Masih ingatkah kita tatkala pertama kali menjadi ibu bapa? Ianya merupakan detik-detik terindah dalam hidup kerana dianugerahkan Allah dengan kurniaan yang sungguh istimewa.

Dengan kelahiran insan baru dalam kehidupan kita, segala-galanya pasti berubah. Rutin harian kita juga turut berubah dan segalanya lebih berfokus kepada insan kecil ini.

Semakin hari, si kecil menunjukkan perkembangan yang baik dan menjadi semakin bijak. Tidak dinafikan bahawa kadang kala, insan kecil ini sering kali menguji kesabaran kita sebagai ibu dan ayah. Lalu ibu dan ayah akan bertukar menjadi ‘singa’ atau ‘raksaksa’ di kala kesabaran itu tidak dapat dibendung lagi.

Mungkin kita akan tertanya-tanya, bagaimanakah teknik keibubapaan yang terbaik untuk dipraktikkan agar menjadi ibu dan ayah yang hebat buat anak-anak.

Mari ikuti beberapa tips ‘stress free parenting’ yang dikongsikan oleh Dr. Siti Rohana Abd Rahman (Fauzan N Siti) dalam ‘Seminar Ibu Hebat Anak Cemerlang’ di Johor Bahru.

Foto Kredit : halallifemag.com

7 TIPS ‘STRESS FREE PARENTING’

Dalam kehidupan kita, semua perkara mempunyai cabaran dan tekanan masing-masing. Yang membezakan kita semua adalah cara kita menghadapi cabaran dan ‘handle’ sesuatu tekanan itu.

Ya, benar. Tiada perkara tanpa tekanan (stress free) dalam menempuh kehidupan ini. Dalam dunia keibubapaan juga, pasti akan wujud stres dalam diri ibu dan ayah. Jika disebut ‘stress free parenting’, ianya mungkin sukar untuk dicapai 100 peratus. Namun sekurang-kurangnya, dengan teknik yang betul, kita dapat meminimumkan kadar stres tersebut dan mencapai ‘almost stress free parenting’.

Berikut merupakan 7 tips ‘stress free parenting’ untuk menjadi ibu dan ayah yang hebat buat anak-anak tercinta. Semoga bermanfaat buat semua!

TIPS 1 : ‘AVOID UNNECESSARY STRESS’

Perkara utama dalam mencapai ‘stress free parenting’ adalah dengan mengelakkan diri daripada stres yang tidak sepatutnya.

Amalkan konsep ‘YES, NO, IGNORE’ dalam apa jua situasi termasuk dalam menghadapi kata-kata orang di sekeliling kita.

  • Jika kita bersetuju, dengan tegas katakan ‘YES’.
  • Jika tidak bersetuju, dengan tegas juga katakan ‘NO’.
  • Jika ia tiada kaitan dengan kita, ‘just IGNORE’ – abaikan sahaja untuk elakkan ‘unnecessary stress’.

Media sosial juga merupakan salah satu sumber ‘unnecessary stress’ yang boleh mempengaruhi emosi ibu dan ayah. ‘Unfollow’ individu dan sumber berita yang negatif serta doakan agar mereka diberi hidayah daripada Allah.

Hanya benarkan diri kita dikelilingi dengan persekitaran positif sahaja. Dengan detoks minda kita daripada individu dan berita-berita negatif, kita pasti mampu menjadi lebih rasional dan kurang emosional.

Salah satu cara untuk mengurangkan stres dan kesedihan di hati adalah dengan mencari sesuatu kemahiran yang diminati (passion) sama ada dengan pergi ke kelas-kelas berkaitan atau mencari tutorial di laman Youtube.

Dengan mengelakkan diri daripada ‘unnecessary stress’, kita pasti berjaya menjadi ibu dan ayah yang lebih tenang dalam mendidik anak-anak.

Foto Kredit : sidra.org

TIPS 2 : ‘BE PRACTICAL’

Kita semua adalah manusia yang tidak sempurna, mempunyai kelebihan serta kekurangan masing-masing. Kita bukan ‘supermom’ atau ‘superdad’ yang boleh melakukan semua perkara. Kita semua saling memerlukan.

