27 Tempat Menarik Di Cameron Highland 2018 (Panduan Lengkap)

Mencari tempat menarik di Cameron Highlands?

Tanan tinggi Cameron atau Cameron Highland terkenal dengan ladang teh dan kebun strawberi. Siapa yang tidak kenal dengan Teh BOH yang dijual di setiap kedai dan pasaaraya di Malaysia.

Selain itu, terdapat juga tarikan yang lain di sini. Berikut senarai lokasi menarik boleh dilawati:

Oleh itu, jika mahu udara sejuk dan segar, pengalaman memetik buah, dan jauh dari bandar bolehlah datang ke Cameron Highland. Ia sesuai untuk beristirehat dan cuti seketika bagi melepaskan lelah selepas lama bekerja keras.

1. Ladang Teh

 

Ladang teh boh

Imej via jelajahmaya

Terdapat 3 ladang teh milik BOH Plantation di Cameron Highland iaitu di Sungai Palas, Ringlet, dan Habu. 3 galeri disediakan untuk pelawat selain kafe bagi pelawat menikmati teh segar dengan pemandangan indah ladang teh.

Harga Tiket: Percuma

Alamat: Sungai Palas, Cameron Highland

Waktu Operasi: 9am-430pm (Selasa-Ahad)

 

Ladang Teh Bharat atau Cameron Valley pula dibuka oleh seorang pendatang India. Ia turut menyediakan teh citarasa Sri Lanka dan India seperti teh rempah masala dan pelaga.

Harga Tiket: RM2

Alamat: 15-16 Main Road, Tanah Rata, 39000 Cameron Highland

Waktu Operasi: 830am-6pm setiap hari

2. Kebun Strawberi

Aktiviti paling menarik di ladang strawberi ialah memetik strawberi dan makan buah strawberi segar terus dari ladangnya. Bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa pun teruja. Selain strawberi, ada sayuran atau bunga di kebun mereka. Kafe pula menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman berasaskan strawberi. Selepas semua aktiviti, bolehlah membeli cenderamata sebagai kenangan atau hadiah dari Cameron Highland. Ada banyak kebun strawberry di Cameron Highland. Ini antaranya:

  • Big Red Strawberry Farm, Brinchang
  • KHM Satrawberries & Jam, Kampung Taman Sedia, Tanah Rata.
  • EQ Strawberry Farm, Brinchang
  • Kok Lim Strawberry Farm, Brinchang
  • Raju’s Hill Strawberry Farm

 3. Ladang Anggur

Ladang Anggur

Imej via diarymama

Bulan Jun dan Disember adalah waktu memetik anggur. Pastikan ia dalam diari rancangan percutian anda.

Alamat: Thams Grape Farm (Ringlet), K.C Kwang & Sons Grape & Tomato Farm (Tanah Rata), Agro Technology Park MARDI (Tanah Rata).

Waktu Operasi: 8am-6pm

4. Ladang Kaktus

Pelbagai jenis kaktus terdapat di ladang ini. Semuanya untuk dijual. Selain kaktus, ada bunga dan strawberi juga. Turut disediakan ialah restoran dan kedai cenderamata. Dua ladang kaktus terkenal ialah Cactus Valley dan Cactus Point.

Harga tiket: Percuma

Alamat: Brinchang

Waktu Operasi: 8am-6pm setiap hari.

5. Ladang Lebah dan Rama-Rama

Ladang lebah di Cameron Highland mengeluarkan madu untuk pameran dan jualan kepada pengunjung. Ladang-ladang ini turut digabungkan dengan aktiviti memetik strawberi, pasar sayuran, kedai cenderamata dan aktiviti untuk kanak-kanak.

Harga Tiket: Percuma

Alamat: Highlands Apiary Farm, (Ringlet), Ee Feng Gu Bee Farm (Brinchang), dan Cameron Tringkap Bee Farm (Tringkap).

Kea Farm pula adalah ladang rama-rama. Ada dua bahagian di ladang ini di mana bahagian pertama dipenuhi rama-rama yang terbang bebas di dalam ruang khas. Manakala yang kedua ialah ruang untuk serangga, cicak, ular dan mamalia dipertontonkan kepada pengunjung.

Harga Tiket: RM5 (dewasa), RM2 (kanak-kanak)

Alamat: Brinchang

Waktu Operasi: 8pm-530pm

6. Cameron Adventurous

Tarikan yang berbeza daripada sebelumnya. Cameron Adventurous sesuai untuk mereka yang lasak dan mahukan kelainan. Menaiki 4×4 Safari, ATV Safari, dan ATV Extreme. Di mana? Di ladang teh!

