Ibarat kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Ramai mengatakan bahawa pergaduhan merupakan asam garam rumahtangga namun bagaimana pula halnya jika pertelingkahan itu berlarutan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada isteri seperti kes dera atau memukul isteri?

tebus talak
Imej via [hmetro]

Ramai yang mengetahui jika sang suami sudah tidak berkeinginan untuk terus hidup bersama isteri maka dia (suami) boleh menjatuhkan talak dengan melafazkan ungkapan cerai. Namun bagaimana pula situasinya jika sang suami tidak mahu  melepaskan tetapi isteri tetap berkeinginan untuk menuntut cerai? Alasan diberikan mungkin sudah tidak sehaluan dengan suami dan perasaan cinta sudah mulai hilang.

Jika ini berlaku maka sang isteri boleh meminta cerai dengan tiga cara iaitu cerai taklik, cerai fasakh dan akhir sekali cerai tebus talak. Cerai jenis tebus talak dimana talak yang dilafazkan suami dalam situasi ini dianggap sebagai talak ba-in sughra yakni tidak boleh dirujuk kembali. Jom lihat apa itu tebus talak, hukum dan sedikit panduan kepada isteri tentang tebus talak.

Apakah Tebus Talak? Maksud Tebus Talak

tebus talak
Imej via [therakyatpost]

Tebus Talak atau juga dinamakan Khuluk merupakan talak yang terjadi apabila sang isteri berkeinginan atau bersungguh dan yakin mahu menyatakan hasratnya untuk bercerai dan tidak lagi mahu hidup bersama suami. Tebus Talak telah disyariatkan untuk tujuan memenuhi keperluan isteri di mana isteri dapat menebus dirinya supaya suami membebaskannya.

Cara Tebus Talak

Cara tebus talak adalah isteri perlu mengembalikan mas kahwin yang telah mereka persetujui sebelum ini kepada suami. Khuluk merupakan salah satu bentuk talak dimana ia adalah suatu perceraian yang berlaku dengan tebusan yang dilakukan dan dituntut oleh isteri kepada suaminya.

Tebus Talak telah disyariatkan di dalam Al-Quran yang membawa erti sekiranya kedua-dua suami dan isteri khuatir sekiranya tidak dapat menunaikan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah seseorang itu berdosa sekiranya mengemukakan tebus talak yang diminta oleh isteri kepada suami untuk menebus dirinya.

Rasulullah S.A.W ada bersabda yang bermaksud

“Telah diriwayatkan dari Ibn Abbas bahawa sesungguhnya isteri kepada Thabit bin Qais telah datang menemui Rasulullah dengan pertanyaan, ‘Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya saya tidaklah berniat mengaibkan akhlak dan agama suami saya Qais, akan tetapi saya sudah tidak menyukainya dan juga tidak lagi berhajat untuk hidup bersamanya menyebabkan saya telah melakukan maksiat kerana kebencian yang sangat melampau kepada suami dan dikhuatiri akan mendorong saya terus melakukan kekufuran supaya terfasakh perkahwinan kami,’

maka Rasulullah S.A.W membalas,

‘Mahukah kamu kembalikan kepadanya mahar perkahwinan yang telah diberikan suamimu kepada kamu sebelumnya’ Jika ya, maka seusai isteri mengembalikan mahar itu dan suami menerimanya maka bercerailah kalian dengan talak satu.”

Hukum Tebus Talak

Hukum Tebus Talak atau dalam bahasa Arab disebut sebagai Khuluk adalah harus. Khuluk tidak akan berlaku sehingga isteri melakukan tebusan berbentuk harta kemudian diberikan kepada suami. Namun jika harta tebusan diketahui dan telah disebut semasa lafaz khuluk maka tebusan itu wajib diberikan oleh isteri kepada suami.

Lain pula halnya jika suami melafazkan kalimah khuluk untuk tujuan talak tanpa melafazkan sebarang harta tebusan dan juga tidak terlintas di hatinya untuk mendapatkan tebusan maka talak ini jatuh kepada talak biasa yang hanya menggunakan lafaz khuluk sebagai kinayah iaitu hiasan semata.

