Ibu bapa yang mendapat cahayamata baru pastinya sangat teruja dengan perkembangan dan pertumbuhan bayi anda. Keterujaan anda pastinya tidak terkata sekiranya ia adalah bayi pertama anda. Setiap hari pastinya anda akan memerhatikan apakah perkara baru yang berlaku kepada bayi anda.

Hari ini bayi anda sudah pandai tersenyum. Hari ini bayi anda sudah boleh mengambil mainan yang diletakkan di hadapannya. Satu lagi perkembangan yang paling menerujakan ibu bapa ialah pertumbuhan gigi bayi. Pastinya anda tak sabar menunggu gigi pertama bayi anda keluar, bukan? Istimewa untuk anda jom kami kongsikan tahap pertumbuhan gigi bayi sebagai panduan.

Sumber: Hellosehat

Gigi kacip pertama

Gigi kacip pertama di rahang atas bayi anda biasanya akan tumbuh sekitar bayi anda berumur 8 sehingga 12 bulan. Ia akan tumbuh secara berpasangan, iaitu dua batang gigi sebelah-menyebelah. Mungkin kedua-dua gigi akan keluar serentak, dan mungkin juga ia akan keluar berasingan namun dalam jangka masa yang dekat.

Sementara gigi kacip pertama di rahang bawah bayi anda akan tumbuh lebih awal, iaitu semasa bayi anda berumur sekitar 6 sehingga 10 bulan. Ini adalah gigi pertama yang akan tumbuh pada bayi anda. Apa pun, hati-hati ye mama, apabila bayi anda sudah mempunyai gigi, anda mungkin akan digigit semasa bayi anda menyusu.

Anda sudah boleh mula memberus gigi bayi anda. Gigi kacip pertama rahang atas dan rahang bawah biasanya akan luruh semasa anak anda berumur 7 sehingga 8 tahun.

Gigi kacip kedua

Gigi kacip kedua pada rahang atas pula biasanya akan tumbuh sekitar bulan ke 8 sehingga bulan 9. Biasanya ia tidak akan mempunyai jarak yang lama dengan pertumbuhan gigi kacip pertama. Bagi gigi kacip kedua, biasanya ia akan gugur semasa anak anda berumur 8 sehingga 9 tahun, dan ianya berbeza di antara satu anak dan anak yang lain.

Sementara gigi kacip kedua pada rahang bawah biasanya akan tumbuh semasa baui anda berumur 10 sehingga 16 bulan. Anda mungkin perasan bahawa jarak di antara pertumbuhan gigi kacip kedua di rahang atas dan rahang bawah berlaku dalam jarak masa yang agak lama.

Gigi taring

Seterusnya, gigi yang akan tumbuh pada bayi anda ialah gigi taring pada rahang atas. Berdasarkan carta tahap pertumbuhan bayi, biasanya gigi taring bayi akan tumbuh semasa bayi berumur 16 sehingga 22 bulan. Ia mengambil masa yang agak lama dari pertumbuhan gigi kacip kedua dan peetumbuhan gigi taring. Biasanya gigi taring anak anda akan gugur pada umur 10 sehingga 12 tahun.

Sementara gigi taring rahang bawah bayi anda akan tumbuh semasa bayi anda berumur sekitar 17 sehingga 23 bulan, iaitu lebih kurang sama dengan pertumbuhan gigi taring di rahang atas. Ia juga biasanya luruh pada umur anak anda 10 sehingga 12 tahun.

Sumber: Todaysparent

Gigi geraham pertama

Semasa bayi anda berumur 13 sehingga 19 bulan, gigi geraham pertama di rahang atas bayi anda akan tumbuh. Apabila bayi anda sudah mempunyai gigi geraham, bermakna bayi anda sudah boleh mula mengunyah makanannya sendiri. Anda sudah boleh memperkenalkan makanan yang lembut seperti buah-buahan lembut seperti pisang, betik, anggur. Anda juga boleh berikan cheese stick untuk anda kunyah. Anda tidak perlu lagi memberikan bubur kepada bayi anda. Biasanya gigi geraham pertama akan gugur semasa anak anda berumur 9 sehingga 11 tahun.

Sementara gigi geraham pertama pada rahang bawah bayi anda akan tumbuh sedikit lewat iaitu sekitar bayi anda berumur 14 sehingga 18 bulan. Seperti gigi geraham pertama rahang atas, ia juga akan gugur semasa anak anda berumur 9 sehingga 11 tahun.

Gigi geraham kedua

Gigi geraham kedua pada rahang atas bayi anda akan tumbuh semasa bayi anda berumur sekitar 25 sehingga 33 bulan. Pada masa ini, bayi anda sudah boleh makan makanan pejal seperti kanak-kanak yang lain. Adalah sangat penting untuk anda menjaga kebersihan gigi bayi anda dan mengawal pengambilan gula dalam diet seharian bagi mengelakkan masalah kerosakan gigi. Gigi geraham kedua biasanya akan gugur semasa anak anda berumur 10 sehingga 12 tahun.

Sementara gigi geraham kedua pada rahang bawah bayi anda akan tumbuh sekitar bayi anda berumur 23 sehingga 31 bulan, iaitu lebih awal daripada gigi geraham rahang atas. Seperti gigi geraham rahang atas, ia juga akan gugur semasa bayi anda berumur 10 sehingga 12 tahun.

Apakah tanda bayi nak tumbuh gigi?

Pastinya anda tertanya-tanya apakah tanda bayi anda nak tumbuh gigi. Berikut adalah beberapa tanda yang biasanya akan ditunjukkan semasa bayi anda nak tumbuh gigi:

  • Air liur bayi anda sentiasa meleleh
  • Bayi anda sentiasa bermain gusinya kerana gatal atau sakit pada gusi
  • Bayi anda suka memasukkan jari ke dalam mulut dan menggigit jari untuk menghilangkan gatal dan kesakitan pada gusi
  • Bayi anda suka memasukkan objek terutamanya mainan ke dalam mulut dan menggigitnya untuk menghilangkan gatal atau sakit pada gusi
  • Bayi anda akan menarik telinganya kerana sakit gusi di bahagian belakang rahang terutamanya jika gigi geraham nak tumbuh
  • Mungkin akan naik ruam di muka dan leher bayi anda semasa proses pertumbuhan gigi
  • Bayi anda mungkin meragam akibat kesakitan semasa gigi mahu menembusi gusi dan menyebabkan koyakan pada gusi
  • Bayi anda mungkin akan demam dengan suhu yang rendah semasa gigi tumbuh
Sumber: Parenting

Itulah dia info tentang tahap pertumbuhan gigi bayi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami, anda mungkin sukakan artikel kami tentang punca bayi mengangis malam, sunnah menyambut bayi, dan mainan bayi mengikut kesesuaian umur.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.