu juga di Krabi.

Pasar Malam Krabi terdapat lebih 70 gerai makanan selain gerai cenderahati tempatan. Kadang kala, terdapat juga persembahan dari kanak-kanak di pasar ini untuk mereka mengumpul dana untuk sekolah atau persatuan mereka.

 

Waktu Operasi: Jumaat – Ahad (5.00petang – 10.00malam)

Lokasi: Soi 10, Maharat Road | Berhadapan City Hotel, Krabi Town

 

6) Lawatan 4 Pulau

Imej via mahaizahtravel

Antara pakej lawatan yang sering diambil oleh para pelancong adalah lawatan ke 4 buah pulau, iaitu Pulau Tup, Gua Phra Nang, Pulau Ayam dan Pulau Poda.

Anda akan dibawa menaiki bot dan singgah di setiap pulau ini. Di pulau itu nanti, anda boleh melakukan aktiviti snorkeling sambil menghayati panorama indah di kepulauan.

 

Lokasi: 437/1 Moo 1, Saladan Village, Koh Lanta, Krabi, Thailand 81150

 

7) Koh Lanta

Imej via lilianpang

Koh Lanta terdiri daripada beberapa buah pulau, namun yang paling terkenal adalah Koh Lanta Yai. Ia merupakan sebuah pulau kecil yang menjangkau 20km dari hujung ke hujung. Koh Lanta Yai memiliki air laut yang tenang dan pemandangan yang begitu mengasyikkan. Di sini anda boleh menyelam untuk melihat panorama dalam air yang agak jelas. Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah berkayak di kawasan paya bakau yang terdapat berdekatan pulau.

 

Lokasi: Ko Lanta District, Krabi, Thailand

 

8) Koh Klang

Imej via banglareader

Keunikan Koh Klang adalah ia tidak seperti pulau lain yang dihiasi cantic dengan pesisir pantai yang putih. Tetapi, Koh Klang adalah sebuah pulau untuk menangkap ikan dan dihuni oleh hampir 5,000 orang tempatan yang menjalani kehidupan yang sederhana.

Kebanyakan penduduk tempatan di pulau ini adalah Muslim. Sebahagian besar kawasan tanah di pulau ini ditanami dengan sawah padi dan kereta pula tidak dibenarkan sama sekali digunakan di sini.

 

Lokasi: Ko Klang Khlong Prasong, Mueang Krabi District, Krabi 81000

 

9) Wareerak Hot Spring Spa

Imej via thai2siam

Wareerak Hot Spring Spa terletak di tengah alam rimba yang jauh dari kesibukan kota. Rawatan spa di sini bukan sahaja dapat melegakan badan, malah menenangkan fikiran anda. Sekiranya anda mendapatkan rawatan spa penuh yang ditawarkan Wareerak, anda akan menerima urutan Thai satu badan yang cukup memuaskan.

Di samping itu, anda juga akan disajikan dengan makanan tengahari yang organik dan menyelerakan. Terdapat pelbagai pakej yang ditawarkan mengikut harga tertentu. Anda boleh memilih pakej yang berkenan di hati dan sesuai dengan bajet anda. Yang pasti, servis yang dtawarkan pasti memuaskan dan tidak mengecewakan anda.

 

Bayaran: Dari 2800 Baht

Lokasi: 18 Moo 7 | Khlong Tom Nua Subdistrict, Khlong Thom 81120

 

10) Wat Khlong Thom Museum

Imej via nashaplaneta

Bagi pencinta sejarah, pasti lawatan ke muzium adalah satu kewajipan apabila melawat ke mana-mana kawasan. Muzium ini terletak berdekatan dengan tokong Wat Khlong Thom. Ia menempatkan artifak-artifak yang telah ditemui sewaktu aktiviti ekskavasi dilakukan di belakang kompleks tokong Wat Khlong Thom.

Antara yang dipamerkan di sini adalah manik, perhiasan batu, bermacam peralatan gangsa, duit syiling Roman, seramik dan lain-lain lagi. Penemuan artifak-artifak ini menunjukkan bahawa telah wujudnya penempatan awal di kawasan sekitar sejak abad ke-4 hingga ke-9.

