Tahukah anda? Terdapat beberapa tempat menarik di Taiping yang dikatakan tempat lagenda yang tertua di negara kita.

Istimewanya Taiping kerana tempat-tempat yang anda bakal lawati ini bukan sekadar untuk mengisi waktu cuti sahaja, tetapi juga anda dan keluarga dapat bercuti sambil belajar.

Anda boleh mulakan lawatan anda di Taiping dengan mengunjungi tempat-tempat bersejarah. Setelah isi minda dengan fakta-fakta sejarah, anda boleh melakukan aktiviti lasak seperti mendaki bukit.

Setelah penat beriadah, anda juga boleh ke tempat rekreasi air untuk menyegarkan diri. Cukup lengkap dan pelbagai jenis aktiviti yang ada boleh lakukan di Taiping. Pasti anda akan teruja untuk bercuti di sini.

 

20 Tempat Menarik di Taiping

1) Zoo Taiping

Imej via tripadvisor

Antara tarikan utama di Taiping adalah Zoo Taiping. Tahukah anda? Zoo Taiping adalah zoo yang pertama di Malaysia. Zoo ini berkeluasan 30 ekar serta memuatkan sekitar 1300 ekor haiwan yang bebas bergerak di dalam habitat semula jadi mereka. Selain itu, Zoo Taiping juga merupakan pelopor Night Safari di Malaysia. Haiwan-haiwan ini lebih aktif pada waktu malam. Semakin aktif haiwan-haiwan ini, semakin seronok anda dapat melihat pelbagai aksi haiwan di sini.

Istimewanya Zoo Taiping adalah aa terletak di dalam kawasan semulajadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki Bukit Larut (Maxwell Hill). Keindahan alam seperti aliran anak sungai, tasik, dan kehijauan flora menambahkan lagi keunikan Zoo Taiping dalam mempamerkan suasana semulajadi.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30pagi – 6.00petang)

Bayaran: Dewasa RM17 | Kanak-kanak RM8.50

Lokasi: Jalan Taman Tasik Taiping, Taman Tasik Taiping, 34000 Taiping

 

2) Muzium Perak

Imej via jmm

Muzium Perak merupakan institusi muzium tertua di negara ini yang diasaskan oleh Sir Hugh Low pada tahun 1883 yang menempatkan pelbagai koleksi spesimen zoologi, herbarium dan alat budaya masyarakat Melayu. Senibina mangunan muzium ini berentuk neo-klasik Inggeris.

Muzium ini mempamerkan lebih daripada 8000 koleksi barangan kebudayaan, arkeologi dan alam semula jadi. Sesetengah daripada bahan yang dipamerkan di sini telah diklasifikasikan sebagai koleksi limited edition yang berusia lebih daripada seratus tahun dan sukar ditemui ataupun semakin pupus. Antara yang dapat dilihat di muzium ini adalah spesimen haiwan, artifak kraftangan, tembikar dan banyak lagi.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (9.00pagi – 5.00petang)

Bayaran: Dewasa RM2 | Kanak-kanak Bawah 12 Tahun & Berpakaian Sekolah Percuma

Lokasi: Jalan Taming Sari, Taiping, 34000

 

3) Old House Museum

Imej via travelmalaysia

Old House Museum merupakan sebuah rumah kedai lama yang telah dibina pada sekitar tahun 1880 oleh seorang ahli perniagaan Cina, Lim Zi You.

Rumah kedai kayu ini terletak berhadapan dengan Market Square Taiping. Rumah kedai ini nampak kecil dari luar, jangan terkejut kerana kawasan di dalamnya besar memanjang ke belakang, malah dilengkapi dengan taman indoor.

Old House Museum dipenuhi dengan pelbagai barangan antik yang terdiri daripada perabot, tembikar China, koleksi radio-radio klasik dan banyak lagi. Barang-barang antik ini bukan sahaja untuk dipamerkan, malah ada sesetengahnya boleh dibeli.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00pagi – 6.00petang) | Sabtu & Ahad (9.30pagi – 6.00petang)

Bayaran: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM3 | Bawah 6 Tahun Percuma

Lokasi: 2A, Market Square, 34000 Taiping

 

4) Muzium Matang

Imej via jmm

Muzium Matang pada asalnya adalah sebuah rumah, kota dan juga pusat pentadbiran Larut. Koleksi pameran di muzium ini terdiri artifak berhubungkait dengan kronologi penubuhan bangunan dan penggunaan bangunan itu sendiri bermula daripada Ngah Ibrahim, Pemerintahan Inggeris, Pendudukan Jepun, Maktab Latihan Perguruan Melayu Matang dan Sekolah Melayu. Secara tidak lagsung, anda akan dapat belajar dan mengetahui sejarah zaman penjajah di Perak.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00pagi – 5.00petang)

Bayaran: Percuma

Lokasi: Kompleks Sejarah Matang, Jabatan Muzium & Antikuiti Kota Ngah Ibrahim, 34750 Matang, Taiping

 

5) Rumah Rehat Lama

Imej via arifjais

Rumah Rehat Lama yang kini dikenali sebagai Lagenda Inn, terletak berdekatan Stesen Keretapi Taiping.