Tebus Talak juga tidak akan jatuh melainkan yang dituntut oleh isteri yang berakal atau kurang matang yang masih belum layak mengambil sebarang keputusan dan juga tidak ada kuasa untuk menguruskan sesuatu. Jika suami masih meneruskan untuk melafazkan khuluk kepada isterinya yang dalam keadaan begitu maka talak yang berlaku disebut sebagai talak raj’I dan suami masih ada hak untuk menebus khuluk.

Suami juga tidak boleh rujuk kembali kepada isterinya semasa tempoh idah apabila telah melafazkan talak khuluk melainkan dengan mengadakan akad dan mas kahwin yang baru dan isteri berhak membuat keputusan untuk kembali kepada suami atau tidak.

Isteri yang menerima lafaz khuluk dari suaminya tidak boleh dizihar atau diila’ oleh bekas suaminya sepanjang tempoh idah. Talak, zihar dan illa’ yang dilafazkan oleh suami yang melafazkan khuluk tidak akan memberi sebarang kesan ke atas bekas isteri kerana lafaz khuluk sudah terang-terang menjadikannya bukan isterinya lagi.

Panduan Tebus Talak

Berikut adalah sedikit panduan kepada isteri tentang tebus talak:

tebus talak
Imej via [utusan]

1.    Apabila perasaan benci mula timbul dalam hati maka tebus talak adalah diharuskan, tetapi tebus talak hanya dibenarkan apabila isteri mula membenci suaminya kerana sebab-sebab tertentu dan menuntut perceraian. Jika perasaan benci lahir daripada suami,  suami tidak boleh menebus talak daripada isterinya, tetapi boleh terus melafazkan talak apabila bimbang berlaku pertelingkahan yang boleh menyebabkan kemudaratan.

2.    Isteri tidak boleh sama sekali menebus talak kecuali berada dalam keadaan darurat seperti contoh suami tidak mahu menunaikan perintah Allah walaupun disuruh atau isteri tidak dapat menunaikan kewajipannya dengan baik terhadap suaminya.

3.    Apabila suami mula menyakiti isterinya tidak kira sama ada dari segi zahir atau batin sehingga menyebabkan isteri terpaksa meminta cerai dengan cara tebus talak daripadanya. Jika perkara sebegini berlaku maka suami tidak mempunyai sebarang hak untuk mengambil apa-apa pun daripada isterinya sebagai tebusan kerana perbuatan suami itu dianggap sebagai maksiat.

Antara Aturan-aturan Khuluk

o    Harta yang akan diambil oleh suami sebagai tebusan digalakkan tidak melebihi mas kahwin yang telah diberikan kepada isteri sebelumnya.

o     Apabila isteri telah menerima lafaz khuluk atau telah ditebus talak oleh suaminya maka wanita itu mestilah menjalani tempoh idah selama satu kali haid.

o  Suami yang telah melafazkan cerai dengan cara khuluk, tidak boleh merujuk kembali dengan isterinya semasa tempoh idah melainkan dengan akad dan mas kahwin yang baru.

o    Bapa kepada isteri juga boleh menebus talak bagi pihak anak perempuannya yang masih kecil sebagai gantian kepada anaknya yang masih belum matang.

Itulah dia sedikit sebanyak tentang cerai tebus talak. Namun jika masalah dapat diselesaikan, itu adalah terbaik. Sebagai isteri, mungkin anda boleh berikhtiar dan cuba mengingatkan suami tentang detik-detik manis sewaktu kalian mula-mula kenal.

Jadilah air sewaktu suami menjadi api supaya keadaan rumahtangga tidak menjadi tegang sehingga menyebabkan anda terpaksa menebus talak. Semoga perkongsian ini memberikan sedikit panduan buat anda. Jemput baca kata-kata semangat tipspemakaian purdah dan kisah Nabi Yusuf juga.

Rujukan:

  1. Baituljannah
  2. Sistersinislam
  3. Hmetro

Penulis: zulrina

Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.