 

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30pagi – 4.30petang)

Bayaran: Percuma

Lokasi: Phetchakasem Highway, Krabi 81000

 

11) Phi Phi Islands

Imej via trazy

Kepulauan Phi Phi menjadi terkenal setelah beberapa filem disunting di pulau ini. Terdapat 6 buah pulau di sini, namun yang agak popular hanya 2, iaitu Phi Phi Don dan Phi Phi Leh.

Phi Phi yang dikatakan berasal daripada perkataan bahasa melayu yang bermaksud api-api. Pulau ini dinamakan demikian kerana pokok api-api yang terdapat banyak di sekitar pulau.

Phi Phi Don sering dikunjungi pelancong kerana pulau ini dihuni oleh penduduk tempatan. Pulau ini agak sibuk kerana ramai orang di sini. Jika anda ingin provasi, anda boleh berkunjung ke Phi Phi Leh. Panorama di pulau ini sangat cantik dan mendamaikan.

 

Lokasi: Phi Phi Islands, Krabi

 

12) Ton Pariwat Wildlife Sanctuary

Imej via seafarer-divers

Ton Pariwat Wildlife Sanctuary merupakan salah satu tempat menarik di Krabi yang terletak di Song Phraek dan meliputi kawasan rimba yang berkeluasan 100,000 hektar. Hutan simpan ini menyediakan laluan berjalan kaki sepanjang 2km.

Di sepanjang perjalanan, anda berpeluang menyaksikan bunga Rafflesia dengan lebih dekat, yang juga merupakan bunga eksotik yang terbesar di dunia. Kebiasaannya bunga ini berkembang pada akhir musim hujan dalam bulan Oktober.

Di samping bunga ini, sepanjang perjalanan ijuga anda akan dapat melihat  kawasan-kawasan memerhati burung, jadi jangan lupa untuk membawa teropong jika ke sini.

 

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00pagi – 5.00petang)

Lokasi: Song Phraek, Muang Phangnga, Phang Nga 82000

 

13) Mu Koh Lanta Marine National Park

Imej via travelflaunt

Mu Koh Lanta Marine National Park adalah taman negara yang meliputi beberapa buah pulau dengan keluasan 134 km persegi. Pulau yang terbesar di dalam taman negara ini adalah Ko Lanta Yai dan Ko Lanta Noi. Tarikan utama di taman negara ini adalah pesisir pantai yang putih serta gua-gua yang indah.

Pulau-pulau di sekitar Laut Andaman ini juga sangat popular bagi penyelam skuba. Walau bagaimanapun, beberapa pulau kecil di taman negara ini ditutup daripada sebarang aktiviti pelancongan pada musim hujan dari 16 Mei hingga 21 Oktober setiap tahun.

 

Waktu Operasi: Setiap hari (8.00pagi – 6.00petang)

Bayaran: Dewasa 200 Baht | Kanak-kanak 100 Baht

Lokasi: Moo 5, Ko Lanta

 

14) Thung Teao Forest Natural Park

Imej via traveltriangle

Thung Teao Forest Natural Park merupakan hutan dara yang tidak pernah dikacau oleh tangan manusia untuk sebarang bentuk pembangunan, pembalakan dan lain-lain. Ia kaya dengan flora dan fauna yang cantic dan unik.

Untuk meneroka kawasan rimba ini anda perlu menggunakan laluan semulajadi sekitar 2.7 km. Apa yang menarik di dalam hutan ini adalah air terjunnya dan kolam kristalnya. Dinamakan kolam kristal kerana airnya yang begitu jernih. Yang bestnya lagi, air kolam ini agak suam, memang nikmatlah bermandi-manda di sini!

