Cara Solat Taubat Yang Sebenarnya Senang Dibuat (Tips Lengkap)

Mencari info cara solat taubat? Jom baca panduan lengkap ini.

Manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Ada masanya kita kalah dengan nafsu sehingga terjerumus ke dalam perbuatan yang mendatangkan dosa.

Namun, itu tidak bermakna kita menerima diri sebagai orang yang berdosa dan terus melakukan kesilapan. Ini kerana Allah Yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang sentiasa memberikan ruang kepada kita untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa yang dilakukan.

Taubat berasal daripada perkataan Taubah yang bermaksud ‘kembali’. Dari segi bahasa ia bermaksud kembali daripada dosa atau lainnya. Dari segi tasawuf pula, taubat ialah kembali kepada Allah dengan melepaskan ikatan dosa yang terus-menerus dari hati kemudian melaksanakan setiap hak Tuhan.

Kasih sayang Allah kepada kita ditunjukkan dalam Surah al-Zumar, ayat 53 yang mahu kita tidak berputus asa dengan rahmat Allah walaupun kita merasakan yang kita telah melakukan dosa.

Firman Allah SWT (maksudnya):

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Zumar 39:53)

Daripada Abu Musa Abdullah bin Qais al-Asy’ari r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah SWT sentiasa membentangkan tanganNya pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu siangnya, dan membentangkan tanganNya pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu malamnya.

Yang demikian itu berlangsung terus sehingga matahari terbit dari sebelah barat (sampai hari kiamat).”

(Riwayat Ahmad)

Menurut al-Akhfasy, taubat ialah perbuatan meninggalkan maksiat atau dosa dan kembali kepada ketaatan kepada Allah SWT. Bertaubat telah diperintahkan oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam surah al-Tahrim, ayat 8 yang bermaksud:

“Hai orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.”
Abu Bakar r.a berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

“Apabila seorang hamba melakukan dosa berwuduk dengan sempurna, kemudian bersolat dua rakaat dan memohon keampunan Allah, pasti Allah akan mengampunkannya.” Rasulullah kemudian membaca ayat 135 daripada surah Ali Imran yang bermaksud:

“Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya).

(Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud)

Hukum bertaubat adalah wajib dan disunatkan untuk terus bertaubat walaupun tidak melakukan dosa yang jelas. Bertaubat mestilah dilakukan dengan segera dan tidak menangguhkannya dengan sengaja.

Ini kerana menangguhkan taubat akan memberi kesan yang buruk kepada hati. Dosa akan menghitamkan hati dan menghalangnya daripada menerima hidayah Allah.

Syarat Taubat

Bertaubat bukan sahaja semasa kita berdosa kepada Allah SWT, tetapi kita juga perlu bertaubat apabila kita berdosa dengan manusia. Jika kita berdosa kepada Allah SWT, maka 3 syarat ini perlu ditunaikan:

i. Berhenti melakukan perbuatan dosa itu.

ii. Menyesal atas perbuatan itu.

iii. Bertekad untuk tidak lagi mengulangi perbuatan itu.

Jika kita dosa kita berkaitan dengan manusia pula, empat perkara berikut perlu dilakukan:

i. Berhenti melakuan perbuatan dosa itu.

ii. Menyesal atas perbuatan itu.

iii. Bertekad untuk tidak lagi mengulangi perbuatan itu.

iv. Selesaikan masalah yang kita lakukan dengan individu tersebut.

Syeikh Soleh al-Uthaimin meletakkan lima syarat taubat sebagaimana berikut:

i. Ikhlas kepada Allah.

ii. Menyesal atas segala perbuatan maksiat.

iii. Segera meninggalkan maksiat.

iv. Berazam tidak akan kembali melakukannya.

v. Taubat hendaklah berlaku dalam masa yang diterima oleh Allah iaitu;

  • Taubat wajib dilakukan sebelum nyawa sampai ke halkumnya.
  • Taubat wajib dilakukan sebelum nyawa sampai ke halkumnya.

Syarat-syarat taubat secara umumnya adalah seperti berikut:

  • Ikhlas mahu bertaubat.
  • Menyesali perbuatan dosa yang telah dilakukan.
  • Bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi selama-lamanya.
  • Bertaubat sebelum meninggal dunia.

Syarat terakhir adalah penting untuk diingati kerana kematian akan mengingatkan kita untuk bertaubat. Apabila kita meninggal dunia, semua nikmat yang diperolehi di dunia ini akan terputus.
Pada masa itu semua perbuatan kita di dunia akan dipersoalkan.

Tiada lagi ruang untuk kita kembali ke dunia dan bertaubat untuk menghapuskan dosa-dosa kita. Semua dosa itu telah kita bawa ke dalam kubur di mana kita akan bersendirian menerima pembalasan.