Harga: 4×4 Safari – RM10 (dewasa), RM5 (kanak-kanak)

ATV Safari – RM45 (sendiri), RM60 (berdua)

ATV Extreme – RM60 (sendiri)

Alamat: Kuala Terla

Waktu Operasi: 9am-6pm (Khamis-Selasa)

7. Mossy Forest @ Hutan Berlumut

Hutan Mossy

Imej via bharian

Jika mahukan cabaran lebih, cuba mendaki Gunung Brinchang untuk melihat Hutan Berlumut yang memukau. Khabarnya ia kurang popular kerana laluannya agak sukar. Tapi, bagi yang lasak, ia bukanlah alasan kerana kepuasan menjadi keutamaan.

Harga: Percuma

Alamat: Jalan Sultan Abu Bakar, Brinchang, 39000 Tanah Rata

 

8. Avant Chocolate

Avant Chocolate telah menanam strawberi dan menghasilkan cokelat terbaik sejak tahun 1995. Tamannya dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Green Garden View dan Strawberry Moment Desert. Green Garden View adalah taman warna-warni yang menjadi tempat tanaman pelbagai jenis pokok seperti strawberi dan lavender.

Di sini juga terdapat ruang Make A Wish di mana pengunjung menulis dan meletakkan hajat mereka di dalam botol kecil yang comel, menyerupai konsep padlock di Korea. Walaupun begitu, sebagai umat Islam, kita perlulah meletakkan hajat hanya kepada Allah SWT.

Strawberry Moment Desert pula dipenuhi makanan berasaskan strawberi dan coklat seperti puff, aiskrim, coklat, dan makanan kering yang dipekkan.

Alamat: 11, Taman Matahari Cerah, Kampung Raja, 39010 Cameron Highland

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 7pm)

 

9. 5D Art Museum

Ia dikatakan muzium 5D yang terbesar di Malaysia dan yang pertama di Camerin Highland. Kunjungan keluarga dan rakan-rakan akan menyeronokkan di sini kerana anda boleh bermain dengan imaginasi anda di sini.

Lukisan atau mural yang terdapat di dinding seolah-olah membawa anda kepada dunia fantasi penuh keajaiban. Jadi, ia amat digemari mereka yang mahukan rakaman kenangan yang lain dari yang lain.

Alamat: Kea Farm Vegetable Market, Kea Garden, 39100 Kea farm, Cameron Highland

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 6pm)

Harga Tiket: RM25 (dewasa), RM20 (kanak-kanak)

 

10. Fragrance Nursery

Fragrance Nursery merupakan antara pengeluar bunga utama di Malaysia. Ia mengedar bunga di Malaysia dan juga ke negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand. Oleh itu, ada pelbagai jenis bunga dalam jumlah yang besar boleh ditemui di sini.

Lebih menarik, mereka turut menjadi pengeluar strawberi dan anggur! Pengunjung yang datang ke sini pasti rambang mata melihat bunga dalam pasu yang mana untuk dipilih dan dibeli bagi menghiasi kediaman.

Sebelum pulang, singgahlah di kedai cenderamata untuk mendapatkan tanda kenangan.

Alamat: Bt 41, Jalan Kea Farm, Brinchang, 39100 Cameron Highland

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 6pm)

 

11. Taman Agro Teknologi MARDI

Taman Agrotek MARDI pada asalnya merupakan stesen kajian British yang dibuka pada tahun 1926 sebelum diserahkan kepada MARDI. Ia menempatkan kira-kira 40 jenis bunga ros, 10 jenis strawberi, 100 jenis buah-buahan sitrus, 4 jenis epal, enam anthurium, dan beberapa pokok pear serta pisang kaki.

Taman berkeluasan 42 hektar ini dibahagikan kepada 6 bahagian iaitu Taman Inggeris, Taman Herba, Taman Orkid, Taman Ros, Pusat Kajian, dan Pusat Maklumat. Selepas melihat taman-taman yang cantik, cuba berjalan-jalan di dalam hutan melalui laluan yang disediakan.

Selepas itu, tamatkan ia dengan menjamu selera di kafe.