Rumah Rehat Lama mula dibina pada 1887. Asalnya, ia sebuah bangunan satu tingkat yang dibina untuk dijadikan rumah kediaman gabenor Perak. Kemudian, ia dinaiktaraf oleh Pihak British menjadi bangunan batu dua tingkat pada tahun 1894.

Terpahat tulisan ‘Rest House 1894’ pada pediment rumah klasik ini, seterusnya menjadikan ia rumah rehat yang pertama di Tanah Melayu.

Lokasi: Rest House, Station Road, Taiping

 

6) Spritzer Eco Park

Imej via triphobo

Dengar nama Spritzer, mesti kita terbayang air mineral kan? Ya. Syarikat air mineral ini juga mempunyai hartanahnya tersendiri di Taiping, iaitu Spritzer Eco Park. Di taman rekreasi ini, selain daripada menikmati landskap taman yang cantik dan semulajdi, anda juga boleh mendapatkan info tentang pemprosesan air mineral di ruang The Discovery Tunnel.

Malah, terdapat juga ruang Kidz Zone bagi memberi peluang kepada kanak-kanak yang ingin menjalankan aktiviti reka cipta menggunakan barangan kitar semula seperti kotak dan botol minuman.

Terdpat juga lapangan mini golf sebanyak 18 lubang untuk anda sekeluarga beriadah bersama dengan bayaran yang berpatutan.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (11.00pagi & 3.00petang) | Sabtu (11.00pagi)

Lokasi: Lot 898, Jalan Reservoir, Off Jalan Air Kuning, 34000, Taiping

 

7) Bandar Taiping

Imej via lamanartikel

Ke mana-mana tempat bercuti yang anda lawati, pasti pusat bandarnya wajib anda singgah untuk melihat latar belakang tempat tersebut. Begitu juga sekiranya anda bercuti di Taiping. Bandar Taiping atau nama lamanya, Klian Pauh merupakan ibu kota kepada daerah Matang, Larut dan Selama.

Di bandar ini, anda akan dapat lihat banyak bangunan-bangunan lama tinggalan zaman penjajah British. Oleh kerana Taiping menjadi tempat pengeluaran bijih timah, maka haruslah bandar ini dibangunkan oleh penjajah Inggeris pada ketika itu. Tidak hairanlah, Taiping mempunyai banyak tempat yang menarik dan tertua dibina di Tanah Melayu.

Lokasi: Bandar Taiping, Perak

 

8) Masjid Lama Bandar Taiping

Imej via dreamstime

Masjid Lama Bandar Taiping terletak di tengah kesibukan bandar Taiping iaitu di Jalan Kota, Kampung Jambu di bandar tengah Taiping. Masjid Lama Bandar Taiping ini telah dibina pada tahun 1893 oleh keluarga Ngah Ibrahim sendiri.

Masjid ini sebenarnya telah dibina untuk menggantikan bangunan asal yang merupakan sebuah madrasah yang berdindingkan kayu. Pengaruh seni bina budaya Belanda telah menjadi inspirasi kepada arkitek untuk membina masjid pertama yang dibina daripada batu di bandar Taiping.

Masjid yang tertua di Taiping ini telah dibina lebih daripada 100 tahun. Dengan senibinanya yang unik, Masjid Lama Bandar Taiping telah digazetkan sebagai bangunan warisan di bandar ini.

Lokasi: Jalan Kota, Kampung Jambu, 34000 Taiping

 

9) Menara Jam Besar Taiping

Imej via dressarmedikinfo

Menara Jam Besar Taiping terletak ditengah-tengah bandar Taiping. Menara jam ini dibina pada tahun 1871. Rekabentuk menara jam ini telah dibuat oleh seorang arkitek berbangsa Inggeris manakala pembinaannya telah dilakukan oleh buruh tempatan bercirikan kolonial. Bangunan menara ini mempunyai pengaruh gaya rupa Palladian. Ianya menjadi mercu utama di bandar Taiping ini.

Menara jam ini asalnya merupakan sebuah Balai Polis Taiping yang dibina pada 1881. Kini ianya menjadi tarikan pe­ngunjung kerana dijadikan pejabat pusat pelancongan.

