Sebagai seorang Islam, melakukan ibadah-ibadah fardu itu sememangnya sudah menjadi tanggungjawab setiap muslim. Namun, ibadah sunat yakni perkara yang dilakukan akan mendapat pahala manakala meninggalkannya tidak mengapa.

Ibadah sunnah dituntut demi mengapai redha Ilahi. Antara ibadah sunat yang amat dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W adalah solat sunat rawatib ataupun lebih dikenali sebagai solat sunat Qobliyah Ba’diyah. Perkara ini bertepatan dengan hadis Nabi S.A.W. Dari Ibnu Umar bahawa;

“Rasulullah SAW tidak meninggalkan solat sunat 10 rakaat iaitu 2 rakaat sebelum Zuhur, 2 rakaat sesudahnya Zohor, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.”

(HR Bukhari-Muslim, Bukhari)

solat sunat rawatib
Imej via [sinarharian]

Juga perkara yang sama diungkapkan oleh nabi S.A.W di dalam riwayat yang lain. Dari Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda;

“Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan  solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat  selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.”

(Hadis riwayat Tirmizi r.a.).

Apakah Solat Sunat Rawatib?

Solat sunat Rawatib sebenarnya datang dari perkataan ‘RAATIB’ yang membawa makna berterusan. Hal ini kerana solat rawatib dilakukan seiring sebelum mahupun selepas solat fardu.

Antara sebabnya kita digalakkan melaksanakannya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah selain dapat menampung sebarang kecacatan di dalam solat fardu.

Terdapat dua jenis Solat Sunat Rawatib iaitu Solat sunat Qobliyyah yakni dilakukan sebelum solat fardu dan Solat Sunat Ba’diyyah yakni dilakukan selepas solat fardu.

Fadhilat Setiap Solat Sunat Rawatib

solat sunat rawatib
Imej via [sumsel]

#1 Solat Sunat Qobliyyah Subuh

“Dua rakaat solat Subuh lebih aku sukai daripada dunia dan seisinya” (Hadis riwayat Muslim).

#2 Solat Sunat Qobliyyah / Ba’diyyah Zuhur

“Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka” (H.R. Abu Daud & Tirmidzi).

“Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.” (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi r.a.).

#3 Solat Sunat Qobliyyah Asar

“Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka” (H.R. At-Tabrani).

Pembahagian Solat Sunat Rawatib

solat sunat rawatib
Imej via [akuislam]

Solat Sunat Muakkad

Solat sunat Rawatib dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Muakkad dan Ghairu Muakkad. Sunat Muakkad bermaksud sunat yang sangat dituntut manakala Sunat Ghairu Muakkad pula bermaksud sunat yang tidak dituntut. Berikut adalah pembahagiaannya:

Solat sunat rawatib yang dituntut ialah:

  1. Dua rakaat sebelum Subuh
  2. Dua atau empat rakaat sebelum Zohor
  3. Dua rakaat (dari empat rakaat) selepas Zohor
  4. Dua rakaat selepas Maghrib
  5. Dua rakaat selepas solat Isak

Solat Rawatib Ghairu Mu’akkad

Solat sunat rawatib yang tidak dituntut pula ialah:

  1. Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) sebelum Zohor
  2. Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) selepas Zohor
  3. Empat rakaat sebelum Asar
  4. Dua rakaat sebelum Maghrib
  5. Dua rakaat sebelum Isya’

Kaifiat Atau Cara-Cara Mengerjakan Solat Sunat Rawatib

solat sunat rawatib
Imej via [buku.karangkraf]

Solat sunat Rawatib dilakukan 2 rakaat sama seperti solat sunat yang lain, cuma perbezaannya adalah dari segi bacaan niat, surah dan juga doa. Namun, boleh jadi sama dari segi doa dan surah. Untuk pengetahuan anda, solat sunat dapat menutup dan menghapuskan dosa anda yang lalu.

Perkara Yang Perlu Anda Ambil Perhatian Dalam Solat sunat Rawatib

  1. Berniat mengikut solat sunat rawatib yang ingin anda lakukan.
  2. Solat sunat rawatib tidak perlukan azan dan iqamat.
  3. Solat sunat perlu dilakukan bersendirian, tidak boleh menjadi imam dan makmum.
  4. Bacaan dalam solat tidak dikuatkan.
  5. Jika lebih daripada 2 rakaat, haruslah dibuat dengan 2 rakaat 1 salam.
  6. Sebaik-baiknya, Solat sunat Ba’diyyah dilakukan ditempat yang lain daripada tempat solat fardu sebelumnya.

Cara Niat Setiap Solat Sunat Rawatib

solat sunat rawatib
Imej via [islamituindah]

1. Solat Sunat Qobliyyah (Sebelum Solat Fardu)

اصلي سنّة قبلية ( الظهر \ العصر \ العشاء \ الفجر ) ركعتين لله تعالى

Sahaja aku menunaikan solat sunat sebelum (Zuhur / Asar / Isyak / Subuh) dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.

2. Solat Sunat Ba’diyyah (Selepas Solat Fardu)

اصلي سنّة بعدية ( الظهر \ المغرب \ العشاء ) ركعتين لله تعالى

Sahaja aku menunaikan solat sunat selepas (Zuhur / Maghrib / Isyak) dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.

Seperti yang dikatakan tadi, cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib adalah sama seperti dengan cara mengerjakan solat sunat biasa dua rakaat, hanya niatnya yang berbeza. Solat Sunat Rawatib Zuhur, berniat mengerjakan solat sunat rawatib Qabliyyah atau Ba’diyyah dan dikerjakan dengan cara individu.

Sebahagian Ulama menganjurkan agar membaca Surah Al Kafirun pada rakaat pertama dan Surah Al Ikhlas pada rakaat kedua. Namun, bergantung kepada anda untuk membaca surah yang bersesuaian. Solat Sunat Rawatib juga boleh dilakukan dengan berdiri ataupun duduk (mengikut kemampuan).

Waktu Dan Hukum Melaksanakan Solat Sunat Rawatib

Pada setiap waktu solat sunat rawatib boleh dilakukan, terdapat hukum yang berbeza sama ada muakkad (dituntut) atau Tiada muakkad (tidak dituntut). Jom rujuk jadual di bawah.

solat sunat rawatib
Imej via [cahayaislam]

Doa Yang Sesuai Bibacakan Selepas Solat Sunat Rawatib

Sebenarnya tidak ada sebarang dalil pengkhususan tentang doa selepas sunat rawatib daripada Rasulullah S.A.W. Namun begitu, bolehlah berdoa memohon agar diampunkan dosa, kejayaan dunia dan akhirat dan dikabulkan segala hajat.

Itulah dia panduan solat sunat rawatib yang boleh anda rujuk dan pelajari. Semoga panduan ini bermanfaat buat anda! Jom baca juga Jenis solat qiyamullai, cara solat tahajud, cara solat dhuha dan cara solat taubat.

Rujukan:

  1. akuislam
  2. shafiqolbu
  3. muftiwp

Penulis: zulrina

Avatar

Penulis yang bekerjaya di rumah. Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.