Tambahan pula, syurga bukanlah untuk mereka yang diselubungi dosa. Oleh itu, kita akan kerugian nikmat tak terhingga yang kekal abadi di dalamnya kelak.

Apakah kelebihan bertaubat?

Orang yang bertaubat akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Keampunan ini amat besar nilainya di dunia dan akhirat. Orang yang bertaubat dan diterima keampunanNya akan disayangi Allah serta ditinggikan kedudukannya di sisi Allah.

Ini kerana bertaubat merupakan ciri-ciri orang yang beriman. Mereka yang bertaubat akan dimurahkan rezeki dan diselamatkan daripada pelbagai masalah.

Bukan sahaja Allah menyayangi mereka, masyarakat juga menghormati mereka. Lebih indah lagi adalah mendapat ganjaran syurga yang dipenuhi nikmat berkekalan.

Kerana itu lah solat taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Taimiyah:

Cara Solat Taubat

“Solat taubat ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, walaupun pada waktu-waktu yang dilarang mengerjakan solat, kerana taubat ini adalah wajib dilakukan dengan segera, dan pelakunya disunatkan (dituntut) untuk mengerjakan (solat) dua rakaat.”

Berikut adalah cara melakukan solat sunat taubat:

i. Niat

Maksudnya: “Aku solat sunat Taubat dua rakaat semata-mata kerana Allah Taala.”

ii. Baca surah al-Fatihah dan apa-apa surah daripada al-Quran pada rakaat pertama.

iii. Baca surah al-Fatihah dan apa-apa surah daripada al-Quran pada rakaat kedua.

iv. Baca ayat berikut dalam sujud terakhir

Maksudnya: “Tiada tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku dalam kalangan orang yang menzalimi diri sendiri.”

v. Akhiri solat dengan salam dan beristighfar sebanyak mungkin untuk meminta keampunan daripada Allah SWT.

Maksudnya: “Aku memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Agung, yang tiada tuhan melainkan Dia, Yang Hidup dan Berdiri dengan sendirinya. Dan kepadaNya aku bertaubat.”

vi. Baca doa solat taubat

Doa Solat Taubat

Maksudnya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam. Selawat dan salam ke atas Penghulu kita Nabi Muhammad SAW dank e atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Ya Allah, kami memohon keampunan-Mu daripada segala dosa yang telah kami lakukan, dengan sengaja atau tidak, atau kerana kami tidak mengetahuinya. Kami memohon keampunan-Mu daripada segala dosa yang telah kami bertaubat kemudian kami ulangi semula.

Dan kami memohon keampunan-Mu daripada dosa-dosa yang hanya Engkau mengetahuinya dan hanya Engkau yang dapat mengawalnya. Kami memohon keampunan-Mu daripada semua dorongan hawa nafsu kami yang menjurus kepada perkara syubhah sedangkan ia haram di sisi-Mu.

Kami memohon keampunan-Mu daripada segala amalan yang kami lakukan untuk-Mu tetapi kemudiannya bercampur aduk dengan amalan yang lain. Tiada Tuhan yang disembah selain Engkau, wahai Yang Maha Pengasih.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Penghulu kami Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya.”

Ambillah peluang untuk bertaubat yang terbuka luas daripada Allah SWT ini sebelum ajal menjemput. Kesan taubat amat besar kepada diri seorang manusia. Ia penting agar hidup kita bukan sahaja bermakna di dunia, malah kita juga akan mendapat kebahagiaan di akhirat.

Jernihkan jiwa dengan taubat supaya kita sentiasa berada dalam ketenangan hati. Pada masa yang sama, iman kita turut bertambah di mana mudah untuk kita mengerjakan amal kebajikan.

Secara tidak langsung, kita bukan sahaja menjadi insan yang bagus untuk diri sendiri, malah menyumbang kepada kebaikan kepada mereka yang berada di sekeliling kita juga.

Rujukan:

  • Ensiklopedia Solat, terbitan Telaga Biru
  • Indahnya Saat BersamaMu: Panduan Praktikal Qiamullail oleh Nik Abd. Rahim Nik Abd. Ghani dan Zahazan Mohamed, terbitan Telaga Biru

 

Artikel Menarik Lain

Jangan lupa untuk amalkan tips yang telah dikongsikan. Jom baca artikel menarik yang lain untup santapan rohani da menjadi insan yang lebih baik.

Suka mengembara dan sukakan aktiviti penulisan. Berharap dapat berkongsi ilmu bermanfaat dengan para pembaca di Bidadari.My.

Pendapat Anda?

comments

error: Content is protected !!