Tahukah anda, yang sebenarnya ada banyak tempat menarik di Klang. Cuma kita yang tak tahu. Jom kami kongsikan 15 tempat menarik di Klang yang pasti buatkan anda terkejut.

Masjid DiRaja Sultan Suleiman

Imej via [ Foursquare ]

Masjid yang dibina pada tahun 1932 ini pernah menjadi masjid besar bagi negeri Selangor sebelum terbinanya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang berada di Shah Alam. Terdapat salah satu makam diraja Klang di perkarangan masjid ini.

Senibina dan rekabentuk masjid ini agak unik kerana berkonsepkan senibina islam Moorish serta Inggeris. Sambil melawat masjid yang penuh sejarah ini, anda boleh berehat dan solat. Jika ada kelapangan dan kesempatan, anda juga boleh menyertai kuliah kerana masjid ini sangat aktif dengan aktiviti keagamaan.

Alamat: Masjid DiRaja Sultan Suleiman, Jalan Kota Raja 41000 Klang, Selangor.

Jambatan Kota

Imej via [ Findbulous Travel ]

Jambatan Kota adalah jambatan dua tingkat yang pertama dibina di Tanah Melayu menyeberangi Sungai Klang. Pada tingkat atas jambatan, ia digunakan untuk kenderaan berat seperti bas, lori dan kereta manakala tingkat bawah digunakan oleh pejalan kaki, penunggang basikal atau beca.

Berdekatan dengan Kota Raja Mahadi, jambatan ini masih kekal utuh. Seringkali dijadikan tempat untuk bergambar dan lokasi pengambaran.

Riverine Splash @ Amverton Cove

Klang pun ada taman tema air yang pasti menyeronokkan jika bawa seisi keluarga meluangkan masa di sini. Riverine Splash ini berada di perkarangan Amverton Cove Golf & Island Resort. Terdapat 12 tarikan yang terdiri daripada gelongsor dan tunggangan.

Satu lagi tarikan di sini adalah Riverine Survival Park yang sesuai untuk kanak-kanak tiga tahun dan ke atas. Jangan lupa untuk mencuba Garden Maze dan Flying Fox. Pasti menyeronokkan. Jika anda menginap di hotel Amverton, anda boleh dapatkan tiket waterpark dengan lebih murah.

Waktu operasi: Rabu – Isnin (10.00 pagi – 6.00 petang)

*Ditutup pada Selasa kecuali cuti umum dan cuti sekolah.

Harga tiket waterpark:

  • Kanak-kanak & warga emas | RM 38
  • Dewasa | RM 58

Alamat:  PT673, Jalan Pulau Carey, Mukim Jugra, 42960 Pulau Carey, Selangor.

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz yang terletak di dalam bangunan kolonial klasik hasil idea A.B. Hubback pada tahun 1909 ini merupakan lokasi yang patut anda lawati sekiranya anda ingin mendapatkan pengetahuan tentang kehidupan Sultan Abdul Aziz Shah yang merupakan Sultan Selangor yang ke-8 pada tahun 1960 dan Yang di-Pertuan Agong yang ke-11 pada tahun 2001. Anda dapat melihat pelbagai koleksi peribadi menarik Diraja termasuklah replika mahkota Diraja Selangor.

tempat menarik di klang
Sumber Gambar: Malaycivilization

Pulau Ketam

Pulau ini terletak di Sungai Klang dan merupakan perkampungan nelayan masyarakat Cina yang sudah bermula sejak tahun 1880 lagi. Dari kawasan darat anda perlu menaiki feri yang akan melalui kawasan bakau sebelum sampai ke pulau ini.

Setibanya di Pulau Ketam, anda akan dapat menyaksikan sendiri masyarakat-masyarakat di pulau ini yang menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama. Ibarat menjejakkan kaki ke zaman klasik. Tiada kereta langsung yang dapat dilihat di sini.

Selain itu, anda dapat melihat masyarakat kampung yang sedang membaiki jala, memproses udang dan bermacam lagi yang tak dapat dilihat di kota. Satu pengalaman yang unik untuk dirasai bersama keluarga.

tempat menarik di klang
Sumber Gambar: Suanie

Pulau Indah

Pulau Indah ini pada asalnya merupakan sebuah pulau yang tidak disentuh oleh modenisasi walau sedikit pun dan kekal sebagai sebuah perkampungan nelayan yang dikelilingi paya bakau. Namun, sejak tahun 1994, selepas adanya jambatan Selat Lumut yang menghubungkan Pulau Indah dan Pelabuhan Klang, Pulau Indah menawarkan dua dunia berbeza kepada para pelawat.