Alamat: JKR 266, Jln Persiaran Endah, 39000 Tanah Rata, Cameron Highland

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (8am – 1245pm, 2pm – 5pm), Jumaat (8am – 1230pm, 230pm – 5pm), Sabtu – Ahad (8am – 5pm), Dibuka semasa cuti sekolah dan cuti umum kecuali Aidilfitri dan Aidiladha

Harga Tiket: RM5 (dewasa), RM3 (kanak-kanak)

 

12. Rose Centre

Lokasinya menarik iaitu di atas bukit dengan teres 10 tingkat. Ia juga dihiasi batu hiasan, pagar dan anak-anak tangga. Taman yang pada asalnya merupakan ladang sayur-sayuran ini, kini menjadi tempat tanaman lebih daripada 100 jenis bunga mawar termasuk yang berwarna hijau dan hitam.

Rose Center membantu menambah maklumat kepada pengunjung dengan menyediakan muzium berkaitan ros, selain kedai untuk menjual hasil ladang serta cenderamata. Ramai mengesyorkan ia menjadi antara lokasi wajib dikunjungi kerana pemandangannya yang mendamaikan selain amat sesuai buat mereka yang mencintai bunga-bungaan.

Alamat: P.O Box 3, Pejabat Pos Brinchang, 39100 Cameron Highland

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 6pm)

Harga Tiket: RM5 (dewasa), RM2 (kanak-kanak)

 

13. Pasar Kea (Kea Farm)

Ia turut dikenali dengan nama Green Cow. Pasar Kea ialah pasar sayur-sayuran yang terletak di puncak di antara Tringkap dan Brinchang. Nama pasar ini bukanlah asing di kalangan penduduk tempatan.

Jadi, ia memang selalu dikunjungi ramai terutama semasa cuti hujung minggu. Sayurnya segar dan kebanyakannya lebih murah daripada tempat lain. Di sini juga pengunjung boleh membeli bunga-bungaan sama ada yang dijual bertangkai atau dalam pasu.

Pengunjung terutamanya yang datang dari luar Cameron Highland turut menjadikan tempat ini bagi membeli cenderamata dan tanda kenangan seperti rantai kunci.

Alamat: 3km utara Brinchang atau 3km sebelum Brinchang

 

14. Green View Garden

Green View Garden mempunyai beberapa bahagian di dalamnya. Pertama, kebun strawberi dan hidroponik. Ia menempatkan lebih daripada 20,000 pokok strawberi. Melihat sayur-sayuran yang ditanam secara hidroponik pula menambah selera perut yang lapar.

Kedua, ungu dari kebun lavender tidak pernah mengecewakan pengunjung. Di situ juga ada bunga-bunga lain yang berwarna-warni.

Ketiga, haiwan-haiwan peliharaan comel seperti burung nuri dan ikan koi bertujuan mendidik kanak-kanak mengenali haiwan.

Keempat, kafe dan kedai disediakan khas untuk pengunjung menikmati hidangan dan membeli produk berasaskan tanaman yang ada.

Alamat: 11, Taman Matahari Cerah, Kampung Raja, 39010 Cameron Highland

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 630pm)

 

15. Muzium Seni 3D (3D Art Museum)

Anda pasti pernah mengunjungi muzium 3D yang terdapat di Melaka, Port Dickson, Pulau Pinang atau Langkawi. Apa yang anda ditemui di Muzium 3D di Cameron Highland ini serupa dengannya.

Bezanya adalah lukisan atau mural yang ditemui berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain. Jadi, kalau anda peminat muzium-muzium seperti itu, dijemput untuk mengunjungi tempat ini.

Siapa tahu anda boleh menyimpan koleksi gambar dari Muzium 3D yang ada di seluruh Malaysia!

Alamat: The Square, Jalan Aranda Nova, Green Cow, 39100 Cameron Highland

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 10pm)

Harga Tiket: RM18 (dewasa)

 

16. 200 Seeds Café

Ini mungkin berbeza dengan semua lokasi percutian yang disenaraikan di sini. Ini kerana 200 Seeds Café merupakan sebuah restoran yang menyediakan hidangan yang mana di antaranya digabungkan dengan strawberi.

Restoran yang turut dikenali sebagai Abang Strawberi ini mempunyai satu menu yang paling terkenal iaitu Nasi Lemak Sambal Strawberi. Lebih menarik kerana ia dikelilingi oleh pemandangan indah ladang strawberi.

Abang Strawberi juga menyediakan produk makanan mereka sendiri iaitu Sambal Strawberi, Kordial Strawberi, dan Jem Strawberi. Jadi, kalau anda rindu dengan hidangan strawberi mereka, bolehlah dapatkan produk ini sebelum pulang.