Latih diri untuk menjadi lebih fleksibel dan tidak rigid. Jika kita tidak mampu untuk melangsaikan semua kerja rumah sehingga rumah kelihatan tidak kemas serta bersepah, tidak mengapa. Ia adalah perkara normal. Lakukan sesuatu perkara sekadar termampu dan pada waktu yang bersesuaian dengan situasi diri kita.

Sekiranya kita berasa tersangat letih, curahkan isi hati kita dengan memberitahu anak bahawa kita berasa letih pada hari itu. Ianya bukan suatu keluhan kerana terbeban dengan pelbagai tugasan atau tanggungjawab, tetapi ia bertujuan agar anak belajar untuk memahami situasi kita dan boleh menghulurkan bantuan kepada kita apabila diperlukan.

Usah paksa diri kita untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan kita kerana kelak ianya akan menghancurkan diri kita sendiri. Amalkan konsep saling membantu dan berkongsi tugas sesama ahli keluarga agar segala tugasan menjadi lebih ringan.

Foto Kredit : americanaquasolutions.com

TIPS 3 : RESET ARAS JANGKAAN

Sebelum meletakkan sesuatu jangkaan (expectation) atau harapan, fikirkan terlebih dahulu kemampuan diri serta anak-anak. Anak-anak adalah unik dan mempunyai kelebihan tersendiri. Jangan pernah membandingkan dan meletakkan jangkaan sama rata kepada semua anak kerana mereka semua adalah berbeza.

Letakkan jangkaan yang praktikal di bawah tahap kemampuan anak yang mana sekurang-kurangnya anak seharusnya mampu melakukan perkara tersebut. Ia bukan bertujuan memandang rendah dengan kebolehan anak, tetapi ia bertujuan untuk kita lebih celik melihat kejayaan anak-anak apabila mereka berjaya mencapai tahap kemampuan mereka.

Perkara ini dipanggil ‘small success’, anak-anak bermula dengan ‘small success’. Apabila anak telah berjaya mencapai ‘small success’ ini, naikkan ‘expectation’ kepada aras yang lebih tinggi untuk mereka mencapai kejayaan yang lebih hebat. ‘Small success will lead to big success’.

Foto Kredit : gbtimes.com

TIPS 4 : RAIKAN MINAT ANAK

Anak-anak mempunyai minat masing-masing. Walau apa jua minat mereka, kita sebagai ibu bapa seharusnya tidak memandang remeh terhadap minat tersebut dan raikan minat mereka dengan gembira.

Jauhi diri daripada memaksa anak melakukan perkara yang mereka tidak minati. Ini kerana, apabila anak tidak menurut kehendak kita dan tidak mencapai jangkaan sepertimana yang kita harapkan, kita pasti akan berasa stres.

Kadang-kala, minat anak terhadap sesuatu perkara itu tidak lama dan hanya dalam tempoh tertentu sahaja. Selepas itu, anak mungkin sudah tidak berminat lagi dengan perkara tersebut.

Oleh itu, ambil peluang keemasan ini. Sentiasa raikan minat mereka agar mereka sentiasa berasa diri mereka dihargai.

Foto Kredit : romper.com

TIPS 5 : AMALKAN KONSEP ‘THE WORLD IS MY CLASSROOM’

Anak-anak bukan sahaja belajar di sekolah tetapi juga melalui pelbagai perkara yang berlaku di persekitaran mereka.

Elakkan diri daripada berasa tertekan dengan hanya meminta anak untuk fokus kepada subjek yang dipelajarinya di sekolah sahaja. Apa jua perkara dan aktiviti yang sedang mereka lakukan, mereka sebenarnya sedang belajar.

Amalkan konsep ‘the world is my classroom’. Beri peluang kepada anak untuk meneroka dunia ini. Benarkan anak-anak untuk mencuba sesuatu perkara yang baru kerana di situ mereka pasti dapat belajar sesuatu yang baru dan bermakna buat mereka.

Sentiasa beri sokongan dan pantau anak dalam proses pembelajaran mereka. Dengan cara ini, anak-anak pasti lebih bersemangat untuk belajar dan semakin berminat untuk belajar dengan lebih banyak lagi.