Lokasi: 55, Jalan Kota, 34000 Taiping

 

10) New Clock Tower

Imej via taiping.info

Satu lagi Menara jam yang terdapat di Taiping terletak berdekatan dengan pasar. Menara jam ini dikenali sebagai New Clock Tower. Ia memiliki reka bentuk yang sangat unik dengan kaca berwarna-warni yang agak menarik untuk dilihat.

Namun jam pada menara ini sudah tidak berfungsi lagi. Terdapat tulisan “Pasar Lamar, 1885.” pada bangunan Menara. Kebiasannya pelancong hanya singgah sebentar sahaja di sini untuk mengambil gambar kenangan.

Lokasi: Jalan Taming Sari, Taiping 34000

 

11) Taman Tasik Taiping

Imej via kosmo

Taman Tasik Taiping merupakan kawasan rekreasi bekas lombong bijih timah yang tertua di Malaysia. Taman ini sesuai untuk anda berkelah dan bersantai bersama keluarga di petang hari. Keindahan Taman Tasik Taiping sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Banyak juga filem yang menjalankan penggambaran di sini.

Banyak aktiviti dan kawasan menarik lain yang anda boleh lawati di sekitar Taman Tasik Taiping. Antaranya Taiping Equine Park yang menyediakan aktiviti menunggang kuda. Selain itu, anda akan dapat lihat deretan kubur yang sangat tersusun di Taiping War Cemetery. Di sini juga terdapat kawasan air terjun dengan kemudahan asas untuk orang ramai iaitu Burmese Pool Waterfall.

Lokasi: Taiping Lake Garden, 12, Medan Istana 2

 

12) Taiping Equine Park

Imej via tripadvisor

Aktiviti menunggang kuda akan menjadikan percutian anda di Taiping lain daripada yang lain. Ini kerana, tidak semua tempat bercuti ada taman kuda seperti ini. Malah, tidak ada bayaran dikenakan untuk memasuki Taiping Equine Park.

Anda boleh membeli lobak merah yang dijual di sini untuk memberi makan kepada kuda. Selain itu, anda juga boleh bersiar-siar sekitar taman ini untuk melihat kendang kuda, kawasan aktiviti dan terapi kuda.

Waktu Operasi: Selasa – Jumaat (8.30pagi – 11.00pagi & 3.30petang – 7.00malam) | Sabtu & Ahad (8.30pagi – 7.00malam)

Bayaran: Percuma

Lokasi: Taiping Equine Recreation,Jalan Bukit Larut, 34000 Taiping

 

13) Burmese Pool

Imej via placesmap

Burmese Pool merupakan kawasan perkelahan yang popular di Taiping. Ia terletak di Kaki Bukit Larut. Kolam ini dibina pada tahun 1870 dan merupakan kolam renang pertama dibangunkan di Malaysia. Suasana alam sekitar yang mendamaikan, disamping airnya yang jernih menjadi tarikan utama pengunjung untuk datang mandi-manda di Burmese Pool.

Waktu Operasi: Setiap hari (8.00 pagi – 5.00 petang)

Lokasi: Burmese Pool, Taman Sentosa, Taiping

 

14) Air Terjun Pecah Batu

Imej via flickriver

Selain Burmese Pool, ada satu lagi kawasan mandi-mandi ditemani alam semulajadi yang anda boleh lawati, iaitu Air Terjun Pecah Batu. Air terjun ini terletak di kaki Gunung Bubu, Trong. Kawasan ini jauh dari bandar Taiping, jauh dari pembangunan, membuatkan ia suatu kawasan yang terpelihara dengan alam semulajadi dan udara yang segar.

Suasana di sini amat tenang dan mendamaikan. Air terjunnya juga cantik. Terdapat tempat mandi yang cetek sesuai buat kanak-kanak. Namun, terdapat juga kawasan air dalam yang sesuai untuk orang dewasa. Sekiranya anda inginkan kawasan air terjun yang lebih cantik, anda boleh memanjat ke kawasan lebih atas.

Walau bagaimanapun, sekiranya cuaca kurang elok atau hari hujan, anda dinasihatkan tidak bermandi-manda di kawasan ini untuk elakkan fenomena kepala air.

Lokasi: Jalan Kuala Trong, 34800 Trong

 

15) Bukit Larut

Imej via sendukkampongku

Bukit Larut merupakan kawasan reakreasi Tanah Tinggi di negeri Perak. Bukit Larut atau Bukit Maxwell dinamakan sempena residen British ketika itu iaitu George Maxwell pada 1880. Kawasan ini merupakan kawasan tanah tinggi yang paling basah di Malaysia. Hampir setiap hari pada waktu petang, hujan bukit turun di kawasan ini.

