Jam 12 tengahari

Rutin harian mengambil si anak di tadika. Ternanti-nanti ibu wajah anak yang tersenyum girang di tadika menggambarkan perasaan seronok dan puas bermain bersama rakan-rakan.

Namun, hari ini sedikit berbeza. Dari jauh telah terdengar teriakan si anak menangis kuat. Laju sahaja si ibu mengatur langkah mendapatkan anak walau sisa demam masih berbaki.

Digagahkan diri mendapatkan anak lantas terus didakap dan didukung demi meredakan tangisan. Sesi siasatan ala-ala ‘Detective Conan’ bermula.

 

Siapa Sangka, Perkara Kecil Sebegini Telah Membuat Hati Si Kecil Ini Terluka.

Imej via ruangmuslimah

 

Ibu: “Kenapa menangis Muhammad? Penar ke dekat sekolah tadi? Lapar? Sakit?”.

Anak: “Muhammad nak balik rumah. Dekat rumah ada atok, ada mama, ada abah”.

Ibu: “Laaa..Nanti balik kita jumpalah atok dengan abah. Bukannya pergi mana pun. Ada je dekat rumah”.

Anak: “Sebenarnya, Muhammad lapar. Muhammad nak makan sama-sama dengan mama. Nak mama suap. Nak tidur sama-sama dengan mama. Nak peluk mama. Muhammad rindu mama”.

Tangisan anak terus terhambur keluar tanpa ditahan-tahan lagi.

 

Tersentap Hati Ibu

Aduhai anak,

Ibumu baru terbaring sakit yang sedikit cuma,

Merehatkan diri buat sementara waktu,

Melepaskan lelah sebentar lalu.

Namun, perasaan rindu akan suapan, pelukan dan ciuman ibu terus menebal dalam hatimu.

Maafkan ibu telah menjadi punca sedih dihatimu,

Maafkan ibu yang telah alpa akan perasaanmu,

Selagi ada hembusan nafas ini, selagi itu dirimu tidak akan sunyi dengan kasih ibumu ini.

 

3 Kuasa Istimewa Ibu Ayah Buat Anak

Wahai ibu dan ayah, jangan pernah lupa akan 3 kuasa istimewa ini.

  • PELUKlah anak.
  • CIUMlah anak,
  • BELAIlah anak.

Kerana kesannya sangat mendalam dalam diri anak. Percayalah, kuasa istimewa ini akan membentuk emosi anak yang positif, mudah empati dan lembut hatinya.

 

Hargai Anak Selagi Masih Bekesempatan

Pernahkah kita terfikir akan nasib anak-anak yang telah kehilangan ibu dan ayah sejak kecil? Bagaimana perasaan rindu yang terpaksa ditanggung oleh mereka?

Sedangkan kita yang sentiasa ada bersama anak ini pun mereka tetap rindu, inikan pula mereka yang telah ditinggalkan ibu dan ayah yang pasti tidak akan kembali lagi di dunia ini.

Ya Allah, tidak dapat dibayangkan perasaan yang ditanggung mereka diusia sekecil ini. Semoga Allah swt memberi kita kesempatan masa dalam mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak.

Usah leka dengan urusan kita sahaja sehingga mengabaikan keperluan emosi dan perasaan anak yang dahagakan belaian kita.

Luangkanlah masa bersama mereka walau untuk seketika. Sudahkah kita peluk anak hari ini? Peluklah anak sekarang, sesungguhnya mereka rindu akan kehangatan kasih sayang ibu dan ayah setiap hari!

Penulis: Faz

Merupakan graduan Psikologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sekarang memilih untuk menjadi surirumahtangga sepenuh masa demi keluarga. Seorang ibu yang sangat mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan kekeluargaan. Diharapkan dapat berkongsi ilmu seluas-luasnya dengan masyarakat melalui setiap penulisan yang ditulis. Klik sini untuk Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.