Ibu mengandung yang menanti hari untuk bersalin pastinya sedang berdebar-debar, tak sabar untuk menerima kelahiran orang baru. Dalam masa yang sama pastinya anda sedang sibuk menyediakan barang keperluan untuk anda dan bayi yang bakal dilahirkan.

Imej via Bidadari

Istimewa untuk anda, kali ni kami nak kongsikan senarai barang keperluan ibu berpantang sebagai panduan. Bolehlah anda beli perlahan-lahan, sedikit demi sedikit mulai hari ni agar tak tergempar jika ditakdirkan anda bersalin awal.

Barang keperluan ibu semasa di hospital

Ini adalah di antara barang keperluan ibu berpantang yang paling penting. Seeloknya, sebaik sahaja kandungan anda mencecah 8 bulan anda sudah boleh masukkan barang-barang keperluan semasa berada di hospital ke dalam beg dan letakkan di tepi pintu utama rumah supaya senang dicapai semasa anda dalam perjalanan untuk ke hospital.

Jika anda keluar berjalan-jalan, membeli-belah, atau bekerja, beg ini boleh dibawa bersama. Manalah tahu kalau tiba-tiba anda mengalami sakit nak bersalin. Di antara barangan penting yang perlu ada di dalam beg hospital tersebut ialah:

  • Air panas dalam flask air atau termos. Semasa berpantang seeloknya minum air suam.
  • Makanan ringan seperti biskut, milo 3 in 1, dan sebagainya agar ada makanan untuk dimakan sekiranya anda lapar di hospital.
  • Stokin kaki
  • Tudung
  • Pakaian untuk pulang ke rumah
  • Tuala
  • Kain batik
  • Selipar
  • Barang penjagaan diri seperti sabun mandi, syampu, deodoran, sikat rambut, berus gigi, dan sebagainya.
  • Baju sejuk

Barang keperluan bayi semasa di hospital

Selain barang keperluan buat ibu, barang keperluan bayi juga tidak kurang pentingnya. Di dalam beg hospital tadi anda boleh masukkan barang keperluan bayi anda seperti:

  • Pakaian
  • Minyak panas
  • Tisu basah
  • Stokin kaki dan stokin tangan
  • Topi
  • Tuala kecil
  • Kain bedung

Pakaian pulang dari hospital untuk ibu dan bayi

Barang keperluan ibu berpantang yang seterusnya ialah pakaian pulang dari hospital untuk ibu dan bayi. Adalah sangat penting untuk anda memastikan tubuh badan anda ditutup dengan sepenuhnya memandangkan anda berada dalam tempoh berpantang dimana badan sangat lemah.

Jangan juga lupa untuk menutup kepala bayi anda dan membungkus bayi dalam bedung semasa dalam perjalanan pulang.

Pakaian semasa berpantang

Semasa mengandung, anda sudah boleh membeli pakaian untuk dipakai semasa berpantang. Adalah sangat penting untuk anda menyediakan pakaian yang sesuai untuk dipakai semasa tempoh berpantang.

Ini kerana ibu berpantang sangat sensitif, dan pakaian yang tidak sesuai boleh menjejaskan kesihatan dan merosakan mood ibu tersebut. Di antara pakaian yang diperlukan semasa berpantang ialah:

  • Kain batik. Sebaiknya pakai kain batik bagi memudahkan anda bergerak dan ke tandas. Selain itu, kain batik juga akan diikat dengan ketat di bahagian perut dan membantu menampung perut dan rahim anda. Jika anda tidak selesa dengan kain batik dan berasa leceh, anda boleh juga pakai skirt dan seluar panjang. Apa yang paling penting ialah seluruh kaki anda tertutup.
  • Stokin kaki. Adalah sangat penting untuk anda memakai stokin kaki sepanjang masa semasa berpantang. Stokin kaki akan memastikan kaki anda sentiasa panas dan tidak bentan. Selain itu, stokin kaki juga melindungi kaki anda daripada dimasuki angin atau terlanggar sesuatu semasa berjalan.
  • Baju yang tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis. Pilih pakaian yang sesuai dengan suhu bilik anda. Elakkan daripada berada dalam keadaan yang terlalu panas atau terlalu sejuk bagi memastikan anda tidak demam semasa berpantang. Demam semasa berpantang dianggap sebagai kecemasan dan anda perlu ke hospital dengan segera untuk mendapatkan rawatan.

Set berpantang

Set berpantang adalah di antara barang keperluan ibu berpantang yang paling penting. Adalah sangat penting untuk anda menggunakan set berpantang yang elok bagi membantu memulihkan semula rahim dan menyegarkan semula tubuh badan. Terdapat pelbagai jenama set berpantang di pasaran dan pastinya anda keliru tak tau nak pilih yang mana.

Secara amnya, terdapat set berpantang moden dan tradisional. Terpulang kepada anda untuk memilih jenis mana yang sesuai dengan personaliti anda. Di antara barangan dalam set berpantang yang penting buat anda ialah:

  • Bengkung. Anda boleh pilih untuk memakai bengkung moden yang mudah atau bengkung tradisional. Apa yang penting, anda memakai bengkung untuk menampung perut dan rahim yang sedang berada dalam keadaan lemah. Terdapat juga bengkung moden untuk ibu yang bersalin melalui pembedahan.
  • Herba mandi. Dalam tempoh seminggu pertama anda melahirkan, sebaiknya anda mandi dengan air mandian herba. Tujuannya ialah untuk menyegarkan semula tubuh badan yang lemah dan sakit-sakit semasa proses bersalin.
  • Param ialah serbuk herba yang disapukan ke seluruh badan dengan tujuan untuk menyegarkan tubuh dan mengelakkan daripada badan dimasuki angin.
  • Pilis adalah herba yang disapukan ke dahi dengan tujuan untuk mengelakkan ibu berpantang sakit kepala akibat tidak cukup tidur dan tidak cukup rehat.
  • Batu tungku juga tidak kurang pentingnya.
  • Alat untuk bertangas. Anda boleh beli atau gunakan alatan yang dibawa oleh confinement lady jika anda mengupah untuk menjaga anda sepanjang berpantang.
  • Herba atau akar kayu untuk dimakan sepanjang berpantang dengan tujuan untuk menguatkan semula rahim dan menyegarkan tubuh badan.
barang keperluan ibu berpantang
Sumber: Mingguanwanita

Itulah dia info tentang senarai barang keperluan ibu berpantang yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini, pastinya anda juga akan berminat untuk membaca perkongsian kami tentang set bersalin terbaik, tanda nak bersalin, dan petua cepatkan bukaan rahim

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.