Strok haba seringkali diperkatakan tiap kali berlakunya musim panas dan kemarau di Malaysia. Malah baru-baru ini, negara kita digemparkan dengan kes kematian seorang pelajar yang terkena strok haba semasa bermain bola sepak di tengah panas terik.

Malah jiran kami sendiri, meninggal dunia akibat strok haba setelah berbasikal dalam panas terik untuk balik dari tempat kerjanya. Apakah sebenarnya strok haba? Macam mana strok haba boleh menyebabkan kematian?

strok haba

Sumber: Matagor

Maksud strok haba?

Strok haba atau juga dikenali sebagai renjatan haba adalah keadaan di mana suhu badan seseorang meningkat dengan cepat ke paras 41 darjah celcius atau lebih akibat terdedah kepada cuaca panas yang berterusan semasa menjalankan aktiviti fizikal.

Strok haba biasanya berlaku semasa cuaca terlalu panas. Itulah sebabnya kenapa anda dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar semasa cuaca terlalu panas.

Apakah punca strok haba?

Strok haba berlaku berpunca daripada kehilangan air dan garam galian dalam badan secara mendadak. Apabila anda berjemur dibawah panas matahari yang terlalu terik untuk tempoh masa yang terlalu lama, badan anda akan kehilangan air dan garam galian melalui proses perpeluhan.

Semakin panas cuaca, semakin banyak anda akan berpeluh. Semakin banyak anda berpeluh, semakin banyak air dan garam galian akan keluar dari tubuh badan anda. Jika anda tidak minum air secukupnya untuk menggantikan air dan garam galian yang hilang dari badan, anda akan terkena strok haba.

Apakah simptom strok haba?

Apabila anda terkena strok haba, tubuh badan anda akan mengeluarkan simptom-simptom berikut sebagai petanda atau warning:

  • Peningkatan suhu badan secara mendadak melebihi 41 darjah celcius. Anda akan perasan tubuh badan anda menjadi terlalu panas seperti terkena demam yang sangat tinggi.
  • Denyutan jantung anda akan menjadi terlalu laju. Oleh itu, jika anda berada terlalu lama di luar semasa cuaca panas terik, perhatikan kadar denyutan jantung anda. Jika jantung anda berdegup dengan terlalu laju, ia mungkin petanda anda terkena strok haba. Segera masuk ke tempat yang sejuk, berehat, dan minum air dengan banyak untuk menggantikan air dan garam galian yang hilang dari tubuh badan anda semasa berjemur di luar tadi.
  • Pernafasan menjadi cepat dan pendek. Satu lagi simptom anda terkena strok haba ialah pernafasan anda akan menjadi semakin cepat dan pendek. Anda akan berasa seperti semput dan tidak puas untuk bernafas seolah-olah terkena serangan asma. Perhatikan tanda ini jika anda berjemur di luar semasa cuaca terlalu panas.
  • Tekanan darah dalam badan anda menurun. Secara asasnya, anda mungkin tidak akan tahu sama ada tekanan darah anda normal, terlalu tinggi, atau terlalu rendah. Namun, Allah telah mencipta tubuh badan anda dengan cukup sempurna. Tubuh badan anda akan mengeluarkan signal sekiranya ada yang tidak kena. Sebagai contoh, apabila tekanan darah anda menurun, secara automatik anda akan berasa pening dan seolah-olah berpusing. Oleh itu, jika anda berasa pening semasa berada dalam cuaca yang panas, hati-hati. Mungkin ia merupakan salah satu tanda bahawa anda terkena strok haba.
  • Badan menjadi kering dan panas. Satu lagi simptom strok haba ialah badan anda terasa kering dan panas akibat kehilangan banyak air dan garam galian. Jika anda berasa kering dan panas, segera masuk ke dalam bangunan dan minum air kosong dengan banyak untuk menggantikan semula air dan garam galian yang hilang. Jangan abaikan signal yang diberikan oleh tubuh badan anda kerana ia boleh menyebabkan kematian.
  • Anda berasa tidak selesa, keliru dan mungkin menjadi tidak sedar. Kebiasaannya, mereka yang terkena strok haba akan mula berasa gelisah dan tidak selesa. Seolah-olah ada yang tak kena. Ini berlaku kerana badan anda sudah tidak dapat berfungsi dengan baik akibat kehilangan air dan garam galian yang banyak. Selain berasa tidak selesa dan gelisah, anda juga akan berasa keliru, kerana anda tidak faham kenapa anda sedang melalui keadaan tersebut. Apabila keadaan menjadi semakin parah, anda mungkin akan jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri.
  • Kepala anda rasa berpusing. Ini berlaku kerana tubuh badan anda kehilangan terlalu banyak air dan garam galian, dan juga disebababkan oleh tekanan darah yang rendah.
  • Anda berasa pening. Seperti kepala rasa berpusing, anda juga berasa pening kerana tubuh badan anda kehilangan terlalu banyak air dan garam galian, dan juga disebababkan oleh tekanan darah yang rendah.
  • Anda berasa mual. Seperti kepala rasa berpusing, anda juga berasa mual kerana tubuh badan anda kehilangan terlalu banyak air dan garam galian, dan juga disebababkan oleh tekanan darah yang rendah.
  • Anda diserang sawan. Anda mungkin diserang sawan apabila paras air, garam galian, dan tekanan darah anda menjadi terlalu rendah.
  • Anda mungkin pengsan. Akhir sekali, anda juga mungkin akan pengsan kerana badan anda tidak lagi mampu menanggung keadaan tekanan darah yang terlalu rendah dan suhu badan yang terlalu tinggi, ditambah lagi dengan kandungan air dan garam galian yang terlalu sedikit dalam tubuh badan.
strok haba

Sumber: Youtube

Apakah rawatan untuk strok haba?

Rawatan untuk strok haba boleh dibahagikan kepada dua iaitu rawatan di tempat kejadian dan rawatan di hospital. Bagi rawatan di tempat kejadian, orang di sekeliling boleh:

  • Alihkan mangsa ke tempat yang sejuk
  • Sejukkan mangsa dengan menyiram air sejuk
  • Kipaskan mangsa
  • Sekiranya mangsa dalam keadaan sedar, berikan minuman sejuk
  • Telefon 999 dengan kadar segera

Setibanya di hospital, mangsa akan:

  • Diperiksa kadar denyutan nadi, tekanan darah, kadar pernafasan dan tahap kesedaran untuk memastikan tahap keseriusan strok haba yang dialami
  • Sekiranya mangsa disahkan terkena strok haba, rawatan akan diberikan dengan kadar segera

Itulah dia info tentang strok haba yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang meruang, pil perancang, dan bahaya aluminium kepada kesihatan.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.