Solat Hajat : Cara Solat Hajat dan Doa (Panduan Mudah)

Jom kita hayati panduan cara solat hajat ini.

Setiap orang berhajat kepada sesuatu yang mana menjelaskan mengenai keperluan manusia. Keperluan manusia terbahagi kepada lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Tanpa keperluan ini, kualiti kehidupan akan terjejas terutamanya pada kejayaan di akhirat. Maka di sinilah terbitnya solat hajat untuk mengisi keperluan manusia untuk meminta kepada Maha Pencipta.

Biarpun sudah ada solat sebanyak lima kali sehari bertujuan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah serta memohon keampunan dan mendapat perkenan atas semua permintaan, namun solat sunat tetap dilakukan untuk mendapat kelebihan yang lain atau tambahan kepada amalan.

Lebih-lebih lagi apabila ada keperluan tertentu yang mendesak bagi melancarkan urusan dunia dan akhirat. Malah Rasulullah sendiri menunaikan solat ketika hal-hal tertentu menjadi serius.

Keperluan Solat Hajat

Walaupun solat hajat banyak dilakukan oleh ramai orang, tetapi berlaku khilaf di kalangan ulama mengenai hukum mengerjakannya. Ini kerana ada beberapa hadis yang meriwayatkan tentang solat hajat dikatakan daif dan tidak sahih.

Antara hadis yang dikatakan daif oleh Imam al-Tirmizi adalah sebagaimana yang berikut:

Riwayat Abdullah bin Awfa r.a bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda tentang solat hajat (maksudnya):

“Barangsiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada seseorang daripada kalangan anak Adam maka ambillah wuduk dan perelokkan wuduknya. Kemudian kerjakanlah solat dua rakaat, kemudian pujilah kepada Allah azzawajalla dan berselawatlah ke atas Nabi s.a.w. Lantas berdoa:

Maksudnya: ‘Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Mulia. Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki singgahsana yang agung. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Ya Allah, kumohon segala amalan yang membuka pintu rahmat dan keampunan-Mu. Kumohon perlindungan daripada dosa, keupayaan meraih segala kebajikan dan tersisih daripada segala noda dan dosa.

Janganlah Engkau biarkan padaku walau satu dosa kecuali Engkau maafkan ia, walau satu masalah kecuali Engkau selesaikan, walau satu hajat yang Engkau redai kecuali Engkau tunaikan hajat tersebut, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih.’

Selepas itu bolehlah dia memohon urusan dunia atau akhirat sepertimana dikehendakinya nescaya doanya akan diperkenankan.
(Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’I dan Ibn Majah)

Walaupun begitu, sebahagian ulama sepakat menyatakan hukum solat hajat sebagai sunat berdasarkan kepada hadis ini juga kerana cara yang disebut dalam hadis tersebut tidak bercanggah dengan sifat solat yang diajar oleh Nabi s.a.w.

Maka dipersetujui bahawa ia boleh diamalkan kerana memenuhi syarat yang hadis tidak terlalu lemah atau daif, hadis berada di bawah hukum asas yang boleh diamalkan, dan berhati-hati ketika beramal dengannya dengan tidak beriktikad hadis itu sabit.

Tambahan pula, sungguhpun berlaku khilaf, namun tetap tidak dinafikan yang kita boleh memohon kepada Allah untuk apa sahaja dan pada bila-bila masa sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 186 yang bermaksud:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu.

Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Menurut kamus Lisan al-Arab, hajat ditakrifkan sebagai kefakiran atau keperluan terhadap sesuatu. Dari segi istilah pula, menurut al-Syatibi, hajat ialah apa-apa yang menjadi keperluan untuk melapangkan dan mengangkat kemudaratan, meningkatkan kesukaran hidup dan hilangnya kesenangan, keceriaan dan maslahat.

Bilangan rakaat dalam solat hajat boleh dilakukan sebanyak 2 rakaat, atau empat rakaat, atau 12 rakaat. Namun, Mazhab Syafi’I, Maliki dan Hanbali berpegang pada pendapat yang pertama iaitu 2 rakaat.

Cara Solat Hajat

Berikut adalah cara-cara melakukan solat hajat:
1. Niat

Maksudnya: “Aku solat sunat hajat dua rakaat semata-mata kerana Allah Taala.”

2. Membaca surah al-Fatihah dan ayat al-Kursi pada rakaat pertama

3. Membaca surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas pada rakaat ke dua.

Doa Solat Hajat

4. Memberi salam dan membaca doa solat hajat.

Maksudnya: “Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Mulia. Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki singgahsana yang agung.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Ya Allah, kumohon segala amalan yang membuka pintu rahmat dan keampunan-Mu. Kumohon perlindungan daripada dosa, keupayaan meraih segala kebajikan dan tersisih daripada segala noda dan dosa. J

Janganlah Engkau biarkan padaku walau satu dosa kecuali Engkau maafkan ia, walau satu masalah kecuali Engkau selesaikan, walau satu hajat yang Engkau redai kecuali Engkau tunaikan hajat tersebut, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih.”

Jangan lupa untuk memastikan diri dan tempat solat berada dalam keadaan bersih sebelum menunaikan solat. Pakai pakaian yang bersih dan tumpukan sepenuh perhatian semasa berdoa. Rendahkan diri dan minta kepada Allah serta yakin bahawa doa akan dimakbulkanNya.

Solat hajat mengajar kita supaya meminta kepada Allah dengan penuh adab dan sopan serta bersungguh-sungguh. InsyaAllah, apa yang diinginkan akan diperkenankan oleh Allah SWT mengikut masa dan kehendakNya.

Rujukan:

Artikel Menarik Lain

Bagaimana artikel cara solat hajat ini? Semoga menjadi amalan dalam meminta sesuatu kepadaNya. Kami juga ada menulis artikel menarik lain untuk dibaca.

Menulis berkenaan tips motivasi dan kejayaan di blog drInspirasi.com. Seorang yang gemar berkongsi mengenai prinsip Kejayaan dan Bakat. Kebanyakan artikel beliau boleh dibaca di www.drinspirasi.com

Pendapat Anda?

comments

error: Content is protected !!