Bersalin adalah satu proses yang sangat menyakitkan dan memenatkan. Tak kisah sama ada anda bersalin secara normal atau pun melalui pembedahan.

Kedua-duanya bukanlah satu perjalanan yang mudah. Selepas anda selamat bersalin, salah satu daripada perkara yang paling dirisaukan ialah luka pada jahitan. Pastinya anda risau kalau luka anda lambat kering atau lagi teruk, ia dijangkiti kuman atau jahitan tertetas semula.

Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan info tentang tanda jahitan bersalin sudah sembuh serta petua dan tips yang boleh anda amalkan agar luka bersalin cepat kering.

tanda jahitan bersalin sudah sembuh
Sumber: Berpantangplus

Tips agar luka bersalin cepat kering dan sembuh

Pastinya anda ingin tahu apakah tips dan petua agar luka bersalin cepat kering dan sembuh. Tak kira sama ada luka episiotomi atau luka pembedahan, keduanya memerlukan penjagaan yang rapi agar perkara yang tidak diingini tidak berlaku kepada anda. Agar jahitan cepat kering dan sembuh, apa yang perlu anda lakukan ialah seperti berikut:

  • Cuci luka dengan kerap, sekurang-kurangnya 4 kali sehari. Anda boleh cuci luka dengan cecair saline yang boleh dibeli di farmasi. Untuk luka episiotomi, luka jahitan perlu dicuci setiap kali selepas anda membuang air kecil dan air besar.
  • Sapukan ubat kuning ke kawasan luka. Pastikan ubat kuning kena pada seluruh jahitan. Mungkin anda mengelap ubat luka dengan tisu atau kain gauze namun cara yang terbaik ialah dengan menggunakan botol spray. Spray ubat kuning ke arah jahitan dan pastikan semua luka dibahasi ubat kuning agar tiada kawasan yang tertinggal.
  • Keringkan luka sebelum memakai pakaian. Selepas anda mencuci luka dengan saline, kawasan jahitan perlu dianginkan buat seketika agar ianya benar-benar kering sebelum anda memakai pakaian semula. Untuk mengeringkan jahitan dengan cepat, anda boleh gunakan kipas angin atau hair dryer. Halakan kipas angin atau hair dryer ke arah luka dan biarkan sehingga jahitan terasa kering. Selepas itu barulah anda memakai pakaian. Adalah sangat penting untuk anda memastikan jahitan dan kawasan persekitaran betul-betul kering sebelum memakai pakaian bagi mengelakkan berlakunya jahitan kuman.
  • Salin pad dengan kerap. Tak perlu tunggu sehingga pad penuh. Setiap pad perlu ditukar sebaik sahaja mencecah 4 jam bagi mengelakkan berlakunya jangkitan kuman pada vagina dan luka jahitan. Amalan menjaga kebersihan adalah sangat penting bagi memastikan luka anda cepat kering dan tidak terkena jangkitan kuman apatah lagi bernanah.
  • Kurangkan bergerak. Berjalan dengan perlahan-lahan. Jika anda bersalin melalui pembedahan, tampung perut setiap kali anda bangun dari tempat tidur atau dari kedudukan duduk. Elakkan daripada melakukan kerja rumah. Banyakkan berehat kerana waktu berpantang adalah masa untuk anda memulihkan semula tubuh badan.
  • Orang tua mengatakan bahawa ikan haruan adalah sangat baik untuk menyembuhkan luka malah ia membantu luka untuk cepat bercantum dan mudah kering. Begitu juga dengan jeli gamat. Walau bagai mana pun, terdapat kajian moden yang mengatakan bahawa ikan haruan dan jeli gamat akan menyebabkan luka kelihatan sembuh di bahagian luar namun masih belum sembuh di bahagian dalam. Malah kedua-dua ikan haruan dan jeli gamat dikatakan boleh menyebabkan parut mempunyai kiloid atau isi berlebihan. Apa pun pilihan anda, sama ada untuk mengambil ikan haruan dan jeli gamat atau tidak, pastikan anda membuat pilihan selepas membaca semua pro dan kons nya.
  • Pengambilan makanan tambahan atau vitamin juga sebenarnya sangat membantu untuk menyembuhkan luka bersalin dan jahitan dengan cepat. Di antara vitamin yang sangat membantu dalam penyembuhan luka ialah vitamin C dan Zinc. Terdapat pelbagai jenama yang dijual di farmasi. Apa yang paling penting pastikan anda pilih jenama yang mempunyai kelulusan KKM. Selain mengambil supplement, anda juga boleh mendapatkan vitamin C semulajadi daripada buah oren.
  • Jika anda berasa sakit pada luka dan jahitan, anda boleh tekap kawasan yang sakit dengan pek ais. Kesejukan yang ditekap pada kawasan tersebut akan membuatkan ia menjadi kebas sekali gus menghilangkan kesakitan ya dialami. Namun jika anda mengalami kesakitan melampau yang tak dapat dihilangkan dengan cara menekap pek ais, anda boleh ambil ubat tahan sakit. Jika sakit tidak juga kurang, pergi ke klinik dengan segera untuk mendapatkan pemeriksaan.
  • Air rendaman garam juga sangat membantu untuk menyahkuman agar tiada jangkitan kuman berlaku pada luka dan jahitan bersalin anda. Untuk luka episiotomi, anda boleh isi air bersama garam ke dalam besen besar dan rendamkan diri ke dalamnya. Atau anda juga boleh masukkan air garam ke dalam botol spray dan spray ke kawasan luka. Ianya lebih mudah berbanding berendam di dalam besen.

Tanda luka bersalin sudah sembuh

Sekiranya luka anda sudah mulai sembuh, berikut adalah di antara tanda yang boleh anda perhatikan:

  • Luka dan jahitan kelihatan bercantum dengan cantik.
  • Luka anda kelihatan bersih.
  • Tiada kemerahan pada jahitan.
  • Tiada bengkak pada jahitan.
  • Tiada nanah pada jahitan.
  • Tiada kawasan luka dan jahitan yang terasa sakit apabila disentuh.
  • Tiada air atau cecair yang keluar dari luka dan jahitan.
  • Tiada benang yang terkeluar atau hilang dari jahitan.
  • Luka dan jahitan tidak berasa gatal
  • Jahita tidak terbuka atau kelihatan pelik.
  • Luka dan jahitan tidak kelihatan melecet.

Itulah dia info tentang tanda jahitan bersalin sudah sembuh serta tips dan petua selepas bersalin agar luka cepat kering. Semoga bermanfaat. Jika anda sukakan perkongsian kami pada hari ini, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang bersalin induce, makanan berangin dan tips cepatkan sembuh luka ceaserean.

"

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.