Cara Solat Jamak dan Qasar Yang Betul (Panduan Mudah!)

Jom baca artikel ini. Cara solat jamak dan qasar yang betul.

Ada masanya kita perlu melakukan perjalanan jauh atau bermusafir. Ia boleh jadi kerana kita pulang ke kampung halaman, tugasan luar daerah, melancong, dan mengembara.

Solat Jamak

Ada kekangan masa kerana banyak masa dihabiskan dalam perjalanan, sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, dan agak sukar untuk sentiasa berhenti menunaikan solat lima waktu yang wajib bagi umat Islam.

Nabi Muhammad SAW berkata (maksudnya):

“Solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya, maka ia mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama.”
(Baihaqi daripada hadis’Akrimah daripada Umar – Hadis Margu’)

Begitulah pentingnya solat dalam Islam. Walau di mana jua kita berada, solat mesti ditunaikan. Disebabkan itu lah Islam memudahkannya agar kita tidak terlepas daripada menunaikan tanggungjawab kita.

  • Tidak perlu bimbang lagi kerana masalah solat kita diselesaikan dengan qasar dan jamak.Perkara yang mengharuskan jamak dan qasar adalah sebagaimana berikut:
  • Jarak perjalanan hendaklah sekurang-kurangnya 81km.
  • Mempunyai tujuan bermusafir iaitu ada destinasi tertentu.
  • Perjalanan bukan untuk melakukan maksiat.

Cara Solat Qasar

Qasar berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘qasara’ yang bermaksud memendekkan atau tidak memanjangkan. Dari sudut fikah, ia bermaksud solat fardhu empat rakaat yang dipendekkan menjadi dua rakaat, iaitu solat zuhur, asar dan Isyak.

Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ mengenai memendekkan solat (maksudnya):
“Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidak mengapa kamu mengqasarkan sembahyang (-mu), jika kamu takut diserang orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh nyata bagimu.” (Surah an-Nisa’:101)

Ada dua hadis Rasulullah SAW yang menyebut mengenai memendekkan solat (maksudnya):
Daripada Aisyah r.a berkata: “Allah mewajibkan solat 2 rakaat, selepas itu dicukupkannya menjadi empat rakaat dan dibiarkan solat ketika musafir seperti pertama kali diwajibkan (dua rakaat).” (Muslim)

Ibn Abbas berkata: “Allah mewajibkan soloat atas lisan (agama) Nabi kamu ketika mukim sebanyak empat rakaat dan ketika bermusafir dua rakaat, manakala ketakutan satu rakaat.”
(Muslim)

  • Harus bagi seorang Muslim untuk mengqasarkan solatnya sekiranya dia mempunyai cukup syarat sebagai musafir. Berikut adalah syarat sah mengqasarkan solat fardhu:Perjalanan sudah dimulakan iaitu ketika sedang bermusafir.
  • Perjalanan sekurang-kurangnya sejauh dua marhalah atau 80.64 km.
  • Perjalanan bukan bertujuan untuk maksiat atau bercampur aduk dengan perkara maksiat.
  • Perlu berada dalam perjalanan selama solat ini dilakukan. Qasar tidak sah jika sudah tiba di kediaman sendiri atau tiba ke destinasinya.
  • Mesti melepasi sempadan pekan atau bandar tempat tinggal.
  • Solat yang diqasarkan adalah solat tunai dan bukan solat qada. Solat tunai adalah solat yang dilakukan pada waktunya ketika dalam perjalanan.
  • Solat yang diqasarkan adalah solat empat rakaat iaitu Zohor, Asar, dan Isyak.
  • Berniat qasar ketika takbiratulihram.
  • Tidak menjadi makmum kepada mereka yang bersolat penuh atau sempurna empat rakaat. Tidak boleh juga menjadi makmum kepada imam yang tidak diketahui niatnya sama ada qasar atau penuh,
  • Tidak berniat untuk tinggal atau menetap di tempat yang dituju selama empat hari atau lebih.
    Kiraan adalah tidak termasuk hari pergi dan kembali.
  • Jika tidak tahu tempoh masa perjalanan akan selesai iaitu sama ada 4 hari atau lebih, harus diqasarkan solat sehingga 18 hari tidak termasuk hari pergi dan kembali.
  • Tahu hukum menunaikan solat qasar.

Contoh niat solat qasar adalah seperti berikut:

Maksudnya: “Saya solat fardhu Zohor dua rakaat qasar tunai kerana Allah Taala.”

Cara Solat Jamak

Dari sudut bahasa, jamak adalah perkataan Arab yang bermaksud menghimpunkan atau mengumpulkan sesuatu yang berselerak atau mengarang kitab atau menyusun huruf.

Dari sudut istilah pula, jamak bermaksud menghimpunkan dua waktu solat fardhu dengan melakukannya dalam satu waktu.

Solat jamak disyariatkan ketika Perang Tabuk iaitu pada tahun 7 Hijrah. Jamak terbahagi kepada jamak takdim dan jamak takhir.

Jamak Takdim adalah menunaikan solat yang kedua dalam waktu yang pertama iaitu Asar ditunaikan dalam waktu Zohor dan Isyak didirikan dalam waktu Maghrib.

