Topik tentang kecantikan sememangnya tidak akan pernah habis dibincangkan. Jom baca tentang rahsia kecantikan dalaman dengan lebih terperinci.

Apakah makna kecantikan yang sebenar bagi anda? Wajah yang sempurna tanpa cacat cela atau kulit yang cerah kemerahan? Atau adakah anda berbangga mempunyai bentuk badan yang kurus dan ramping?

Kebanyakan kita beranggapan kecantikan luaran seperti ini yang perlu diutamakan. Malahan, tak keterlaluan jika dikatakan bahawa sesetengah orang menganggap wanita yang cantik sangat bernasib baik.

Mengapa wujud anggapan seperti ini? Wanita yang cantik lebih mudah mendapat perhatian terutamanya daripada kaum lelaki. Apa saja yang mereka buat, pakai atau katakan lebih mudah diterima.

Sebenarnya, Allah telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Jika yang kurus, putih dan tinggi itu definisi cantik. Jadi, apakah hikmah Allah menciptakan manusia yang gemuk, gelap dan pendek?

Imej via Bidadari

Justeru, dalam artikel ni, penulis akan mengupas topik berkaitan kecantikan yang sebenar. Semoga artikel ni dapat mengubah pemahaman para pembaca tentang kecantikan.

Definisi Kecantikan yang Sebenar

Kecantikan dalam erti kata yang sebenar ialah sesuatu yang indah dan menarik perhatian. Namun, tidak cukup jika anda mempunyai wajah yang cantik saja tetapi aspek dalaman terabai.

Aspek dalaman yang perlu dijaga ialah kesihatan tubuh, mental dan jiwa. Anda semua tentu pernah mendengar kata-kata ini:

“Outer beauty pleases the eye. Inner beauty captivates the heart.”

Maksudnya ialah kecantikan luaran sememangnya menarik perhatian orang. Namun begitu, seseorang yang cantik dalamannya lebih memberi tempat dalam hati kita. Mengapakah begitu penting kecantikan dalaman?

Jom baca tentang tips kecantikan dalaman untuk kekal menawan bukan saja pada luaran.

1. Kecantikan dalaman berkaitan tubuh

Untuk mendapatkan kulit yang cantik dan sentiasa awet muda, kita sanggup berhabisan untuk membeli produk wajah. Itu belum lagi dicampur dengan rawatan kecantikan sebulan sekali.

Untuk kelihatan sentiasa ramping, anda sanggup sekat makan. Tak keterlaluan jika kata ada yang tak makan nasi. Pantang dengar tentang produk kuruskan badan, pasti anda sanggup menabung.

Sebenarnya, kita juga perlu ‘melabur’ untuk kesihatan tubuh. Maksud melabur bukannya dengan membeli ubatan atau produk kesihatan. Kita perlu menjaga aspek pemakanan dan amalkan gaya hidup aktif untuk kekal sihat.

Apabila kekal sihat, wajah akan nampak ceria dan berseri-seri. Ini akan memudahkan kita untuk membuat ibadah seperti solat, berpuasa dan mengerjakan haji atau umrah.  Malah, kita dapat melakukan aktiviti-aktiviti yang disukai seperti bercuti, bersukan dan sebagainya.

Imej via Bidadari

Orang yang tidak menjaga kesihatan tubuh akan mudah mendapat sakit. Ini akan menjejaskan aktiviti harian, malahan untuk bekerja juga menjadi sukar.

Oleh itu, pastikan anda sentiasa menjaga kesihatan dengan menitiberatkan aspek berikut:

  1. Mengamalkan pemakanan seimbang dan berkhasiat.
  2. Minum air secukupnya.
  3. Bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.
  4. Jauhi stres dan tekanan.
  5. Membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala.

2. Kecantikan dalaman berkaitan mental

Orang yang normal seharusnya mempunyai mental yang sihat. Mental yang sihat maksudnya berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat sesuatu. Orang yang sihat mentalnya mampu berfikir, membuat keputusan dan mempertimbangkan sesuatu dengan waras.

Tidak guna jika wajah saja yang cantik tetapi suka membuat sesuatu perkara dengan jalan yang singkat. Jika anda tergolong dalam golongan seperti ini, pastinya ia perlu diubah. Ia bukan saja memberi kesan buruk kepada anda tetapi juga orang sekeliling.

Bagaimana untuk membentuk mental yang sihat? Banyakkan bergaul dengan orang-orang yang positif. Selain itu, tanamkan dalam diri agar jangan mudah berburuk sangka dengan orang lain.

Paling penting tanamkan nilai keagamaan dan moral lebih-lebih lagi kepada anak-anak. Sentiasa ingatkan diri agar menjadi manusia yang baik kepada diri sendiri dan orang lain.

Sentiasa menjadi pendengar setia kepada masalah anak-anak. Berikan kasih sayang dan perhatian secukupnya. Ini akan membentuk nilai-nilai murni dalam diri mereka sejak kecil lagi.

Jika ada orang yang memberi teguran, terima dengan hati yang terbuka. Jangan mudah marah dan menyampaikan kata-kata yang tidak elok. Ini kerana ia bukan saja memberi kesan negatif kepada orang yang dituju tetapi juga diri sendiri.

3. Kecantikan Dalaman Berkaitan Jiwa

Jika anda mempunyai wajah yang cantik tetapi hati yang hitam, anda tetap hodoh. Berbeza pula dengan orang yang wajahnya biasa-biasa saja tetapi hatinya sangat cantik. Tahniah, andalah antara wanita tercantik dalam erti kata sebenar.

Orang yang mempunyai hati yang cantik akan terserlah di wajahnya. Mereka akan disenangi, disayangi dan dihormati oleh orang lain. Apakah tanda-tanda seseorang itu mempunyai hati yang cantik?

  1. Suka membantu orang yang kesusahan.
  2. Mempunyai perasaan simpati dan empati.
  3. Pemaaf dan tidak suka berdendam.
  4. Suka berkawan dan tidak suka bermusuh.
  5. Mempunyai aura positif.
  6. Disenangi kerana seorang yang boleh menyimpan rahsia.
  7. Jujur dan ikhlas.
rahsia kecantikan dalaman

Imej via Bidadari

Sebagai manusia biasa kita selalu mengimpikan wajah yang menawan tanpa mempedulikan kecantikan dalaman. Bagi kita, itu perkara yang tersembunyi. Yang mungkin adalah kekurangan diri sebagai manusia biasa.

Setiap manusia pasti ada kekurangan dan tidak akan sempurna. Namun, kita boleh cuba untuk menjadi manusia yang sempurna. Kita pasti boleh menjadi wanita yang menawan dari segi rupa, akhlak, mental dan jiwanya.

Jika kita dapat menyeimbangkan ketiga-tiga aspek yang dibincangkan ini, pastinya kita tergolong dalam wanita yang cantik. Anda hendak menjadi wanita yang cantik? Lupakan stigma masyarakat yang mementingkan penampilan luaran.

Sedangkan yang tersembunyi di sebalik pakaian dan tudung, hanya kita saja yang tahu. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengubah pandangan lapuk ini.

Wajah yang cantik itu tidak semestinya mempunyai hati yang baik. Namun, orang yang baik pasti mempunyai wajah yang cantik. Itulah yang perlu kita sematkan dalam diri.

Itu saja perkongsian penulis tentang rahsia kecantikan dalaman. Para pembaca juga boleh membaca info tentang fikir positif. Klik sini iika berminat hendak membaca tentang didikan akhlak kanak-kanak.

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.