Ruam pada bayi adalah sesuatu yang normal namun tak salah kalau kita sebagai ibu berasa bimbang dan berusaha untuk menghilangkan ruam pada bayi. Terdapat pelbagai jenis ruam termasuk ruam susu, ruam lampin, dan ruam disebabkan peluh atau cuaca yang panas. Ruam seperti ruam susu mungkin tidak akan menyebabkan bayi anda kesakitan.

Namun ruam lampin adalah sejenis ruam yang akan menyebabkan bayi anda berasa pedih terutamanya semasa membuang kecil di mana air kencing terkena pada bahagian yang mempunyai ruam. Malah bayi anda juga akan menangis semasa anda mencuci bahagian kemaluan atau punggung akibat pedih terkena air atau tisu basah yang anda gunakan.

Ruam lampin perlu dirawat sebaik sahaja ia bermula kerana jika dibiarkan, ia akan menjadi semakin teruk dan sukar untuk dikawal. Malah ia juga akan menyebabkan bayi anda mengalami pedih dan kesakitan yang sangat teruk lalu menyebabkan bayi anda kuat meragam dan mungkin juga demam.

Hari ini kami ingin kongsikan petua menghilangkan ruam pada bayi cara cepat, berkesan, dan yang paling penting ianya selamat kepada bayi anda tanpa kesan negatif untuk jangka masa yang panjang. Di antara petua yang boleh anda amalkan ialah:

Lap wajah bayi anda setiap kali lepas menyusu

ruam bayi
Sumber: Healthline

Ruam susu berlaku disebabkan oleh susu ibu itu sendiri. Semasa bayi anda menyusu, susu akan terpercik dan tumpah lalu terkena muka bayi anda lalu menyebabkan berlakunya ruam susu.

Untuk mengelakkan bayi anda daripada terkena ruam susu, caranya ialah lap wajah bayi anda dengan tuala basah sehingga tiada sisa susu yang tertinggal setiap kali bayi anda siap menyusu. Jika bayi anda sudah terkena ruam susu, cara ini juga berkesan untuk menghilangkannya.

Pastikan punggung dan kemaluan bayi anda sentiasa kering

Ruam lampin berlaku disebabkan oleh punggung dan kemaluan bayi anda selalu berada dalam keadaan yang basah akibat lampin yang selalu dibiarkan penuh dan jarang ditukar. Oleh itu, untuk mengelakkan dan merawat ruam lampin, pastikan lampin bayi anda ditukar dengan kerap supaya punggung dan kemaluan bayi anda sentiasa berada dalam keadaan yang kering. Selain itu, setiap kali menukar lampin atau selepas mandi, pastikan anda lap punggung dan kemaluan bayi anda sehingga kering sebelum dipakaikan lampin.

Jangan biarkan bayi anda berpeluh

Bagi ruam bayi yang disebabkan oleh peluh, cara untuk mengatasinya ialah dengan cara mengelakkan bayi anda daripada berpeluh. Pastikan suhu bilik berada dalam paras yang tidak terlalu panas sehingga menyebabkan bayi anda berpeluh.

Jangan pakaikan bayi anda dengan pakaian yang tebal. Elakkan daripada menyelimuti bayi anda dengan terlalu kemas pada waktu malam. Serta anda perlu elakkan daripada membawa bayi anda ke tempat yang panas atau sesak dengan orang ramai.

ruam bayi
Sumber: Healthline

Sapukan krim anti ruam setiap kali menukar lampin bayi atau selepas mandi

Salah satu cara untuk menghilangkan ruam lampin pada bayi ialah dengan cara menyapukan krim anti ruam pada punggung dan kemaluan bayi anda setiap kali menukar lampin atau selepas mandi. Fungsi krim anti ruam tersebut ialah untuk mengelakkan timbulnya ruam pada bahagian tersebut dan dalam masa yang sama menyembuhkan ruam yang sedia ada dengan cara mewujudkan skin barrier atau pemisah di antara kulit dan air.

Krim anti ruam tersebut bertindak seolah-olah perisai di atas kulit supaya kulit punggung dan kemaluan bayi anda tidak terkena air dan kekal kering. Terdapat pelbagai jenis krim anti rumah yang dijual di pasaran. Semasa membeli pastikan anda membaca isi kandungannya dan elakkan daripada memilih krim anti ruam yang mempunyai bahan aktif seperti steroid.

Getah bunga raya

Orang zaman dulu menggunakan getah dari bunga raya sebagai petua untuk menghilangkan ruam bayi. Caranya ambil sekuntum bunga raya, pisahkan kelopak-kelopak bunganya. Ada akan berasa melekit, itulah getah yang digunakan untuk menghilangkan ruam bayi.

Gosokkan kelopak bunga raya tadi pada kulit bayi yang mempunyai ruam. Gosok perlahan sehingga hilang rasa melekit. Seeloknya lakukan pada waktu awal pagi kerana pada waktu ini getah bunga raya lebih banyak berbanding waktu petang atau malam.

Sapukan bedak sejuk

Orang zaman dulu akan menyapukan bedak sejuk pada bahagian kulit yang terkena ruam. Bedak sejuka berfungsi untuk menyejukkan kulit, seperti namanya. Pada masa kini terdapat pelbagai bedak sejuk yang dijual di pasaran.

Ada yang dibuat dari beras dan ada yang dibuat dari tanah liat. Bedak sejuk yang dibuat dari tanah liat adalah jauh lebih baik daripada bedak sejuk daripada beras kerana fungsi menyejukkannya adalah lebih baik.

Itulah dia info tentang ruam bayi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda menyukai artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang bayi sedu hidung bayi tersumbat dan simpton bayi berak berdarah

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.