Suhu pada hari siang ialah di antara 15 hingga 25 darjah Celsius dan boleh mencecah 10 darjah Celsius pada waktu malam.

Bagi anda yang menggemari aktiviti mendaki, jangan lepaskan peluang ini untuk mendaki Bukit Larut yang berketinggian 1250 meter dari paras laut. Laluan untuk mendaki juga telah ditar. Ini memudahkan anda untuk sampai ke puncak. Namun, bagi yang tidak mahu mendaki, khidmat sewa jeep turut disediakan dengan kadar bayaran yang berpatutan.

Waktu Operasi: 7.00pagi – 5.00petang

Bayaran: RM10 (Sewa Jeep)

Lokasi: Maxwell Hill, Pegawai Penjaga Bukit Larut, Taiping, Perak, 34000 Taiping

 

16) Kuala Sepetang

Imej via guidetrip

Kuala Sepetang atau nama lamanya Port Weld adalah sebuah perkampungan nelayan. Ia terletak kira-kira 12km dari Bandar Taiping. Kuala Sepetang juga amat sinonim dengan mee udang. Terdapat banyak kedai yang menyajikan mee udang dengan pelbagai kualiti dan citarasa.

Selain mee udang, antara aktiviti lain yang boleh anda lakukan di sini adalah melawat kilang arang, ikan masin dan kelip-kelip. Malah, tarikan utama kebanyakan pelancong di Kuala Sepetang adalah Hutan Paya Bakau Matang.

Lokasi: Kuala Sepetang, Perak

 

17) Matang Mangrove Forest Reserve

Imej via travelmalaysia

Matang Mangrove Forest Reserve merupakan hutan paya bakau yang terbesar di Malaysia dengan berkeluasan lebih daripada 40,000 hektar. Ia juga telah digazetkan sebagai hutan simpan sejak tahun 1906 seterusnya membuatkan Matang Mangrove Forest Reserve merupakan hutan simpan yang tertua di negara ini.

Lokasi: Kampung Kuala Sepetang, 34650 Kuala Sepetang

 

18) Stesen Keretapi Taiping

Imej via mazidulakmal

Stesen Keretapi Taiping adalah stesen keretapi pertama di Tanah Melayu. Ia dibina pada tahun 1882 di tanah Sekolah Rendah King Edward VII sekarang diletak. Ia terbuka secara rasmi pada tahun 1885 oleh Sir Hugh Low, Residen British Perak yang pertama.

Antara 1890 ke awal 1990-an, stesen ini dipindah dari tempat asalnya ke aliran utama. Landasan keretapi ini dibina untuk menghubungkan Taiping ke Port Weld atau Kuala Sepetang untuk mengangkut bijih timah.

Stesen ini tidak lagi beroperasi, tetapi masih dikekalkan untuk tatapan umum. Landasannya pula telah dibuang pada sekitar pertengahan tahun 1980-an.

Lokasi: Stesen Keretapi Taiping, 34000 Taiping

 

19) Bukit Merah Laketown Resort

Imej via bharian

Tempat percutian Bukit Merah Laketown Resort merupakan destinasi percutian yang menyeronokkan bagi anda sekeluarga. Tempat ini mempunyai 2 jenis taman iaitu Waterpark dan Ecopark.

Antara aktiviti menarik yang dapat anda lakukan di Ecopark ini seperti Skycycle, Nature Trail dan Tropical Trail. Bahagian-bahagian taman yang terdapat di sini pula adalah seperti Reptile Park dan Pets Parks. Manakala Waterpark pula terdapat Body Slides, Water Speed Slides, Activity Pool, Lazy River, Kids Adventure River, Jumbo Shower, Water Pillar dan banyak lagi.

Lokasi: Jalan Bukit Merah Semanggol, 34400 Simpang Ampat Semanggol

 

20) 5D Art Paradise Taiping

Imej via facebook

Galeri multi-dimensi semakin banyak wujud di tempat pelancongan di negara kita, termasuklah Taiping. Di 5D Art Paradise Taiping, anda boleh bergambar aksi bebas mengikut kreativiti masing-masing. Sebelum datang ke sini, pastikan bateri telefon pintar anda penuh agar anda dapat berkreativiti sepuas hati dan mengabadikan setiap gambar mural dalam galeri telefon pintar anda.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 7.30pm)

Bayaran: 131 cm & Keatas RM25 | 91 cm – 130 cm RM20

Lokasi: No 25, Jalan Maharajalela, 34000 Taiping, Perak

 

Artikel Menarik Tempat Lain

Bagaimana dengan senarai tempat menarik di Taiping yang dikongsikan? Anda teruja?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel tempat lain untuk di lawati.

Penulis: Aniuna

Avatar

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.