Mari kita fahami cara solat jenazah.

Firman Allah SWT (maksudnya):

“Apabila sampai ajal maut seseorang maka manusia tidak berupaya menunda mahupun mempercepatkan, walau sesaat pun.” (Surah al-A’raf 7:34)

Kematian adalah suatu perkara yang pasti terjadi kepada semua makhluk. Ia berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Orang yang beriman melihat kematian sebagai peluang untuk bertemu dengan Allah SWT. Kematian juga adalah masa untuk mendapatkan ganjaran yang diinginkan.

Sebagaimana Islam menghormati mereka yang masih hidup, begitu juga ketika berlakunya kematian. Semasa nazak, kita digalakkan untuk mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah dengan lembut, membaca surah yasin di sisinya, dan berbaik sangka kepada Allah dan tidak mengungkit-ungkit kesalahan atau dosa mereka yang sedang nazak.

Apabila mereka meninggal dunia pula, terdapat langkah-langkah tertentu untuk menguruskan mereka dengan baik dan penuh penghormatan. Selepas jenazah dimandikan dan dikafankan, maka tibalah masanya untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Hukum Solat Jenazah

Solat Jenazah

Imej via BHarian

Solat jenazah merupakan kewajipan fardu kifayah kepada umat Islam. Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a. berkata (maksudnya):

“Rasulullah SAW berasa sedih atas kematian al-Najasyi. Baginda keluar ke tempat solat. Lalu Baginda menyusun saf mereka (sahabat-sahabat) dan bertakbir dengan empat takbir.” (Riwayat al-Bukhari)

Melaksanakan solat jenazah ke atas mereka yang telah meninggal dunia telah menjadi amalan masyarakat ketika zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda. Solat jenazah dilakukan selepas jenazah siap dimandikan dan dikafankan.

Menurut mazhab Syafi’i, wali kepada jenazah adalah lebih aula untuk menyembahyangkan jenazah. Ini kerana solat jenazah adalah doa untuk si mati, maka doa kaum kerabat dan waris lebih mudah dimakbulkan Allah.

Ada perbezaan kedudukan antara jenazah lelaki dan perempuan semasa disembahyangkan.

Jenazah lelaki: Kepala jenazah diletakkan pada sebelah kiri imam dengan kebanyakan bahagian badan jenazah di sebelah kanan imam dan imam beridri di bahagian kepalanya.

Jenazah perempuan dan khunsa: Kepala jenazah diletakkan pada sebelah kanan imam dan imam berdiri di bahagian punggungnya.

Rukun Solat Jenazah

Rukun solat jenazah ada tujuh iaitu:

i. Niat berserta takbiratulihram.

ii. Berdiri bagi yang mampu.

iii. Bertakbir dengan empat kali takbir termasuk takbiratulihram bersama dengan niat solat.

iv. Membaca al-fatihah selepas takbiratulihram.

v. Selawat ke atas Nabi SAW selepas takbir yang kedua.

vi. Berdoa untuk jenazah yang disembahyangkan selepas takbir yang ketiga dan yang keempat.

vii. Memberi salam.

Ada beberapa perkara sunat dalam solat jenazah. Ia adalah seperti berikut:

i. Mengangkat kedua-dua tangan untuk keempat-empat takbir.

ii. Meletakkan tangan di bawah dada selepas mengangkat takbir.

iii. Disunatkan juga membaca ta’awwuz, tetapi tidak disunatkan membaca doa iftitah.

iv. Memperlahankan bacaan dalam solat.

v. Mengucapkan ‘amin’ selepas membaca surah al-Fatihah.

vi. Berdiri dalam tiga saf atau lebih, sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW ketika menyembahyangkan raja al-Najasyi.

vii. Tahmid sebelum selawat ke atas Nabi SAW.

viii. Doa ke atas Muslimin dan Muslimat selepas selawat ke atas Nabi.

ix. Sunat membaca doa berikut selepas takbir keempat dan sebelum salam:

x. Memberikan salam yang kedua.

xi. Sunat mendirikan solat jenazah secara berjemaah, tetapi diharuskan melakukannya seorang diri.

Cara Solat Jenazah Lelaki dan Perempuan

Cara-cara melakukan solat jenazah

i. Berniat dan takbiratulihram

• Niat untuk jenazah lelaki

Maksudnya: “Aku bersolat ke atas jenazah lelaki ini empat rakaat sebagai imam / sebagai makmum kerana Allah Taala.”

• Niat untuk jenazah perempuan

Maksudnya: “Aku bersolat ke atas jenazah wanita ini empat rakaat sebagai imam / sebagai makmum kerana Allah Taala.”

ii. Kedudukan tangan sama seperti dalam solat biasa.

iii. Baca surah al-Fatihah.

iv. Takbir untuk kali kedua dan angkat tangan ke telinga. Kemudian letakkan tangan kembali ke badan.

v. Baca selawat ke atas Nabi.

Atau lebih baik lagi adalah membaca selawat Ibrahimiyyah.

vi. Takbir kali ketiga dan angkat tangan ke telinga. Kemudian letakkan tangan kembali ke badan.

vii. Baca doa untuk jenazah.