Alamat: Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, Cameron Highland

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 8pm)

 

17. Cactus Point

Ini adalah tempat paling sesuai untuk anda membeli pokok-pokok kaktus dalam pasu yang pelbagai saiz. Ada banyak pilihan untuk peminat kaktus. Jika anda bukan peminat kaktus, anda boleh memilih pokok-pokok dalam pasu yang lain yang juga ada dijual di sini.

Mereka turut menjual pasu bunga dari pelbagai bentuk dan saiz. Jumlahnya memang banyak. Selain itu, sayur-sayuran dan strawberi pun ada dijual di sini. Usah bimbang mengenai tempat meletak kereta.

Ini kerana mereka ada ruang meletak kereta yang luas, sesuai dengan fungsi mereka sebagai tempat jualan.

Alamat: 39100 Brinchang, Cameron Highland

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 6pm)

Harga Tiket: PERCUMA

 

18. Cactus Valley

Lawatan ke Cactus Valley tidak akan mengecewakan. Ia antara lokasi tarikan pelancongan yang terbesar yang ada di Cameron Highland. Tapi, ia bukanlah khusus untuk kaktus sahaja. Mereka juga ada pelbagai jenis sayur-sayuran, strawberi dan bunga-bungaan yang lain seperti lili, fuchsia, camellia, bird of paradise.

Sebagaimana ladang yang lain, Cactus Valley menyediakan ruang khas untuk pembelian tanaman mereka.

Alamat: Pekan Lama, 39100 Brinchang, Cameron Highland

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 6pm)

Harga Tiket: RM4 (dewasa), RM2 (kanak-kanak)

 

19. Blue Valley Flowers

Blue Valley Flowers merupakan tapak semaian pokok-pokok dalam pasu dan bunga-bungaan. Mereka juga banyak menanam pokok strawberi. Pemiliknya turut membela burung-burung peliharaan yang comel dan menjualnya kepada pengunjung. Penduduk sekitar mengenali Blue Valley Flowers sebagai tempat yang menanam sayur-sayuran menggunakan kaedah hidroponik.

Alamat: Kampung Raja, berhampiran Tringkap

 

20. Menara Tinjau

Ia terletak di puncak Gunung Brinchang iaitu pada ketinggian 2000 meter dari paras laut. Tapi anda tidak perlu berjalan kaki mendaki setinggi itu untuk ke sini. Ini kerana puncak Gunung Brinchang mempunyai jalan bertar yang sesuai untuk kenderaan ringan.

Menara tinjau ini diperbuat daripada besi keluli dengan ketinggian 30 meter. Dari atas menara tinjau, anda dapat menyaksikan keindahan pemandangan Cameron Highland meliputi ladang-ladang, Gunung Irau dan pekan-pekan kecilnya sampai ke Perak.

Alamat: Gunung Brinchang

 

21. Taman Lavender (Lavender Garden)

Walaupun ia disebut sebagai taman lavender, tapi kawasan untuk bunga Lavender di sini tidaklah besar. Taman ini menggabungkan pokok bunga lavender dengan bunga-bungaan lain. Hiasan taman ini juga berwarna-warni dengan peti-peti surat, gerbang, dan Volkswagen.

Sebagaimana beberapa taman lain yang terdapat di Cameron Highland, Taman Lavender juga mempunyai kebun strawberinya sendiri di mana pengunjung boleh memetik buah strawberi yang ada. Selain itu, mereka menanam sayur-sayuran dengan kaedah hidroponik. Hasilnya turut dijual kepada para pelanggan.

Di penghujung lawatan, ada kafe dan kedai cenderamata untuk mengisi perut dan membeli barangan kenangan. Jangan lupa cuba aiskrim lavender mereka sebelum pulang.

Alamat: Lot UT/KT/K22 Tringkap, 39100 Cameron Highlands

Harga Tiket: RM5 seorang

 

22. Air Terjun Robinson

Ini tarikan yang berbeza di Cameron Highland kerana Cameron Highland biasanya dikenali dengan ladang teh dan strawberinya. Tapi, jika anda berminat dengan aktiviti jungle trekking dan berehat atau mandi-manda di air terjun, ini adalah tempatnya.

H.C Robinson iaitu Pengarah Muzium Negeri diberi penghargaan dengan namanya diletakkan pada air terjun ini. Air Terjun Robinson merupakan satu daripada tiga air terjun terkemuka di Cameron Highland.