Kalau anda datang ke sini, anda dapat melihat bahawa di sebelah utara pulau ini meriah dengan pembangunan, perniagaan dan perindustrian, manakala di bahagian selatannya pula masih kukuh mengekalkan keharmonian kampung-kampung yang dalam masa yang sama menjaga dan mengembangkan lagi kawasan bakau untuk menjadikan ia pusat eko pelancongan yang menarik untuk dilawati.

tempat menarik di klang
Sumber Gambar: Rmsir

Tanjung Harapan

Tempat untuk anda menghirup udara segar sambil menikmati bayu laut yang mendamaikan. Matahari terbenam di sini sangat cantik. Ada juga banyak kedai makan yang sedap terutamanya makanan laut dan ikan bakar. Buat kaki pancing, di sini adalah port yang sangat best untuk memancing. Cuma pastikan anda bawa banyak batu ladung kerana airnya yang berbatu menyebabkan kail sering tersangkut.

tempat menarik di klang
Sumber Gambar: Flickr

Pantai Acheh, Pulau Indah

Walau pun kedudukannya agak jauh, namun pantainya sangat cantik dan memukau. Sesuai untuk anda sekeluarga berkelah, mandi laut, dan berkhemah. Ada juga aktiviti parasailing yang boleh anda cuba. Bagi kaki pancing, pantai ini adalah post memancing yang best. Tak seperti Tanjung Harapan, di sini pancing anda takkan kerap tersangkut kerana ridak banyak batu di sini.

tempat menarik di klang
Sumber Gambar: Flickr

Laguna Park Pulau Indah

Di sini terdapat pondok rehat, jeti kecil, dan restoran-restoran yang mengajikan makanan yang enak. Sesuai untuk beriadah bersama keluarga atau pun memancing. Jika anda ingin bermalam di sini, terdapat juga hotel untuk disewa.

tempat menarik di klang
Sumber Gambar: Flickr

Port Klang Cruise Centre

Port Klang Cruise Centre atau juga dikenali sebagai Glenn Cruise Terminal merupakan terminal berlepas yang canggih dan terminal yang bersambung terus dengan cruise. Di sini anda berpeluang untuk melihat kapal cruise yang mewah. Tak dapat naik, dapat tengok pun jadilah. Ye tak?

tempat menarik di klang
Sumber Gambar: Therakyatpost

Wisma GM Klang Wholesale City

Bila sebut GM Klang, pasti anda dah terbayangkan satu perkataan: shopping. Di sini anda boleh membeli barangan dengan harga borong yang jauh lebih murah daripada harga di kedai biasa. Walau pun anda bukan peniaga, boleh juga membeli-belah di sini. Di antara barangan yang sering dicari di sini ialah handbag, barang perkahwinan, barangan bayi, pakaian muslimah, perkakas rumah dan sebagainya.

tempat menarik di klang
Sumber Gambar: Thestar

Aeon Bukit Tinggi Shoppping Centre

Aeon Bukit Tinggi Shopping Centre atau lebih dikenali sebagai Jusco Bukit Tinggi terletak di tengah Bandar Bukit Tinggi, Klang. Ianya merupakan pusat membeli-belah yang besar, lengkap dengan panggung wayang. Kedudukannya yang strategik membuatkan ia menjadi tumpuan utama penduduk di Klang.

tempat menarik di klang
Sumber Gambar: Mapio

Little India Klang

Little India Klang terletak di Jalan Tengku Kelana. Di sini terdapat banyak restoran india muslim dan kedai menjual barangan orang berbangsa india seperti sari, perhiasa wanita, rempah-ratus dan kalungan bunga. Suasanya seperti anda berada di Negara India.

tempat menarik di klang
Sumber Gambar: Timeout

Gedung Raja Abdullah

Ia merupakan bangunan lama yang dijadikan sebagai muzium timah. Ia dibina pada tahun 1854 sebagai gedung bagi Raja Abdullah menyimpan stok timahnya. Apabila masuk ke dalam bangunan ini, anda akan dibawa semula ke zaman 1854 dengan senibinanya yang retro.

tempat menarik di klang
Sumber Gambar: Nysprunner

Kota Raja Mahadi

Kota Raja Mahadi merupakan kubu pertahanan uyang dibina oleh Raja Mahadi Ibni Almarhum Sultan Sulaimanpada tahun 1866. Ia dibina berikutan perang saudara dengan Raja Abdullah Ibni Raja Jaafar. Walau pun sudah lama, strukturnya masih kemas dan dijaga dengan rapi.

tempat menarik di klang
Sumber Gambar: Triposo

Itulah dia 15 tempat menarik di Klang yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Sekarang anda pun dah tahu, rupanya ada banyak tempat menarik di Bandar Klang. Hujung minggu ni bolehlah anda bawa keluarga ke sana.Jemput juga baca artikel tempat menarik di Janda Baik dan tempat menarik di Fraser Hill.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.