Anak luar nikah atau anak tidak sah taraf adalah suci seperti bayi lain yang dilahirkan di dunia. Tiada sebab untuk kita memandang anak tersebut dengan pandangan serong.

Anak tidak sah taraf juga perlu didaftarkan bagi mengelakkan masalah pada kemudian hari terutamanya isu kewarganegaraan dan urusan persekolahan.

Untuk makluman anda, cara buat surat beranak anak luar nikah lebih kurang sama sahaja prosesnya seperti pendaftaran anak yang lahir dalam pernikahan yang sah. Tahukah anda? Anak luar nikah boleh dibin dan dibintikan dengan nama ayahnya. Namun ada syaratnya. Nak tahu apa dia? Jom baca perkongsian kami hari ini tentang cara buat surat beranak anak luar nikah.

cara buat surat beranak anak luar nikah
Sumber: Todayparents

1. Di manakah tempat untuk membuat surat beranak?

Pendaftaran kelahiran semua bayi yang dilahirkan di Malaysia boleh dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara. Terdapat banyak cawangan Jabatan Pendaftaran Negara di seluruh Malaysia dan anda boleh pergi ke mana-mana cawangan yang terdekat.

Untuk memudahkan urusan dan mengelakkan daripada anda perlu pergi beberapa kali, pastikan anda membawa semua dokumen yang berkaitan dan memenuhi kesemua syarat yang seterusnya.

2. Siapa yang boleh membuat surat beranak anak luar nikah?

Menurut Jabatan Pendaftaran Negara, pendaftaran kelahiran bayi bagi tujuan mendapatkan surat beranak boleh oleh salah seorang daripada senarai yang berikut:

  • Bapa kepada bayi tersebut
  • Ibu kepada bayi tersebut
  • Orang yang tinggal serumah di alamat di mana bayi tersebut dilahirkan
  • Sesiapa yang menyaksikan kelahiran bayi tersebut
  • Sesiapa yang menjaga bayi tersebut ( penjaga )

3. Bila pendaftaran kelahiran bayi dan permohonan surat beranak boleh dilakukan?

Pendaftaran kelahiran bayi perlu dilakukan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kelahiran. Pendaftaran selepas 60 hari dianggap sebagai pendaftaran kelahiran lewat dan denda akan dikenakan. Pendaftaran kelahiran lewat hanya boleh dilakukan oleh:

  • Ibu dan bapa bapa bayi
  • Ibu atau bapa dan seorang penganjur yang tahu tentang kelahiran bayi tersebut. Penganjur perlu berumur sekurang-kurangnya 15 tahun daripada bayi yang didaftarkan. Penganjur hanya boleh digunakan sekiranya ibu atau bapa bayi tidak dapat dikesan atau sudah meninggal dunia
  • Dua orang penganjur yang mengetahui tentang kelahiran bayi tersebut. Umur kedua-dua penganjur perlu 21 tahun ke atas dan kedua-dua penganjur berumur 15 tahun lebih tua daripada bayi yang didaftarkan. Penganjur jenis ini hanya boleh digunakan untuk mendaftarkan bayi di mana kedua-dua ibu bapanya tidak dapat dikesan atau sudah meninggal dunia
  • Dua orang penganjur yang merupakan Pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat atau dua orang individu yang diberikan hak penjagaan bayi tersebut mengikut Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991. Penganjur jenis ini boleh digunapakai bagi kes bayi yang dijumpai terdampardan tidak diketahui asal-usulnya

Pemohonan pendaftaran lewat kelahiran boleh dibuat di mana-mana Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di seluruh Semenanjung Malaysia. Bayaran denda yang akan dikenakan ke atas anda ialah:

  • Bayaran carian daftar kelahiran : RM5.00
  • Bayaran proses Permohonan Daftar Lewat Kelahiran: RM10.00
  • Bayaran denda : Tidak melebihi RM50.00

Walau bagaimana pun, sekiranya kelewatan mendaftar berlaku disebabkan oleh masalah atau kes serius yang tidak dapat dielakkan, anda tidak perlu membayar denda tersebut. terdapat beberapa kelonggaran yang akan diberikan kepada anda.

cara buat surat beranak anak luar nikah
Sumber: Ejardtenuk

4. Apakah dokumen yang diperlukan untuk mendaftar kelahiran bayi dan membuat surat beranak anak luar nikah?

Untuk melakukan pendaftaran kelahiran dan membuat surat beranak untuk anak tidak sah taraf, anda perlu membawa dokumen berikut:

Dokumen Bayi ( Salinan Dan Asal ):

  • Borang Daftar Kelahiran JPN.LM01 yang siap diisi 
  • Borang Pengesahan Kelahiran dari hospital atau Surat Akuan Bidan/Doktor untuk mereka yang bersalin di rumah
  • Kad Pranatal (Buku Merah)

Dokumen Ibu Bapa ( Salinan Dan Asal ):

  • Kad Pengenalan / Pasport ibu dan bapa bayi
  • Sijil Kematian ibu dan bapa bayi ( jika berkaitan )
  • Sijil Perkahwinan atau Perceraian

Dokumen Pemaklum / Wakil Ibu Bapa ( Salinan Dan Asal )

  • Kad Pengenalan / Pasport pemaklum

5. Berapakah bayaran untuk mendaftar kelahiran dan membuat surat beranak?

Pendaftaran dan permohonan surat beranak adalah percuma asalkan dilakukan dalam tempoh 60 hari dari kelahiran.

6. Bagaimana proses untuk menamakan ayah kandung sebagai bin atau binti anak luar nikah?

Proses pendaftaran dan permohonan surat beranak adalah sama seperti yang kami nyatakan di atas. Bezanya, semasa surat beranak dikeluarkan, pada ruang bapa tidak akan ada sebarang maklumat yang dicatatkan. Dan anak akan dibin atau bintikan dengan Abdullah. Kemudian anda boleh pergi ke Mahkamah Rayuan untuk memohon nama ayah kandung dimasukkan sebagai bin atau binti dalam surat beranak anak luar nikah tersebut.

Syarat bagi permohonan tersebut ialah:

  • Permohonan dibuat oleh ibu dan lelaki yang mendakwa dirinya sebagai bapa kandung bayi tersebut
  • Lelaki yang mengaku sebagai bapa kepada kanak-kanak tersebut perlu menandatangani daftar kelahiran bersama-sama  dengan ibu kanak-kanak
  • Bayi berumur dibawah 6 bulan
  • Bayi lahir tidak kurang daripada 6 bulan daripada tempoh perkahwinan
cara buat surat beranak anak luar nikah
Sumber: Healthline

Itulah dia info tentang cara buat surat beranak anak luar nikah yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Sebagai kata penutup, setiap bayi yang dilahirkan adalah suci seperti kain putih yang bersih. Adalah sangat kejam sekiranya dosa dan kesilapan yang dilakukan oleh kedua ibu bapanya kita palitkan kepada bayi yang bersih dan tidak tahu apa-apa.

Jika anda sukakan perkongsian kami tentang isu ini, anda juga mungkin akan menyukai artikel kami tentang jadual imunisasi bayi di Malaysia, petua hilangkan selsema bayi, dan punca bayi menangis.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.