Selain selsema, batuk, dan demam semasa mengandung, sembeli ketika hamil adalah satu lagi keadaan yang sangat membimbangkan di kalangan ibu mengandung. Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan info tentang sembelit ketika mengandung sebagai panduan buat anda.

Imej via Bidadari

Apakah punca sembelit ketika hamil?

Jika anda perhatikan, masalah sembelit biasanya akan semakin kerap berlaku dan menjadi semakin teruk apabila anda melepasi trimester pertama. Di antara punca sembelit semasa mengandung yang telah dikenal-pasti ialah:

  • Saiz bayi yang semakin besar menyebabkan saluran usus dan perut anda ditekan dan tertolak lalu menyebabkan gangguan kepada fungsi usus dan perut. Apabila usus dan perut tidak dapat berfungsi seperti yang sepatutnya, ia akan menyebabkan anda mengalami sembelit.
  • Hormon yang dirembeskan oleh tubuh badan semasa kehamilan juga memainkan peranan dalam menyebabkan sembelit. Peningkatan hormon progesteron dalam tubuh badan akan menyebabkan berlakunya pengenduran pada otot-otot di seluruh tubuh badan termasuk saluran pencernaan. Pengenduran otot pada saluran pencernaan akan menyebabkan makanan yang dimakan akan dicerna dengan lebih perlahan lalu menyebabkan najis anda menjadi keras lalu mengalami sembelit.
  • Selain itu, semasa anda mengandung, badan akan mengalami perubahan fisio di mana sistem pencernaan anda akan berfungsi dengan perlahan supaya bayi anda dapat menyerap nutrien dari anda lebih optimum untuk pertumbuhan yang baik. 
  • Pengambilan vitamin pre natal seperti zat besi juga merupakan di antara faktor penyumbang kepada sembelit semasa mengandung. Jika sembelit anda menjadi semakin teruk, anda boleh berhenti mengambil zat besi untuk sementara waktu. Makan semula apabila sembelit anda reda.
  • Kurang minum air. Najis anda boleh menjadi keras disebabkan oleh kekurangan air dalam tubuh badan. Jika anda tidak minum air dengan secukupnya, atau tubuh badan kehilangan air dengan banyak disebabkan banyak berpeluh disebabkan oleh cuaca yang terlalu panas, anda akan berisiko untuk terkena sembelit semasa mengandung. Oleh itu, pastikan anda minum air dengan secukupnya setiap hari. Jika cuaca terlalu panas, pastikan anda minum lebih air.
  • Kurang bersenam, kurang bergerak, dan terlalu banyak duduk juga boleh menyebabkan anda sembelit. Apabila anda tidak aktif, pergerakan usus anda juga akan menjadi perlahan lalu menyebabkan najis anda menjadi keras dan sembelit.
sembelit ketika hamil
Sumber: Pantangplus

Apakah komplikasi sembelit ketika hamil?

Sembelit semasa mengandung akan menyebabkan anda mengalami ketidak selesaan dan kesakitan yang teramat sangat, terutamanya semasa membuang air besar. Selain itu, sembelit semasa mengandung juga akan menyebabkan anda berisiko untuk mengalami:

  • Kecederaan pada usus. Kecederaan atau luka pada usus akan menyebabkan berlakunya pendarahan. Anda akan perasan najis anda keluar bersama darah. Luka pada usus agak sukar untuk sembuh kerana keadaan persekitarannya yang sentiasa lembab dan basah.
  • Buasir. Sembelit yang teruk akan menyebabkan usus anda terkeluar dan keadaan ini dikenali sebagai buasir. Jika anda terkena buasir, anda akan mengalami kesakitan yang teramat sangat, malah anda tidak akan dapat duduk dengan selesa. Dapatkan rawatan dengan segera jika anda terkena buasir, terutamanya ketika anda mengandung.

Apakah cara berkesan untuk mengatasi masalah sembelit ketika hamil?

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Namun, jika anda sudah terkena sembelit, berikut adalah beberapa tips menghilangkan sembelit ketika hamil yang berkesan yang boleh anda cuba:

Minum air kosong secukupnya setiap hari

Pastikan anda tidak lupa untuk minum sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong setiap hari untuk mengelakkan badan anda mengalami dehidrasi atau kekurangan air. Ini kerana apabila badan anda kekurangan air, najis anda akan menjadi keras dan anda akan mengalami sembelit.

Amalkan gaya hidup yang aktif

Jika anda memilih untuk banyak duduk atau baring sentiasa, pergerakan usus anda akan menjadi perlahan lalu menyebabkan anda mengalami sembelit. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda mengekalkan gaya hidup aktif sepanjang tempoh mengandung.

Anda boleh berjalan-jalan di shopping mall sambil window shopping, naik tangga dan tidak menggunakan lif, dan melakukan senaman ringan. Jika anda mengamalkan gaya hidup aktif, masalah sembelit anda akan berkurangan.

Berhenti makan vitamin zat besi sehingga sembelit anda lega

Satu lagi tips untuk menghilangkan sembelit ketika hamil ialah dengan cara berhenti makan vitamin zat besi untuk sementara waktu sehingga anda tidak lagi sembelit. Ini kerana zat besi adalah di antara faktor penyumbang najis anda menjadi keras.

Makan buah prune

Buah prune terbukti berkesan untuk membantu melembutkan najis. Oleh itu jika anda terkena sembelit ketika hamil, banyakkan makan buah prune untuk melembutkan najis anda. Selain buah prune, anda juga boleh minum jus prune juga. Jus prune banyak dijual di kedai dan pasaraya.

sembelit ketika hamil
Sumber: Greatbritishchefs

Buah-buahan atau jus buah-buahan

Selain itu, memakan buah-buahan seperti betik, pisang, avokado dan sebagainya juga sangat membantu untuk mengatasi masalah sembelit semasa mengandung.

Jika anda tidak gemar untuk makan buah, anda boleh minum jus buah-buahan. Ia akan membantu melembutkan najis sekali gus mengatasi masalah sembelit yang anda alami.

Makanan tinggi serat

Pengambilan makanan yang kaya dengan serat akan membantu pergerakan usus berfungsi dengan lebih baik dan mengurangkan masalah sembelit.

Di antara makanan tinggi serat yang paling mudah untuk anda amalkan ialah bijirin oat. Anda boleh jadikan oat sebagai sarapan setiap pagi. Nak lagi sedap, anda boleh sediakan overnight oat yang sangat lazat dan menyegarkan.

Itulah dia info tentang sembelit ketika hamil yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga mungkin sukakan perkongsian kami tentang tanda hamil anak perempuan, tanda hamil anak kembar, dan makanan yang boleh menyebabkan keguguran

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.