 

Bayaran: Dewasa 200 Baht | Kanak-kanak 100 Baht

Lokasi: Thung Teao Forest Natural Park, Khao Pra-Bang Khram | Berdekatan Bang Teao Village

 

15) Krabi Town

Imej via whatsoninkrabi

Jika destinasi lain di Krabi adalah untuk anda menikmati alam semula jadi yang memukau keindahannya, tetapi di Pekan Krabi, ia adalah tempat untuk anda membeli-belah. Jika anda ingin membeli cenderahati untuk di bawa pulang, anda boleh dapatkannya di Pekan Krabi, kerana harganya lebih murah berbanding di Ao Nang Beach.

Di sini juga terdapat arca ketam yang menjadi simbolik kepada Krabi. Anda bolehlah bergambar kenangan bersama si ketam Krabi ini.

 

Lokasi: Krabi Town, Thailand

 

16) Phra Nang Beach

Imej via justgola

Pasir di Phra Nang Beach sangat halus dan lembut sahaja. Sangat nikmat apabila kaki menjejak persisir pasir ini untuk berjalan-jalan di sepanjang 450 meter pantai ini. Air lautnya juga cukup tenang untuk anda sekeluarga bermandi-manda. Di samping itu, di sini juga anda boleh bersnorkeling untuk melihat batu-batu karang indah yang terdapat di dalam di lautan.

 

Lokasi: Phra Nang Beach, Krabi

 

17) Nosey Parker’s Elephant Camp

Imej via macammacamhal

Noser Parker’s Elephant Camp merupakan salah satu daripada kem trek gajah yang terkenal di Thailand. Anda boleh manfaatkan peluang ini untuk menaiki gajah serta melihat keindahan alam semulajadi di sekitar kawasan kem. Anda bukan sahaja akan jungle trekking bersama gajah, tetapi anda juga akan dibawa melalui air sungai bersama gajah. Pastinya pengalaman ini suatu pengalaman mahal dan terindah buat anda kerana bukan selalu dapat pengalaman sebegini.

 

Bayaran: Dewasa 800 Baht | Kanak-kanak 400 Baht

Lokasi: 19 Krabi Road, Krabi Town 81000

 

18) Songprak River

Imej via timeout

Songprak River terkenal dengan aktiviti water rafting. Bagi anda yang sukakan aktiviti lasak, destinasi ini wajib anda lawati sekiranya bercuti di Krabi. Lebih menarik, setelah anda puas mengharung jeram dengan aktiviti water rafting, anda boleh sambung aktiviti menunggang ATV menyusuri hutan pula. Pakej lengkap bagi anda yang sukakan aktiviti lasak.

 

Lokasi: Krabi Noi, Thailand

 

19) Ao Thalane

Imej via krabiview

Bagi anda yang inginkan aktiviti air tetapi tidak mahu yang terlalu lasak seperti water rafting, anda boleh pilih untuk melakukan aktiviti berkayak di Ao Thalane. Ao Thalane adalah sebuah teluk yang pantainya berlumpur dan ditumbuhi dengan pokok bakau. Ia juga merupakan antara kawasan hutan bakau tercantik di Thailand.

Ao Thalane menempatkan perkampungan nelayan yang tenang. Ia sangat sesuai untuk anda menyaksikan satu kelainan pemandangan Krabi dengan berkayak menyusuri ke serokan, lagun dan hutan bakau.

 

Lokasi: Khao Thong subdistrict, Krabi Town

 

20) Khao Ngon Nak

Imej via mythailandtours

Anda bukan sahaja boleh berkayak dan water rafting di Krabi, malah aktiviti mendaki bukit juga ada di sini. Khao Ngon Nak yang bermaksud Gunung Jambul Naga pasti memberikan anda pengalaman pendakian yang menarik. Pendakian bukit ini agak mencabar, namun anda akan sentiasa ditemani dengan keindahan flora dan fauna yang indah dan agak eksotik. Perjalanan untuk menuju ke puncak bukit yang berketinggian 565 meter dari aras laut ini mengambil masa sekitar 2 jam.

 

Lokasi: Nong Thale, Krabi Town

 

Artikel Menarik Tempat Lain

Bagaimana dengan senarai tempat menarik di Krabi yang dikongsikan? Anda teruja?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel tempat lain untuk di lawati.

Penulis: Aniuna

Avatar

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .