Hati kami tersentuh dengan perkongsian Tuan Hilal Asyraf Official yang mendapat perkongsian sebanyak 2.8 ribu kali di Facebook ketika artikel ini diterbtkan. Sungguh! Adakalanya dalam tak sedar kita mengeluh tentang kekurangan dan masalah yang dihadapi. Mungkin kita terlupa bahawa ada insan lain yang hidupnya jauh lebih susah dan menduga daripada kita.

Sejauh mana kita bersyukur? Hari ni kami kongsikan sedikit coretan beliau. Semoga bermanfaat dan menjadi pengajaran buat kita semua.

sejauh mana kita bersyukur

Gombak sedang hujan teramat lebat. Saya sendiri tadi terkandas sebentar. Rasa susah terdetik di dalam hati, namun keadaan motor Grab ni menarik perhatian.

Saya terkenangkan tuannya.
Jika saya rasa susah, Tuannya pasti lagi susah hati. Hujan terlalu lebat begini, bagaimana nak meneruskan usaha cari rezeki.

Yang menjadikan saya lebih sayu sebab baru-baru ini saya ada tempah makanan menggunakan khidmat Food Panda. Makanan yang saya tempah selepas sejam setengah masih tak sampai-sampai.

Saya buat laporan. Kemudian saya diberitahu, penunggang motorsikal yang membawa makanan saya terlibat dengan kemalangan. Tiada nyawa terkorban atau kecederaan parah, tetapi makanan saya habis bersepah di atas jalan raya.

“Tuan mahu kami ganti makanan Tuan atau refund duit?” Tanya operator. Saya dah tak fikirkan makanan, saya fikirkan keselamatan penunggang motorsikal. Beberapa kali saya tanya operator “Rider okay tak? Rider okay tak?”

Peristiwa tu sangat menikam jiwa saya.

Seakan-akan Allah nak tambah lagi kesedaran ini kepada saya hari ini, dalam perjalanan pulang, saya terjumpa pula lori kutip sampah, bersama seorang pekerjanya, masih tekun bekerja di tengah hujan lebat, kilat sabung menyabung.

sejauh mana kita bersyukur

Mengapa mereka tidak berhenti, mencari tempat berteduh? Saya tidak tahu. Hujan terlalu lebat untuk saya berhenti dan bertanya. Tapi mungkin kerana menjaga amanah kerja.

Kita kadang melihat pekerjaan-pekerjaan macam ini, kita ‘take it for granted’. Ada pandang lekeh. Tetapi mereka antara punca kehidupan kita masih berjalan dengan baik. Nak makan minum ada orang hantarkan, tanpa kita fikir apa nasib orang itu. Sampah cukup masa ada orang angkut, tanpa kita terdetik pun bagaimana kehidupan mereka.

Kadang bila hujan, kita merungut sebab aktiviti terganggu. Ada orang, bukan sekadar aktiviti, tetapi punca rezeki terputus sebentar. Ada pula orang, perlu meneruskan juga kerjanya tak kira cuaca. Betul-betul satu teguran untuk kita.

Ada yang terlalu seronok bila hujan lebat, sebab syok, sejuk, boleh lepak di rumah. Terlupa kita insan-insan yang kurang bernasib baik bila hujan turun dengan lebat. Rakan-rakan peniaga pasar malam contohnya.

Gombak masih hujan mencurah-curah.
Semoga Allah berikan keselamatan kepada semua, mempermudahkan urusan semua orang pada cuaca yang sebegini menguji, dan mengampunkan kita semua atas salah silap serta kelalaian kita.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.