Dewasa ini, suplemen atau makanan tambahan merupakan di antara perkara wajib bagi setiap individu yang mementingkan kesihatan dan kecergasan diri. Apatah lagi dengan gaya hidup sekarang di mana pemakanan kita tidak lagi seperti dulu khasiatnya dan persekitaran juga semakin tercemar.

Bagi ibu mengandung, suplemen adalah di antara perkara yang paling dititik beratkan seawal anda membuat buku pink di klinik. Anda akan terus dibekalkan dengan vitamin prenatal yang perlu diambil setiap hari. Pastinya anda nak tahu apakah suplemen untuk ibu hamil yang paling penting bagi memastikan bayi dalam kandungan anda sentiasa sihat dan membesar dengan baik.

suplemen untuk ibu mengandung
Sumber: Haibunda

Asid folik

Asid folik adalah sangat sinonim dengan ibu mengandung. Bagi wanita-wanita yang mementingkan kesihatan, kebiasaannya mereka akan mula mengambil asid folik seawal mereka merancang untuk mengandung.

Ini kerana asid folik sebaiknya diambil seawal 3 bulan sebelum anda mengandung bagi memastikan tubuh badan anda mempunyai folat yang mencukupi pada tahap awal kehamilan.

Folate berfungsi untuk memastikan sistem saraf tunjang bayi anda terbentuk dengan sempurna dan mengelakkan kecacatan pada tulang belakang seperti spina bifida. Berapa banyak folate diperlukan oleh ibu mengandung setiap hari? Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, setiap ibu mengandung memerlukan 400mcg asid folik setiap hari bagi 12 minggu pertama kehamilan. Namun dos asid folik boleh dinaikkan kepada 5mg bagi ibu yang mengalami keadaan berikut:

  • Ibu hamil yang mempunyai sejarah bayi dengan kecacatan tiub neural dalam kehamilan terdahulu.
  • Ibu hamil yang sedang mengambil sebarang ubat anti-epileptik.
  • Ibu hamil yang mempunyai penyakit kencing manis

Selain pil asid folik yang dibekalkan oleh klinik kesihatan, anda juga boleh mendapatkan asid folik daripada sumber makanan semulajadi seperti brokoli, almond, avokado, sayuran hijau, dan kekacang.

Zat besi

Ibu mengandung juga sangat memerlukan zat besi kerana zat besi membantu pembentukan sel darah merah. Sepanjang proses kehamilan, tubuh badan anda memerlukan darah dengan kuantiti yang lebih banyak untuk disalurkan kepada bayi dalam kandungan. Jika anda kekurangan darah, anda akan mengalami masalah anemia yang boleh menjejaskan kandungan.

Kekurangan zat besi juga dikaitkan dengan kelahiran bayi pra-matang. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda makan pil zat besi anda setiap hari untuk mengurangkan risiko bayi anda dilahirkan tak cukup bulan. Selain vitamin, zat besi juga boleh diperolehi daripada makanan segar seperti daging merah, kismis, kurma, kekacang dan sayur-sayuran.

Kalsium

Sepanjang tempoh kehamilan, adalah sangat penting untuk anda memastikan bahawa pengambilan kalsium dalam diet seharian adalah mencukupi agar tubuh badan anda dan bayi dalam kandungan mendapat kalsium yang diperlukan. Kalsium sangat penting untuk pertumbuhan gigi dan tulang bayi anda. Selain itu, ia juga menjaga kesihatan tulang dan gigi anda agar tidak rosak dan mereput akibat kesemua kalsium diserap oleh bayi anda.

Jika anda selalu kejang otot, krem, atau mengalami masalah simpul mengkarung, ianya boleh diatasi dengan pengambilan kalsium yang secukupnya. Apa yang paling penting, ianya juga mencegah masalah kerosakan gigi sepanjang tempoh kehamilan. Apa yang lebih utama, pengambilan kalsium yang secukupnya membantu mencegah pre-eklampsia yang boleh menjejaskan nyawa anda dan bayi dalam kandungan.

Berapa banyak kalsium yang anda perlukan setiap hari? Pengambilan kalsium yang dicadangkan untuk ibu mengandung di Malaysia ialah sebanyak 1300 mg bagi ibu yang berumur 14-18 tahun dan 1000 mg bagi ibu berumur 19-50 tahun. Anda juga boleh mendapatkan kalsium daripada produk tenusu seperti susu, keju, dan yogurt.

Omega 3 DHA dan EPA

Omega 3 adalah salah satu asid lemak perlu yang sangat baik untuk ibu mengandung. Ia membantu mencerdaskan otak dan mengurangkan masalah pelupa yang biasa dialami oleh ibu mengandung. Ia juga membantu perkembangan otak yang baik untuk bayi dalam kandungan anda. Selain dalam vitamin, anda juga boleh mendapatkan Omega 3 dari ikan, terutamanya ikan salmon yang sangat kaya dengan Omega 3, DHa, dan EPA.

B Complex

Vitamin B sangat baik untuk emosi anda. Ia dikenali sebagai vitamin bahagia. Pengambilan B Complex sepanjang tempoh kehamilan membantu mengurangkan masalah mood swing yang biasa dialami oleh ibu mengandung akibat ketidakstabilan hormon yang sedang dilalui oleh tubuh badan anda. Selain itu, B Complex juga membantu pembentukan sel darah merah agar tubuh badan anda mempunyai bekalan darah yang secukupnya.

Vitamin C

Vitamin C adalah vitamin penting yang diperlukan oleh setiap manusia. Di antara fungsi utama vitamin C ialah untuk meningkatkan imuniti agar tubuh badan tidak mudah jatuh sakit. Selain itu, pengambilan vitamin C juga membantu tubuh badan menyerap zat besi dengan lebih baik. Oleh itu, pastikan anda mengambil vitamin C yang secukupnya setiap hari. Anda boleh mendapat kebaikan vitamin C dari makanan seperti oren, kiwi, epal hijau, tomato, pisang, dan bawang putih.

Vitamin D

Vitamin D berfungsi untuk mengekalkan tahap kalsium dan fosforus di dalam badan lalu memberikan tulang dan gigi yang sihat kepada anda. Vitamin D boleh diperolehi dari sinaran matahari pada awal pagi, dan boleh juga diperolehi dari makanan seperti ikan sardin, ikan mackerel, ikan salmon, telur dan daging.

Itulah dia info tentang suplemen untuk ibu hamil yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang pantang-larang ibu mengandung, surah amalan ibu mengandung, dan tanda keguguran.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.