Alamat: Tanah Rata, 39000 Cameron Highland

 

23. Lata Iskandar

Lokasinya bukanlah tepat di Cameron Highland. Namun, ia diingati setiap kali nama Cameron Highland disebut kerana lokasinya yang terletak dalam perjalanan ke Cameron Highland dari Tapah iaitu kira-kira 25km sebelum Ringlet.

Air terjun ini amat terkenal sehingga ia selalu mendapat kunjungan ramai pelancong terutama semasa hujung minggu. Air terjun bertingkat dan batu-batan yang ada di sini menjadikan ia lokasi yang digemari pengunjung untuk merakamkan gambar.

Sepanjang jalan juga ada banyak kedai dan gerai, memudahkan pengunjung mendapatkan snek semasa berkelah.

Alamat: 25km dari Ringlet

 

24. Ladang Lebah Ee Feng Gu

Ladang lebah merupakan tarikan yang boleh dikatakan baharu di Cameron Highland. Ladang ini mengeluarkan madu ratu lebah (royal jelly) dan debunga (pollen) selain madu biasa. Kerana tanah tinggi Cameron Highland ini dikenali sebagai ladang teh, sebahagian Taman Madu Lebah ini juga ditanam dengan teh.

Anda boleh mendapatkan produk madu lebah, membeli cenderamata di kedai cenderamata, dan membiarkan anak-anak bermain di taman permainan mereka.

Alamat: 75, Batu 43, Green Cow, 39100 Kea Farm, Brinchang, Cameron Highland

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 7pm)

Harga Tiket: PERCUMA

 

25. Muzium Time Tunnel

Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan muzium ini kerana Cameron Highland lebih dikenali dengan tehnya. Sebenarnya, Muzium Time Tunnel sudah wujud lebih 10 tahun di tanah tinggi ini.

Muzium ini dibuka oleh En See Kok San yang mahu mempamerkan koleksinya kepada umum. Koleksinya akan mengimbas kenangan lalu datuk dan nenek, manakala orang muda pula teruja kerana kebanyakan barangan ini tidak lagi dihasilkan pada zaman ini.

Alamat: UT/MR/F-255, Jalan Sungai Burong, 39100 Brinchang (bersebelahan dengan Ladang Strawberi Kok Lim)

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 6pm)

Harga Tiket: RM6 (dewasa), RM4 (kanak-kanak)

 

26. Tan’s Camellia Garden

Taman peribadi ini akan memukau sesiapa sahaja yang mengunjunginya. Rumah pemiliknya, Encik Tan Chin Pa adalah sebuah rumah tudor yang kelihatan comel dikelilingi pohon-pohon hijau. Encik Tan melakukan kajian ke atas tumbuhan dan menanam beratus-ratus jenis Anthurium di tamannya.

Nama Camellia pada taman ini adalah bersempena bunga Camellia yang ditanam di taman ini. Bunga ini bukan sahaja cantik tetapi ia juga mempunyai nilai perubatan yang bagus untuk kesihatan. Selain itu, Tan’s Camellia Garden turut memiliki tanaman herba yang lain. Semua ini ada ditanam di dalam pasu dan boleh dibeli oleh pengunjung.

Alamat: 39000 Tanah Rata, Cameron Highland

 

27. Pasar Malam Cameron Highland

Orang Malaysia memang suka pasar malam. Di mana-mana sahaja pasti ada pasar malam. Inilah yang memeriahkan satu-satu tempat. Begitu juga di Cameron Highland. Sebelum ini, pasar malam mereka berada di Brinchang.

Tapi ia telah dipindahkan ke Cameron Golden Hills. Lokasi baru ini agak jauh dari jalan utama lantas mengelakkan masalah trafik.
Sebagaimana pasar malam yang lain, banyak makanan dan barangan yang anda boleh dapati sesuai dengan gaya hidup sekitarnya. Jika di Cameron Highland, anda mungkin tidak mahu melepaskan peluang membeli produk strawberi, sayur-sayuran, produk dari lebah dan jagung mutiara.

Alamat: Cameron Golden Hills

 

Artikel Menarik Tempat Lain

Bagaimana dengan senarai tempat menarik di Cameron Highland yang dikongsikan? Anda teruja?Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel tempat yang lain untuk dilawati.

Lily Izzuan

Seorang yang simple dan berpegang pada prinsip bahawa sesuatu yang baik itu perlu dikongsi. Merupakan salah seorang penyumbang artikel di Bidadari.my. Mencari artikel yang menarik yang ada.

Pendapat Anda?

comments

Add Comment

error: Content is protected !!