Bukan semua wanita akan mengalami simpton-simpton kehamilan. Tanpa mereka sedar, mereka mengetahui bahawa mereka hamil. Oleh kerana tidak ada tanda yang menunjukkan bahawa mereka hamil, mereka melakukan aktiviti seperti biasa.

Tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, kita perlu ambil tahu tentang simpton kehamilan bagi memudahkan kita untuk tahu bahawa kita hamil atau tidak. Simpton hamil bukan sahaja terasa loya dan penat, tetapi ada simpton lain yang kita tidak tahu.

Apakah simpton-simpton tersebut?

Mari kami kongsikan info sebenar mengenai simpton kehamilan seawal minggu pertama. Info ini dikongsikan oleh klinik Dr. Asmah. Klinik Dr. Asmah terletak di Sungai Petani, Kedah. Ia menawarkan pelbagai ‘service’ terutama sekali bagi wanita yang hamil. Ia juga menawarkan ‘service’ untuk pesakit biasa seperti kencing manis, darah tinggi, demam panas dan lain-lain lagi.

simpton awal kehamilan
Imej via mingguanwanita

9 Simpton awal kehamilan

1. PERUBAHAN PAYUDARA

Perubahan hormon pada awal kehamilan dapat menjadikan payudara anda terasa lebih padat, berat, sensitif dan mungkin sedikit nyeri apabila disentuh. Puting payudara dan bahagian aerola juga kelihatan lebih timbul berbanding biasa dan berwarna lebih gelap.

Menurut laman web kesihatan The Health Line, keadaan ini akan berterusan selama 1-2 minggu selepas proses pembenihan berlaku. Selain itu, ia juga disebabkan oleh peningkatan hormon progesteron dan estrogen dalam tubuh wanita hamil.

"

2. PENDARAHAN ATAU ‘SPOTTING’

Salah satu tanda unik pada awal kehamilan adalah berlakunya ‘spotting’ atau pendarahan kecil yang berwarna merah cair atau coklat gelap. Mungkin ada yang keliru dan menyangkanya sebagai haid, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai kitaran yang tidak tetap.

Namun, berbeza dengan haid, pendarahan ini biasanya amat sedikit dan tidak akan memenuhi ‘pad’ mahupun ‘panty liner’ yang digunakan. Tempohnya juga berlaku dalam masa yang lebih singkat berbanding haid normal.

3. ‘CRAMP’ / KEMBUNG PERUT

Apabila berlakunya pendarahan, sesetengah wanita akan merasai sedikit sakit, kejang, atau terasa kembung pada bahagian perut.

Kesakitan ini diakibatkan oleh terhentinya produksi hormon progesteron dari corpus luteal setelah hadirnya sel plasenta. Perut juga terasa kejang kerana otot rahim yang meregang apabila hadirnya janin. Walaubagaimanapun, kesakitannya adalah masih terkawal.

Maka, sekiranya anda merasakan kesakitan yang kuat, jangan teragak-agak untuk berjumpa doktor.

4. ‘MORNING SICKNESS’

Gejala mual atau muntah merupakan tanda-tanda mengandung yang paling popular. Ia sering berlaku ketika awal pagi, iaitu apabila bangun tidur. Sebab itulah ia digelar dengan nama ‘morning sickness’. Walaubagaimanapun, sebenarnya perasaan loya ini boleh berlaku pada bila-bila masa dan ada yang melaluinya hingga tempoh hampir bersalin.

Sebenarnya, ia disebabkan oleh peningkatan asid pada perut akibat bertambahnya paras hormon estrogen. Selain itu, ia juga berkait rapat dengan hormon HCG (Human Chorionic Gonadotropin) yang mulai dihasilkan oleh plasenta.

5. SENSITIF TERHADAP BAU

Ada kalanya wanita akan menunjukkan perangai pelik seperti mengidam dan berubah selera makan. Salah satu sebabnya adalah kerana sensitiviti yang dimilikinya ini. Malah, mual dan muntah yang dialami juga berkait rapat dengan peningkatan sel saraf pada bau-bauan tertentu.

Jadi, tidak hairanlah kadangkala makanan biasa dimakan setiap hari sebelum ini pun tiba-tiba membuat anda berasa sensitif, terutama yang beraroma kuat seperti telur dan bawang.

6. KEPUTIHAN

Selain pendarahan, barangkali anda akan merasai keluar cairan dari vagina yang mirip dengan keputihan. Merujuk kepada laman web kesihatan Web MD, penebalan dinding vagina akan menyebabkan keluarnya cecair berwarna putih susu.

Cecair ini seharusnya tidak berbau dan tidak gatal. Jika sebaliknya, berjumpalah doktor kerana dikhuatiri anda mengalami jangkitan.

7. SERING KE TANDAS

Menurut BabyCenter, sebaik saja anda mengandung, perubahan hormon yang berlaku akan menyebabkan peningkatan arus darah melalui buah pinggang. Hal ini menyebabkan buah pinggang anda terisi dengan lebih cepat, lalu anda perlu berulang-alik ke tandas dengan lebih cepat.

Kekerapan untuk kencing ini boleh berterusan apabila bertambahnya usia bayi dalam kandungan akibat tekanan pada bahagian pundi kencing, selari dengan peningkatan berat badannya.

8. CEPAT LETIH

Keletihan tanpa sebab dapat menjadi tanda-tanda mengandung yang paling jelas dan nyata, terutamanya pada awal kehamilan.

Ini kerana tubuh badan anda mengalami peningkatan kadar progesteron di samping perubahan isipadu darah, denyutan jantung, serta metabolisme tubuh.

9. BERASA EMOSIONAL

Selain perubahan fizikal, perubahan hormon juga dapat membuat anda merasa lebih emosional.

Tidak dinafikan, seorang wanita dapat meneka dan mempunyai keistimewaan ‘sixth sense’ untuk mengetahui perubahan yang berlaku dalam dirinya. Mungkin tidak semua merasakannya, tetapi ia adalah petanda yang amat kuat.

*Jika berlaku simpton-simpton, cepat pergi buat pemeriksaan di klinik atau beli alat uji kehamilan di farmasi berdekatan. Mungkin ia simpton yang biasa dialami tetapi tidak salah jika ambil tindakan awal. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.

Penulis: aqirah

aqirah

Seorang yang rajin dan gemar untuk kongsikan sesuatu yang bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.