Ibu dan ayah juga seharusnya menjadi ‘role model’ buat anak-anak dengan menunjukkan contoh bahawa kita juga sedang belajar dan sentiasa belajar. Pembelajaran dalam kehidupan adalah berterusan dan tidak akan pernah berhenti.

Foto Kredit : ya-roditel.ru

TIPS 6 : AJAR ANAK CARA CARI JAWAPAN

Setiap kali anak-anak mempunyai persoalan tentang sesuatu perkara dan kita sentiasa memberikan mereka jawapan secara terus (spoon feeding), bagaimana anak-anak hendak belajar mencari jalan penyelesaian sendiri ketika mereka mempunyai masalah apabila dewasa kelak?

Mungkin ibu dan ayah akan berasa stres dengan soalan anak apabila kita tidak mempunyai jawapan yang tepat atau perlu mencari jawapan terbaik untuk mereka. Usah gusar wahai ibu dan ayah.

Anak-anak seharusnya diajar cara-cara untuk mencari jawapan bagi sesuatu persoalan yang muncul di minda agar mereka lebih mengingati perkara tersebut. Ibu dan ayah pula perlu membantu dan memantau mereka untuk sama-sama mendapatkan jawapan.

Generasi masa kini berada di zaman teknologi di mana semua maklumat berada di hujung jari. Usah disekat teknologi untuk anak-anak, tetapi ajarkan mereka untuk menjadi individu yang bijak mengurus dan menggunakan teknologi masa kini.

Gunakan gajet seperti laptop dan tablet dengan sebaik-baiknya untuk mereka mempelajari sesuatu perkara. Beri panduan kepada anak-anak bagaimana untuk memperoleh jawapan terbaik terhadap persoalan-persoalan yang diajukan.

Foto Kredit : hacerfamilia.com

TIPS 7 : TUKAR MAKSUD BERJAYA

Tidak dinafikan bahawa ramai ibu dan ayah masa kini menganggap bahawa Gred A menentukan kejayaan mutlak anak-anak. Pada hakikatnya, kejayaan itu mempunyai maksud yang lebih luas dan bukan sekadar mendapatkan Gred A semata-mata.

Buka minda kita sebagai ibu bapa untuk melihat kejayaan anak-anak. Manusia mempunyai pelbagai kebijaksanaan – ‘multiple intelligence’. Kejayaan sebenar anak-anak adalah apabila mereka mampu menggunakan kebolehan serta kebijaksanaan yang ada dalam diri mereka, untuk menguasai sesuatu kemahiran tertentu dan mampu memberi manfaat buat orang lain.

Sebagai contoh, anak yang meminati bidang lukisan mungkin  akan berjaya menjadi pelukis komik berunsurkan tarbiah buat masyarakat pada suatu hari nanti. Atau anak yang minatnya ke arah dunia masakan, mungkin akan menjadi chef terkenal dalam bidang masakan ‘healthy food’  kelak.

Semua anak adalah bijak dan mempunyai keistimewaan masing-masing. Siapa tahu, mungkin anak yang dianggap kurang berjaya itu yang akan menjaga kita apabila kita sudah berusia kelak? Mungkin mereka ini yang akan bersunguh-sungguh mendoakan kita apabila kita sudah tiada di dunia ini nanti. Ayuh sama-sama kita fikirkan dan reset maksud berjaya tersebut dalam minda kita.

Foto Kredit : datamanager.it

IBU AYAH HEBAT, ANAK CEMERLANG

Didikan anak-anak adalah tanggungjawab ibu dan ayah sepenuhnya. Jangan pernah putus asa, sentiasa berusaha, berdoa serta tawakal dalam memberi didikan terbaik buat mereka.

Diharap, dengan mengaplikasikan kesemua tips ini, kita semua dapat mengamalkan teknik keibubapaan yang lebih tenang dalam mendidik anak-anak, anak-anak akan menjadi insan yang cemerlang seterusnya dapat membina keluarga yang bahagia.

Semoga kita semua sentiasa memperoleh rahmat Allah, in sha Allah.

Penulis: Eyza Faizah

Eyza Faizah

Graduan dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti tempatan. Berpengalaman dalam bidang pengurusan dan professional serta pengacaraan majlis. Kini bergelar 'work at home mom' (WAHM) - berkhidmat untuk keluarga dan menulis artikel online. Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .