Apam solo menggoda sungguh. Nama apam ini apam solo bukan sebab orang yang membuatnya masih solo, single dan available. Tapi sebab nama pengasasnya, Bengawan Solo. Peminat kuih-muih Nusantara mesti tahu siapa dia ini.

Apam solo ialah apam berinti kacang merah atau kelapa. Noor Ashikin Saerah di laman Facebook berkongsi resepi apam solo dengan inti kacang merah. Kalau ikut resipi ini, boleh dapat 40 apam solo dengan inti kacang merah.

Inti kacang merah yang dibuat cik Noor boleh dapat hampir penuh bekas Tupperware berkapasiti 2 L. Macam-macam boleh dibuat dengan inti ini antaranya filling roti, pau, apam solo dan tidak ketinggalan bungeoppang yang sedap tu. Curi-curi makan dengan roti putih pun sedap.

Resepi Apam Solo Inti Kacang Merah

Imej via Facebook

Bahan-bahan (35-40 biji) :

  • 3 cawan tepung gandum,
  • 1 cawan tepung beras,
  • 1 cawan gula pasir,
  • 1 paket (11 g) yis,
  • Secubit garam,
  • ¼ cawan minyak,
  • 2½ cawan air,
  • Pewarna makanan,
  • Inti kacang merah ,
  • Kelapa secukupnya.

Cara-cara :

  1. Satukan kesemua bahan kecuali pewarna makanan dan inti kacang merah ke dalam bekas. Kacau rata.
  2. Tutup bekas dan perap selama 30 minit sehingga adunan apam naik.
  3. Didihkan air dan panaskan periuk kukusan.
  4. Oleskan acuan dengan sedikit minyak. Susun dan panaskan seketika di dalam pengukus yang telah dipanaskan.
  5. Setelah 30 minit, kacau rata adunan apam yang telah diperap.
  6. Asingkan sedikit adunan apam dan warnakan dengan pewarna makanan. Kacau biar warna sekata. Ketepikan.
  7. Masukkan 1 sdb adunan apam ke dalam setiap acuan.
  8. Masukkan pula 1 sdt inti kacang merah dan tutup dengan 1 sdb adunan apam.
  9. Letakkan/paipkan sedikit adunan apam yang telah diwarnakan. Lorek dengan lidi bersih. Buat sehingga habis dan cepat kerana adunan apam cepat naik.
  10. Kukus selama 15 minit dengan api sederhana besar.
  11. Setelah apam masak, keluarkan dari acuan dan sejukkan sebelum dihidangkan.

    Imej via Facebook

Nota:

Adunan apam memang agak kental. Tidak perlu tambah air pada adunan apam yang diwarnakan kerana ia akan membuatkan corak yang dilorek mencair.

Bahan Inti Kacang Merah ± 2.0kg Inti Kacang Merah :

  • 500g kacang merah,
  • 3 helai daun pandan,
  • 500g gula pasir,
  • 250g gula merah,
  • 2 cawan minyak masak/ minyak jagung,
  • ¼ cawan tepung gandum,
  • Sedikit garam halus.

Cara-cara :

  1. Cuci dan rendam kacang merah semalaman.
  2. Rebus kacang merah hingga mengembang dan benar-benar empuk.
  3. Sejukkan kacang merah dan asingkan air rebusan.
  4. Kisar kacang merah sedikit demi sedikit dengan air rebusan. Terpulang jika mahu kisar sehingga betul-betul halus atau tidak.
  5. Masukkan kisaran kacang merah ke dalam kuali bersama dengan daun pandan. Masak sehingga mendidih.
  6. Masukkan gula, gula merah dan sedikit garam halus. Biar sehingga gula larut dan sebati.
  7. Masukkan minyak dan kacau hingga sebati. Masak sehingga mendidih dan likat dengan api sederhana dan sentiasa dikacau supaya adunan kacang merah tidak hangit dan berkerak.
  8. Kemudian, ayakkan sedikit demi sedikit tepung gandum ke atas adunan kacang merah sambil terus dikacau hingga sebati.
  9. Teruskan mengacau dan kaup balik sehingga adunan kacang merah tidak melekat pada kuali.
  10. Setelah cukup masak, masukkan inti kacang merah ke dalam bekas dan sejukkan.
  11. Simpan inti di dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama.

    Imej via Facebook

Nota:

Penggunaan gula yang banyak membuatkan inti kacang merah tahan lama (± 1 bulan).
Boleh gantikan penggunaan gula merah kepada gula pasir.

Resepi Menarik Lain

Selain apam solo, kami menulis resepi lain dan menarik untuk anda cubakan. Terima kasih telah berkunjung ke laman web kami. Jangan lupa share dan like resepi ini ya.

Penulis: Rahayu Z

Pelajar yang menyukai kartun dan muzik. Memiliki hobi menulis mendorong ia untuk berkarya dan berkongsi di Bidadari.my

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.