Doa untuk jenazah lelaki

Maksudnya: “Ya Allah, ampunkanlah jenazah ini, kasihanilah dia, sejahterakan dan selamatkan dia. Muliakanlah kedudukannya, lapangkan ruang kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan embun suci. Lupuskan dia daripada segala noda dosa, sebagaimana Engkau bersihkan baju putih daripada kotoran.

Gantikan baginya tempat tinggal yang lebih baik dari tempat kediaman sebelum ini. Berikan kepadanya ahli keluarga yang lebih baik daripada ahli keluarganya, pasangan yang lebih baik daripada pasangannya yang ada. Hindarkanlah dia (Ya Allah) daripada seksa kubur dan seksa neraka.”

Doa untuk jenazah wanita

Maksudnya: “Ya Allah, ampunkanlah jenazah ini, kasihanilah dia, sejahterakan dan selamatkan dia. Muliakan kedudukannya, lapangkan ruang kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan embun suci. Lupuskan dia daripada segala noda dosa, sebagaimana Engkau bersihkan baju putih daripada kotoran.

Gantikan baginya tempat tinggal yang lebih baik dari tempat kediaman sebelum ini. Berikan kepadanya ahli keluarga yang lebih baik daripada ahli keluarganya, pasangan yang lebih baik daripada pasangan yang ada. Hindarkanlah dia (ya Allah) daripada seksa kubur dan seksa neraka.”

viii. Takbir kali keempat dan sunat membaca doa.

Doa untuk jenazah lelaki

Maksudnya: “Ya Allah, janganlah Engkau sisihkan kami daripada mendapat pahala (menguruskan jenazah)nya. Jangan pula Engkau biarkan fitnah melanda kami sepeninggalannya.

Ampuni dosa kami, dosa si mati dan saudara-saudara kami yang lain yang lebih awal beriman daripada kami. Jangan Engkau bibitkan di dalam hati kami rasa benci dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami (yang mulia), Engkau sangat penyantun dan sangat penyokong.”

Doa untuk jenazah wanita

Maksudnya: “Ya Allah, janganlah Engkau sisihkan kami daripada mendapat pahala (menguruskan jenazah)nya. Jangan pula Engkau biarkan fitnah melanda kami sepeninggalannya.

Ampuni dosa kami, dosa si mati dan saudara-saudara kami yang lain yang lebih awal beriman daripada kami. Jangan Engkau bibitkan di dalam hati kami rasa benci dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami (yang mulia), Engkau sangat penyantun dan sangat penyayang.”

ix. Beri salam pertama.

x. Baca doa solat jenazah.

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Tuhan Alam semesta. Selawat dan salam untuk penghulu kami Sayyidina Muhammad Nabi dan Rasul yang paling mulia, juga ke atas para sahabat Baginda sekaliannya. Ya Allah, jadikanlah kuburnya seperti taman daripada taman-taman syurga.

Ya Allah, Engkaulah Tuhannya, Engkau yang menjadikannya, Engkau yang juga memberikannya petunjuk sehingga dia menganut agama Islam. Namun, Engkau juga yang mematikannya, Engkau lebih tahu hal ehwalnya, baik yang tersembunyi mahu pun yang terang.

Ya Allah, kami hadir di sini dengan penuh rasa berharap untuk memohon baginya pertolongan-Mu. Oleh itu, ampunkanlah kami semua dan dirinya dengan ihsan dan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Selawat dan restu Allah untuk Rasul junjungan kami Nabi Muhammad, juga kepada seluruh keluarga dan sahabat Baginda, semoga sejahtera mereka semuanya. Segala puji hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam.”
Kemudian teruskan dengan doa ini…

Maksudnya: “Ya Allah, curahkanlah rahmat atas Nabi Muhammad dan kepada keluarga Nabi Muhammad. Ya Allah, dengan berkat surah al-Fatihah, bebaskanlah dosa kami dan dosa mayat ini dari seksaan api neraka. Ya Allah curahkanlah rahmat dan berilah keampunan kepada mayat ini.

Dan jadikanlah tempat kuburnya itu taman daripada syurga dan janganlah Engkau jadikan kuburnya itu lubang jurang neraka. Dan semoga Allah memberi rahmat kepada Nabi Muhammad dan keluarganya dan sahabat-sahabatnya sekalian, dan segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.”

Solat jenazah adalah fardu kifayah bagi yang masih hidup dan berada di kawasan di mana berlakunya kematian. Ini bermaksud jika ada seorang yang mengetahui cara melakukan solat jenazah, maka kewajipan ke atas orang lain pun akan terlepas.

Namun begitu, untuk menjadi seorang umat Islam yang bertanggungjawab, hendaklah kita semua mempunyai ilmu mengenai solat jenazah ini tanpa bergantung harap kepada orang lain.

Rujukan:

Artikel Solat Lain

Jom baca artikel solat yang lain. Jangan lupa untuk share dan like ya jika bermanfaat.

Penulis: Saiful Izzuan

Menulis berkenaan tips motivasi dan kejayaan di blog drInspirasi.com. Seorang yang gemar berkongsi mengenai prinsip Kejayaan dan Bakat. Kebanyakan artikel beliau boleh dibaca di www.drinspirasi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.