Muaz bin Jabal telah berkata: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam Perang Tabuk dan Baginda bersolat Zohor dan Asar bersama (jamak) dan Maghrib dan Isyak bersama.”
(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim)

Sebagaimana solat qasar, solat jamak juga diharuskan bagi mereka yang memenuhi syarat. Berikut syarat bagi melakukan jamak takdim:

  • Tertib – ditunaikan dahulu solat yang pertama, kemudian diikuti dengan solat kedua. Contohnya, dahulukan Zohor kemudian Asar atau dahulukan Maghrib sebelum Isyak.
  • Niat untuk menghimpunkan solat kedua ke dalam waktu solat pertama.
  • Segera tunaikan solat yang kedua sesudah selesainya solat yang pertama tanpa memisahkannya untuk satu tempoh yang panjang.
  • Masih dalam perjalanan ketika melakukan solat yang kedua.

Jamak Takhir pula adalah melewatkan solat yang pertama untuk ditunaikan dalam waktu yang kedua. Contohnya, Zohor didirikan dalam waktu Asar dan Maghrib dilakukan dalam waktu Isyak.

Anas bin Malik berkata:

“Apabila Rasulullah SAW berangkat sebelum matahari condong, beliau akan melewatkan solat Zohor ke dalam waktu solat Asar, kemudian beliau berhenti (dalam perjalanan) lalu menjamakkan kedua-duanya. Jika condong matahari sebelum beliau berangkat, beliau akan menunaikan solat Zohor terlebih dahulu kemudian baru bertolak.”
(Muslim)

Berikut merupakan syarat menunaikan Jamak Takhir:Niat untuk melewatkan solat pertama ke dalam waktu solat kedua sebelum berakhirnya waktu solat pertama.

Masih dalam perjalanan ketika melakukan kedua-dua solat.

Secara ringkasnya, solat Jamak hanya boleh dilakukan untuk solat berikut:

Solat Zohor dan Asar dalam waktu Zohor

  • Solat Zohor dan Asar dalam waktu Asar
  • Solat Maghrib dan Isyak dalam waktu Maghrib
  • Solat Maghrib dan Isyak dalam waktu Isyak

Cara menunaikan Solat Jamak dan Qasar

Solat jamak boleh dilakukan sama ada bersama-sama qasar atau tanpa qasar. Solat jamak tanpa qasar bermaksud anda menunaikan solat penuh. Jamak tanpa qasar adalah seperti berikut:

  • Zohor empat rakaat dan Asar empat rakaat
  • Maghrib tiga rakaat dan Isyak empat rakaat
  • Contoh; niat solat Zohor dengan Asar

Maksudnya: “Saya solat fardhu Zohor empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala.”

Maksudnya: “Saya solat fardhu Asar empat rakaat jamak taqdim berserta Zohor tunai kerana Allah Taala.”

Jamak berserta qasar pula memendekkan dan menghimpunkan dua solat dalam satu masa iaitu:

  • Zohor dua rakaat dan Asar dua rakaat
  • Maghrib 3 rakaat dan Isyak dua rakaat

Contoh bagi jamak berserta qasar bagi solat Maghrib dan Isyak. Solat Maghrib tidak boleh dipendekkan kepada dua rakaat. Hanya solat empat rakaat sahaja yang boleh dipendekkan kepada dua rakaat sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

Maksudnya: “Saya solat fardhu Maghrib tiga rakaat dihimpunkan kepadanya Isyak tunai kerana Allah Taala.”

Maksudnya: “Saya solat fardhu Isyak dua rakaat qasar jamak taqdim berserta Maghrib tunai kerana Allah Taala.”

Solat Jamak Takdim

Solat Jamak Takdim
Imej dan sumber via Unisza

Jika jamak takhir berserta qasar, contoh niatnya adalah seperti di bawah:

Contoh: Solat Zohor dengan Asar

Maksudnya: “Saya solat fardhu Zohor dua rakaat qasar dihimpunkan kepada Asar kerana Allah Taala.”

Maksud: “Saya solat fardhu Asar dua rakaat qasar tunai kerana Allah Taala.”

Solat Jamak Takhir

Solat Jamak Takhir
Imej dan sumber via Unisza

Terpulang kepada individu sama ada mahu memendekkan solat bersama-sama jamak atau tidak. Ini kerana menghimpunkan solat atau jamak adalah tidak digalakkan sekiranya ada masa tetapi lebih baik mengqasarkan solat walaupun anda mempunyai masa untuk bersolat penuh dalam perjalanan.

Mereka yang bermusafir diberikan banyak keringanan lain sama ada dalam perjalanan singkat atau pun panjang selain kemudahan qasar dan jamak. Ini menunjukkan Islam agama yang mudah selain menggalakkan umatnya meneroka alam yang luas. Maka tiada alasan untuk kita menunaikan kewajipan ini.

Rujukan:

  • Passport Musafir, Mohd Zuhdi Ahmad Khasasi, terbitan PTS (2011)
  • Anda Bertanya Ustaz Menjawab Mengenai Solat, Rohidzir Rais, terbitan PTS (2012)
  • Ensiklopedia Solat, terbitan Telaga Biru (2011)

Suka mengembara dan sukakan aktiviti penulisan. Berharap dapat berkongsi ilmu bermanfaat dengan para pembaca di Bidadari.My.

Pendapat Anda?

comments

error: Content is protected !!